Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Ogos 2016

Tanpa Awak Macam Nak Gila! - Bab 10

Tajuk: Tanpa Awak Macam Nak Gila!
Penulis: Zara Ryana
ISBN: 978-967-365-273-0 
Harga: RM25.00 / RM28.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

NADA dering SMS bergema di dalam beg tangan Hessa. Dalam tergesa-gesa bersiap, dia masih sempat membacanya. Satu SMS daripada nombor yang tak dikenali.

Hai. Zaf ni. Saya bosanlah makan sorang-sorang. Temankan saya kejap, boleh?

Hessa menghembus geram. Terkedu dengan SMS itu. Kata kosong-kosong, apa lagi yang dia nak?
“Zafrel? Macam mana dia dapat nombor telefon aku ni?” Otaknya ligat berfikir.
“Dah kenapa tiba-tiba ajak aku keluar makan? Habis, sebelum ni dia makan dengan siapa? Kenapa tak ajak girlfriend dia aje?” Hessa menggumam sendirian
Jarinya pantas membalas SMS Zafrel.

Sorry. Not interested!

Hantar.
Dia tak sudi untuk teman Zafrel makan. Hanya kerana berjaya hidupkan keretanya, bukan main bangga dan riak Zafrel dengannya. Kata-katanya semua menyakitkan hati dan jantung. Walaupun sudah seminggu berlalu, dia masih sakit hati setiap kali teringatkannya. Sebolehnya dia tak mahu berjumpa Zafrel. Lelaki macam ini ada ke teman wanita? Makan hati 24 jamlah jawabnya.
Tanpa ingin terus menghiraukan Zafrel, Hessa keluar dari biliknya untuk ke Rumah Kirana. Itu lebih baik daripada melayan Zafrel.
Ketika itu, langkahnya terhenti mendadak apabila bertembung dengan Puan Hajar.
“Nak ke mana tergesa-gesa ni?”
“Err...” Hessa kelu. Namun, pantas otaknya memikirkan jawapan yang bernas. “Ni... Zaf ajak keluar. Dia ajak lunch. Sebab hari tu Hessa ada tolong dia. Jadi, hari ni dia nak belanja.”
Serta-merta wajah serius Puan Hajar bertukar dengan senyuman manis. “Oh. Pergilah. Sampaikan salam ibu kat dia. Ajaklah dia datang rumah.”
Hessa tersengih-sengih sambil angguk kepala. Ibunya beredar masuk bilik.
Keluar dengan Zafrel? Habislah dia kalau menipu. Dia nak ke Rumah Kirana, bukannya berjumpa Zafrel. Macam mana kalau kantoi nanti? Satu SMS diterima lagi. Ini tentu daripada Zafrel.
           
Don’t you miss me, dear? I’m on my way now. Lima minit lagi saya sampai.

“Hah?” Rahangnya terbuka sebaik saja membaca SMS itu.
Rindu konon. Teramat mustahil untuk dia rindukan si gemuk itu. Hessa menghentak-hentak kaki kerana geram dengan Zafrel. Dia masuk semula ke dalam bilik dan membalas SMS Zafrel.

Tak payah datang. Bagi tahu aje kat mana nak makan. Nanti saya pergi.

Sent. Kalau dia pergi dengan Zafrel, susahlah untuk dia ke Rumah Kirana. Dan kalau pergi sendiri, selepas jumpa Zafrel dia boleh pergi ke sana.
Tiga minit kemudian, barulah Zafrel membalasnya. Zafrel beritahu restoran yang akan dia tuju. Rasanya Hessa tahu di mana tempatnya.

Okey!

Dia menghela keluhan berat. Kenapa Zafrel makin menjengkelkannya? Dan, dia rasa agak curiga apabila Zafrel tahu alamat rumahnya.

ZAFREL melambai tangan ke arah Hessa sebaik saja gadis itu tiba. Hessa datang dengan muka yang ketat. Tiada senyuman. Tiada sapaan. Dia melabuhkan punggung di depan Zafrel.
“Macam mana awak dapat nombor telefon saya?” Sampai saja, Hessa terus menyoal Zafrel. Sepanjang perjalanan dia memikirkan soalan itu.
“Mama yang bagi. Takkanlah saya tak boleh minta nombor telefon bakal isteri saya? Lepas tolong awak hari tu, saya terus minta nombor awak. Lepas ni senanglah kalau awak nak minta tolong. Feel free to call. Okay?”
Hessa terkedu sekejap. Dia buat muka. Tak kuasa nak telefon! “Saya tak boleh lama. Ada hal penting.”
“Apa hal yang lebih penting daripada luangkan masa dengan bakal suami?”
Hessa menggeleng dengan senyum sinis. Bakal isteri, bakal suami. Entah kenapa perkataan itu menyakitkan telinganya.
“Macam mana awak boleh cakap yang awak bakal suami saya? Bukan ke hari tu awak tuduh saya yang pelan untuk kahwin dengan awak? Tak suka jodoh yang dipilih orang tua? Awak dah lupa?” Hessa menyindir. “Saya masih ingat kata-kata awak tu.”
I have changed my mind.” Zafrel ada alasan sendiri. Dia rasa Hessa calon yang sesuai untuk menjadi teman hidupnya. Soal lain, dia ketepikan dulu.
“Tapi, saya takkan lupa apa yang awak cakap. Dan saya pegang kata-kata saya. Saya takkan kahwin dengan awak walaupun famili kita mungkin rancang semua tu untuk kita. Untuk pengetahuan awak jugak, tu takkan berlaku. Takkan,” tegas Hessa dengan senyuman ketap.
Zafrel ukir senyum. Tak pasti senyumannya berperisa apa. Manis, tawar, kelat. “Akan berlaku. One day. Awak dan saya akan kahwin.”
No!” Hessa menafikan.
Zafrel senyum lagi. Hessa terlalu ambil serius akan gurauannya. Dia hanya ingin bermain-main dengan emosi Hessa. Nampaknya, Hessa memang ambil serius tentang rancangan untuk menjodohkan mereka. Dia pula, mungkin tiada halangan di pihaknya. Hessa mesti jatuh cinta dengannya.
“Okey. Tengok aje nanti. I’m telling you, our parents are not joking.”
Bibir Hessa diketap geram. Kenapalah dia mesti berjumpa dengan Zafrel yang hanya menyakitkan hati? Kenapa mesti dia dijodohkan dengan Zafrel? Ini semua akan mendatangkan stres kepadanya.
“Sebelum kita bincang lebih panjang pasal masa depan kita, apa kata kita makan dulu. Okey?”
“Masa depan? Huh...” Hessa berpeluk tubuh dengan senyum angkuh.
           
“TERIMA kasih sebab sudi teman saya,” ucap Zafrel ketika beriringan dengan Hessa ke parkir depan restoran.
Kereta Hessa pula bertentangan dengan parkir Zafrel. Dia keluarkan kunci sambil memandang lelaki itu.
“Terpaksa teman. Bukan sudi.” Hessa perbetul kenyataan Zafrel.
“Kalau tak sudi, takkanlah awak datang, kan?”
Hessa hanya menggeleng. “Terpaksa dan sudi tu dua situasi yang berbeza.”
“Bagi saya tak ada bezanya. Antara sudi dan terpaksa tu, awak tetap datang jumpa saya. Mungkin kita kena lebih mesra sebelum kita kahwin.”
“Apa awak merepek ni, Zaf? Awak cakap macamlah kita ni memang akan kahwin.”
“Kita tengok aje nanti.”
“Suka hati awaklah. Saya pergi dulu.” Hessa ingin melintas untuk ke parkir kereta.
“Jumpa lagi!”
Sebolehnya Hessa tak mahu lagi berjumpa dengan Zafrel. Sejak bila sikap Zafrel begitu menjengkelkan?
Ketika Hessa ingin ke arah keretanya, dia menoleh kiri dan kanan memandangkan laluan di kawasan itu sehala. Setelah pasti, dia melintas. Dengan tiba-tiba saja sebuah kereta muncul dan menuju ke arahnya.
“Hessa!” Zafrel menjerit dan dengan pantas bertindak menarik baju Hessa.
Kerana gagal mencengkam dengan erat, tubuh Hessa tercampak ke arah kereta di sebelah kereta Zafrel. Zafrel menerpa ke arah Hessa yang kaku di sisi kereta itu.
“Hessa? Awak okey?” soal Zafrel cemas.
Hessa memandang Zafrel yang sedang memegang kejap kedua-dua bahunya. Namun, pandangannya berbalam-balam. Seluruh tubuhnya terasa dingin dan kakinya tak mampu lagi menampung tubuhnya.
“Hessa?” Zafrel panik apabila Hessa tak sedarkan diri. Dia dengan pantas mendakap tubuh Hessa sebelum rebah. Haisy, terpeluklah pulak. Belum jadi bini lagi, desis hatinya.
Zafrel betul-betul cemas. Pintu keretanya dibuka memandangkan tak berkunci. Dia mencempung tubuh Hessa dan baringkan di tempat duduk belakang. Nafasnya sedikit mengah apabila terpaksa mengangkat tubuh Hessa.
“Badan kecil, tapi berat,” gumamnya perlahan. Kunci kereta Hessa di atas tar diambil.

ZAFREL mengetuk-ngetuk jari pada stereng. Sesekali dia berpaling ke tempat duduk belakang. Hessa masih lagi kaku mengiring. Tiada tanda-tanda akan sedarkan diri walaupun sudah setengah jam berlalu. Mungkin Hessa pengsan kerana terkejut. Sekarang, Zafrel buntu.
Dalam resah, dia berharap agar Hessa sedar secepat mungkin. Untuk mengisi kesunyian, Zafrel mainkan lagu daripada pemain MP3nya.
           
If you’re not the one then why does my soul feel glad today?
           
Lagu ini... Sudah lama Zafrel tak mendengar koleksi lagu-lagunya. Zafrel hayati bait-bait itu. Layan dengan penuh perasaan.

Ill never knew what the future brings
But I know youre here with me now
Well make it through
And I hope you are the one I share my life with

Adakah Hessa gadis yang akan berkongsi hidup dengannya? Perlahan Zafrel menoleh lagi ke belakang. Badan Hessa bergerak-gerak. Pantas dia mencari butang untuk matikan lagu. Apabila dia berpaling semula, Hessa cuba bangun.
“Awak dah sedar?”
Hessa menyandarkan tubuhnya. Dia memegang kepalanya yang pening. Apabila dia fokuskan matanya, dia ternampak Zafrel. Terus dia panik dan memandang kiri dan kanan.
“Awak dalam kereta saya. Baguslah awak dah sedar.”
Hessa jadi bingung kenapa dia berada dalam kereta Zafrel sekarang. Sejenak, dia mengimbas kembali kejadian sebelum dia tak sedarkan diri. Oh ya, dia nyaris dilanggar dan Zafrel menariknya. Kemudian pandangannya kabur dan dia pengsan.
“Awak... selamatkan saya tadi?”
Zafrel jongket bahu. Kalau bukan dia, siapa lagi yang ada di situ?
“Saya hantar awak balik. Okey?”
“Tak apa. Saya ada hal. Saya boleh drive. Saya dah okey,” kata Hessa apabila teringatkan tujuan asalnya untuk ke Rumah Kirana.
Big NO! Awak belum okey. Macam mana awak nak drive dalam keadaan sekarang? Saya hantar awak balik. Kereta awak tu saya hantar petang ni.”
Hessa hanya memandang kosong ke wajah Zafrel. Memang dia tak berdaya untuk memandu sekarang. Dia masih rasa terkejut dengan kejadian tadi. Nak tak nak, Hessa terpaksa akur dengan keputusan Zafrel untuk menghantarnya balik.

PUAN HAJAR terpempan apabila Zafrel beritahu yang Hessa nyaris dilanggar sebuah kereta. Patutlah Hessa balik bersama Zafrel. Dia amat berterima kasih kepada Zafrel yang telah menolong Hessa. Dia yakin, Zafrel mampu menjaga anaknya.
Zafrel terpaksa minta diri kerana dia perlu ke restoran tadi untuk mengambil kereta Hessa. Untuk urusan itu, dia terpaksa meminta bantuan Johan. Jadi, dia akan menjemput Johan di pejabatnya dahulu.
Dalam perjalanan, Zafrel asyik memikirkan tentang Hessa. Kejadian tadi seolah-olah meninggalkan kesan dalam jiwanya. Dia merancang untuk buat Hessa menyesal mengahwininya. Tetapi, satu perasaan aneh mula terbit. Rancangan itu terpaksa dia batalkan. Rancangan baru perlu diatur.

HUJAN turun malam itu. Tak begitu lebat, tetapi cukuplah untuk membasahi bumi. Zafrel beredar dari balkoni dan menarik pintu gelangsar untuk ditutup. Saat kaki melangkah masuk ke bilik tidur, dia teringatkan Hessa. Bagaimana keadaan gadis itu sekarang?
Apabila Hessa nyaris dilanggar, dia benar-benar panik. Mujurlah dia berada berhampiran untuk menyelamatkan Hessa. Kalau tidak, entah apa akan terjadi. iPhone yang terletak di atas katil digamit. Dia menghubungi Hessa untuk bertanyakan khabar. Dia harap panggilannya tak mengganggu gadis itu meskipun sudah malam.
“Hessa, awak okey ke?”
“Saya okey. Kenapa?” Suara Hessa di sana kedengaran lemah.
“Betul awak dah okey? Saya betul-betul risaukan awak tadi.”
“Terima kasih sebab dah selamatkan saya. But, you’re not my knight in shining armor! Never!” Suara Hessa tak setegang kebiasaannya, tetapi masih kedengaran tegas.
Zafrel senyum senget. Sekurang-kurangnya dia memang sudah menjadi penyelamat kepada Hessa. Ucapan terima kasih yang lahir dari bibir Hessa kali ini nampaknya memang ikhlas.
“Dengar awak ucap terima kasih pun dah cukup. Lagipun, dalam keadaan sekarang, saya tahu awak susah nak ucap terima masih. Mungkin lepas ni awak akan lebih berterima kasih dengan saya.”
“Okeylah, Zaf. Saya akan ucap terima kasih lagi kalau awak letak telefon sekarang. Saya mengantuklah.”
“Hmm. Seronoknya kalau tidur dan ada orang yang peluk. Dahlah hujan sekarang. Sejuk. Rasa tak sabar pulak nak kahwin.”
“Eii! Gatalnya awak ni. Dahlah. Jangan cakap benda-benda macam ni dengan saya lagi. Saya tak suka.”
Zafrel pecah tawa. Sengaja dia mengusik Hessa dengan kata-kata berbaur miang. Terus melenting gadis itu. Kalaulah dia dapat lihat mimik muka Hessa sekarang. “Okey. Saya minta maaf. Okeylah. Awak tidurlah. Nanti saya telefon lagi.”
“Suka hati awak.”
Zafrel tersenyum kecil. Dia akhiri panggilan dengan ucapan salam. Esok, dia akan telefon Hessa lagi, mengganggu hidup gadis itu perlahan-lahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan