Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 3

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

“ALONG, kau ni biar betul? Kalau ibu tahu kau datang kat tempat macam ni, mesti ibu mengamuk. Kau nak buat apa kat sini? Ini tempat orang buat maksiat tahu tak?” Hayyad sedikit berdebar-debar bila kereta alongnya berhenti di hadapan sebuah bangunan yang dihiasi dengan lampu berwarna-warna.
Dia meneguk air liur membaca perkataan yang tertulis di papan tanda itu, Tropika Night Club? Gila!
“Isy, bukan along sengaja nak datang, tapi terpaksa tahu tak? Jomlah!” Ammar membuka pintu kereta dan Hayyad ikut turun dari kereta.
Dia memerhati keadaan sekeliling yang dipenuhi dengan manusia-manusia yang tidak takut dengan kemurkaan Allah. Ada yang keluar dari kelab itu sambil berpelukan lelaki dan perempuan. Berjalan pula terhuyung-hayang. Hayyad beristighfar panjang. Lebih ngeri, bila ada juga yang tengah buat maksiat di tempat yang gelap dan tersembunyi.
“Along, kau nak masuk, kau masuklah seorang. Aku tak nak! Aku takut Allah turunkan bala. Habis sekali dengan aku kena.” Hayyad menggelengkan kepalanya. Hatinya betul-betul rasa tak sedap. Terbayang pula wajah ibunya di tirai mata.
“Bukan along saja-saja nak masuk. Tapi, along terpaksa!” jawab Ammar dengan reaksi gusar.
Ketika itu, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Lagu Micheal Jackson menyapa halwa telinga. Wajah Ammar mula berubah sebaik melihat nama pemanggil, Tan Sri Mokhtar!
“Helo, Tan Sri! Saya dah ada depan kelab ni,” jawab Ammar takut-takut.
“Saya nak awak bawa dia balik sebelum matahari naik. Faham?” Tan Sri Mokhtar menengking dari corong telefon.
Ammar menjauhkan sedikit telefon itu dari telinganya. Boleh pekak telinga kalau hari-hari kena tengking macam ni.
“Baik, Tan Sri!” Ammar angguk macam burung belatuk.
Aduh, pening betul kepalanya dengan kerenah anak majikannya itu. Dia sendiri tidak faham kenapa dia pula yang bertanggungjawab kerana perkara itu.
“Jom angah. Kita masuk.” Ammar menarik tangan Hayyad.
Sudah tiada pilihan lain melainkan mereka perlu masuk dalam kelab kelas atasan itu. Kalau ada bouncer nak tumbuk mereka, dia tidak takut sebab Hayyad ada!
Hayyad tidak sempat mengelak. Rela dalam paksa dia mengikut langkah alongnya mendekati pintu masuk. Ada tiga orang bouncer sedang berdiri di depan pintu masuk. Gerun pula Hayyad tengok tubuh mereka yang cuma kecil sedikit daripada king kong! Besar, tegap dan berketul-ketul. Siap pakai aneka perhiasan lagi. Telinga pun ada subang. Memang dahsyat ni!
“Hai, boleh kami masuk?” Ammar tersengih. Sambil itu dia memaut bahu Hayyad. Takut adiknya melarikan diri.
Ketiga-tiga orang bouncer itu memerhatikan mereka dari atas sampai bawah sebelum membukakan pintu kelab itu untuk mereka.
“Terima kasih, bro.” Ammar cuba berinteraksi dengan mereka dan mahu membuat hi-five.
Tapi, tidak mendapat balasan daripada mereka. Hayyad menahan ketawa. Lucu dengan telatah alongnya.
“Okey, kami masuk dulu. Cantik subang!” Ammar menyeringai dan terus melangkah masuk ke dalam kelab malam itu. Tangannya masih lagi memaut bahu adiknya.
Hayyad menekup telinganya dengan tapak tangan. Punyalah bising! Bau asap rokok dan bau arak membuatkan hidungnya berkerut-kerut. Keadaan dalam kelab itu sesak dengan manusia yang leka menari mengikut rentak muzik. Banyak lagi yang duduk bercampur lelaki dan perempuan sambil minum minuman yang memabukkan itu.
Hayyad pegang kepalanya. Pening dengan lampu warna-warni yang berkelip-kelip dalam kelab itu.
“Angah, kau nampak tak perempuan yang pakai baju warna merah tu?” Ammar menudingkan jari ke arah seorang gadis yang sedang duduk di sebuah meja dikelilingi dengan teman-temannya.
“Nampak,” jawab Hayyad sepatah. Suara mereka terpaksa dikuatkan untuk menyaingi bunyi muzik yang sedang dimainkan.
Matanya terus tertumpu kepada gadis itu. Dia nampak gadis itu bergelak ketawa sambil tangannya memegang gelas berisi minuman keras, mungkin.
“Sekarang ni, along nak kau pergi ajak perempuan tu keluar dari kelab ni,” ujar Ammar tiba-tiba. Hayyad menoleh ke arahnya.
“Apa hal kau ni, along? Kalau ia pun nak cari makwe boleh tak kau cari yang beriman sikit? Ini kaki kelab macam ni kau nak buat bini? Kau nak ibu kejar kau dengan parang ke?”
Ammar menampar bahu adiknya sekali. Hayyad menyeringai.
“Itu bukan girlfriend alonglah! Kalau betul dia tu girlfriend along, dah lama along jadi arwah.” Ammar menggerutu bila Hayyad tak habis-habis berspekulasi sejak tadi.
“Habis tu, kenapa kau sibuk sangat pasal dia?” Hayyad tetap tidak puas hati.
Sejak tadi, tiada satu pun soalannya dijawab oleh alongnya secara terang dan tepat. Dia sendiri tidak tahu apakah sebenarnya yang dia buat dalam kelab malam itu.
“Pergi ajelah! Along tunggu kat sini. Kalau dia tanya, kau cakap ini arahan Tan Sri Mokhtar!”
Hayyad ikut sahaja arahan abangnya. Dia menyelit di celah-celah orang ramai itu menghampiri meja gadis yang dimaksudkan oleh Ammar tadi. Keempat-empat pasang mata itu terus tertumpu kepadanya apabila dia berdiri di hadapan mereka.
Yes, handsome! Please have a seat...” Salah seorang daripada mereka menegur sambil mengengsot sedikit untuk memberi ruang kepada Hayyad.
Lelaki itu cuma tersenyum. Handsome ke aku ni? Hayyad meraba-raba pipinya. Malu pula bila ditegur begitu. Jujur, keempat-empat mereka memang cantik dan seksi!
“Tak apa, cik. Saya nak bercakap dengan...” Hayyad memandang gadis yang memakai baju merah itu. Serentak itu gadis-gadis lain mengeluh.
Yuzma and always Yuzma!” Gadis tadi memprotes sambil buat muka kelat. Tapi, dia tetap tersenyum.
“Oh, Cik Yuzma! Cik Yuzma kena ikut saya keluar sekarang.” Hayyad beranikan diri untuk menuturkan perkataan itu. Itu yang diajar oleh Ammar tadi.
“I kena ikut you keluar? Sebab apa? I tak kenal you pun,” bentak gadis itu sambil menggelengkan kepala.
“Ini arahan Tan Sri Mokhtar,” tutur Hayyad masih lagi bersopan. Itu juga diajar oleh Ammar tadi.
Yuzma mengeluh deras. Dia berpeluk tubuh. Ayahnya memang tak boleh tengok dia senang.
So, you ni bodyguard baru yang ayah I upah ke?” Yuzma senyum sinis.
Bodyguard?”
Yup!”
“Tak, cik! Bukan. Saya ni...” Hayyad teragak-agak. Keliru untuk memperkenalkan dirinya. Nak beritahu macam mana ya?
“I takkan keluar. You pergi tunggu I kat luar,” kata Yuzma selamba. Dia meneguk air dalam gelas itu.
Hayyad buat muka jijik. Eii, nama Yuzma, tapi minum air mabuk tu macam minum air kosong.
“Tak, saya kena bawa cik keluar dari sini sekarang,” balas Hayyad tegas.
Yuzma ketawa terbahak-bahak. Kawan-kawan dia juga ikut ketawa.
Hayyad buat muka pelik. Lawak sangat ke apa yang dia cakap tadi?
“You ambil duit ni. Pergi main jauh-jauh...” Yuzma mengeluarkan beberapa keping not 50 dan dihulurkan kepada Hayyad.
“Saya bukan nak duit cik. Saya nak bawa cik keluar. Kalau cik nak saya buat cara lembut, sila bangun sekarang. Kalau tidak, saya akan buat cara kasar.” Hayyad mengugut.
Yuzma Khairunnisa’ ketawa lagi sambil menekan perutnya. Dia sudah lali dengan perkara itu. Sebelum ini pun ramai yang sudah menggunakan ayat itu, tapi bila dia berikan duit terus senyap.
“Tak cukup lagi tu, Yuz. Kau tambah lagi. Berkira sangatlah kau ni.” Seorang temannya menyampuk sambil ketawa mengekek.
Yuzma mengangguk. Lantas, beberapa keping not yang sama dikeluarkan dari dompet. Tanpa bicara dia menghulurkan duit itu kepada Hayyad.
Hayyad dah kepal penumbuk. Rasa macam nak tumbuk saja muka keempat-empat gadis itu sekuat hatinya. Ingat dia peminta sedekah ke? Duit dia pun dah berkepuk dalam bank tu. Kalau bukan kerana along, jangan haraplah dia berselera nak bercakap dengan perempuan macam mereka.
“Tak nak juga ke?” Yuzma mengerutkan dahi bila lelaki itu tidak menunjukkan yang dia berminat dengan duit itu.
Hayyad keluarkan dompetnya pula. Beberapa keping not 100 dikeluarkan dari dompetnya dan diletakkan di atas tapak tangan Yuzma. “Ini duit saya. Ambil duit ni dan ikut saya keluar dari sini sekarang!”
Semua ternganga bila Hayyad bertindak begitu. Lebih-lebih lagi Yuzma. Matanya terkebil-kebil melihat not-not 100 itu.
“Okeylah, kalau cik tak nak juga saya terpaksa buat macam ni...” Hayyad terus mencempung tubuh kurus itu dan diletakkan di atas bahunya.
Yuzma yang terkejut dengan tindakan itu meronta-ronta sekuat hatinya, tapi dia terpaksa menyembunyikan wajahnya daripada dilihat oleh orang lain. Malulah kalau mereka tahu Yuzma Khairunnisa’ Binti Tan Sri Mokhtar dilakukan begitu dalam kelab.
           
Ammar agak terkejut melihat Hayyad yang membawa Yuzma dengan cara begitu. Takut Yuzma mengamuk nanti kalau tahu dia juga terlibat.
“Angah, apa hal kau pikul dia macam ni?” bisik Ammar sambil mengetap bibir.
Perbuatan itu membuatkan mereka menjadi tumpuan. Ammar tersengih-sengih kepada mereka.
“Habis, kau nak aku buat macam mana, along? Degil sangat budak ni! Takkan kau nak aku tarik telinga dia pulak?”
Ammar tepuk dahi. Kalaulah Hayyad tahu siapa Yuzma tentu dia takkan berani buat begitu kepada gadis itu. Ammar dah mula gugup. Takut untuk menghadapi Yuzma dan Tan Sri Mokhtar.
“Ni tunang saya. Pagi ni kami nak kahwin, tapi dia masih melepak kat sini. Sebab tu, saya kena bawa dia balik macam ni,” kata Hayyad kepada bouncer-bouncer yang kelihatan mahu menghalangnya.
“Betul!” tokok Ammar tersengih. Aduh, memang ohsem alasan tu, tapi sekejap sahaja lagi mesti Yuzma akan naik minyak. Matilah!
Pintu kereta dibuka dan Hayyad menghenyakkan Yuzma di tempat duduk belakang. Gadis itu meronta-ronta sambil menjerit mahu dilepaskan. Tapi, Hayyad tidak peduli. Dia masuk dan duduk di sebelah gadis itu. Inilah rupanya orang yang memberikan masalah kepada alongnya dan dia datang dari jauh semata-mata hanya untuk membawa gadis itu keluar dari kelab malam? Memang tak berbaloi.
“Kurang ajar! Kenapa you buat I macam ni, hah? You dah malukan I tahu tak? I tak nak balik! Faham tak? You pergi beritahu ayah I yang I tak nak balik!” bentak Yuzma kuat. Dia menampar bahu Hayyad yang duduk di sebelahnya.
“Itu cik beritahu sendiri. Saya tak nak masuk campur urusan cik dengan ayah cik. Sekarang ni, cik kena ikut saya balik. Dah besar panjang macam ni pun masih menyusahkan mak bapak. Ingatlah sikit cik. Kita ni orang Islam. Tak boleh masuk tempat-tempat maksiat macam ni. Setitik air mabuk tu masuk dalam badan kita, 40 hari tau amalan kita tak diterima Allah. Kesian mak bapak cik.” Hayyad memberikan tazkirah pendek tanpa dipinta.
Kepalanya digeleng-gelengkan perlahan. Dia nampak muka Yuzma berubah mendengar kata-katanya tadi.
“Eh, suka hati I lah nak pergi mana pun. You ni siapa nak ceramahkan I? You tu bodyguard aje tahu tak? Ayah I upah you untuk ikut I aje bukan ceramahkan I! Faham?” Yuzma mengherdik keras.
“Siapa yang jadi bodyguard cik pulak? Eii, simpang malaikat 44 nak jadi pengawal perempuan kaki maksiat macam cik ni.” Hayyad mencebik.
Yuzma membeliakkan matanya yang sedia besar itu. Rasa terpukul dengan kata-kata lelaki itu. “Habis tu, macam mana you boleh kenal ayah I? You sebut nama ayah I tadi, kan?”
“Itu cik kena tanya along saya. Along, kau cakap cepat siapa aku.”
Ammar meneguk air liur. Dari tadi dia mendiamkan diri dan cuba untuk tidak mahu terlibat dalam pertengkaran mereka berdua, tapi nampaknya dia terpaksa juga bersuara.
“Along? Siapa along?” Yuzma menjengah ke kerusi hadapan. Dia mengetap bibir bila ternampak lelaki yang sedang duduk di kerusi pemandu itu.
“Ammar? You buat apa kat sini? Kenapa you ikut I ? You jadi pengintip ayah I ya? Siapa lelaki ni? Kenapa dia kurang ajar sangat dengan I, hah?” Yuzma terus menarik telinga Ammar sambil mengetap bibir.
“Aduh, sakitlah Cik Yuzma! Ini arahan Tan Sri. Saya cuma ikut arahan aje. Ini adik saya, Hayyad,” jawab Ammar tergagap-gagap. Dia cuma mampu menahan sakit bila Yuzma menampar dan menumbuk bahunya berkali-kali.
“You subahat dengan ayah I ya? You tu secretary I. You kena ikut cakap I, bukan ayah I. Faham tak?” Gadis itu mengetap bibir. Geram bila tahu Ammar terlibat dalam hal itu.
“Memanglah, tapi Tan Sri yang bayar gaji saya, Cik Yuzma! Lagipun, apa yang cik buat ni salah tahu tak?”
“Pandainya you menjawab, kan? Suka hati I lah. Bukan I kacau hidup you all pun.” Yuzma mahu menampar bahu Ammar sekali lagi, tapi tak sempat bila lengannya direntap oleh Hayyad.
“Along, kau bawa aje kereta. Tak payah risau pasal perempuan ni. Kalau dia mengamuk tahulah aku nak buat apa nanti.” Hayyad senyum sinis. Tak kacau hidup orang lain konon!
Serentak itu, bulat mata Yuzma memandangnya. Satu cebikan terlihat di bibir gadis itu. Yuzma bersandar di belakang kerusi sambil berpeluk tubuh. Dia malas mahu bertekak dengan lelaki yang baru dikenalinya itu. Sampai di rumah nanti tahulah dia nak mengamuk macam mana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan