Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 1

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

LAJU Rizz Fahim mengatur langkah ke arah kedai bunga Nona Florist. Dia harus mengejar Asmidar yang sudah merajuk meninggalkannya sebaik mereka selesai makan tengah hari bersama. Sungguh, dia teramat sayangkan Asmidar kerana wanita itu adalah cinta pertamanya. Tetapi, kemahuan keluarga Asmidar mahu menjodohkan wanita itu dengan pilihan keluarga memberi tamparan hebat buatnya.
Dia yang sedang melangkah laju secara tidak sengaja melanggar tubuh seorang gadis kecil molek yang baharu keluar dari kedai bunga Nona Florist.
Gedebuk! Gadis itu betul-betul jatuh di hadapannya. Tanpa menolong gadis tersebut, Rizz Fahim memandang gadis itu dengan wajah yang bengis. Sudahlah dia tengah berserabut akan ditinggalkan kekasih hatinya, kini malang pula nasibnya apabila seorang gadis melambat-lambatkan kerjanya.
“Eh, mata tu cik ni letak kat mana? Kat lutut ke?” marah Rizz Fahim.
Che Hannah yang baru bangun daripada jatuh memandang Rizz Fahim dengan rasa terkilan. Ingatkan tadi akan terkeluar kata-kata maaf daripada lelaki itu. Sebaliknya, dia pula dimaki hamun tidak tentu pasal.
“Mata saya ke mata encik yang letak kat lutut? Dahlah langgar orang, tak reti-reti nak minta maaf?” marah Che Hannah geram.
“Ah, apa-apa ajelah!” Terus Rizz Fahim masuk ke dalam kedai bunga Nona Florist.
Che Hannah merengus geram. Berlagak betul lelaki yang melanggarnya tadi pergi begitu sahaja tanpa meminta maaf daripadanya. Kalau tidak kerana dia merantau di Kuala Lumpur ini, sudah lama dia cari gaduh dengan lelaki itu. Nasihat ibunya, Puan Zaharah, dia pegang baik-baik. Berada di tempat orang jangan pandai-pandai hendak tunjuk belang. Susah jadinya nanti. Mana hendak tahu perangai dan hati orang walaupun rambut sama hitam.
Che Hannah melangkah menuju ke kedai makan yang berada di seberang jalan. Kedai makan itu betul-betul terletak di hadapan kedai bunga Nona Florist, tempatnya bekerja.
Dua bungkus nasi putih beserta lauk ayam goreng, sayur tauge goreng dan kuah kari dipesan Hannah. Ketika menunggu makanannya siap dibungkus, sempat dia memandang lelaki yang baru keluar dari kedai bunga Nona Florist dengan sejambak bunga di tangannya. Sakit benar hatinya melihat lelaki ego itu berlalu pergi.
“Kak Hannah, dah siap. Semuanya 12.00 ringgit,” beritahu Amsyar, pembantu kedai makan itu.
Sebaik sahaja menamatkan SPM, terus Amsyar bekerja dengan ayahnya di kedai makan ini sementara mendapat mana-mana tawaran ke IPTA. Dia sudah lama kenal Che Hannah semenjak gadis ini bekerja di kedai bunga Nona Florist. Habis sahaja waktu sekolah, dia akan datang ke kedai makan keluarganya untuk makan dahulu sebelum pulang ke rumah. Che Hannah yang selalu bertegur sapa dengannya, menjadikan mereka mudah untuk berbual mesra.
“Beli ya,” kata Che Hannah seraya menghulurkan wang sebanyak RM12.00 kepada Amsyar.
“Jual kak,” balas Amsyar.
Terus Che Hannah mengatur kakinya menyeberang jalan menuju ke kedai bunga Nona Florist.
“Kak Su, tadi mamat tu beli jambangan bunga apa? Berlagak nak mampus!” Che Hannah melepaskan marahnya. Makanan yang dibelinya tadi diletakkan di atas meja di hadapan Suraya yang sedang mengubah jambangan bunga.
Segera Suraya menghentikan kerja menggubah bunga. Berkerut-kerut dahinya memandang Che Hannah.
“Mamat mana pula ni Che Hannah oi... Tiba-tiba menyinga ni kenapa?” soal Suraya yang masih tidak tahu tentang kejadian sebenar.
“Mamat yang masuk kedai kita ni tadi. Dia langgar Hannah sampai jatuh bukannya nak minta maaf. Tapi, dia marahkan Hannah pula,” cerita Che Hannah geram.
Suraya terdiam sejenak. Dia mengingati seorang lelaki tinggi yang datang membeli jambangan bunga sebentar tadi.
“Lelaki tu tinggi, berkulit cerah, pakai kemeja biru air, kan?” soal Suraya inginkan kepastian.
“Hah, lelaki tulah Kak Su. Sakit hati Hannah dibuatnya. Dia belum tahu siapa Che Hannah ni. Walaupun orang kampung, tapi Che Hannah pandai ilmu persilatan tahu? Kalau dia tu orang kampung Hannah, dah lama Hannah ganyang muka dia tu,” hambur Che Hannah.
Terkekeh-kekeh Suraya ketawa sebaik mendengar kata-kata Che Hannah. Gadis itu walaupun orangnya nampak kecil molek, tetapi garang boleh tahan.
“Kak Su suka tengok muka lelaki tadi. Dahlah handsome, tinggi, kulit wajah dia flawless. Langsung tak ada parut jerawat, lubang-lubang macam Kak Su ni. Tak puas Kak Su tatap muka dia tadi. Suara dia ya Allah, gentleman sangat. Kak Su doakan dia datang lagi ke sini beli bunga. Bolehlah Kak Su tatap muka dia puas-puas,” celoteh Suraya.
“Eee... Kak Su ni. Orang tengah panas hati kat mamat tu, Kak Su boleh pulak puji dia. Dahlah, Hannah lapar. Hannah nak makan dulu,” ujar Che Hannah.
“Yalah, jangan lama-lama sangat tahu. Akak pun lapar juga ni. Puan Ju ni ke manalah tak datang-datang lagi. Biasa waktu ni dah sampai. Kalau ada hal mesti dia telefon dulu. Ini, tak ada langsung panggilan daripada dia.” Suraya mula merungut.
Puan Juliana majikan mereka kebiasaannya akan datang pada waktu pagi untuk mengira stok bunga dan barangan lain di dalam kedainya. Selesai urusannya, wanita itu akan keluar dan akan kembali semula pada pukul 1.00 petang. Waktu itulah, dia dan Che Hannah dapat makan dan berehat bersama-sama.
Memandangkan Puan Juliana tidak muncul-muncul, terpaksa dia menyuruh Che Hannah membungkus makanan untuknya. Hari ini, terpaksa dia dan Che Hannah bergilir-gilir untuk makan.
Sebungkus nasi dicapai lalu Che Hannah melangkah ke bilik stor. Di dalam bilik itu sudah disediakan meja kecil dan dua buah kerusi untuk dia dan Suraya. Sakit hatinya terhadap lelaki tadi membuatkan dia semakin bertambah lapar.
Baru sesuap Che Hannah menyuap nasi ke dalam mulut, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama emaknya Puan Zaharah, hati Che Hannah sudah tidak tenang. Yalah, kalau tidak ada kecemasan, emaknya sesekali tidak akan menelefonnya sewaktu dia sedang bekerja. Lambat-lambat panggilan emaknya dijawab.     

PINTU bilik dihempas kasar. Rizz Fahim merebahkan tubuhnya di atas katil dengan hati yang sangat kecewa. 10 tahun dia bercinta dengan Asmidar, tiba-tiba sahaja gadis itu mahu memutuskan hubungan dengannya.
Mereka sudah lama kenal sejak di tahun pertama di Universiti Perubatan Bandung. Selama dua tahun juga dia menimba ilmu sebagai doktor pelatih (houseman officer) di Hospital Permai Johor Bahru bersama-sama Asmidar. Malah, mereka sama-sama mendapat posting di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Di mana ada Asmidar dia juga berada di situ. Begitulah juga sebaliknya. Mereka berdua seperti belangkas ke mana sahaja mereka sentiasa bersama. Namun, sejak akhir-akhir ini dia melihat perubahan dalam diri Asmidar yang seakan-akan mahu mengelak daripadanya.
Hari ini dia dan Asmidar kebetulan mendapat cuti bersama. Kesempatan itu diambil untuk bersemuka dengan buah hatinya dan dia benar-benar mahukan penerangan dari mulut Asmidar. Luluh, kecewa, sakit hatinya sebaik mendengar pengakuan Asmidar yang akan bertunang dua minggu lagi. Bila ditanya, siapa lelaki yang mahu mencuri buah hatinya, Asmidar langsung tidak mahu berbicara. Sebaliknya, Asmidar pergi meninggalkannya.
Nanar dia mencari kedai bunga yang terletak berdekatan untuk memujuk Asmidar. Kebetulan kedai makan yang disinggah bersama Asmidar tadi betul-betul berada di hadapan kedai bunga seberang jalan. Dibeli jambangan bunga ros untuk buah hatinya, namun langsung juga tidak jalan. Asmidar terus-menerus melarikan diri daripadanya.
Rizz Fahim berpanasaran. Dia sudah berjanji dengan nenek dan uminya untuk memperkenalkan Asmidar kepada mereka. Dia mahu menyunting Asmidar menjadi isterinya sebelum tiba bulan Ramadan nanti. Tetapi, impiannya itu hancur lebur tiba-tiba. Kotak fikirannya sudah tidak dapat berfikir dengan waras lagi.
Susah sangatkah Asmidar mahu menjelaskan hubungan mereka yang sudah lama terjalin kepada keluarganya?
Dia mahu bertemu dengan keluarga Asmidar untuk memberitahu hubungan mereka yang sudah lama terjalin. Namun, Asmidar berkeras melarangnya untuk bertemu dengan kedua-dua orang tuanya. Kesabarannya itu sudah tidak dapat ditepis lagi apabila ibu dan neneknya sudah sibuk bertanyakan soal jodoh kepadanya.
Dia sudah mencecah angka 30 tahun, tentulah mahu membina keluarga sendiri. Namun, apabila dia sudah meluahkan kemahuannya, Asmidar pula sudah memusnahkan impiannya. Ah, hatinya benar-benar sakit.
iPhone yang berada di dalam saku seluar berbunyi lantas menerbangkan ingatannya terhadap Asmidar. Segera iPhone yang berada di dalam saku seluar diseluknya. Tertera nombor telefon ibunya, Puan Mahana, dari kampung membuatkan dia malas untuk menjawab panggilan itu. Akhirnya panggilan itu dibiarkan sahaja sehingga tidak berbunyi lagi di telinganya. Tetapi, apabila sekali lagi Puan Mahana menelefonnya, terus sahaja dia bangkit dan mencapai iPhonenya kembali.
“Assalamualaikum. Anak umi sihat?” sapa Puan Mahana ditalian.
“Waalaikumussalam, umi. Alhamdulillah sihat. Abah dengan nenek sihat?” tanya Rizz Fahim pula.
“Alhamdulillah mereka berdua semuanya sihat dan baik. Awal bulan depan, Rizz jadi kan balik kampung bawa bakal menantu untuk kenalkan kepada umi?”
“Err... tengok dululah macam mana umi. Tak pasti jadi ke tak Rizz balik. Takut hari tu Rizz terpaksa on call, bimbang tak ramai doktor kat wad.” Rizz Fahim memberi alasan.
“Eh, hari tu cakap Rizz boleh balik? Rizz aturlah jadual on call dengan kawan-kawan Rizz tu. Kan boleh tukar suka sama suka. Alah, satu hari aje pun.” Kedengaran Puan Mahana mengharap.
Rizz Fahim terdiam. Alasannya itu pasti tidak diterima oleh uminya. Yalah, umi dan abahnya, Encik Iswadi, juga seorang doktor. Cuma umi sudah tidak lagi bekerja di hospital kerajaan setelah mengambil jalan untuk membuka klinik sendiri semenjak 15 tahun yang lalu.
Jadual on call boleh tukar suka sama suka dengan rakan doktornya jika dia mempunyai hal lain. Tentulah umi tahu tentang semua itu. Alasan apa yang dia mahu berikan kepada keluarganya? Lebih-lebih lagi neneknya. Ah, dia sudah kalut.
“Rizz, jangan lupa bawa bakal cucu menantu nenek pulang.”/span>
Kedengaran suara neneknya membuatkan Rizz Fahim menggelabah. Itu belum nenek ada di hadapan mata. Kalau nenek sedang berada di hadapannya, boleh beku seluruh tubuhnya. Aura suara nenek pun sudah boleh buat dia tumbang dan terasa hidupnya berada di hujung tanduk. Oh, nenek.
Suaranya dikawal agar nenek tidak mengesyaki dengan keadaannya yang tengah putus cinta.
“Okey nenek. Hujung minggu Rizz bawa bakal cucu menantu nenek!” Yakin dan laju ayat itu menutur di bibir Rizz Fahim. Esok dia akan cuba memujuk Asmidar kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan