Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 4

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

“CEPATLAH, Hannah! Akak tak nak terlambat nanti,” jerit Suraya di hadapan pintu bilik Che Hannah.
“Sabarlah, Kak Su. Lambat sikit Hannah iron tudung tadi,” balas Che Hannah sebaik sahaja pintu bilik dibuka.
“Kan akak dah cakap iron malam tadi. Hari minggu macam ni ramai orang outing tahu. Sesak macam sardinlah kita dalam Komuter nanti kalau lambat. Dah pukul 7.30 ni. Program tu pukul 9.00 pagi. Sampai sana nanti nak kena cari teksi lagi.” Suraya sudah membebel.
Che Hannah sudah membuat muncung sedepa.
“Kalau macam tu kita tak payah pergilah. Hari cuti macam ni tidur lagi best,” balas Che Hannah.
Kedai bunga Nona Florist memberikan cuti kepada pekerjanya setiap hari Ahad. Dan setiap hari Ahad kedai itu akan dijaga sendiri oleh Puan Juliana. Cuma waktu operasinya bermula pada pukul 11.00 pagi berbanding hari lain yang bermula pada pukul 9.00 pagi.
“Eh, jangan. Hannah dah janji nak temankan Kak Su, kan?”
“Ya ke? Bukan sebab Kak Su paksa Hannah ke?” ujar Che Hannah sambil mencebik.
“Yalah...” Akhirnya Suraya mengalah.
Terus mereka berdua melangkah turun untuk ke stesen Komuter yang tidak jauh dari tempat tinggal mereka.
“Kak Su betul-betul ke nak cari jodoh ni?” soal Che Hannah apabila mereka berdua sedang menunggu Komuter yang akan tiba tidak lama lagi.
“Yalah! Ingat Kak Su main-main ke?”
“Gatal jugak Kak Su eh?” usik Che Hannah.
“Isy, Hannah ni. Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh hukum syarak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci maka sesungguhnya ia bukan daripada golonganku. Diriwayatkan daripada Ibnu Majah,” jelas Suraya.
Melopong Che Hannah memandang Suraya yang pandai berkata-kata.
“Wah, hebatlah Kak Su ni. Macam ustazah,” puji Che Hannah. Ibu jarinya diangkat kepada Suraya.
“Alah, akak tahu pun sebab selalu Google bab-bab kahwin ni. Hah, sekarang ni Hannah ada perasaan nak kahwin tak? Kahwin muda-muda bagus. Cepat dapat timang baby.” Sengaja Suraya menyakat Che Hannah.
Che Hannah mencebik. “Hannah muda lagilah. Hannah nak buktikan kepada mak yang Hannah boleh berjaya.”
“Habis macam mana dengan Suhaimi? Kalau mak Hannah paksa macam mana?” soal Suraya. Dia ingin tahu keputusan Che Hannah.
Che Hannah terdiam. Kata-kata Suraya mula membuatkan hatinya murung. Bagaimana dia mahu menolak kemahuan emaknya itu?

SURAYA mula membebel apabila Che Hannah mula hendak ke tandas sebaik sahaja mereka selesai mendaftar masuk. Sudahlah mereka mendapat tempat di belakang dan program akan dimulakan tidak lama lagi.
“Hannah, cepatlah sikit. Jangan lama sangat tahu!” jerit Suraya yang berada di luar.
Che Hannah yang berada di dalam tandas cepat-cepat keluar. Ketika membasuh tangan di singki sempat dia memuncung sedepa ke arah Suraya. Che Hannah yang hendak cepat keluar dari tandas wanita secara tidak sengaja melanggar seorang lelaki yang baru keluar dari tandas lelaki di sebelah. Kedua-duanya jatuh ke tanah.
Che Hannah meraba punggungnya yang sakit terhempap. Dia memandang lelaki yang jatuh di hadapannya.
“Awak?” soal mereka serentak.
“Apalah malang nasib aku ni? Asal jumpa awak mesti terlanggar. Mata letak kat lutut ke?” hambur Rizz Fahim geram.
“Helo, cakap tu baik sikit ya. Siapa yang langgar siapa?” marah Che Hannah.
Suraya sudah mendekati Che Hannah untuk meleraikan pergaduhan mereka.
“Saya baru keluar dari tandas, terus cik langgar saya, kan?” Rizz Fahim tidak mahu mengalah.
“Saya pun baru keluar dari tandas tadi. Mana saya nak nampak awak yang baru keluar tandas jugak?” kata Che Hannah lagi.
“Orang kecik cinonet aje, tapi suka menjawab,” balas Rizz Fahim.
“Awak gelar saya apa?”
“Hannah, dahlah tu. Malu nanti orang tengok.” Suraya sudah menarik tangan Che Hannah untuk pergi. Namun, dia terhenti sebaik memandang Rizz Fahim.
“Eh, encik yang datang kedai bunga hari tu kan? Kenal saya?” soal Suraya kepada Rizz Fahim.
Seketika Rizz Fahim memandang Suraya. Kemudian dia mengangguk. “Pekerja kedai bunga Nona Florist?”
Lantas Suraya mengangguk tersenyum.
“Maafkan kawan saya ni. Dia tak sengaja terlanggar encik,” kata Suraya.
“Eh, Kak Su buat apa nak minta maaf dengan dia? Dia pun tak minta maaf dengan Hannah,” kata Che Hannah geram. Melihat senyum sinis Rizz Fahim hatinya semakin sakit.
“Assalamualaikum...” Suara seseorang memberi salam membuatkan ketiga-tiganya berpaling.
“Waalaikumussalam,” jawab mereka bertiga hampir serentak.
Ustaz Hanafi tersenyum kepada mereka bertiga. Dia yang kebetulan lalu di sini tadi terdengar kekecohan segera menyinggah di sini.
“Peserta program hari ni?” soal Ustaz Hanafi.
“Ya, ustaz,” jawab Rizz Fahim memandang lelaki yang berkopiah putih.
“Apa yang kecoh tadi?” soal Ustaz Hanafi lagi.
“Dia ni ustaz. Langgar saya tak minta maaf, saya pula yang kena marah,” jelas Che Hannah.
Mencerlung Rizz Fahim ke arah Che Hannah sebaik mendengar kata-kata gadis itu.
“Helo, saudari, jangan temberang ya. Cik yang langgar saya dulu,” kata Rizz Fahim tidak mahu mengalah.
“Eleh, encik tu yang tak nak mengaku!” hambur Che Hannah. Mendidih darahnya dengan tuduhan Rizz Fahim.
“Astaghfirullah al-azim... Tak baik bergaduh macam ni. Malu orang tengok. Kita datang sini nak dengar perkara yang baik. Buat perkara yang disukai oleh Allah. Tak malu ke kalau orang tengok perangai kita macam ni?” tegur Ustaz Hanafi.
Lidah Rizz Fahim dan Che Hannah terus kelu untuk berbicara. Merah wajah mereka menahan malu dengan kata-kata Ustaz Hanafi.
“Kan elok kalau kita saling bermaaf-maafan,” tokok Ustaz Hanafi lagi sambil tersenyum.
“Ermm, saya minta maaf.” Kendur suara Rizz Fahim. Pandangannya dikalihkan ke arah Che Hannah.
“Sama-sama. Saya pun minta maaf jugak!” kata Che Hannah.
Walaupun hatinya masih sakit dengan bicara Rizz Fahim tadi, ditahan sahaja perasaannya itu. Malu juga dirinya apabila ditegur oleh seorang ustaz tentang kelakuannya tadi.
“Ha... macam tulah. Bermaaf-maafan tu kan lebih elok. Tak baik gaduh-gaduh. Kita datang sini nak mendengar pengisian tentang jodoh. Program tak bermula lagi dah nak gaduh-gaduh. Hah, program dah nak bermula tu. Pergi masuk dewan. Manalah tahu lepas bergaduh, dengar ceramah, terus jatuh hati.” Tersenyum-senyum Ustaz Hanafi berjenaka.
Tersenyum kelat Che Hannah mendengar kata-kata ustaz berkopiah putih itu. Segera tangannya menarik Suraya untuk masuk ke dewan.
Rizz Fahim menjongketkan bahunya memandang Che Hannah dan Suraya berlalu pergi bersama-sama Ustaz Hanafi. Kemudian langkahnya turut diatur menuju ke dewan.

“ALHAMDULILLAH. Saya tak menjangka hari ini ramai ahli-ahli kita yang datang ke pengisian tentang jodoh hari ini. Kepada ahli yang baru mendaftar, saya ucap terima kasih banyak-banyak. Syukur saya tak terkata dan saya ucapkan selamat datang. Yang Adam datang ke sini mesti mahu mencari Hawanya dan begitulah sebaliknya.
“Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin wanita itu memburukkan hidup. Janganlah mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi, kahwinlah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik. Diriwayatkan oleh Ibn Majah.”
Sekilas Rizz Fahim memandang Che Hannah yang duduk di kelompok wanita. Dalam masa yang sama gadis itu turut berpaling ke arahnya. Cepat-cepat mereka memandang ke hadapan dan mendengar pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Hishamudin kembali.
“Perkahwinan ini bukan sekadar suka-suka atau melepaskan nafsu semata-mata. Antara tujuan sesebuah perkahwinan ialah kerana mengikut sunnah nabi. Menjaga pandangan dan memulihara kehormatan diri. Melalui perkahwinan juga dapat melahirkan anak-anak yang soleh, membentuk keluarga dan rumah tangga Muslim. Menghiburkan hati bersama pasangan kita, dapat mengukuhkan silaturahim antara dua buah keluarga dan memenuhi tuntutan naluri dan biologi.”
Sekali lagi pandangan Rizz Fahim terarah ke arah Che Hannah yang khusyuk mendengar. Terasa sejuk pandangannya memandang wajah Che Hannah. Argh, kenapa pula dengan dia ni? Takkan dah jatuh hati kut?
Cepat-cepat Rizz Fahim memandang Ustaz Hishamudin yang sedang bercakap di hadapan.

Selesai pengisian yang diberikan oleh Ustaz Hishamudin dan Ustazah Mariam, peserta diberi rehat selama satu jam untuk menunaikan solat zohor dan makan.
Che Hannah dan Suraya berlalu ke surau untuk menunaikan solat zohor dahulu. Mereka akan mengisi perut mereka selepas solat nanti supaya mereka tidak kalut hendak masuk ke dewan nanti. Selesai menunaikan kewajipan, mereka berdua ke tempat hidangan yang disediakan di luar dewan. Bihun goreng yang masih berbaki sedikit dan karipap diambil.
“Nasib ada lagi makanan untuk kita,” kata Suraya lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Che Hannah.
“Biasalah tu Kak Su. Mana-mana tempat pun, makanan yang habis dulu,” seloroh Che Hannah lalu menyuap bihun goreng ke dalam mulutnya.
Best jugak kan dapat dengar pengisian tentang jodoh, pasal kahwin. Sama macam akak pergi kursus kahwin dulu,” seloroh Suraya.
“Oh, kursus kahwin pun macam ni jugak ke kak? Awal-awal tu okeylah, lama-lama rasa berat mata Hannah ni. Rasa macam nak tidur aje. Kalau yang bercakap kat depan tu ustaz handsome, lawak-lawak sikit, mesti segar biji mata ni,” tokok Che Hannah.
“Eh, budak ni... Kak Su punyalah syok habis dengar bab-bab jodoh dan kahwin ni. Dia boleh pulak rasa mengantuk?”
Che Hannah tergelak kecil mendengar kata-kata Suraya. “Okey, Hannah doakan semoga lepas habis pengisian ni Kak Su akan dapat jodoh. Peserta lelaki yang datang ni semua solo, Kak Su pilihlah yang mana satu Kak Su nak.”
Melihat Suraya yang sudah mencerlung kepadanya, Che Hannah ketawa kecil. Lucu pula dia melihat Suraya yang kemaruk mahu berkahwin.
“Maaf. Makanan kat sini ada lagi tak? Tempat lelaki dah habis.”
Suara seseorang yang bertanya dari arah belakang membuatkan mereka berpaling. Pandangan mata Che Hannah bertemu dengan mata lelaki yang bergaduh dengannya pagi tadi. Cepat-cepat Che Hannah berpaling ke hadapan. Biarlah Suraya saja yang berbicara dengan lelaki itu. Entah kenapa dia terasa sakit hati sangat untuk bertentang mata dengan Rizz Fahim.
“Eh, ada lagi sikit. Encik pun baru nak makan ya?” Suraya mula beramah mesra dengan Rizz Fahim.
Che Hannah menjeling ke arah Suraya. Geram pula dia dengan sikap Suraya yang mahu berbaik-baik dengan lelaki yang suka mencari gaduh dengannya. Beritahu sajalah makanan masih ada. Tak payahlah hendak sibuk-sibuk bertanya lelaki itu baru hendak makan atau tidak.
“Ya, saya pergi solat dulu tadi,” balas Rizz Fahim lalu berlalu menuju ke meja yang masih ada sedikit makanan yang berbaki.
“Samalah. Kami pun solat dulu tadi,” laung Suraya agar didengar oleh Rizz Fahim yang sedang mencedok bihun goreng ke dalam pinggan polistirena.
Che Hannah mencubit paha Suraya sehingga gadis itu menjerit kecil. Geram betul dia dengan perangai Suraya yang cuba mahu bermesra dengan musuhnya. Nak beramah dengan mamat tu pun janganlah di hadapannya. Buat hatinya semakin sakit saja!
Rizz Fahim berpaling dan tersenyum ke arah Suraya. Sempat dia melihat Che Hannah mencubit paha Suraya tadi. Terbit senyuman nakal di bibirnya.
“Encik datang sini pun nak cari jodoh juga ke?”
Terbelahak Che Hannah yang sedang mengunyah makanannya. Cepat-cepat air yang diambil tadi dicapai. Aduh, Kak Su, janganlah jadi perigi cari timba pula. Jangan nak menggatal boleh tak Kak Su? kata Che Hannah dalam hati.
Rizz Fahim hanya tersenyum mendengar pertanyaan Suraya. Kemudian dia berlalu ke tempat hidangan lelaki.
“Kak Su dah jatuh hati dengan mamat tu ke?” soal Che Hannah geram dengan reaksi Suraya tadi.
“Amboi, bukan main lagi Kak Su menggedik ya?” ejek Che Hannah.
“Alah, Kak Su tegur aje. Kalau dia jodoh Kak Su, akak takkan tolak. Dia tu handsome tahu,” balas Suraya.
Che Hannah membuat muka meluat. Sabar sajalah dia dengan Suraya.
“Makanlah cepat Kak Su. Ada 10 minit aje lagi ni. Dari tadi asyik berangan, makanan pun tak luak,” perli Che Hannah.
Suraya tersengih. Cepat-cepat dia menghabiskan makanannya sebaik sahaja melihat Che Hannah sudah bangun untuk membasuh tangan.

“SAYA nak tanya lelaki, senang tak nak jadi imam?” soal Ustaz Lutfi. Ustaz yang ditugaskan untuk memberi pengisian pada petang ini.
“Senang...” Kedengaran suara peserta lelaki menjawab kuat.
Kali ini nampaknya mata Che Hannah sedikit segar kerana Ustaz Lutfi kali ini lebih aktif dan kelakar. Tidaklah dia merasa mengantuk ketika pengisian pagi tadi.
“Alhamdulillah... Sejuk hati saya dengar. Jangan mulut aje cakap senang. Hari ini bila ustaz tanya, semua jawab senang, okey... Bila tiba masa, kahwin dua tiga bulan nak bercerai. Bila ustaz tanya kenapa nak bercerai? Jawab si suami, ustaz, hari-hari bini memuncung dengan saya. Saya ni kerjanya suka overtime. Nak cari duit lebih sebab isteri saya makan banyak. Balik kerja lewat malam, badan saya dah letih. Saya cuti pun hari Ahad aje. Hari Ahad saya solat berjemaah dengan isteri. Dan setiap hari Ahad ajelah saya boleh tidur berjemaah dengan isteri saya.
“Malam Isnin dan malam Jumaat saya tak boleh nak tidur berjemaah dengan isteri. Saya balik dah pukul 12.00 malam. Bila kejutkan isteri nak tidur berjemaah sama-sama, isteri sudah naik marah. Merajuk dengan saya. Sebab penat tunggu saya sampai tertidur. Patutlah isteri hang naik marah. Dia dah pakai cantik-cantik nak tidur dengan laki, tunggu laki sampai tertidur, mood menggodanya dah hilang. Hang pun bye-byelah...”
Bergema suara peserta ketawa.
Terhinggut-hinggut badan Che Hannah menahan tawanya. Suraya di sebelahnya juga turut ketawa sakan. Che Hannah berpaling ke arah peserta lelaki yang masih ketawa kuat. Pandangannya benar-benar jatuh ke arah Rizz Fahim yang sedang ketawa. Panahan mata lelaki itu tepat memandang wajahnya. Cepat-cepat Che Hannah berpaling ke hadapan. Tiba-tiba dia terasa tidak selesa dengan pandangan mata lelaki itu.
“Hangpa ketawa, ketawa jugak. Dah jadi laki orang nanti, hangpa kena tanggung dosa isteri. Jadi suami ni bukan jadi suami atas katil aje. Tapi, jadi suami ni kena bimbing isteri ke arah jalan yang benar. Suami kena didik isteri jadi isteri yang solehah dan taat kepada perintah Allah. Okey, ustaz tahu kalian semua datang sini semua masih solo, kan? Masing-masing nak cari jodoh yang baik, nak rasa ada keluarga sendiri. Bagus. Ustaz tabik kamu semua. Tapi... nak cari pasangan carilah pasangan yang benar-benar mahu membina rumah tangga. Bukan hanya nafsu semata-mata. Jangan kerana disebabkan perempuan tu cantik, kamu mahu kahwin dengan dia.
“Sabda Rasulullah SAW, dikahwini wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana cantiknya dan kerana agamanya. Maka nikahlah dengan wanita yang beragama nescaya engkau beruntung. Riwayat daripada Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Lelaki-lelaki kat depan saya ni lepas kahwin dengan isteri, cantikkanlah isteri kamu tu. Cantikkan dia di dalam rumah kamu. Bila kamu balik kerja dalam keadaan penat, bila tengok isteri cantik sambut kamu, hilang rasa penat. Tapi, janganlah terus ajak masuk bilik. Isteri hangpa dah cantik hangpa pulak yang berbau. Mana bini nak ada feel.”
Berdekah-dekah suara peserta pengisian mencari jodoh ketawa.
Che Hannah yang tersengih-sengih mencuri pandang peserta lelaki yang sedang ketawa kuat. Sekali lagi pandangannya tersilap sasar ke arah Rizz Fahim yang sedang tersengih ke arahnya. Hati Che Hannah mula tidak keruan.
“Ini tidak dua tiga bulan kahwin, suami balik kerja tengok isteri, rambut menggerbang, berkemban dengan kain batik. Dah tahu bini tu tak ada baju cantik, belilah baju yang cantik-cantik untuk isteri hang. Kalau mulut isteri busuk, gunalah Sensodyne untuk bagi mulut isteri wangi.”
Suraya dan Che Hannah menghamburkan ketawanya.
Ustaz Lutfi juga turut tersengih di hadapan dengan kata-katanya.
Selesai program itu tepat pukul 5.00 petang, sekali lagi peserta dijamu makanan ringan sebelum pulang. Cepat-cepat Che Hannah dan Suraya mengambil makanan mereka kerana mahu mencari teksi pula untuk ke stesen Komuter.
“Dah nak pulang?” Satu suara menegur membuatkan Che Hannah dan Suraya berpaling.
Tercengang Che Hannah memandang sekujur tubuh tegap yang berada di hadapan mereka.
“Kami dah nak balik. Encik nak balik juga ke?” soal Suraya ramah.
Lantas bahu Suraya dicubit halus oleh Che Hannah. Terjerit halus Suraya dibuatnya.
“Tak payah nak menggatallah Kak Su. Jom balik!” Lantas tangan Suraya ditarik oleh Che Hannah untuk berlalu dari situ.
Rizz Fahim yang memandang Che Hannah dan Suraya yang berlalu pergi hanya tersenyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan