Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 4

ANGIN dua per tiga petang menyapa ke wajah. Permukaan air kolam yang biru lagi jernih ditatap dari tempat duduknya. Mungkin dia mampu berusaha untuk tampak tenang seperti air kolam itu. Namun, apa yang tersembunyi jauh di dasar tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Gelisah akibat masa lalu yang dibangkitkan oleh Emir Farith benar-benar mengganggu jiwa dan fikiran.

“Ni apasal? Muka monyok macam belacan ni?” tegur Qhayrul sambil tangan kanannya berlabuh ke kepala Irdina Wira.
Qhayrul mengusap kasar rambut gadis tersebut dan menyebabkan helaian yang tersisir kemas menjadi tidak terurus.
Jiwa yang melayang lantas kembali semula ke jasad. Irdina Wira menarik muka masam. “Abang Qhayrul ni... rosaklah rambut Ird.”
“Alah, tak luak pun rambut kau tu. Emo tak sudahlah kau ni. Kenapa? Datang bulan?”
“Tak ada apa-apalah,” ujar gadis itu sambil membetulkan kemasan rambutnya.
“Muka dah tarik masam macam cencaluk, masih nak menipu dengan abang kau ni?” soal Qhayrul lagi.
Tali apron yang melilit pinggang dileraikan. Dia meletakkan kain itu ke bahu lalu mengambil tempat bersebelahan adiknya. Qhayrul sedang menikmati waktu rehat. Dia baru sahaja selesai melakukan tugasnya sebagai pembantu kepada ketua cef di dapur restoran peninggalan Idrus Wira.
“Tahulah abang tu tukang masak kat Restoran Warisan Wira ni. Bandingkan muka Ird macam belacan dengan cencaluk pula.”
“Habis tu, dah dua tiga hari abang tengok muka kau macam ni. Nak kata hari cerah macam mendung. Tak habis lagi kecil hati dengan Abang Isyraf pasal klien Megah Holdings tu ke?”
Irdina Wira tidak membalas. Dia membuang pandangan semula ke permukaan kolam.
“Biasalah Abang Isyraf tu. Kalau pasal kerja, dia tak fikir darah merah yang mengalir kat badan tu sama pekat ke tak dengan darah dia. Dia layan sama aje dengan staf yang lain. Kau pun satu, pergi siram air kat muka wakil Megah Holdings tu sampai dua kali dah kenapa?”
“Mulut dia tulah yang buat Ird tak boleh sabar.”
“Jadinya, sekarang ni, kerana mulut dia, kau yang jadi mangsa? Apa yang dia cakap kat kau?”
“Ird malas nak cerita. Ird tak ada apa-apalah. Penat kerja aje.”
“Hakikatnya kita memang dah jadi adik-beradik seibu sejak lahir, tapi abang baru empat tahun jadi abang kau. Walaupun empat tahun, abang tahu ada yang tak kena. Apa yang budak lelaki tu cakap sampai kau naik angin ni? Apa yang mengganggu fikiran kau?”
Sekali lagi gadis memakai kemeja dan berkot itu mendiamkan diri. Dia menghela nafas. Apa yang mengganggu fikiran ialah Emir Farith mengingatkan kembali akan masa lalunya. Memang benar, dulu dia liar. Kekurangan kasih sayang daripada keluarga menjadi punca dan alasan mengapa dia memilih untuk hidup dengan cara begitu semasa di Perth.
Setelah kematian ayahnya, dia memilih jalan untuk terus pulang ke Malaysia. Kepulangan empat tahun yang lalu bukan sekadar untuk menjernihkan hubungannya dan Isyraf, malah lebih tepat lagi, dia mahu mengubah laluan hidupnya. Namun, tiada siapa menyangka yang Qhayrul Wira Azreen muncul secara tiba-tiba dan mengubah kehidupan keluarga Idrus Wira.
Dia bimbang jika ada ahli keluarganya yang mengetahui akan hal tersebut, lebih-lebih lagi Isyraf. Setelah sekian lama menunggu, baru empat tahun kebelakangan ini hubungan adik-beradik yang renggang sejak lahir beransur baik.
“Ird...” panggil Qhayrul.
“Agaknya... macam nilah perasaan abang bila Ird pandang abang dengan pandangan empat tahun lepas, kan?”
“Perasaan apa yang kau maksudkan ni?”
“Yalah, Abang Isyraf dengan Ird pandang Abang Qhayrul dengan pandangan sinis sebab sejarah hidup Abang Qhayrul. Masa tu Ird tahu yang abang ni mat rempit, budak tak tentu hala yang nak masuk keluarga Idrus Wira. Ird mula-mula kenal Abang Qhayrul sebab sifat buruk abang. Macam mana abang handle semua tu? Lebih-lebih lagi bila Ird dengan Abang Isyraf sebut yang abang ni anak luar nikah, anak tak sah taraf.”
“Abang sedar sejak kecil lagi siapa abang. Abang tak macam orang lain yang lahir aje kat dunia mampu berbinkan ayah sendiri. Abang dah biasa.”
“Macam mana abang boleh hadap semua sejarah silam tu? Macam mana abang boleh terima aje pandangan serong orang kat abang?”
“Pilihan apa yang abang ada? Abang kena terima kenyataan pahit tu seumur hidup abang. Serong dan sengetnya pandangan orang, abang dah biasa daki.”
“Tapi, macam mana kalau sesuatu yang Ird cuba elak dan sembunyikan tiba-tiba aje terbongkar?”
“Semua orang ada zaman jahil, Ird. Dalam kau pandang serong kat abang tu pun, kau bagi abang peluang untuk berubah, kan? Abang Isyraf pun sama. Memang mulanya dia tak dapat terima, tapi dia sanggup selamatkan abang sebab dia nak bagi abang peluang untuk jadi sebahagian keluarga ni. Kesilapan tu yang menjadikan kita siapa pada hari ni. Kalau tak jatuh, kita tak akan tahu apa ertinya bangun.”
Irdina Wira menekap wajahnya sendiri. Dia menggosok kasar bahagian anggota itu. Memang jelas dia cuba menyembunyikan sesuatu.
“Apa aje yang kau buat sampai kau rasa macam ni?”
“Asalkan namanya orang dan pernah menghirup nafas di bumi ini, pasti ada rahsia. Orang gila pun ada rahsia.”
Wajah lelaki yang memiliki anak mata coklat hazel seperti Irdina Wira itu terpamer senyuman. Susunan ayat yang menyinggah deria telinga itu ialah pepatah arwah ayah mereka. “Kau ada merompak ke sebelum ni? Mencuri?”
Irdina Wira menggeleng kepala.
“Ragut orang? Main judi? Ke... kau pernah pacak tiga tiang, lumba haram sampai masuk lokap?”
“Tak adalah macam tu. Tapi, Ird ada buat sesuatu ikut rasa hati. Ird pilih cara hidup yang tak...” Suaranya tersekat di kerongkong. Otaknya meminta untuk meluah apa yang terpendam, namun hati kecil lekas terdetik untuk menghalang. Dia tertunduk.
Melihat reaksi Irdina Wira begitu, Qhayrul mengerti yang adiknya itu tidak bersedia untuk berbicara akan hal yang cuba diselindungkan. “Irdina Wira...”
Sebaik sahaja namanya disebut, gadis itu menatap mata Qhayrul.
“Kalau kau pernah buat silap, abang tak kisah semua tu. Sebab semua tu dah lepas. Kau tak payah risau. Andai kata semua kat dalam dunia ni tengok kau dengan pandang serong, Qhayrul Wira Azreen tak akan buat macam tu kat kau. Kau ingat tu,” ungkap Qhayrul dengan renungan yang jitu.
Baris ayat yang dituturkan perlahan-lahan mengalir ke dalam jiwa. Detik itu, ada perasan terharu yang menjalar ke hati. Perasaan yang berhimpun di dada terzahir tanpa sengaja melalui mata.
“Kau terharu sampai nak nangis ke?” usik Qhayrul. Dia tahu Irdina Wira tidak gemar mengalirkan air mata.
“Mana ada. Eii... Apasal pula tiba-tiba tempat ni macam berhabuk?” Irdina Wira kalih pandangan ke tempat lain. Tapak tangannya laju menyapu manik jernih yang berada di pipi.
Qhayrul tertawa kecil melihat respons tersebut. “Oh, ya. Abang lupa pula nak cakap hal ni kat kau. Nasib baik teringat.”
“Apa dia?” aju perempuan itu.
“Malam ni abang tak dapat temankan kau.”
“La... Dah kenapa pula?”
“Chempaka.”
“Kenapa dengan Chempaka?”
“Pagi tadi dia nangis tak sudah sebelum abang pergi kerja. Abang peluk dia, baru dia diam. Badan dia panas.”
“Chempaka tu memang manja dengan abang. Sama aje dengan Rafi. Dua-dua anak ayah. Habis tu, abang tak suruh Kak Yusra bawa Chempaka pergi klinik?”
“Dah. Doktor cakap demam biasa. Nak tumbuh gigi agaknya,” lafaz Qhayrul.
Fikirannya terbayang wajah anak kecil berusia 15 bulan itu. Chempaka Wira, itulah nama yang diberikan kepada hasil cintanya bersama Yusra Dahliyaa.
“Patutlah. Bila Ird dukung Chempaka tu, dia cari benda nak gigit. Gusi gatallah kut.”
“Habis tu, kau nak pergi sendiri ke malam ni?”
“Tak apalah, Ird boleh pergi. Lagipun dah niat nak kasi dia orang makan malam ni.”
“Betul ni?”
“Ya. Abang tak payahlah risau. Bukan Ird tak pernah pergi sorang-sorang kat lorong tu. Budak-budak lorong tu dah kenal Ird.”
“Kalau kau dah cakap macam tu, nanti abang suruh budak-budak ni sediakan 10 bungkus.”
“Abang, kasi lebih lima bungkuslah. Ird tengok minggu lepas ada yang tak dapat. Macam orang baru aje. Kasihan pula Ird tengok hari tu. Tengok aje yang lain makan.”
“Yalah. Abang nak masuk dalam kejap. Nak telefon Kak Dahliyaa. Risau pula dengan budak kecil tu.”
“Okey, bang.”
Qhayrul mengangkat punggung. Dia menyusun semula kerusi seperti asal.
“Kau tak payahlah risau pasal marah Abang Isyraf. Dia memang dari dulu lagi ada mood swing, kan? Kau macam tak biasa pula. Lagipun tak akan jatuh papa kedana Warisan Wira ni kalau tak ambil projek Megah Holdings tu. Lama-lama okeylah,” ucap Qhayrul sambil mengusap lembut bahu itu.
Irdina Wira mengangguk perlahan lalu mempamer senyum hambar. 

GEGELUNG yang berada di permukaan tin ditarik sebaik sahaja Zulqadree melangkah keluar dari kedai serbaneka 24 jam itu. Daya yang dikenakan menyebabkan ruang untuk diminum terbuka lalu menghasilkan bunyi gas. Minuman isotonik diteguk dua kali untuk menghilangkan rasa dahaga.
Sejak peristiwa Puan Nusrah memberitahu akan hal calon isteri untuknya, hampir setiap kali bertentang mata, Puan Nusrah akan memujuk Zulqadree untuk bersetuju. Atas dasar itu jugalah Zulqadree sengaja pulang lewat. Alasan kerja digunakan untuk mengelak daripada terus didesak.
Bungkusan roti berperisa sambal ikan bilis ditarik. Zulqadree baru teringat yang dia belum menjamah makanan sejak tengah hari tadi. Makanan yang diperbuat daripada tepung gandum itu digigit. Rahang bawah Zulqadree bergerak beberapa kali untuk menghancurkan cebisan roti lembut itu. Namun, perbuatannya terhenti tatkala dia merasakan ada sepasang mata yang memerhati di sebalik tiang konkrit.
Susuk tubuh kurus dan berpakaian lusuh memandang dari arah tersebut. Zulqadree memandang roti yang berada di tangan. Seolah-olah mengerti apa yang insan itu perlukan, Zulqadree masuk ke dalam kedai semula. Sebaik sahaja membayar untuk sebungkus roti dan sekotak minuman Milo, lelaki tersebut keluar. Akan tetapi, muncul pula seorang lagi budak perempuan yang lebih kecil bersama kanak-kanak tadi.
“Abang, cepatlah. Kakak Wira datang.”
“Kakak Wira datang?” soal si abang dengan nada teruja. Wajah yang gusar lantas bertukar ceria.
“Ya. Kakak Wira datang bawa makanan. Dia suruh adik cari abang. Dia bawa banyak nasi hari ni.”
Mendengar sahaja kenyataan si adik, budak lelaki itu segera beredar. Mereka berdua berlari-lari anak ke lorong belakang.
“Adik! Adik!” panggil Zulqadree. Walau bagaimanapun, panggilannya tidak disahut.
Mereka terus berlari tanpa menoleh ke belakang. Niat mahu menghulurkan bantuan terbantut. Zulqadree memerhatikan tingkah itu sambil kakinya melangkah menuju ke kereta.
“Kakak Wira?” ungkap pemuda tersebut sendiri.
Dia masuk ke dalam kereta. Makanan dan minuman yang tidak jadi berpindah milik diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu. Belum sempat tangan menghidupkan enjin, bibirnya berbicara lagi.
“Siapa pula Kakak Wira ni? Ada superhero ke kat Malaysia ni? Wonder Woman? Black Widow?” Jari-jemari lelaki tersebut mengetuk stereng.
Mulanya Zulqadree bertanya kepada diri sendiri. Namun, rasa yang terbit berubah menjadi perasaan ingin tahu. Dia mengambil keputusan untuk keluar. Jejak dua orang anak kecil itu dituruti. Zulqadree melangkah menuju ke lorong belakang. Walau bagaimanapun, ayunan kaki terhenti sebelum tiba ditempat yang mahu dituju. Motosikal yang menjadi bayangan minda sejak akhir-akhir ini muncul di penglihatan.
“Eh? Ni... macam motor dia.” Anak mata Zulqadree terus membulat.
Tidak pasal-pasal senyuman terukir pada wajahnya. Ada harapan untuk bertemu lagi. Benarlah kata orang-orang tua. Jika tidak nampak orang, tengok bumbung rumah pun jadilah. Tapi, lain pula perumpamaan untuk abang kepada Nilam Qadheera. Jika tidak nampak tuan punya badan, tengok motosikal pun sudah sengih simpul. Senyumannya semakin melebar apabila melihat nombor pendaftaran objek beroda dua itu.
Zulqadree melilau sekeliling, mahu mencari kelibat yang dirindui. Setelah menanti hampir tiga minit, si gadis masih tidak muncul. “Aku nak tunggu sini ke?”
Zulqadree tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Otaknya ligat berfikir. Entah bagaimana, akalnya menemukan kejadian dua orang kanak-kanak tadi dengan situasi yang sedang dihadapi.
“Kakak Wira?” lafaz Zulqadree sambil memetik jari.
Dia memandang sekejap laluan untuk ke lorong belakang yang gelap itu. Beberapa ketika kemudian dia memandang motosikal pula.
“Wira dengan motor? Masked Rider naik motor, Suria Perkasa Hitam naik motor juga, Batman pun ada motor. Cik Signal Kiri... Kakak Wira?” Semakin difikirkan, semakin kuat pula gerak hati yang muncul.
Sudahnya, Zulqadree meneruskan niat ke lorong yang terletak di belakang barisan kedai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan