Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 2

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

SURAYA yang sedang melipat kain berhenti lalu memerhatikan Che Hannah yang dari tadi termenung di tingkap sambil jari telunjuknya bermain dengan rambutnya. Selesai makan tengah hari siang tadi, dia hairan apabila Che Hannah lebih banyak termenung dan kurang bercakap dengannya.
“Hannah! Kak Su tengok awak ni asyik termenung dari tadi kenapa? Kalau ada masalah cakaplah. Hannah ada masalah duit ke? Kalau pasal duit, Kak Su boleh tolong. Tapi, tak banyaklah,” celah Suraya.
Che Hannah memandang Suraya yang berasal dari Ulu Yam. Sudah dua tahun mereka saling mengenali. Sebaik sahaja Che Hannah mendapat keputusan SPM yang kurang memberangsangkan, terus dia datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki di sini. Kebetulan dia terbaca iklan jawatan kosong di akhbar yang memerlukan pembantu kedai bunga. Memandangkan penginapan turut diberikan, terus Che Hannah menghubungi Puan Juliana.
Nasibnya baik apabila tiada sesiapa pun yang masih menerima jawatan itu. Dia yang ketika itu berada di Maran, Pahang bekeras untuk datang bekerja di sini setelah puas memujuk emaknya. Yalah, bukan senang Puan Zaharah hendak melepaskan anak daranya. Apatah lagi dia memang berazam untuk hidup berdikari setelah kematian ayahnya lima tahun yang lalu.
Takut juga dia sewaktu mula-mula tiba di bandar raya besar ini. Namun, dia tekad untuk membuktikan kepada ibunya yang dia kuat. Dia lega kerana penginapan yang didiami hanya di atas kedai bunganya. Tidak berperlulah dia bersusah payah hendak mencari pengangkutan untuk ke tempat kerja pula.
Kemudahan ini diberikan oleh Puan Juliana untuk memudahkan pekerjanya membuka kedai pada awal pagi, memandangkan setiap hari dia terpaksa menyelesaikan tugas untuk menghantar anaknya ke sekolah terlebih dahulu.
“Bukan pasal duitlah Kak Su,” beritahu Che Hannah lembut.
“Habis tu, apa?”
Che Hannah mengeluh. Pandangannya dibuang ke arah luar tingkap. “Mak suruh Hannah kahwin.”
Ketawa Suraya meledak tiba-tiba. Bulat mata Che Hannah melihat Suraya yang sudah ketawa tak ingat dunia. Mahu saja Che Hannah hempuk Suraya saat ini.
“Akak, tak kelakar pun, okey,” kata Che Hannah.
Segera Suraya berhenti ketawa. Dia yang mahu bersuara tidak menjadi lalu ketawa lagi. Geli perut dibuatnya.
“Akak!” jerit Che Hannah geram.
“Okey, Kak Su minta maaf. Tapi, kelakarlah bila mak Hannah suruh Hannah kahwin. Hannah tu umur baru 20 tahun emak Hannah dah sibuk-sibuk suruh kahwin. Akak ni dah 26 tahun pun mak akak tak ada nak cakap pasal kahwin. Sebaliknya, akak yang risau sebab belum bertemu jodoh. Dah empat tahun akak kerja kat sini, tak ada yang tersangkut pun,” omel Suraya.
“Entahlah Kak Su... Hannah pun tak faham dengan emak Hannah ni. Tiba-tiba minta Hannah kahwin. Sudahlah dengan lelaki yang Hannah tak suka. Menyampah, meluat semua ada.” Hannah meluahkan rasa di hatinya.
Aik, kenapa pula? Siapa lelaki yang emak nak jodohkan dengan Hannah tu?” soal Suraya lagi.
Che Hannah mengeluh. Lalu dia duduk bersimpuh di tepi Suraya.
“Dengan Suhaimi. Dia tu satu kampung dengan Hannah. Dia tu dahlah duda anak dua Kak Su. Tak mahulah, dah tua!” beritahu Che Hannah dengan perasaan geram.
“Tua? Berapa umur dia?”
“35 tahun. 15 tahun tua daripada Hannah. Tak mahulah Hannah,” beritahu Che Hannah.
“Alah... muda lagi 35 tahun tu. Zaman sekarang orang tak kisah tua ke, muda ke, duda ke, bujang ke, asalkan banyak duit. Dia kaya tak?”
Che Hannah mencebik.
“Memanglah dia tu berduit. Ada ladang kelapa sawit keluasan tiga ekar, lembu berpuluh-puluh ekor. Tapi, Hannah tak suka dia. Macam mana tiba-tiba dia boleh masuk merisik Hannah? Eee... sakit hati Hannah ni,” kata Che Hannah dengan nada geram.
“Ermm, mak Hannah memang setuju ke kalau Hannah kahwin dengan Suhaimi tu?” soal Suraya ingin tahu.
“Itu yang jadi masalah sekarang ni. Mak suruh Hannah kahwin dengan lelaki tu sebab mak nak Hannah duduk dekat dengan dialah tu. Hannah tahu mak buat macam tu sebab dia tak percayakan Hannah hidup di Kuala Lumpur ni. Tapi, Hannah tak nak kahwin dengan Suhaimi tu. Hannah tak nak! Hannah tak tahu macam mana nak tolak kemahuan mak.” Che Hannah meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Ada manik jernih yang mula jatuh di pipinya.
Suraya mula bersimpati dengan nasib Che Hannah. Kasihan pula dengan Che Hannah muda-muda lagi sudah dipaksa berkahwin dengan lelaki bukan pilihan hatinya. Duda pula tu. Tiba-tiba Suraya tersenyum lalu bangkit menuju ke arah rak televisyen. Dicapai Harian Metro hari ini.
“Dah jangan nangis. Cuba tengok ni,” suruh Suraya.
Che Hannah mengesat manik jernih yang jatuh ke pipinya. Berkerut dahinya memandang ruangan yang tersiar di halaman tengah akhbar. “Agensi cari jodoh?”
Pantas Suraya mengangguk.
“Agensi cari jodoh islamik. Hannah cubalah cari jodoh kat sini. Manalah tahu Hannah berjumpa dengan seseorang yang istimewa dan sesuai dengan cita rasa Hannah. Hannah beritahulah emak Hannah yang Hannah dah ada kekasih hati,” cadang Suraya.
“Eh, Kak Su ni... Buat apa pulak Hannah nak cari jodoh kat agensi ni? Hannah muda lagi dan Hannah tak nak kahwin lagi!” bentak Che Hannah geram. Dia mula merasakan Suraya main-main dengannya pula.
“Habis tu Che Hannah nak kahwin dengan Suhaimi duda anak dua tu? Nak?” soal Suraya yang mula mahu menakut-nakutkan Che Hannah.
“Tak nak!”
“Apa kata Hannah daftar online jadi ahli dalam agensi ni. Manalah tahu Hannah dapat berjumpa jodoh kat sini. Hannah cakaplah kat emak yang Hannah dah ada orang lain. Lepas tu Hannah cuba berkenalan dengan lelaki dalam agensi ni. Mana tahu Hannah dapat cari jodoh kat sini dan kenalkan kepada mak Hannah. Cuba Hannah baca ni. Hujung minggu ni agensi ini akan mengadakan ceramah tentang soal jodoh di Bangi. Sesiapa yang nak daftar jadi ahli kat situ boleh daftar pada hari tu. Cuba Hannah pergi sana Ahad ni. Manalah tahu tiba-tiba Allah nak pertemukan Hannah dengan seseorang kat sana,” cadang Suraya.
Bersungguh-sungguh dia membaca bait-bait tentang program mencari jodoh yang akan diadakan pada hujung minggu ini.
“Isy, merepeklah Kak Su ni. Ingat senang nak dapat jodoh tiba-tiba. Emak nak Hannah kahwin lagi dua bulan dengan Suhaimi tu. Cuma Hannah tak beri jawapan lagi,” kata Che Hannah cemas.
“Yalah, Kak Su tahu. Habis Hannah ada ke jawapan yang nak bagi kepada mak? Kecuali... Hannah terima Suhaimi tu. Apa kata Hannah cakap kepada emak yang Hannah dah ada orang lain. Sambil-sambil tu Hannah cubalah cari jodoh kat agensi ni. Agensi ni melindungi semua ahli-ahlinya tahu. Maklumat ahli semua benar dan tak ada yang temberang,” panjang lebar Suraya memberi penerangan.
“Merepeklah Kak Su ni. Hannah tak pernah tipu emak Hannah. Kak Su ajelah yang daftar cari jodoh kat situ,” kata Che Hannah cuak.
“Akak dah sebulan jadi ahli dalam agensi ni. Hujung minggu ni akak tak jadi balik kampung sebab nak pergi program ni. Nak kenallah juga dengan lelaki-lelaki yang daftar menjadi ahli ni. Manalah tahu akak dipermudah bertemu jodoh kat sana,” ujar Suraya. Di bibirnya terukir segaris senyuman.
“Eee... gatallah Kak Su ni,” cebik Che Hannah.
“Gatal apa pula. Asyik tengok gambar aje. Baik tengok depan mata. Hannah teman Kak Su hujung minggu ni, boleh tak?”
“Jaga pandangan mata Kak Su!” usik Che Hannah. Terbit senyuman nakal di bibirnya apabila mendapat tahu Suraya mendaftar menjadi ahli dalam agensi mencari jodoh itu.
“Kak Su tahulah. Tapi, Kak Su nak pergi sangat. Nanti ada ceramah daripada ustaz dan ustazah tentang jodoh dan perkahwinan. Mereka yang tinggal berdekatan boleh pergi ke pengisian ni. Bagus pengisian ni. Hannah daftarlah jadi ahli. Sesiapa yang ingin menjadi ahli boleh daftar hari Ahad ni kat pertubuhan ni. 20.00 ringgit aje pun. Jomlah Hannah. Kalau Hannah nak tahu dah ramai orang yang berjaya bertemu jodoh dalam agensi ni. Hujung minggu ni kita pergi Bangi sama-sama ya,” ujar Suraya panjang lebar.
“Tengoklah macam mana,” jawab Che Hannah malas.
“Alah... jomlah. Ada diskaun lagi untuk orang yang nak buat kursus kahwin. Hannah belum pergi kursus kahwin lagi, kan? Program Ahad ni mesti banyak pengisian pasal jodoh. Hannah ambil feel dulu sebelum pergi kursus kahwin betul. Hehehe. Baguslah agensi islamik ni Hannah. Pertubuhan ni juga membuat kutipan derma untuk bantu orang susah. Mengajak ahli-ahlinya membuat amal kebajikan. Kita pergi ya? Temankan Kak Su.”
Mahu tergelak Che Hannah dengan kata-kata Suraya. Bersungguh-sungguh benar Suraya mahu ke program agensi mencari jodoh itu.
“Nantilah Hannah fikir-fikirkan. Hannah nak masuk tidur dulu.” Terus Che Hannah berlalu masuk ke dalam bilik.
Dia mahu berehat dan menenangkan dirinya tanpa memikirkan permintaan emaknya yang mahukan dia berkahwin dengan Suhaimi. Oh, emak... Tolonglah fahami hati Hannah. Hatinya merintih perih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan