Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 5 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 1

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

SEBUAH kereta jenis Audi berwarna merah terang menjalar di depan sebuah bangunan milik seorang usaha wanita berjaya. Pintu belakang kereta mewah itu dibuka oleh pemandu yang memandu kereta tersebut.
Kelihatan sepasang kaki putih gebu dengan kasut tumit tinggi berjenama Gucci berwarna merah jambu yang bersinar mula menjejak tanah. Kemudian tubuh langsing itu mula tegap berdiri dengan gaun paras lutut juga berwarna merah jambu. Memang cantik menawan.
Wajah cukup indah yang dihiasi kaca mata hitam itu kelihatannya begitu angkuh berjalan. Sayangnya wajah cantik itu tidak dihiasi dengan segaris senyuman. Dia terus melangkah dengan yakin menuju masuk ke bangunan yang gah berdiri di hadapannya.
Morning, Cik Zufa,” ucap seorang gadis yang berada di kaunter penyambut tetamu dengan senyuman.
“Hmm...” Zulfah Insyirah terus laju berjalan menuju ke lif. Sebelah mata pun dia tidak pandang Nur Jannah yang terkebil-kebil tersenyum kepadanya.
“Memang sesuai kita semua gelar dia Mrs. Sendu. Muka sendu aje tak reti nak senyum kat orang. Jangan kata muka, umur pun sendu tak berlaki lagi,” ujar lelaki lembut di sebelah Nur Jannah yang memakai tanda nama Kelly. Dia ketawa nyaring.
“Tak baiklah kau ni Kelly. Sendu-sendu dia pun, dia bagi kita gaji tau. Tinggi pulak tu. Mana nak dapat gaji penyambut tetamu macam kita ni kat tempat lain. Penyambut tetamu kat hotel depan tu pun gaji dia lebih rendah daripada kita tau,” bisik Nur Jannah.
“Mana kau tahu, nyah? Gosip sakan kau ya,” balas Kelly sambil menyelit rambut di belakang telinga.
“Aku tahulah. Minggu lepas kan sepupu aku datang sini nak jalan-jalan. Menginap kat hotel depan tu. Sejak itulah aku tahu. Untung tau kita kerja sini,” puji Nur Jannah melambung.
“Amboi, kipas susah mati Mrs. Sendu kau ni,” ejek Kelly sambil cebik bibir.
Nur Jannah hanya menjeling sambil menggeleng kepala. Malas dia nak layan Kelly yang suka bergosip itu. Bagi Nur Jannah, asalkan dia buat kerja, tidak curi tulang dan cukup bulan dapat gaji, sudah cukup buatnya.

ZULFAH INSYIRAH melangkah masuk ke ruang pekerja sebelum masuk ke biliknya. Semua pekerjanya diam menikus dan khusyuk buat kerja. Seorang pun tidak berani angkat muka memandangnya. Dia bercekak pinggang. Mula mahu menyinga.
“Dah mati ke semua orang kat dalam pejabat I ni?” soal Zulfah Insyirah.
Masing-masing masih tidak berani. Dia pandang dia, dia pandang dia. Alih-alih semua pandang ke arah Elena yang teragak-agak untuk berdiri.
“Err... Morning Cik Zufa,” ucap Elena.
“Huh. Dah bertahun-tahun kerja sini pun masih bodoh tak tahu bila nampak muka I ni kena buat apa. Lepas ni, kalau masih ada yang tak hormat bila I datang, I tak teragak-agak humban you all keluar dari bangunan ni.” Zulfah Insyirah berjalan laju menuju ke biliknya. Pintu dihempas agak kuat.
Elena mengeluh dan memandang para pekerja yang sudah mula serba salah.
Sorry, Elena. Kita orang jadi tak tau nak buat apa bila Mrs. Sendu masuk,” ucap salah seorang pekerja.
Haih, tak apalah. Lain kali jangan lupa lagi. Telinga I ni yang hampir bernanah kalau dia mula membebel tau.” Elena duduk kembali. Sesekali dia intai wajah Zulfah Insyirah di sebalik cermin kaca yang memisahkan mereka.

BEG tangan berjenama Prada dicampak sesuka hati. Nasib sahaja beg tangan itu mendarat terus di atas sofa. Zulfah Insyirah menghempas punggung di atas kerusi empuk miliknya. Dia menghela nafas panjang.
Majalah yang elok tersusun di atas meja kerja diambil satu. Dia buka helaian demi helaian. Sengaja meluangkan masa sementara menunggu pembantu peribadinya, Elena menghantarkan sarapan pagi untuknya.
Pintu bilik diketuk perlahan. Zulfah Insyirah hanya mengerling daun pintu tersebut tanpa berniat untuk bersuara menyuruh masuk. Perlahan-lahan pintu biliknya terkuak. Wajah manis Elena mula masuk di ruang pejabat itu. Berhati-hati dia menatang dulang berisi coklat panas dan roti bakar untuk sarapan Zulfah Insyirah.
“Sarapan dulu, Cik Zufa.” Elena meletakkan dulang di atas meja kerja Zulfah Insyirah.
Thanks,” ucap Zulfah Insyirah tanpa memandang wajah Elena.
“Kalau tak ada apa-apa, I keluar dulu ya, Cik Zufa,” pinta Elena. Tak betah lama-lama dia duduk di dalam bilik serba mewah itu.
“Okey.” Itu sahaja jawapan Zulfah Insyirah kepada Elena.
Elena tidak tunggu lama. Dia terus sahaja menuju ke pintu untuk keluar.
“Ah, tunggu, Elena,” panggil Zulfah Insyirah.
“Ya, Cik Zufa?”
“I masih tunggu senarai pendek model untuk iklan produk Zufa Beauty Collagen Drink. Mana?” soal Zulfah Insyirah sambil jongket kening sebelah. Mengalahkan Ziana Zain.
“Err... I pergi dapatkan.” Cepat-cepat Elena keluar dan terus sahaja dia menuju ke studio di tingkat bawah pejabatnya dan berjumpa dengan Miss Dee.

“MISS DEE!” laung Elena sebaik sahaja dia nampak kelibat Miss Dee yang sedang berbincang sesuatu dengan kru-kru di set penggambaran itu.
Miss Dee yang terkejut mendengar namanya terus berpaling. Wajahnya sinis memandang Elena yang kelam-kabut mendapatkannya.
“Ha, apa hal? Mrs. Sendu cari akulah tu.” Miss Dee duduk di kerusi khas untuknya sambil silangkan kaki.
“Hai, kau kan janji dengan dia nak bagi senarai pendek model yang terpilih. Mana dia?” soal Elena sambil menadah tangan.
“Ni ha, aku dah siapkan. Eh, kalau boleh suruh dia mencemar duli ke studio aku ni. Aku nak dia tengok, pilih dan nilai sendiri,” ujar Miss Dee. Rambut kerinting berwarna merahnya dibelai perlahan.
“Okey. Aku pergi cakap kat dia.” Tersengih lega Elena bila senarai sudah berada di tangannya. Terus sahaja Elena menuju semula ke bilik Zulfah Insyirah.

ELENA kembali masuk ke dalam bilik Zulfah Insyirah dan meletakkan senarai pendek model yang telah terpilih. Dia menunggu seketika.
Zulfah Insyirah yang sedang bersarapan ketika itu segera mengambil senarai tersebut dan membacanya sepintas lalu.
“Cik Zufa, Miss Dee kata dia berharap Cik Zufa turun ke studio untuk lihat dan pilih sendiri antara model yang terbaik ni.” Berhati-hati Eelena menuturkan kata-kata. Kalau tersilap sedikit, boleh melenting bosnya.
“Semua model yang terpilih tu ada kat sana?” soal Zulfah Insyirah.
“Ada, Cik Zufa. Cik Zufa nak turun sekarang?” soal Elena bila dia lihat Zulfah Insyirah sudah berdiri dan bersedia untuk turun ke bawah.
“Ya, Elena. Takkan nak tunggu esok.” Zulfah Insyirah menjeling paras Elena yang terkulat-kulat. Zulfah Insyirah capai beg tangan yang dicampak tadi dan bersedia mahu keluar dari biliknya.
“Apa you tunggu lagi, Elena? Cepatlah,” gesa Zulfah Insyirah yang sedang menunggunya di muka pintu.
Cepat-cepat Elena mencapai senarai tadi dan buku nota penting miliknya. Mereka berdua sama-sama turun semula ke studio untuk sesi pemilihan.

MEREKA berdua sampai di studio semula. Semua jadi kaku dan senyap bila Zulfah Insyirah dan Elena berada di studio. Mereka silih berganti mengucapkan selamat pagi kepada Zulfah Insyirah.
“Miss Dee?” panggil Zulfah Insyirah.
“Ya, Cik Zufa.” Segera Miss Dee menghampiri Zulfah Insyirah yang sedang berpeluk tubuh memerhati beberapa model yang berada di studio itu.
“Resume model-model tu mana? Bagi I tengok. Dalam 10 minit you boleh mula casting, I nak tengok,” ujar Zulfah Insyirah. Dia segera masuk ke ruang bilik bercermin yang selalu digunakan Miss Dee untuk mesyuarat.
Kemudian Miss Dee menyerahkan fail yang berisi resume beberapa orang model yang sudah disenaraipendekkan.
Elena pula sentiasa di sisi menemani Zulfah Insyirah sekiranya diperlukan. Mereka berdua sama-sama berbincang dan meneliti latar belakang model tersebut.
Selepas 10 minit, Miss Dee datang semula beritahu yang uji bakat hendak bermula. Serentak Zulfah Insyirah dan Elena menuju ke set untuk melihat sendiri sesi uji bakat dijalankan. Dua buah kerusi disediakan untuk mereka. Miss Dee mula mengarahkan seorang model masuk ke set dan mula diuji bakat.
Sepanjang uji bakat berlangsung, Zulfah Insyirah hanya melihat dan diam sahaja. Selesai kesemua model diuji bakat barulah Zulfah Insyirah bangun dan berdiri di hadapan sebaris model yang ada. Dia berpeluk tubuh dan memandang model-model tersebut dari atas ke bawah. Tak semua model-model itu menepati cita rasanya. Dia sangat memilih. Hanya model bertaraf A sahaja yang akan dipilih.
You all tahu kan kategori pemilihan I?” Zulfah Insyirah mula bersuara.
Semua model yang ada hanya diam seribu bahasa. Zulfah Insyirah berjalan perlahan-lahan mengelilingi mereka.
“Jangan ingat I akan tertarik dengan tubuh seksi you all semata-mata. Cantik? Ya. Paling utama nak jadi model I, you all kena cantik.” Zulfah Insyirah memerhati lagi.
“Kebanyakan daripada you all ni cantik, tapi bimbo.”
Kesemua sudah saling berpandangan. Faham sangat dengan kata-kata Zulfah Insyirah itu.
“Sebab tu uji bakat ni dijalankan. I nak tengok sejauh mana beza otak you all ni dengan otak lembu.” Zulfah Insyirah menjeling ke arah model-model yang sudah gelisah.
Masing-masing diam, tidak berani langsung buka mulut untuk bersuara. Tunduk merenung lantai. Zulfah Insyirah kembali duduk dengan gaya silang kakinya.
“Bila Miss Dee minta I tengok uji bakat ni, I jadi keliru. Mana otak manusia, mana otak lembu. Sama. Tak ada beza. Soalan senang berkaitan pengetahuan am pun you all tak boleh nak jawab dengan yakin. Macam mana you all nak bagi tahu pelanggan dengan yakin tentang kandungan dan kebaikan produk-produk I? Macam mana you all nak beri keuntungan pada syarikat I?” soal Zulfah Insyirah. Matanya mencerlung memandang model di depannya satu per satu.
Dia berpeluk tubuh lalu bangun semula daripada duduknya. Matanya meneliti lagi model-model yang berbaris di depannya. Sebenarnya sudah ada beberapa orang yang bagus di matanya. Sengaja dia mahu menguji perasaan-perasaan model-model tersebut. Kalau mereka tidak boleh tahan dengan mulutnya, lebih baik jangan terima untuk bekerja di sini.
Zulfah Insyirah ada caranya tersendiri. Walaupun nampak kejam dan tidak mesra, tetapi dia cukup jaga kebajikan para pekerja.
“You, siapa nama tadi?” soal Zulfah Insyrah sambil jari telunjuk runcingnya tepat menghala ke seorang gadis berdarah kacukan. Cantik dan bijak seperti yang Zulfah Insyirah inginkan.
“I?” soal gadis tersebut sambil telunjuknya menyentuh batang hidung sendiri.
“Ya, you.”
“Syasya. Syasya Milan,” jawab Syasya yakin. Dia tersenyum. Hatinya mula berbunga riang.
“Jumpa dengan Miss Dee dan sain kontrak. Youre hired.” Zulfah Insyirah berpaling dan terus tinggalkan studio.
Terkocoh-kocoh Elena mengejar langkah laju Zulfah Insyirah. Hisy, dia ni. Tak padan dengan kasut tumit tinggi lima inci!

MASUK ke dalam pejabat, Zulfah Insyirah menghempas punggung di kerusi empuknya. Tersenyum memandang Elena yang turut sama masuk dan bersedia kalau-kalau Zulfah Insyirah inginkan sesuatu.
“I dah lama cari orang macam Syasya Milan. Harap-harap dia boleh jadi contoh untuk model-model yang lain.” Zulfah Insyirah bermain-main pen di tangan.
“Cik Zufa perlukan model yang lain tak?” soal Elena yang masih berdiri menghadap Zulfah Insyirah.
Zulfah Insyirah berfikir sejenak. Pen di tangan dipusing-pusing seperti helikopter.
“Cakap kat Miss Dee I nak top five yang I dah senaraikan tu. Senarai ada pada dia,” balas Zulfah Insyirah.
“Baik, Cik Zufa. Kalau tak ada apa-apa, I keluar dulu.” Elena mahu melangkah keluar.
“Elena,” gamit Zulfah Insyirah.
“Tempahkan I dua tiket flight pergi dan balik ke Jakarta esok. I nak melawat cawangan kat sana dalam tiga hari. You ikut sekali,” arah Zulfah Insyirah.
Elena hanya mengangguk dan tersenyum. Suka dia bila Zulfah Insyirah mahu dia ikut serta. Dapatlah dia makan angin percuma. Hehehe.
Tidak sampai lima minit Elena keluar, Zulfah Insyirah juga turut keluar. Elena melirik jam pada dinding ruang pejabat itu. Hampir pukul 1.00 tengah hari. Hilang sahaja kelibat Zulfah Insyirah, Elena bergegas ke studio semula.

KELIHATAN Miss Dee mengadakan mesyuarat ringkas dengan para model yang ada. Jelas kelihatan wajah-wajah model yang sugul. Sedih tidak diterima.
Elena hanya mampu tersenyum sahaja. Dia cuit bahu Miss Dee dan duduk di sebelah wanita itu sehingga wanita itu selesai mengadakan mesyuaratnya.
“Ha, apa kau nak?” soal Miss Dee sambil tersenyum dan jongket kening.
“Cik Zufa baik hati hari ni. Dia kata selain Syasya, dia nak top five model yang dia dah senaraikan. Ada kat kau, kan?” soal Elena sambil mata melirik ke atas meja yang penuh dengan kertas-kertas yang berselerak.
Pantas tangan Miss Dee mencari sehelai demi sehelai senarai yang Elena maksudkan. Memang dia ada perasan Zulfah Insyirah beri dia sekeping kertas, tapi tak sangkalah pula kertas itu ada tersenarai lima orang model yang menjadi pilihan bosnya itu.
“Ha, nasib baik jumpa. Jadi, dia nak juga lima orang ni?” soal Miss Dee inginkan kepastian.
Elena mengangguk. Dia turut melihat nama-nama yang tersenarai.
“Mungkin untuk back-up. Lagipun tak lama lagi dia nak lancarkan produk baru. Zufa 24K Gold Skincare. Tak ingat?” soal Elena.
Miss Dee terangguk-angguk. Mungkin juga model-model itu diperlukan nanti. Kemudian cepat-cepat dia bacakan senarai model yang terpilih. Bersorak riang bila nama-nama mereka disebutkan.
Siapa yang tak mahu bekerja di bawah syarikat Zulfah Insyirah? Nama yang tengah naik dan popular masa kini.
“Syasya?”
Syasya berpaling bila namanya disebut oleh Miss Dee. Miss Dee dan Elena juga saling berpandangan, membuatkan Syasya jadi terpinga-pinga.
“Tahniah sebab dipilih. Meh nak kongsi rahsia sikit pasal Mrs. Sendu kita.”
Terus secara spontan Elena menyiku lengan Miss Dee bila dia terdengar perkataan ‘Mrs. Sendu’ itu. Miss Dee ketawa perlahan.
Syasya menghampiri mereka. Wajah lembut Syasya tersenyum memandang mereka berdua.
“Nak kongsi rahsia apa tu?” soal Syasya.
“Setiap kali kau terserempak dengan Cik Zufa mesti ucap selamat. Tak kiralah kau jumpa pagi ke, petang ke, malam ke, mesti ucap selamat. Itu tanda hormat.” Elena sudah mula kongsi rahsia.
Syasya hanya mengangguk dan fokus dengan apa yang Elena dan Miss Dee mahu sampaikan. Jangan sampai dia tersilap langkah. Kalau boleh dia tidak mahu lakukan kesilapan kecil sekalipun.
“Kedua, jangan pakai kata ganti diri saya atau aku atau dengan nama kau. Syasya-Syasya. Big no! Just you and I. Kalau dengan kita-kita ni tak apalah. Jangan nampak gedik sangat. Matilah kau, nak.” Miss Dee hambur ketawa.
“Kenapa ya?” soal Syasya tidak faham. Kata ganti diri pun boleh jadi isu ke? Sungguh Syasya tidak faham.
“Lidah dia tu kan tak makan sambal belacan. Dia hari-hari makan keju. Sebab tu dia suka sangat dengan perkataan kata ganti diri bahasa orang putih tu.” Miss Dee jeling meluat.
“Okey, baru faham.” Syasya tersengih
“Ketiga, kau panggil dia Cik Zufa aje. Dia tak berkenan sangat nama kedua dia tu. Sangat kampung katanya.” Elena pula ambil giliran berkongi rahsia.
“Insyirah?” soal Syasya untuk kepastian.
Dua kepala mengangguk serentak.
“Aku rasa kan, dia pilih Syasya salah satu sebab mesti nama Syasya sendiri. Syasya Milan. Eh, kau mix apa ha?” soal Elena pula.
“Saya asal dari Sabah. Emak anak jati Sabah. Ayah orang Ireland,” beritahu Syasya malu-malu.
“Patutlah tak ada rupa Chinese look, macam Sabahan.” Elena tersengih sambil menongkat dagu di atas meja.
“Dan yang terakhir, kalau kau nampak dia bawa sesiapa, terutama lelaki, jangan gatal-gatal nak senyum dengan lelaki tu. Habislah kau.” Ada nada ugutan daripada Miss Dee.
“Mesti kena pecat,” teka Syasya.
“Dah tentulah! Sebelum dia rasa terancam yang kau nak caras teman lelaki dia, lebih baik dia pecat kau.” Miss Dee ketawa mengilai.
“Tapi kan, kenapa Cik Zufa tak kahwin lagi? Dia janda atau anak dara?” soal Syasya.
“Minah kertu tu. Anak dara tua.” Semakin rancak pula Miss Dee mengutuk Zulfah Insyirah.
“Dia sangat memilih. Adalah jugak dia berkawan dengan beberapa orang lelaki, tapi semua tak jujur pun. Semua nak duit dia aje,” ujar Elena.
“Sangat memilih pun kena main jugak?” soal Syasya lagi.
Elena mengangguk. “Nak buat macam mana? Semua lelaki yang dia kenal tu semuanya anak-anak ikan yang baru belajar nak hidup. Nak duit ajelah kerjanya. Bila Cik Zufa tahu, memang tak bagi mukalah. Dia ambik balik apa yang dia dah bagi.”
“Bila dah penat asyik kena main, itu yang sampai sekarang tak ada laki. Memilihlah lagi.” Miss Dee menjeling.
“Isy, tak baiklah kau ni. Belum sampai jodoh dia lagi. Kau jangan kutuk-kutuk sangat. Kita ni pun belum kahwin tau,” bisik Elena.
At least aku pernah kahwin. Kau tu pulak tunang orang. Dia tu? Kertu.” Miss Dee ketawa lagi.
Syasya yang mendengar hanya tersenyum geli hati. Ini kalau Zulfah Insyirah dengar, mahu dia pelangkung mereka bertiga.
“Dah, dah. Apa yang penting kau kena dengar apa yang kami bagi tahu tadi, faham?” Elena beri amaran.
Syasya mngangguk laju. Tiba-tiba dia gerun pula mahu terus bernaung di bawah syarikat Zulfah Insyirah ini.
“Kau janganlah takut. Aku ni 24 jam menghadap dia. Lagi teruk dulu tau. Sekarang ni, bila kita dah tahu perangai dia, dah tahu angin dia, senang aje nak berurusan dengan dia. Apa yang penting, setiap bulan kau dapat gaji,” sambung Elena lagi sambil disetujui oleh Miss Dee.
“Terima kasihlah sebab kongsi rahsia dengan aku. Ada apa-apa lagi?” soal Syasya.
“Buat masa ni tak ada. Sekarang ni kau fokus kerja. Kalau kau nak berjaya, buat sesuatu sampai Cik Zufa tak boleh pecat kau,” nasihat Miss Dee.
Syasya mengangguk. Dia faham dan akan sematkan segala nasihat yang berguna itu. Dia tidak ada niat lain selain bekerja dan menaikkan dirinya sendiri. Tak mungkin dia mahu mengganggu kehidupan Zulfah Insyirah pula. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan