Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 4 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 2

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Kelihatan seorang lelaki dengan sebuah briefcase di tangan, melangkah keluar sebaik pintu lif di aras 14 itu terbuka. Riak wajahnya serius. Jam di pergelangan tangan dikerling sekali lalu seiring dengan langkah kaki menghala ke pintu kaca yang lut sinar.
Bibir lelaki itu mengorak senyum apabila mata melirik ke arah papan tanda nama berkilat pada dinding di luar pintu kaca. Tertera Perkasa Sdn Bhd yang selalu memberinya semangat untuk dia memulakan hari-hari kerjanya.
“Selamat pagi Encik Luth,” tegur seorang wanita yang berada di belakang kaunter.
Morning,” balas Luth Zafir sambil menganggukkan kepalanya kepada wanita tersebut. Itu adalah Julia yang bertugas sebagai penyambut tetamu di Perkasa Sdn Bhd.
Julia tersenyum simpul menerima balasan bosnya. Lelaki yang menjunjung nama Luth Zafir itu adalah CEO kepada syarikat tersebut. Syarikat yang menguruskan bidang hartanah dan pembangunan itu kini semakin giat berkembang di bawah pimpinan Luth Zafir yang berusia 32 tahun.
Sepasang mata Julia terus galak menyorot gerak langkah Luth yang menghala ke biliknya. CEO itu kelihatan segak dan kemas seperti selalu. Susuk tubuh lelaki itu kelihatan bertambah menarik dan terserlah di dalam sepasang suit Giorgio Amani yang berwarna hitam.
“Aduhai Encik Luth... Bertuahlah badan siapa yang jadi kekasih dia tu.” Tergeleng-geleng kepala Julia yang seorang diri berada di kaunter itu.
Dalam kepalanya, dia mula memasang angan-angan. Kalau boleh wujudnya kisah dongeng Beauty and the Beast, Cinderella and The Prince Charming, kenapa di dunia sebenar tidak boleh Julia dan Luth, kan? Saling bergandingan bersama-sama menghala ke pelamin dan...
“Hah! Berangan!”
Satu suara yang menyergah menyentak Julia yang elok tersengih seorang diri di kaunter. Siap ditongkatkan dagu dengan tangan lagi sambil mata tak lepas mengikut gerak langkah Luth Zafir yang sudah memboloskan diri ke dalam bilik.
“Isy! Kak Pah ni...” Julia mula berdecit.
Kelihatan Kak Pah yang sudah terpacak di depan kaunter penyambut tetamu. Wajah cemburut sengaja ditayangkan pada pandangan mata Kak Pah yang bekerja sebagai akauntan di syarikat itu.      
“Apa, apa? Kau tu kan kalau tengok bos kita, amboi! Bukan main lagi. Dari tadi akak perhati aje perangai kau tu. Pandang Encik Luth tu tak berkelip langsung.” Kak Pah sudah memulakan sesi menjuih bibir di pagi hari.
Julia tersenyum sebaris sebaik mendengar nama lelaki itu. Luth Zafir. Oh! Indah! Terasa dirinya cukup bertuah dan bersemangat sekali untuk datang bekerja apabila mengenangkan seraut wajah kacak itu. Kalau Perkasa Sdn Bhd memerlukan khidmatnya tujuh hari seminggu pun tidak mengapa, dia sanggup! Pembetulan, bukan Perkasa Sdn Bhd, tetapi Encik Luth Zafir ya.
Belum pun sempat Julia ingin berkata-kata, kedengaran interkom di hadapan Julia sudah berbunyi. Terus laju sahaja tangan Julia menekan satu punat untuk menjawab.
Where’s my coffee?” Kedengaran suara Luth Zafir.
“Err... Ya Encik Luth. Five minutes!” Tergagap Julia menjawab sebaik mendengar soalan yang dilepaskan oleh majikannya itu.
“Akaklah ni!” Julia bersuara sambil menampar bahu Kak Pah sebaik bergegas bangun dari duduknya. Kaki mula tergesa-gesa menuju ke bilik pantri.
“Eh! Kita pula yang nak disalahkan...”

Luth Zafir yang berada di dalam bilik pejabatnya mula mencapai sebuah fail yang sudah tersedia di atas meja. Kelihatan label PROJEK UTARA di hadapan fail tersebut. Berkerut seketika dahinya sebelum mula membuka fail yang berwarna hitam itu.
Beberapa minit diambil untuk meneliti laporan yang tersaji di depannya. Kerutan yang baru saja hilang mulai muncul semula. Salah satu butang interkom mula ditekan. “Su, pasal Projek Utara ni.”
“Ya Encik Luth. Encik Farhan cakap pagi ni dia akan terangkan kepada encik.” Suara Suhana, setiausaha kepada Luth Zafir, tenang menjawab.
“Pagi ni? Bila?” soal Luth tidak sabar. Jam yang melilit kemas di pergelangan tangan mula dikerling.
“Hah! Itu pun Encik Farhan sudah sampai.”
Send him in.” Terus satu butang ditekan untuk menamatkan perbualan. Butiran-butiran yang tercatat di dalam fail itu kembali menarik perhatian Luth Zafir.
Morning Luth.”
Suara yang kedengaran sebaik pintu bilik dikuak segera menarik pandangan mata Luth Zafir daripada terus tertancap pada fail.
“Ni... apa masalahnya?” Fail yang elok dipegang tadi terus dilepaskan ke meja sebaik kelibat Farhan kelihatan.
Well...” Farhan yang baru melabuhkan punggung ke kerusi cuma memberikan senyuman sebagai jawapan.
Well?” Luth Zafir yang tidak berpuas hati melepaskan lagi soalan. Pandangan matanya tepat menghala ke raut wajah Farhan.
“Kau sendiri dah baca, kan? Macam tulah. Macam mana lagi aku nak terang? Kalau tuan tu sendiri tak nak jual, kita tak boleh nak paksa. Kau pun tahu, kan?” Farhan mula mengangkat kening. Baru saja hendak membuka mulut, kedengaran ketukan pada pintu.
“Masuk!” Lantang suara Luth Zafir kedengaran.
Gulp! Kuatnya suara Encik Luth. Julia menelan air liur. Dia yang membawa secawan kopi terus berdebar-debar sebaik menguak daun pintu. Kelihatan pandangan mata majikannya itu tajam menyorot kepadanya. “Err... saya tak tahu yang Encik Farhan pun ada.”
No, it’s okay Julia. I dah breakfast pun tadi,” balas Farhan sambil tersenyum. Sempat matanya dikenyitkan kepada gadis itu.
Julia tidak berani memberikan sebarang respons. Secawan kopi panas yang sudah siap dibancuh diletakkan dengan penuh cermat ke atas meja Luth Zafir. Kaki terus diatur untuk melangkah keluar.
Melihatkan daun pintu yang sudah dirapatkan kembali, Luth Zafir mula bersuara. “There’s nothing that we can do?”
So, what do you expect then? Kau nak aku paksa tuan tu tandatangan juga untuk lepaskan hak dia? Macam tu?” balas Farhan dengan tenang. Ah! Macamlah dia tidak tahu segala ragam dan tingkah Luth Zafir itu. Bukannya orang lain, sepupu dia juga!
Well, if you have to,” sahut Luth Zafir tidak mahu mengalah.
Farhan menggeleng tidak percaya mendengar jawapan Luth Zafir. “Sama ada kau gila atau...”
I choose the second one. Smart!” Luth Zafir memintas cakap Farhan.
Sama ada kau gila atau bijak. Itu sudah sering kali dilontarkan oleh Farhan kepada dirinya. Kali ini, raut wajah yang sedari tadi serius mula berubah corak. Ada segaris senyum yang tersungging di bibir Luth Zafir.
“Kalau kau bijak, mesti kau boleh selesaikan masalah ni, kan?” soal Farhan sambil tersenyum. Sengaja ingin menduga reaksi sepupunya itu.
“Maksudnya, kau nak cakap kau memang mengaku kalah, macam tu?” Luth Zafir memandang sekilas Farhan sebelum mula mencapai cawan yang berada di sisinya.
Farhan menghela nafas. Sesekali, boleh panas hatinya apabila berbahas dengan sepupunya yang seorang ini. Sentiasa ingin menang.
“Kalau kau boleh selesaikan hal ni, ya. Aku akan mengaku kalah,” sahut Farhan yakin.
Luth Zafir yang baru hendak menyisip air kopinya mengerling Farhan. Terbantut hajatnya. Kelihatan sepupunya itu tersenyum kepadanya. Dia tahu, Farhan pun bukannya calang-calang lelaki. Nada yang dilepaskan tadi kedengaran seperti mencabar dirinya, tetapi kerana sikap Farhan yang satu itulah membuatkan dia menyerahkan Projek Utara itu dengan yakin kepada Farhan.
Fine. I’ll do this,” balas Luth Zafir sambil tersenyum. Cawan yang dipegang mula dibawa rapat ke bibir dan bebola mata terus memerhati butiran yang tersedia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan