Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 5 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 4

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

AKEEL FIRDAUS baru sahaja mendarat di bumi Malaysia selepas melalui penerbangan dari Australia ke KLIA selama lebih kurang lapan jam. Dia berjalan sambil menarik bagasinya dengan langkah perlahan. Sesekali menegur beberapa kenalan yang berpapasan dengannya.
Kemudian dia terus sahaja menuju ke Old Malaya Kopitiam. Bagasi diletak rapat di sisinya lalu dia duduk di salah sebuah tempat di kopitiam tersebut. Badan disandar pada kerusi dan mata dipejamkan seketika untuk menghilangkan kantuk yang masih bersisa.
“Nak minum?” sapa seseorang.
Akeel Firdaus buka mata. Dia tersenyum melihat wajah lembut yang sangat dia hormati.
“Bukan setakat minum. Nak makan sekali. Lapar,” balas Akeel Firdaus sambil menepuk-nepuk perlahan perutnya. Dia tersengih lebar melihat abangnya ketawa perlahan.
“Kejap, abang pergi oder.” Afeef Zakwan menuju ke kaunter semula dan memesan menu untuk adiknya. Kemudian dia kembali menghampiri Akeel Firdaus yang leka membelek telefon bimbitnya.
“Ke mana lepas ni?” soal Afeef Zakwan sambil duduk bertentangan dengan Akeel Firdaus.
“Baliklah. Penat. Jetlag lagi ni.” Perlahan Akeel Firdaus memicit pelipis.
Afeef Zakwan faham dengan situasi adiknya kalau bekerja jauh. Kebiasaannya bila habis satu trip, pramugara seperti Akeel Firdaus akan diberi cuti. Kalau ada rezeki dapatlah adiknya itu bercuti sehingga lima hari. Memang penat bila jadual hidupnya diatur oleh syarikat penerbangan itu. Bekerja dan cuti yang tidak tentu masa.
Dia? Ramai yang bertanyakan dia. Adik sudah terbang merata dunia. Kenapa abang masih setia menjejak bumi?
Dia bukan tidak ada kelayakan untuk membelah awan biru, tetapi dia ada perancangannya sendiri. Tidak selamanya dia mahu bekerja di Old Malaya Kopitiam. Dia sedang kutip pengalaman. Sampai masa dia akan jalankan perniagaannya sendiri. Dia sangat minat dengan perniagaan berunsur makanan.
Tidak lama kemudian, makanan yang dipesan oleh Afeef Zakwan sampai. Dia hanya tersenyum melihat adiknya makan dengan penuh berselera.
“Mak ada telefon?” soal Afeef Zakwan.
Akeel Firdaus yang kekenyangan, menghirup kopi panas dengan penuh nikmat. Dia menggeleng kepala. “Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Mak rindu kitalah kut. Dia telefon abang,” balas Afeef Zakwan perlahan. Wajahnya nampak sedikit gusar.
“Mak tu bukan apa. Dia risaulah tu kita jauh daripada dia. Lagipun, mesti dia ada tanya pasal bakal menantu.” Akeel Firdaus tersengih.
Afeef Zakwan turut tersenyum. Memang ia pun. Setiap kali mak mereka telefon, perkara yang tak pernah lupa untuk tanya. Mana bakal menantu mak?
“Akeel jalan merata dunia, takkan tak ada satu pun minah salih yang sangkut? Kalau bukan minah salih ori, minah salih celup pun takkan tak ada?” usik Afeef Zakwan.
Akeel Firdaus berfikir sejenak. Fikirannya terus ligat berputar mengenangkan seorang wanita pelik yang dia jumpa baru-baru ini.
“Minah salih celup adalah juga. Tapi... seramlah.” Akeel Firdaus buat gaya geli-geleman.
“Kenapa pulak?” soal Afeef Zakwan semakin berminat.
“Dia terlampau berani. Sesuai dengan abang rasanya. Abang tu kalau mengurat perempuan pun acah-acah berani aje. Tapi, bila perempuan senyum, terus mata tu tengok lantai.” Akeel Firdaus sudah ketawa galak.
Merah padam wajah Afeef Zakwan bila diusik begitu.
“Ada pulak abang,” tepis Afeef Zakwan sambil menggeleng kepala.
“Betul. Sesuai kalau dia mengurat abang. Abangkan pemalu,” usik Akeel Firdaus lagi.
“Dah, sudah. Tak payah nak lebih-lebih. Bila masa abang nak mengurat? Duduk kat ceruk dapur kopitiam tu aje. Lainlah Akeel, tak ada minah salih, pramugari pun ramai.” Afeef Zakwan tersenyum.
“Sudahlah, abang. Banyak sangat alasan tu. Patutlah mak membebelkan abang tak kahwin-kahwin. Umur dah 32 tahun mengurat awek pun tak reti.” Tak habis-habis Akeel Firdaus menggiat abangnya.
“Sebab itulah Akeel kena kahwin dulu. Baru abang bersemangat nak cari calon.” Afeef Zakwan tersengih.
“Alahai, bersemangat cari calon konon. Kawan Akeel yang pramugari tu dua tiga orang kirim salam, tapi buat muka tak faham apa-apa aje.” Akeel Firdaus menggeleng kepala. Tak faham dengan sikap abang sendiri.
Kemudian dua-dua bergabung tawa. Tertawakan diri sendiri.
“Insya-Allah. Sampai masa, kahwinlah abang. Cuma abang nak cakap, kalau sampai seru dan jodoh Akeel, kahwinlah dulu. Tak payah tunggu abang,” ucap Akeel Firdaus selepas reda daripada tawanya.
Mereka faham ibu yang jauh di kampung itu mengharapkan anak-anaknya ini fikir masa depan untuk berkeluarga. Bukan hanya fikir kerja semata-mata.

PENING kepala Elena bila bosnya mula jatuh cinta. Bertambah pening bila melihat Zulfah Insyirah mundar-mandir di dalam bilik pejabatnya. Namun, Elena diamkan sahaja. Turut sahaja segala kemahuan Zulfah Insyirah. Kalau dibantah, Elena takut jadi singa pula bosnya nanti.
Sesekali mata Zulfah Insyirah memandang Elena yang setia menunggunya. Dia mendesis bila melihat wajah kosong Elena. Huh! Tak boleh diharap langsung.
Tell me, Elena. Apa yang perlu I buat sekarang?” soal Zulfah Insyirah. Keadaannya seperti terdesak.
“Bertenang, Cik Zufa. Kan Cik Zufa ada bagi dia kad nama? Mana tahu nanti dia call Cik Zufa.” Elena beri cadangan.
“Lambat! Lagi satu, I tak rasa dia akan call. Mesti dia sibuk lepas tu lupakan segala-galanya,” luah Zulfah Insyirah.
Dengan Elena sahaja Zulfah Insyirah boleh berkongsi tentang perasaannya. Dia selesa dengan gadis itu. Dia tahu Elena bukan kaki bawa mulut dan mencanangkan semuanya kepada staf yang lain. Dia boleh percayakan Elena selepas bertahun-tahun gadis itu bekerja di sampingnya.
“Hah!” Elena tiba-tiba petik jari. Gaya dapat idea paling bernas untuk Zulfah Insyirah.
Zulfah Insyirah menunggu dengan muka penuh mengharap. Dia berhenti mundar-mandir dan menunggu Elena melontarkan idea bernasnya.
“Cepatlah, Elena. Apa dia? Apa yang you fikir?” soal Zulfah Insyirah tidak sabar.
“Kita hantar orang kita untuk risik Akeel Firdaus tu,” cadang Elena.
Zulfah Insyirah diam berfikir cadangan pembantu peribadinya itu. Di kepalanya terbayangkan Din dan Dol.
Brilliant! Idea you memang brilliant. Din dan Dol boleh tolong I.” Sepantas kilat Zulfah Insyirah menuju ke mejanya dan mencapai gagang telefon.
Nombor telefon pengawal peribadinya didail. Jari-jemari runcing Zulfah Insyirah mengetuk-ngetuk meja sementara menunggu panggilannya dijawab.
“Helo, apasal you lembap sangat nak angkat phone? Tidur ke?” Mencerlang mata Zulfah Insyirah memarahi pengawal peribadinya. Dia mendengus geram.
Elena yang mendengar hanya sembunyi senyum. Dia betul-betul pelik, macam manalah Zulfah Insyirah boleh ambil pengawal peribadi seperti Din dan Dol. Mungkin Zulfah Insyirah tidak tahu sikap sebenar dua lelaki kembar itu. Memang betul di hadapan Zulfah Insyirah, Din dan Dol agak serius dan cekap melakukan kerja mereka. Tetapi, Zulfah Insyirah tidak tahu, di belakangnya Din dan Dol merupakan kembar yang sentiasa disenangi oleh semua pekerja dengan sikap lawak mereka.
“Sudah! I tak nak dengar alasan-alasan bodoh tu. I nak you naik ke pejabat I sekarang juga.” Zulfah Insyirah menghempas kasar gagang telefon ke tempat asalnya. Dia berpeluk tubuh. Mulutnya terkumat-kamit merungutkan Din dan Dol.
Elena hanya diam. Dia masih menunggu kalau-kalau Zulfah Insyirah masih perlukannya.
“Dah, you tunggu apa lagi? Pergilah buat kerja you,” arah Zulfah Insyirah sambil berjalan dan duduk di kerusinya.
Cepat-cepat Elena mengangguk dan meloloskan diri keluar dari bilik Zulfah Insyirah. Dia pun banyak lagi kerja yang Zulfah Insyirah berikan. Tak ada masa dia nak masuk campur urusan peribadi bosnya itu.
Sebaik sahaja pintu ditutup, Elena berpusing untuk menuju ke tempat duduknya. Terkejut dan hampir sahaja dia menjerit bila dua lelaki berkepala botak berdiri betul-betul di belakangnya. Wajah mereka ternyata gusar. Tidak hirau langsung dengan Elena yang separuh mati terkejutkan mereka.
“Cik Elena, kenapa Cik Zufa nak jumpa?” soal Din.
“Kenapa Cik Zufa nak jumpa, Cik Elena?” soal Dol pula.
“Hisy, sorang aje tanya cukuplah. Pening kepala aku,” rungut Elena. Daripada mengurut dada dia mengurut pelipisnya pula.
Din dan Dol tersengih-sengih.
Elena melepaskan keluhan. Dia memandang sepasang kembar itu.
“Cik Zufa nak bagi kerja kat kau oranglah. Apa lagi? Macamlah tak biasa bila Cik Zufa nak jumpa,” ujar Elena.
“Biasa tu memang biasa. Tapi, waktu macam ni dia nak jumpa. Lepas tu menjerit macam orang mati laki kat kami, itu yang tak biasa,” balas Din.
“Eh? Menjerit itu kan dah jadi rutin dia. Kau orang tak pernah kena?” soal Elena hairan.
Din dan Dol serentak menggeleng kepala.
“Kami hebat buat kerja. Jadi, tak pernahlah kena jerit. Cik Elena dengan geng-geng lain selalu bergosip pasal dia agaknya,” seloroh Dol pula.
“Ah! Sudahlah! Lebih baik kau orang masuk cepat sebelum dia menjerit kat kau orang lagi. Cepat!” arah Elena sambil petik-petik jari dan menghala tangannya ke muka pintu tanda menyuruh mereka masuk.
Kelam-kabut dan berebut-rebut Din dan Dol masuk ke dalam bilik Zulfah Insyirah. Bagai nak tercekik halkum sendiri bila Zulfah Insyirah menjeritkan mereka tidak sampai 10 saat mereka masuk.
Elena ketawa sendirian.
“Hebat buat kerja konon,” ejek Elena sambil duduk di tempatnya.

DIN dan Dol berdiri tegak di hadapan Zulfah Insyirah yang sudah berdiri dan bersandar di meja kerjanya. Dia masih berpeluk tubuh dan merenung tajam dua pengawal peribadinya yang menunduk sahaja sedari tadi.
“Dengar sini.” Zulfah Insyirah mula bersuara.
Din dan Dol mula angkat muka dan menunggu kata-kata seterusnya daripada Zulfah Insyirah. Mahu dengar dengan teliti dan fahamkan betul-betul apa arahan Zulfah Insyirah kerana selepas ini mereka tahu Zulfah Insyirah tak akan ulangi arahannya lagi.
“I nak you berdua pergi ke airport. Cari lelaki bernama Akeel Firdaus.” Terasa ada satu perasaan menyusup masuk ketika Zulfah Insyirah menyebut nama lelaki itu.
“Akeel Firdaus.” Din pantas menulis nama lelaki itu kemudian menunggu lagi maklumat daripada Zulfah Insyirah.
“Tak susah you all nak cari sebab dia seorang pramugara,” sambung Zulfah Insyirah lagi.
“Lepas kami jumpa, apa pesanannya, Cik Zufa?” soal Dol pula.
“Katakan kepada dia, yang I nak jumpa. Makan malam dengan dia. Serahkan risalah ni kepada dia.” Zulfah Insyirah hulur risalah berkenaan dengan produk Zufa Beauty Skincare. Pada risalah tersebut ada terpampang wajah cantik gebu Zulfah Insyirah. Dia berharap dengan adanya gambar dia di situ, Akeel Firdaus akan tertarik untuk mengenalinya. Dia yakin, siapa yang tidak mahu berkenalan dengan wanita kaya di usia muda ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan