Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 12 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 9

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

SEWAKTU makan tengah hari, Akeel Firdaus mula terkenangkan peristiwa di dalam lif sebentar tadi.
Zulfah Insyirah pula perasan perubahan mood Akeel Firdaus. Tiba-tiba sahaja lelaki itu nampak ceria dan sesekali tersenyum sendirian. Naik meluat pula Zulfah Insyirah melihatnya. Kalau senyuman Akeel Firdaus itu untuknya tak adalah dia kisah sangat, tetapi Zulfah Insyirah tahu senyuman itu untuk Syasya.
Perempuan tak guna! Berani betul dia naik satu lif dengan aku! Dia ingat dia siapa? Tak ada ke orang bagi tahu dia apa yang aku suka dan apa yang aku tak suka? Zulfah Insyirah membebel dalam hati. Dia pandang lagi Akeel Firdaus yang sedang khusyuk menyuap makanan.
“Apa yang you tersenyum-senyum?” duga Zulfah Insyirah. Dia lap mulutnya dengan napkin yang terhampar di atas paha. Kemudian bersandar pada kerusi. Seleranya sudah hilang.
Akeel Firdaus panggung kepala. Memandang wajah cemberut Zulfah Insyirah. Dia tersenyum lagi dan menggeleng kepala. “Nothing.”
Zulfah Insyirah tersenyum sinis. Dia berpeluk tubuh dan mula silangkan kaki. Tidak percaya langsung dengan jawapan Akeel Firdaus.
Akeel Firdaus pula terasa diri diperhatikan. Dia kembali tunak memandang Zulfah Insyirah.
“Kenapa you pandang I macam tu? You tak happy dapat lunch dengan I?” soal Akeel Firdaus.
Of courselah I happy. Tapi, yang I tak faham you tiba-tiba happy macam ni,” balas Zulfah Insyirah.
Dia mula tunjuk protesnya macam dia sudah kenal dan bercinta dengan Akeel Firdaus. Padahal mereka baru kenal lebih kurang sebulan.
Birthday party you nak present apa?” Sengaja Akeel Firdaus tukar topik. Dia beri senyuman paling manis buat wanita di depannya ini.
Serta-merta Zulfah Insyirah berubah wajah. Dia tersenyum. Bahagia bila Akeel Firdaus soalnya begitu.
“I tak nak apa-apa hadiah. I nak you ada di samping I masa birthday party I nanti,” balas Zulfah Insyirah.
Ya, dia tidak perlukan apa-apa kerana dia sudah dapat segala-galanya yang dia idamkan. Harta, kecantikan dan perniagaan yang kukuh. Harta yang dia usaha sendiri itu sehingga tujuh keturunan pun tidak habis dimakan.
“You jemput siapa lagi? I segan kalau datang sorang-sorang.” Sengaja Akeel Firdaus pancing dengan soalan begitu. Dia mahu tahu siapa yang akan datang. Manalah tahu kalau-kalau gadis cantik yang dia jumpa di dalam lif tadi ada bersama.
“Tak ada sesiapa. Just my workers and my clients,” jawab Zulfah Insyirah tanpa syak apa-apa.
Akeel Firdaus mengangguk tanda faham. Bermakna peluang untuk dia berjumpa dengan gadis tadi semakin cerah.
“Oh ya. Kalau you segan, you boleh bawak kawan. Tapi, lelaki.” Zulfah Insyirah tersenyum lebar.
Akeel Firdaus juga turut tersenyum. Dalam kepalanya terbayang wajah Afeef Zakwan. Afeef Zakwan pasti akan bantu dia.

DALAM perjalanan balik ke rumah, fikiran Akeel Firdaus sentiasa dibayangi gadis cantik tinggi lampai yang dijumpai di dalam lif. Puas dia usir, tetapi wajah itu tetap bermain di ruang matanya.
“Hei, dah kenapa pulak aku asyik terfikir perempuan tu?” soal Akeel Firdaus sendirian. Dia tersenyum.
Ini baru dikatakan cinta menurut definisi Akeel Firdaus. Bila pertama kali jumpa sahaja hati sudah berdebar-debar. Fikiran mula tidak tentu arah. Asyik terbayang-bayang dalam fikiran.
Stereng kereta dibelok masuk ke halaman rumah teres dua tingkat yang disewa bersama abangnya. Senyuman masih tidak lekang walaupun sudah masuk ke dalam rumah.
Afeef Zakwan baru selesai solat asar bila Akeel Firdaus menjenguk bilik abangnya. Kemudian Akeel Firdaus baring di atas sofa sambil menonton televisyen. Afeef Zakwan keluar dari bilik dan melihat wajah adiknya yang ceria semacam.
“Dah solat?” soal Afeef Zakwan. Seperti selalu sentiasa mengingatkan adiknya.
Akeel Firdaus menggeleng. “Kejap lagi.”
Afeef Zakwan duduk di sofa tunggal. Mata masih memandang ke wajah Akeel Firdaus. Dia tahu mata sahaja terarah ke televisyen, tetapi fikiran adiknya melayang entah ke mana.
“Senyum sorang-orang macam orang gila, kenapa?” soal Afeef Zakwan sambil menepuk lengan Akeel Firdaus.
Akeel Firdaus memandang abangnya. Daripada berbaring kini dia duduk pula. Masih tersenyum-senyum penuh makna.
“Akeel dah jatuh cinta,” ucap Akeel Firdaus. Sewaktu mengucapkan kata-kata itu dia terasa dirinya berada di awang-awangan.
“Alhamdulillah. Akhirnya terbuka juga pintu hati kau, dik. Itulah lain kali jangan tak suka sangat. Sekarang kan dah suka,” balas Afeef Zakwan yang tidak tahu hujung pangkal maksud dan kepada siapa Akeel Firdaus ucapkan.
“Abang cakap apa ni?” soal Akeel Firdaus terpinga-pinga.
“La... Cik Zufa Akeel tulah, kan?” teka Afeef Zakwan.
Serta-merta merah padam wajah Akeel Firdaus. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Tak sangka abangnya akan berfikir sejauh itu.
“Bukan dengan Cik Zufalah. Apalah abang ni. Macam manalah abang boleh fikir sampai ke situ,” balas Akeel Firdaus sambil geleng kepala tidak percaya.
“Habis tu, dah dalam sebulan ni asyik cerita pasal Zulfah Insyirah aje yang abang dengar. Mestilah abang ingatkan dia. Habis tu, dengan siapa pulak Akeel jatuh cinta ni?” soal Afeef Zakwan.
Hai, rosak betullah adiknya ini. Sedang ada perempuan terkejar-kejarkan dia, boleh pula dia terkejar-kejarkan perempuan lain. Spontan Afeef Zakwan menggeleng kepala dengan sikap adiknya.
“Ha, tu geleng-geleng kepala tu mesti mengata dalam hatilah tu, kan?” soal Akeel Firdaus.
“Memanglah. Tak payah nak jadi playboy jadianlah. Tak layak,” balas Afeef Zakwan.
Adiknya itu bukan seorang kaki perempuan. Sebab itulah bila terjadi perkara begini Afeef Zakwan seperti seakan-akan tidak percaya.
“Ini baru betul cinta, bang. Cinta pandang pertama. Akeel rasa memang dah jatuh cinta kat pekerja dia,” luah Akeel Firdaus.
“Ya Allah.” Afeef Zakwan tepuk dahi. “Sebab itu abang kata Akeel tak layak jadi playboy. Kalau ia pun, tak boleh ke cari orang yang jauh sikit? Confirmlah Zulfah Insyirah tu tahu kalau Akeel pasang perempuan lain.”
“Peduli apa? Akeel tak ada pun kata yang Akeel sukakan dia. Dia yang gedik cari Akeel.” Akeel Firdaus jeling abangnya.
“Habis tu, macam mana sekarang?” soal Afeef Zakwan lagi.
“Kita pergi birthday party Zulfah Insyirah?” cadang Akeel Firdaus.
“Apa relevannya?”
“Dia ajak semua pekerja dan klien dia. Mesti perempuan yang Akeel jumpa tu ada,” balas Akeel Firdaus.
“Yakin nampaknya?” Afeef Zakwan mengurut dagu.
“Kita cubalah. Kalau betul jodoh Akeel mesti akan terjumpa. Jadi, Akeel nak abang ikut sekali,” pelawa Akeel Firdaus. Wajahnya ketara seronok dengan rancangannya sendiri.
“Tak naklah. Apa ingat abang ni muka tembok nak pergi kalau orang tak ajak? Dia kenal abang pun tak. Lagi satu, abang takut nanti perempuan yang Akeel suka tu terpaut kat abang pulak. Tak naklah.” Afeef Zakwan sudah buat muka.
“Jangan nak perasan boleh? Zulfah Insyirah tu yang ajak. Dia kata Akeel boleh bawak kawan. Dengan syarat, kawan tu lelaki. Dah abang jangan banyak bunyi. Birthday party hujung minggu depan.” Akeel Firdaus tidak peduli.
Afeef Zakwan harus temani dia ke majlis hari jadi Zulfah Insyirah.
“Ialah, ialah. Sekarang pergi solat,” arah Afeef Zakwan.
Spontan Akeel Firdaus berdiri. “Baik bos!”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan