Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 4 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 1

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Deringan telefon yang terletak di tepi sebuah radio Sony yang berwarna hitam di ruang tamu menarik perhatian Durrah yang sedang menonton filem Confession of a Shopaholic di laptopnya.
“Kacau!” Bukan setakat berdesis geram, sempat lagi Durrah menjeling sebelum kembali menalakan pandangannya ke arah skrin laptop. Filem yang baru sahaja bermula 15 minit kembali ditonton dengan penuh minat.
Bunyi kerja-kerja penurapan jalan yang sedang dijalankan di luar tidak mengganggu perhatian Durrah. Dia tidak mengendahkannya langsung. Dia yang enak bersantai di sebuah sofa yang sudah pudar warnanya terus menonton filem yang diadaptasi daripada sebuah novel hasil karya Sophie Kinsella.
Mulutnya pula sibuk mengunyah keropok kentang Mister Potato. Segelas air Nescafe ais turut tersaji di atas meja di ruang tamu yang menempatkan laptop kesayangannya. Sedang asyik menonton, telefon bimbitnya yang juga berada di atas meja mula mengalunkan lagu Chicago nyanyian Michael Jackson. Terus tangan mencapai telefon.
“Helo?” Dengan mata yang masih lagi terarah pada skrin laptop, Durrah menjawab sebaik telefon Samsung Galaxy Note 3 miliknya sudah berada di tangan.
“Helo. Boleh saya bercakap dengan Cik Nur Durrah binti Damanhuri?”
Suara wanita yang kedengaran mula membuatkan Durrah berkerut kening. Dia yang tadinya elok bersila di atas sofa terus terbangun. Nada yang kedengaran formal itu sudah terbiasa di telinganya sejak beberapa bulan yang lalu. Mungkin lebih kurang tiga bulan yang lalu. Telefon yang tadinya dirapatkan ke telinga mula dijarakkan.
“Isy!” Spontan satu patah kata itu meluncur perlahan sebaik Durrah memandang skrin. Kelihatan nama Pengacau 1 di situ. Matanya mula mengecil sambil menggigit bibir sendiri.
“Awak lagi ya?” Tidak bertangguh, Durrah terus melepaskan soalan sebaik mendekatkan semula telefon bimbitnya ke telinga.
“Err... maafkan saya cik. Sebenarnya...”
“Isy! Berapa kali saya nak cakap? Saya takkan setuju. Awak cakap kat bos awak tu, apa nak jadi sekalipun saya tetap takkan setuju. Faham?!” Skrin Samsung itu disentuh kasar untuk menamatkan perbualan.
Hati yang tadinya senang dan teruja untuk menonton filem kegemarannya mula terasa panas. Durrah terus mencampakkan telefon ke sofa. Kaki mula melangkah menghampiri tingkap rumah.
“Tak cukup dengan telefon rumah, sampai ke telefon aku pun dia orang nak kacau? Huh!” Durrah melempiaskan emosinya di jendela. Matanya tajam menyorot beberapa orang pekerja yang sedang sibuk melakukan kerja-kerja penurapan jalan bertentangan dengan rumahnya.
Durrah berlalu semula ke sofa sambil mendengus. Punggung dihenyak kembali ke sofa dengan kepala yang digeleng beberapa kali.
“Apa nak jadi pun jadilah. Aku tetap takkan setuju. Mereka ingat mereka siapa?” Durrah terus menggerutu seorang diri.
Filem Confession of a Shopaholic yang masih tertayang pada skrin laptop tidak lagi menarik minat Durrah untuk terus menonton. Kepalanya kembali berserabut memikirkan masalah yang menghantui dirinya lebih kurang tiga bulan yang lalu.
Dia mula menyandarkan kepala ke sofa. Terkebil-kebil mata Durrah memerhati siling rumah. Rumah itu terasa kosong. Sunyi dan sepi daripada sebarang bunyi kecuali bunyi yang datang dari seberang jalan. Mata mula dipejam perlahan. Terngiang-ngiang gelak ketawa yang dahulunya pernah memenuhi rumah itu.
Wajah-wajah kesayangannya datang bertamu tanpa dipinta. Ayah, emak dan adik-adiknya. Masing-masing tersenyum kepada Durrah. Air jernih yang mengalir di kedua-dua-dua pipi Durrah membuatkan dia kembali membuka mata. Siling asbestos yang berwarna putih kembali dipandang kosong. Sekosong fikirannya sekarang.
Alunan lagu Chicago yang kembali kedengaran membuatkan Durrah pantas menyeka kedua-dua belah pipinya. Gadjet yang dilepaskan ke sofa tadi dicapai. Kelihatan nama Pengacau 2 pada skrin.
“Sampai kiamat pun aku takkan jawab!” Durrah melepaskan semula telefonnya ke atas sofa dengan geram. Nafasnya mula tidak teratur menahan geram yang kembali menyerang. Beberapa saat kemudian, alunan lagu itu berhenti.
“Tak habis-habis nak kacau aku! Berapa kali aku nak cakap yang...” Belum pun sempat Durrah terus menghamburkan rasa marahnya, telefonnya kembali berdering. Tidak bertangguh, terus telefon itu disambar.
“Hei! Berapa kali saya nak cakap? Saya kata tak mau, tak maulah! Apa yang susah sangat awak nak faham? Bagi tahu kat bos awak tu yang saya...”
“Durrah, akulah!”
Suara yang kedengaran terus mematikan kata-kata Durrah. Telefon dijarakkan dari telinga untuk memerhati nama yang tertera pada skrin. Sengaja ingin memastikan biarpun suara itu terbiasa benar pada pendengarannya.
“Nuha...” Meleret suara Durrah sebaik mendekatkan semula telefon rapat ke pipi.
“Yalah, aku. Yang kau duk marah-marah ni kenapa? Marah macam mak naga duk sembur api tak berhenti-henti.”
“La... Kau bukan tak tahu kenapa aku marah. Pasal kes tulah. Kau tahu tak?”
“Kenapa?” Nuha yang tidak sabar terus mencelah.
“Kau tau kan, pasal syarikat tu? Dari tadi dia orang duk telefon aku. Mula-mula telefon kat telefon rumah. Aku tak jawab pun. Tengah aku duk sedap-sedap layan Confession of a Shopaholic, pekerja syarikat tu telefon lagi. Kali ni, kat telefon bimbit aku. Bukan sekali, tapi dua kali! Tu yang tadi tu aku ingat orang tu lagi. Sebab tu aku marah-marah.” Durrah terus mengadu.
“Ya ke? Aku ingat mereka seriuslah Durrah. Alah, aku pun susah nak cakap kat kau. Tapi, err... kau ni biar betul. Kau serius nak buat macam ni?”
Kata-kata Nuha membuatkan Durrah melepaskan nafas panjang. Bukan setakat kawan baiknya itu, bahkan jiran-jiran yang lain pun sebelum ini asyik bertanyakan hal yang sama. Sudah naik bosan dia ingin menjawab.
“Eii, Nuha! Aku bukannya budak-budak tau? Tahulah aku apa yang aku buat. Yang mereka kat sana tu, tak faham bahasa? Kan aku dah kata, aku tak nak. Tak naklah! Apa yang susah sangat nak faham?” Durrah mula berdesis geram.
Kedengaran Nuha menggumam di hujung telinganya. Durrah mula menggigit bibir menanti kata-kata kawan baiknya itu. Bukannya dia tidak tahu pandangan Nuha mengenai hal yang satu itu. Hal yang membuatkan dirinya diganggu dengan panggilan telefon hampir setiap hari. Bukan hampir, tapi memang setiap hari. Kecuali hujung minggu.
“Aku tahulah yang kau ni bukan budak-budak lagi. Sebab tu aku tanya. Aku tak nak apa-apa jadi kat kau.”
Durrah tertawa kecil apabila mendengar ucap kata Nuha.
“Kenapa kau gelak?”
“Kau tu risau tak bertempat. Dah, tak payah nak risau sangat. Lagipun, ni memang rumah aku. Memang aku yang ada hak, bukan dia orang. Selagi aku tak sain mana-mana surat untuk lepaskan hak rumah ni, selagi tu mereka tak boleh buat apa. Kau tau, kan?” balas Durrah yang sudah kembali serius.
“Yang tu aku pun tau. Cuma...”
“Cuma apa?”
“Isy! Aku pun tak tau dah nak cakap macam mana. Aku memanglah sokong kau sebab kau kawan aku, tapi...”
“Dahlah Nuha. Aku tak mau fikir apa dah. Apa nak jadi sekalipun aku tetap dengan keputusan aku. Titik. Muktamad.”
“Hmm... Yalah, yalah. Aku telefon ni sebab nak bagi tahu satu benda. Benda penting.”
Nada suara Nuha yang kedengaran sedikit teruja itu membuatkan Durrah berkerut dahi. “Apa dia?”
“Nanti Miss World ajak buat reunion.”
“Apa?!” Mata Durrah sudah terjegil sebaik mendengar maklumat yang disampaikan oleh Nuha.
“Ya. Dia ajak buat reunion. Kau nak pergi tak?”
“Malaslah. Kenapa? Kau nak pergi?” Durrah pula melepaskan soalan kepada Nuha.
“Kalau dah kau tak pergi, takkan aku nak pergi. Agak-agaklah.”
Durrah terdiam sejenak. Miss World. Sudah berapa lama mereka tidak ketemu dan sekarang ingin buat majlis pertemuan semula? Ah! Mesti ada agenda si Miss World itu. Peraturan pertama, jangan sesekali percaya dengan cakap Miss World itu. Never ever!
“Helo, Durrah? Kau dengar tak ni?”
Suara Nuha yang kembali kedengaran menyedarkan Durrah yang baru memutarkan kenangan masa lalu bersama-sama dengan Miss World. “Err... ya. Kenapa?”
“Kenapa? Kau ni mengelamun ke apa? Aku kata tadi, kalau kau tak pergi takkanlah aku nak pergi.”
“Oh! Ya, ya. Memanglah aku tak pergi. Kau ni pun Nuha. Macamlah kau tak tau dia dengan kita macam mana, kan? Atau lebih tepat lagi, dia dengan aku,” ujar Durrah sambil mencebik. Siap dengan jari telunjuk menuding ke dada sendiri. Terasa jengkel apabila bercakap mengenai Miss World yang seorang itu.
“Aku tahulah. Tapi benda tu dah lama kut? Waktu kita kat sekolah menengah. Takkan kau ingat lagi?” balas Nuha yang sudah tergelak di hujung talian.
“Mestilah! Cuba kalau kau yang kena, takkan kau tak ingat?” Durrah bernada serius. Semakin geram pula rasanya kepada Miss World sekarang apabila kenangan lalu diungkit. Lebih sakit hati apabila ketawa Nuha semakin kuat pula di hujung talian. “Gelaklah, gelak. Gelak kat orang mesti seronok, kan?”
Dengan tawa yang masih bersisa, Nuha cuba bersuara. “Taklah. Kau tu, benda dah lepas, kan? Tak payahlah nak sakit hati sangat.”
“Tak payah nak sakit hati sangat? Kalau kau tanya kat Steve pun, entah-entah dia pun ingat lagi, kau tahu tak? Senang saja kau nak cakap tak payah nak sakit hati, kan?” Durrah masih bernada serius.
“Okey, okey. Kita tak payah cakap dah pasal perempuan tu, ya? Jadi, kau duk berhubung lagi dengan Steve?” Nuha mengubah topik perbualan. Namun, bibirnya masih lagi menguntumkan senyuman mengenangkan hal yang satu itu. Alah, bukannya Durrah boleh nampak pun!
“Mestilah. Aku duk berhubung dengan dia di FB,” sahut Durrah.
Dia yang tadinya menyandar di sofa terus membongkok ke depan untuk mencapai tetikus. Tangan mula menggerakkan tetikus untuk menutup VLC player yang masih memainkan filem Inggeris lakonan Isla Fisher itu. Terus anak panah digerakkan untuk membuka Facebook dan mulut masih rancak berbual dengan Nuha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan