Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 12 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 6

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

DIN dan Dol pulang semula ke pejabat dengan perasaan lega. Ini bermakna mereka boleh menjawab dengan tenang bila Zulfah Insyirah bertanyakan tentang arahannya pagi tadi. Riang sungguh mereka bernyanyi sebaik sahaja masuk ke ruangan kerja di tingkat atas.
Elena mendongak memandang mereka yang menghampiri meja kerjanya. Dia tersenyum menyambut kepulangan mereka.
“Selesai dah misi kau orang?” soal Elena sambil jongket kening sebelah.
“Tengok kepala botak nilah. Mestilah berjaya.” Din mendabik dada.
“Jangan pandang kita orang sebelah mata tau.” Dol menjeling sambil menjelirkan lidah.
Elena hanya mencebik. Mereka pula masih tercegat di hadapan Elena.
“Kau orang nak jumpa Cik Zufa ke? Tunggu sekejap.” Elena mengangkat gagang telefon dan menekan butang satu.
“Cik Zufa, Din dan Dol dah balik. Dia orang ada ni nak jumpa Cik Zufa. Okey, Cik Zufa.” Gagang telefon diletakkan dan Elena kembali memusatkan pandangan kepada Din dan Dol. “Silalah masuk.”
Din dan Dol bersemangat mengetuk pintu dan masuk ke dalam bilik Zulfah Insyirah. Kelihatan Zulfah Insyirah sedang bersandar sambil memandang mereka. Wajahnya serius sahaja, tetapi dalam hati meronta-ronta ingin tahu apa maklum balas yang Din dan Dol bawakan untuknya.
“Cik Zufa, kami dah jumpa dah Akeel Firdaus.” Din bersuara serius.
“Dah sampaikan apa yang I suruh?” soal Zulfah Insyirah perlahan.
“Dah, Cik Zufa. Dia janji akan call Cik Zufa. Dia suruh Cik Zufa tunggu aje.” Dol sudah tersengih-sengih.
“Kalau macam tu, okeylah. You all boleh sambung kerja,” balas Zulfah Insyirah. Kemudian dia juga tekun menyambung kerjanya.
Din dan Dol terus sahaja keluar dari bilik Zulfah Insyrah sebelum mereka kena tempik dengan wanita itu.
Sebaik sahaja Din dan Dol keluar, Zulfah Insyirah kembali bersandar pada kerusi empuknya. Dia tersenyum-senyum sambil berangan. Memang dia sedang angau ketika ini. Apa sahaja yang dia lakukan pasti terbayang-bayang wajah Akeel Firdaus di matanya.
Telefon pintarnya digenggam kemas. Dia betul-betul mengharap Akeel Firdaus akan menghubunginya. Dia akan pastikan mereka berdua meluangkan masa bersama.

AKEEL FIRDAUS termenung di Old Malaya Kopitiam. Hari ini dia bercadang mahu lepak santai di kopitiam tersebut sambil melayari Internet memandangkan dia mula bercuti esok selama dua hari. Jadi, dia bercadang mahu tunggu abangnya untuk pulang bersama-sama. Petang itu syif Afeef Zakwan akan tamat.
Kopitiam nampak lengang. Afeef Zakwan meninjau Akeel Firdaus yang duduk di bahagian hujung. Perlahan-lahan dia menghampiri adiknya.
“Fikir apa tu? Termenung jauh nampaknya,” tegur Afeef Zakwan sambil duduk di sebelah Akeel Firdaus.
Akeel Firdaus hanya tersenyum kelat. Takkanlah abangnya tidak tahu apa yang dia menungkan? Baru sebentar tadi dia bercerita tentang perasaan yang ada dalam hatinya.
“Janganlah fikir teruk-teruk sangat. Macam nak pergi jumpa ketua gengster aje,” usik Afeef Zakwan. Padahal pertama kali Afeef Zakwan jumpa Zulfah Insyirah pun dah macam gengster.
“Akeel tak ada hati nak pergi jumpa. Dia nak jumpa untuk apa? Kenapa Akeel?” Soalan yang bermain-main dalam fikirannya diluahkan kepada Afeef Zakwan.
“Jumpa ajelah supaya boleh tahu apa yang Zulfah Insyirah tu nak. Sedap nama dia, Akeel. Sama padan dengan tuannya. Cantik,” puji Afeef Zakwan sambil matanya jatuh pada risalah yang terletak di atas meja.
“Kalau ada pertemuan pertama, mesti ada pertemuan kedua, kan? Itu yang Akeel tak nak. Akeel tak nak beri harapan kepada dia,” balas Akeel Firdaus.
Afeef Zakwan ketawa kuat. Dia menggeleng kepala.
“Perasan handsome sangat adik abang ni. Betul ke dia ada hati dengan Akeel? Entah-entah nak jumpa sebab soal business ke? Mana kita tahu. Sebab itulah kena pergi jumpa. Tanya elok-elok apa tujuan dia,” nasihat Afeef Zakwan.
“Beratlah rasa hati ni. Akeel tak suka main-mainkan perasaan anak dara orang. Lagipun abang tahu kan Akeel macam mana. Akeel suka terus terang.” Akeel Firdaus gusar. Dia belum bersedia mahu bercinta. Dia belum jumpa wanita yang berjaya menggetarkan hatinya.
“Ya, abang tahu. Tapi, apa salahnya berjumpa? Lelaki gentleman kena berani.” Tak putus asa Afeef Zakwan memujuk adiknya.
Dalam diam Akeel Firdaus sembunyi senyum. Kalau bab nasihat, abang sulungnya ini memang nombor satu. Tapi, kalau kena pada batang hidung sendiri, Afeef Zakwan selalu mengelak.
“Ha, tu kenapa senyum sorang-sorang tu? Kutuk abanglah tu, kan?” tebak Afeef Zakwan.
Akeel Firdaus pantas menggeleng. Sedaya upaya dia seriuskan wajah dan memikirkan masalah yang baru menimpa.
“Akeel harap ni pertemuan pertama dan terakhir. Bergantung pada tujuan Zulfah Insyirah ni nak berjumpa.” Akeel Firdaus sudah buat keputusan.
“Bagus. Macam itulah adik abang. Teringin abang nak tengok Zulfah Insyirah ni depan-depan, macam manalah orangnya. Mesti cantik bergaya sama macam dalam risalah tu,” puji Afeef Zakwan. Mataya kembali merenung wanita pada risalah tersebut.
Satu perasaan menyusup masuk ke dalam hati. Namun, dia tidak pasti perasaan apa.

MELOMPAT-LOMPAT Zulfah Insyirah di atas katil kemudian terjun ke bawah. Gembiranya rasa hati bila dia menerima panggilan daripada Akeel Firdaus sebentar tadi. Mereka telah tetapkan pertemuan.
Malam ini malam paling bahagia untuk Zulfah Insyirah. Sudah begitu lama dia tidak bahagia dan gembira seperti ini. Terlalu banyak yang terpendam sehingga menyeksa diri sendiri.
Pantas Zulfah Insyirah menuju ke sebuah bilik khas yang menempatkan semua koleksi baju dan aksesorinya. Satu pintu gelangsar ditolak. Terserlah bermacam-macam baju yang bergantungan di situ.
Zulfah Insyirah menarik sebuah gaun berwarna kuning muda. Dia gayakan di hadapan cermin besar yang terdapat di sudut bilik. Tidak berkenan. Dia campak sahaja ke lantai. Kemudian Zulfah Insyirah menarik lagi gaun berwarna merah jambu. Digayakan lagi. Terlalu biasa pula.
Zulfah Insyirah mencari lagi. Diselak ke sana ke sini baju yang bergantungan itu. Kemudian dia menarik lagi gaun paras lutut mengikut potongan badan berwarna hitam. Zulfah Insyirah berdiri di hadapan cermin dan letak baju itu di depan tubuhnya.
Dia tersenyum sendirian. Akeel Firdaus pasti akan terpikat dengan penampilannya sekejap lagi.
Dengan riang Zulfah Insyirah menukar pakaian, bersolek dan bersedia untuk makan malam bersama Akeel Firdaus. Beg tangan jenama Luis Vuitton edisi terhad itu dicapai lalu Zulfah Insyirah melangkah keluar dari biliknya.
Dia masuk pula ke bilik khas yang tersimpan beratus-ratus pasang koleksi kasut. Sebut sahaja jenama apa. Kasut jenis apa. Semua Zulfah Insyirah ada.
Jari-jemari Zulfah Insyirah menari-nari di sekeliling rak untuk mencari kasut mana yang sepadan dengan pakaiannya. Mata dan jari-jemari yang menari itu terhenti pada sebuah rak yang menempatkan kasut tumit tinggi yang talinya bersilang sehingga ke paras atas buku lali, berwarna sedondon dengan pakaiannya. Dia tersenyum puas bila sudah jumpa yang sepadan. Tanpa tunggu lama, Zulfah Insyirah capai dan terus pakai.
Dengan kasut itu dia melangkah keluar dari rumah. Pemandu peribadinya sudah siap sedia menunggu di depan pintu rumahnya yang seakan-akan mahligai itu. Pengawal peribadinya, Din dan Dol, juga ikut serta dengan kereta lain. Mereka sentiasa akan mengawal Zulfah Insyirah sepanjang 24 jam.
Sebaik Zulfah Insyirah masuk ke dalam kereta, mereka meneruskan perjalanan sampai ke sebuah hotel di mana tempat Zulfah Insyirah dan Akeel Firdaus akan berjumpa dan makan malam.
Tak sabar hati Zulfah Insyirah untuk bertemu dengan lelaki yang telah menggetarkan jiwanya itu.

DARI jauh Akeel Firdaus sudah nampak seorang wanita cantik melangkah penuh yakin menuju ke mejanya. Dari jauh lagi Zulfah Insyirah sudah tersenyum manis.
Akeel Firdaus pula gugup, tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Sudahnya dia berdiri sahaja menyambut kedatangan Zulfah Insyirah. Semakin dekat Zulfah Insyirah semakin kencang debaran di dada Akeel Firdaus. Dia tak tahu apa yang patut dia lakukan. Apa yang Zulfah Insyirah mahu daripadanya?
“Hai, Akeel. Lama ke you tunggu?” soal Zulfah Insyirah manja.
“Err... Taklah. I baru jugak sampai,” balas Akeel Firdaus.
Mereka diam dan masing-masing masih berdiri. Suasana mula jadi kekok. Akhirnya Akeel Firdaus bertindak menarik kerusi yang berdekatan dengan Zulfah Insyirah dan mempelawa wanita itu duduk. “Have a seat.”
Thank you, Akeel. Youre a very gentleman guy,” puji Zulfah Insyirah sambil kerdipkan matanya. Menggodalah kononnya.
Akeel Firdaus hanya tersenyum dan duduk bertentangan dengan Zulfah Insyirah. Pelayan mula datang untuk menghidangkan makanan. Sambil makan, sambil itu Zulfah Insyirah curi-curi pandang wajah Akeel Firdaus. Nampaknya memang dia yang kena mulakan dahulu.
“Akeel?”
Yes.”
“You dah kahwin?”
Soalan Zulfah Insyirah buat Akeel Firdaus terus terbatuk-batuk dan hampir tersedak. Cepat-cepat Akeel Firdaus capai gelas berisi air dan disedut rakus. Dia kerling wajah gusar Zulfah Insyirah. Hisy, apa punya soalanlah ni?
“I masih single.” Akeel Firdaus jawablah juga.
“Oh, single baguslah. I tak kacau tunang atau suami orang, kan?” soal Zulfah Insyirah berani.
Akeel Firdaus tersenyum sumbing. Dia ni berani betul. Dah macam perigi cari timba pulak. Apa masalahnya, Akeel? Zaman sekarang perigi dengan timba dah tak relevan lagi. Suara hati Akeel Firdaus mula bergema.
“Helo, Akeel?” Zulfah Insyirah melambai-lambaikan tangan di depan muka Akeel Firdaus.
“Err... ya. Sorry. Ermm, you nak jumpa I atas sebab apa?” soal Akeel Firdaus. Dia cuba tenangkan hati dan senyum dengan ikhlas.
“Saja. I nak kenal dengan you. I really like you, Akeel.” Zulfah Insyirah berterus terang.
Hampir sekali lagi Akeel Firdaus mahu tersedak. Namun, cepat-cepat Akeel Firdaus kawal. Dia pandang wajah Zulfah Insyirah sekilas. Sah! Perempuan ni kemaruk dengan aku. Naik meluat pula bila Akeel Firdaus lihat Zulfah Insyirah lirik-lirikkan matanya, cuba untuk menggoda.
“Ermm, you wanita bekerjaya. Kaya dan ada business maju. I ni steward saja, bukan pilot pun.” Dalam kias Akeel Firdaus cuba menolak.
I dont care, Akeel. I cuma nak you. You memenuhi cita rasa I. Orang akan pandang kita sebagai pasangan yang sangat sepadan. You tengok I, cantik dan bergaya. Semua lelaki nak pasangan macam I, Akeel,” ucap Zulfah Insyirah penuh yakin.
“I tak ada harta berjuta-juta macam you, Cik Zufa. I ni orang biasa-biasa aje. I memang tak layak untuk berdiri sebelah you pun.” Akeel Firdaus selesa untuk berterus terang. Dia tak mahu ada hati yang kecewa suatu hari nanti.
Akeel, dont take it seriously. I nak seorang lelaki yang boleh membelai jiwa I. Harta banyak pun kalau hati tak bahagia, tak ada gunanya, kan?” soal Zulfah Insyirah dengan cara menggodanya. Jari telunjuk runcingnya menari-nari di atas tangan Akeel Firdaus.
Perlahan-lahan Akeel Firdaus menarik tangannya dan dia bersandar pada kerusi. Dalam hatinya mula berperang, mengutuk wanita di hadapannya ini. Gatal! Miang! Gedik! Akeel Firdaus tidak percaya kalau wanita di hadapannya ini mahukan lelaki hanya untuk membelai jiwanya. Kalau tak ada wang ringgit, masakan Zulfah Insyirah boleh suka? Sekurang-kurangnya lelaki itu mesti lebih kaya sedikit daripada dia.
“Kita baru kenal. Why not kita berkawan dulu? Okey, kan?” pujuk Akeel. Jawapan yang dia rasa selamat, tetapi Akeel Firdaus tidak tahu. Jawapan itu membuka lebih banyak peluang untuk Zulfah Insyirah.
“Okey. Kita boleh saling kenal dulu. Mana tahu kalau kita ada peluang yang lebih baik, kan?” balas Zulfah Insyirah penuh makna.
Masing-masing berbalas senyum. Berbual tentang kehidupan masing-masing walaupun hanya separuh hati sahaja Akeel Firdaus melayan Zulfah Insyirah. Dia mahu malam itu segera berlalu. Dalam hatinya kosong tak ada rasa getaran untuk wanita itu.

Selesai makan malam, Akeel sudah boleh tarik nafas lega. Sebagai lelaki yang dianggap budiman, Akeel Firdaus menghantar Zulfah Insyirah sehingga ke pintu kereta. Walaupun pengawal peribadi Zulfah Insyirah berjaga-jaga di kiri dan kanan, Akeel Firdaus hantarlah juga. Nanti dikatakan sombong dan tak budiman pula.
Thank you, Akeel, for the dinner,” ucap Zulfah Insyirah sewaktu membuka pintu kereta.
“Eh, I yang patut ucap terima kasih pada you sebab you belanja I makan.” Akeel Firdaus tersipu-sipu malu.
Zulfah Insyirah ketawa manja. Din dan Dol yang berada tidak jauh daripada Zulfah Insyirah mula berbalas jelingan mata. Pasti dalam hati mengatakan hal yang sama. Hal di mana mereka jarang sekali dapat lihat Zulfah Insyirah ketawa dan berlagak manja seperti sekarang ini. Dengan para pekerja, Zulfah Insyirah selalu serius dan tidak mahu senyum langsung. Kalau dengan lelaki itu, dia boleh jadi ulat bulu yang merayap atas daun. Terliuk lentok.
“Okey, Akeel. Lepas ni I harap kita boleh selalu jumpa. Mana boleh kawan lupakan kawan, kan?” ucap Zulfah Insyirah sebelum masuk ke dalam kereta.
Selepas masuk dan tutup pintu kereta, Zulfah Insyirah menurunkan cermin kereta di bahagian belakang itu.
“Insya-Allah, kalau I tak bertugas ke mana-mana bolehlah kita jumpa,” balas Akeel Firdaus separuh ikhlas.
Okay, bye.” Zulfah Insyirah melambaikan tangan gaya seperti ratu cantik.
Hilang sahaja Zulfah Insyirah dan dua orang pengawal peribadinya, Akeel Firdaus menghembuskan nafas lega. Dia juga berjalan menuju ke kereta dan pulang ke rumah. Apalah nasibnya berjumpa dengan perempuan senget seperti Zulfah Insyirah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan