Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 1 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 4

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

“AYAH kau pukul kau lagi ya?”
Ellina hanya tersenyum. Soalan Irman dibiarkan berlalu ditiup angin tanpa ada rasa ingin menyahut.
“Teruk jugak dia pukul kau kali ni. Sampai lebam-lebam kat seluruh badan kau,” kata Irman lagi.
Lelaki muda itu masih leka melihat-lihat kesan lebam di wajah Ellina. Walaupun gadis itu cuba melindunginya di sebalik tudung yang dipakainya. Namun, jelas kelihatan warna kebiru-biruan di wajah putih bersih milik Ellina. Hiba hati Irman yang melihat biarpun riak wajahnya tetap ditayang biasa-biasa, sebagaimana selalu.
“Mana adalah, Man. Ayah aku mana pukul aku. Aku terjatuh dalam bilik air masa mandi lepas balik kerja petang semalam.” Ellina cuba menyembunyikan perkara sebenar.
Tanggungjawabnya sebagai seorang anak untuk melindungi segala perbuatan buruk ayahnya. Untuk diceritakan kepada orang lain, tidak sesekali akan dilakukannya. Walaupun lelaki seusianya itu adalah kawan baiknya sendiri.
“Kau tu terlalu berlembut dengan ayah kau. Sebab tu dia boleh pijak kepala kau sesuka hati,” sahut Irman nyata tidak puas hati dengan jawapan gadis itu.
“Apa pulak? Betullah aku jatuh dalam bilik air semalam,” balas Ellina masih mahu menegak benang yang basah.
Dia mahu melawan cakap-cakap ayah? Teringat dia ketika di sekolah dahulu. Ustazah Hanah pernah menerangkan dalam al-Quran, Allah SWT dengan tegas berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 23, Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu makan janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Jadi, bagaimana dia mahu melawan jika Allah sebagai Penguasa Alam sudah menentukan peraturan yang wajib bagi setiap hamba-Nya ikuti? Ellina tidak mahu menjadi anak derhaka. Tidak sama sekali!
“Betul kata Irman tu, Ellina. Kalau ayah kamu tu baik sikapnya, bolehlah kalau kamu taat dan patuh pada dia. Ini dah selalu sangat dia pukul kamu. Sejak kamu kecil lagi. Dia tak juga ubah-ubah perangai buruknya tu. Makin menjadi-jadi lagi adalah,” sokong Wa Uteh sambil menghisap rokok daun tembakaunya.
Salah satu daripada kesukaan yang telah menjadi tabiat lelaki tua itu setiap kali selesai makan tengah hari. Lelaki tua itu sudah lama bekerja di ladang limau itu. Dia adalah antara pekerja terawal yang mencari rezeki di ladang milik Puan Hajah Zainun sejak berbelas-belas tahun lalu. Kerana itulah Wa Uteh sering kali dijadikan tempat rujukan bagi pekerja-pekerja yang baru memulakan pekerjaan mereka di situ jika mahu bertanya apa-apa.
“Sebab perangai buruk ayah kamu tulah mak kamu meninggal dunia. Sebab ayah kamu jugalah, abang kamu membawa diri ke Kuala Lumpur. Sampai sekarang dia dah tak balik-balik ke sini. Itu pun ayah kamu masih tak sedar dengan kesalahannya tu,” keluh Wa Uteh semula.
Rokok daun tembakau di tangannya disedut lagi. Asap rokoknya tidak setebal rokok-rokok lain, namun tetap menghasilkan bau yang kurang enak kepada Ellina yang duduk bersimpuh tidak jauh daripada lelaki tua itu.
“Sebut tentang abang kamu, mana perginya budak Ehsan tu? Apa yang dia buat sekarang?” soal Yong Naemah pula.
Perempuan itu sebaya dengan arwah mak Ellina. Dia masih kuat bekerja di ladang walaupun tubuhnya hanya kecil molek sama seperti tubuh Ellina. Wajahnya pula masih kelihatan muda belia biarpun kedut-kedutnya sudah wujud di sana sini. Kerana itulah orang selalu tersalah sangka tentang umur Yong Naemah. Dia kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya.
“Abang kerja kat Kuala Lumpur tu, Yong. Dia kerja kat sebagai pengurus Maybank di cawangan Damansara kalau tak salah Ina,” balas Ellina, bangga dengan pencapaian abangnya.
“Pengurus? Amboi... Bukan main tinggi lagi pangkat abang kamu tu ya, Ina? Macam mana dia boleh naik pangkat setinggi tu? Setahu Mak Wan, abang kamu tu belajar sampai SPM aje,” sampuk Mak Wan Senah.
Perempuan sebaya Yong Naemah itu sedang sibuk membersihkan bekas bekalan mereka. Sambil-sambil itu, dia tetap memasang telinga mendengar perbualan semua.
“Dia sambung belajar lepas dia ke Kuala Lumpur tu, Mak Wan. Siang dia kerja kerani. Hujung minggu dia belajar untuk dapat diploma kat kampus universiti. Lepas dapat diploma aje, dia terus mohon minta naik pangkat. Alhamdulillah, permohonan dia diluluskan,” cerita Ellina serba ringkas.
“Syukurlah kalau begitu. Senang jugak akhirnya hidup abang kamu tu ya. Abang kamu tu tak ada balik ke sini lagi ke, Ina?”
Soalan Wa Uteh melebarkan senyuman manis Ellina. Gadis itu memang murah dengan senyuman. Kerana itu jarang-jarang orang yang tidak mengenali Ellina dapat membaca segala penderitaan yang ditanggungnya selama ini.
“Ada Wa Uteh, tapi tak selalulah. Sebulan sekali saja dia balik. Itu pun dia tak balik sampai ke rumah. Selalunya dia tunggu Ina kat kedai Haji Berahim atau kat masjid kampung aje. Tu pun tak lama mana. Wa Uteh faham-faham ajelah perangai abang tu. Mana boleh dia bersua muka dengan ayah. Karang lain pula yang jadi nanti.”
“Ayah kamu tu terlalu baran, Ina, sebab tulah abang kamu tak tahan dengan perangai dia. Siang malam tahu nak berjudi aje. Langsung dia tak ingat pasal rumah tangga sendiri. Sampai bila dia nak hidup dalam keadaan tu pun tak tahulah.” Wa Uteh kembali mengeluh.
“Tapi eloklah kalau Ehsan selalu ambil berat pasal kamu Ina. Nak harapkan ayah kamu tu, alamatnya kamu mati kering pun belum tentu dia nak ambil peduli,” celah Mak Wan Senah. Turut sama simpati dengan kehidupan Ellina yang ternyata berlainan sungguh daripada mereka yang lain.
Sebagai jiran sekampung, masing-masing hanya mampu memberi nasihat kepada gadis malang itu selain membantu setakat mana yang terdaya. Itu saja.
“Ina, apa kata kalau kau ambil cuti aje hari ni? Teruk jugak aku tengok lebam-lebam kat muka kau tu,” kata Irman semula.
Sejak tadi dia hanya memasang telinga dan menjadi penonton. Langsung tidak sempat nak mencelah bersuara. Irman sedar bukan dia seorang saja yang mengambil berat tentang Ellina. Bahkan hampir ke semua pekerja ladang yang seramai 20 orang itu turut sama bersikap demikian kepada Ellina, terutama Wa Uteh, Yong Naemah dan Mak Wan Senah.
Hajah Zainun selaku pemilik ladang juga sentiasa memantau keadaan hidup mereka walaupun tidak selalu perempuan tua itu menghabiskan masa bersama pekerja-pekerjanya. Perempuan tua itu sentiasa sibuk dengan urusan amal jariah dan cucu-cucunya.
“Tak apalah, Man. Sikit aje pun lebam-lebam aku ni. Esok-esok hilanglah semua ni,” sahut Ellina sambil menyentuh perlahan wajah sendiri.
Masih terasa perit lebam-lebamnya itu walaupun dia jarang-jarang menyentuh. Terbuang juga sejam dua masanya malam tadi gara-gara menuam wajah agar tidak terlalu ketara keadaan lebamnya. Mujur sudah surut sedikit bengkak-bengkaknya. Jika tidak jenuh juga dia memberi alasan pada mereka yang pastinya akan bertanya pelbagai soalan.
“Tapi...” Irman tetap tidak puas hati.
“Tak apalah, Man. Dah budak Ina ni tak mahu, tak payahlah kamu paksa-paksa dia lagi. Lama-lama nanti hilanglah bengkak-bengkaknya tu.” Wa Uteh terus menyampuk sebelum sempat Irman menyambung bicara. Cuba menyedarkan Irman batas yang wujud antara lelaki muda itu dan Ellina.
Mahu tak mahu Irman hanya mengangguk tanda beralah.
“Balik nanti kamu jangan lupa tuam lebam-lebam kamu tu Ina. Teruk benar Mak Wan tengok,” suruh Mak Wan Senah sambil mengusap-usap belakang gadis itu.
“Yalah. Kalau ada minyak gamat, kamu sapu kat tempat-tempat sakit tu. Cepat sikit leganya tu nanti,” celah Yong Naemah pula.
Ellina hanya mengangguk. Walaupun mereka hanya jiran sekampung, namun kasih sayang yang ditunjukkan benar-benar dihargainya. Terasa hidupnya bahagia walaupun Pak Samad selaku ayahnya sendiri tidak pernah memberi setitik kasih sayang pun kepadanya selama ini.
Irman lambat-lambat merengus halus. Tetap tidak puas hati melihatkan keadaan Ellina biarpun dia sedar, dia tidak hak untuk memaksa gadis itu menurut katanya.

PETANG itu Ellina ke sungai lagi. Bukan untuk mencari paku pakis sebagaimana selalu, sebaliknya dia mahu menenangkan hati selain daripada merehatkan diri. Entah mengapa tiba-tiba saja Ellina rindu untuk ke situ setelah selesai menyiapkan kerja di ladang.
Cepat-cepat Ellina meletak raga rotan yang selalu dibawa ke ladang di atas batu besar sebaik tiba. Sambil duduk memeluk kedua-dua lutut, Ellina melepas pandangan ke sekeliling. Suasana sekitar sungai yang hening menjadikan hati Ellina mudah dipagut tenteram hingga tanpa sedar, dia ralit dalam lamunan sendiri.
Ellina tersentak kecil tatkala terperasan dengan kehadiran seseorang di situ, tidak jauh dari tempatnya berada. Pantas dia bangun, berdiri. Hanya beberapa saat mereka berbalas pandangan sebelum Ellina mengambil keputusan untuk berlalu. Tidak selesa dengan renungan tajam milik lelaki itu.
“Nanti dulu.”
Tak jadi Ellina nak melangkah pergi bila lelaki itu bersuara akhirnya. Tegas biarpun nadanya lembut. Lambat-lambat Ellina berpaling, menghadap lelaki yang tidak dikenalinya itu bila lelaki itu kembali bersuara buat kali kedua.
“Awak orang kampung ni ke?” soal lelaki itu dengan mata tetap tidak berkalih dari wajah takut-takut Ellina.
Gadis itu mengangguk laju.
“Encik ni siapa? Encik bukan orang kampung ni, kan?” tebak Ellina, cuba memberanikan diri bertanya.
Penuh sangsi dia memandang lelaki itu yang lambat-lambat mengukir senyuman kemudian. Sambil menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar, lelaki itu membalas pandangan Ellina.
“Saya Zafran. Saya orang kampung ni, macam awak juga. Cuma saya jarang-jarang balik ke kampung ni. Kalau balik pun sebab ada kerja aje. Selebihnya, masa saya banyak dihabiskan di luar kawasan kampung ni.” Panjang lebar Datuk Zafran memperkenalkan diri.
Diam-diam, dia bersyukur. Ternyata tidak sia-sia dia menyinggah ke sungai itu sebelum kembali ke Kuala Lumpur sebentar nanti. Niatnya ke situ hanya untuk mencuci mata selain menenangkan hati setelah seharian masanya dihabiskan dengan bermesyuarat dengan klien syarikat di Kuantan.
Tidak sangka dia akan bertemu lagi dengan gadis yang pernah dilihat kelibatnya dulu. Entah mengapa gadis ini berjaya mendebarkan hati lelakinya. Debar kerana menyangka, gadis itu adalah jelmaan bekas kekasihnya yang telah lama pergi. Apa yang pasti, wajah gadis di depannya itu berjaya mengingatkan dia kepada kekasih hatinya yang sehingga kini masih berada dalam jiwanya.
Kerana itu dia tidak teragak-agak menegur. Sekadar mahu memastikan fikirannya tidak berilusi.
Paling penting, gadis itu benar-benar wujud di depan matanya dan kini Datuk Zafran yakin, gadis itu bukanlah khayalan yang wujud dari dalam akalnya yang banyak berfikir tentang pelbagai perkara.
“Ya ke? Tapi, kenapa saya tak pernah nampak awak kat mana-mana kawasan kampung ni pun? Awak tipu ya?” Ellina bertanya penuh sangsi, dengan jari telunjuk sudah tertala ke wajah tenang lelaki itu.
Spontan saja dia memanggil lelaki itu dengan panggilan awak dan bukannya encik, sebagaimana mula-mula tadi memandangkan Ellina mengagak lelaki itu tidak jauh usianya berbanding Ellina. Dalam kata lain, lelaki itu kelihatannya lebih layak digelar abang oleh Ellina. Hanya sekejap Ellina bertingkah begitu sebelum mata Ellina kembali tertunduk ke bawah.
Melihat keterampilan Datuk Zafran, Ellina yakin. Lelaki itu berasal daripada golongan mewah dan tidak mustahil, lelaki itu mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam masyarakat. Lantas, rasa malu terus menyusup masuk ke dalam hati Ellina. Malu dengan keadaan diri sendiri yang serba daif selain segan dengan renungan tajam lelaki itu. Renungan yang berjaya menghasilkan debaran di hati gadisnya.
Lebar senyuman Datuk Zafran seketika. Melihat raut wajah Ellina ketika ini pun dia sudah dapat membaca isi hati gadis itu yang jelas tidak percaya dengan kata-katanya.
“Saya memang orang sini, tapi macam yang saya katakan tadi, saya jarang-jarang ada kat kampung ni. Tapi percayalah, saya tak pernah lupa pada tempat kelahiran saya sendiri,” sahut Datuk Zafran, bersungguh-sungguh cuba meyakinkan gadis itu.
Manakala hati dan akal masih sibuk mencari jawapan pada soalan-soalan yang mulai timbul. Ingin saja dia bertanya tentang asal usul gadis itu, latar belakangnya dan lain-lain, namun dirasakan tidak sesuai pula dia berbuat demikian. Paling utama, dia mahu tahu apa kaitan gadis itu dengan bekas kekasihnya hingga mereka boleh mempunyai iras wajah yang begitu sama?
“Awak buat apa kat sini? Tak takut ke duduk kat sini sorang-sorang begini? Dahlah tu, pada waktu-waktu begini pula?” soal Datuk Zafran bila Ellina tidak menyahut.
Sebaliknya gadis itu sibuk meneliti keadaan diri Datuk Zafran, bagai mahu meyakinkan diri sendiri tentang kata-kata lelaki itu sebentar tadi.
“Saya dah biasa ke mana-mana seorang diri. Lagipun, apa yang perlu saya takutkan? Saya dah arif dengan kawasan ni,” sahut Ellina.
Bukan dia mahu bercakap besar, tapi memang itulah kenyataannya. Sejak kecil, sungai ini adalah tempat mainannya. Bahkan sungai ini juga adalah tempat untuk dia meluah segala rasa. Senang kata, sungai ini telah banyak menyimpan segala kenangan hidupnya.
“Arif tak bermakna awak tak perlu fikir tentang keselamatan diri. Bahaya ada di mana-mana. Tak kira siapa pun kita, risiko untuk mendapat bahaya itu memang besar jika kita tak hati-hati. Tambah-tambah anak gadis macam awak. Tak elok rasanya kalau awak selalu ke mana-mana tanpa teman. Macam-macam perkara boleh berlaku nanti,” nasihat Datuk Zafran, masih tidak jelak menatap wajah polos gadis itu.
Bukan mengambil kesempatan tetapi dia hanya sekadar ingin melepaskan rasa rindu kepada bekas kekasih yang pastinya tidak akan dapat ditemuinya lagi sampai bila-bila. Apatah lagi dalam diam-diam, Datuk Zafran sedar belum tentu gadis yang berdiri di depannya itu mempunyai tingkah yang sama dengan bekas kekasihnya.
Senang kata, kedua-duanya adalah dua orang individu yang berbeza biarpun mempunyai raut wajah yang serupa. Mustahil dalam sekelip mata dia mampu memberi cinta kepada gadis yang dirasakan lebih layak menjadi anaknya, meski Ellina bagai malu-malu mahu membalas pandangannya. Satu reaksi yang telah biasa diberikan oleh mana-mana perempuan lain setiap kali bersua muka dengannya dan Datuk Zafran telah biasa dengan keadaan itu.
“Maaf jika awak terasa dengan kata-kata saya tu, tapi saya hanya ingatkan awak. Bak kata pepatah, beringat sebelum kena. Kalau dah kena, menyesal pun dah tak guna,” sambung Datuk Zafran bila Ellina hanya mengunci lidah.
“Terima kasih atas nasihat awak tu.” Hanya itu yang terluah dari mulut Ellina sebelum dia mahu berlalu.
Tak manis rasanya untuk dia terus berada di situ, bersama dengan seorang lelaki yang bukan saja muhrimnya. Bahkan tidak diketahui asal usulnya. Apatah lagi bila Ellina mulai sedar pada perubahan warna alam di sekitar mereka yang mula dikuasai warna jingga kemerah-merahan. Tanda senja sudah mula mendatang.
Tak jadi Ellina mahu melangkah bila Datuk Zafran kembali bersuara.
“Maaf tapi boleh tahu siapa nama awak?” soal Datuk Zafran.
“Kenapa awak nak tahu nama saya?” soal Ellina, sengaja mahu bertarik tali. Dia menunduk bila pandangan matanya kembali bergabung dengan pandangan lelaki itu. Dadanya diasak debaran semula.
“Saja nak tahu. Tapi, kalau keberatan, tak apalah,” Datuk Zafran lalu Ellina tersenyum.
“Nama saya Ellina,” jawab Ellina sebelum dia melangkah pergi. Sempat dia berpaling, menyua salam seraya memberi senyuman buat kali seterusnya sebelum dia terus pergi tanpa menoleh lagi.
Meninggalkan Datuk Zafran yang lambat-lambat melepas nafas panjang.
“Ya Allah... Siapa sebenarnya Ellina ini? Kenapa dia mempunyai raut wajah yang sama seperti mana arwah Zara?” keluh Datuk Zafran, meski dia sedar keluhan itu tidak mampu mengubah apa-apa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan