Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 6 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 10

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

“MAK fikirlah, Zaf, eloklah kalau kamu berkahwin sekali lagi. Sampai bila kamu nak hidup membujang macam ni? Kamu tak kesian ke pada anak-anak kamu? Makan pakai dia orang, sakit demam dia orang, tak ada siapa pun yang nak tolong jaga. Semuanya dia orang kena buat sendiri,” bebel Hajah Zainun.
Sudah hampir seminggu dia berada di rumah banglo anak sulungnya itu. Walaupun segalanya sudah tersedia sepertimana yang diharapkan, mata tua Hajah Zainun tetap sakit memandang suasana rumah besar itu. Sunyi sepi tanpa suara seorang perempuan bergelar suri.
“Dia orang dah biasa buat semuanya sendiri, mak,” sahut Datuk Zafran antara mahu dengan tidak sahaja.
Malas sebenarnya berbicara tentang perkara itu. Bukan baru sekali dua Hajah Zainun mengungkit keluar perkara yang sama, tapi sudah acap kali hingga Datuk Zafran sudah lali dengan semua itu.
“Memanglah dia orang dah biasa, tapi sampai bilanya dia orang nak jaga kamu? Esok lusa bila dia orang dah berkeluarga sendiri, beranak pinak, siapa pula yang nak tengok-tengokkan keadaan kamu? Mak tahu kamu tu kaya-raya, tapi apa guna kamu nak bayar mahal-mahal kepada orang kalau kamu sendiri mampu cari teman hidup yang boleh jaga diri kamu?” sergah Hajah Zainun jelas tidak suka dengan tingkah acuh tak acuh anak lelakinya.
Khusyuk benar lelaki itu menatap surat khabar di tangannya tanpa peduli pada kata-kata Hajah Zainun.
“Saya tahu tu, mak, tapi saya memang dah tak ada rasa nak kahwin semula. Saya dah cukup bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Saya tak nak tambahkan beban kepala saya ni lagi dengan fikir perkara lain pula.” Dalam lembut, Datuk Zafran bertegas suara.
Dengan Hajah Zainun, Datuk Zafran akui dia tidak mampu melawan kata. Bukan kerana dia terlalu hormatkan perempuan tua itu, tetapi kerana dia sering kali sedar kejayaan yang dikecapinya selama ini adalah hasil daripada pertolongan dan doa mak kandungnya itu.
“Huh. Kamu tak mahu tambah beban atau kamu masih ingatkan bekas isteri kamu tu sebenarnya?” sergah Hajah Zainun sambil menjeling tajam anak sulungnya.
“Kamu ingat ya, Zaf. Sekali kamu dah ceraikan dia, sampai mati pun mak tak mahu dia jadi menantu mak semula. Cukuplah dengan apa yang dia dah buat kepada kamu anak-beranak. Mak tak mahu dia datang semula dalam hidup kamu sekeluarga. Mak takkan izinkan!” tegas Hajah Zainun sudah mencekak pinggang sendiri.
Turun naik dadanya menahan marah setiap kali mengingati bekas menantunya nan seorang itu. Hajah Zainun adalah orangnya yang tidak lelah menghembus semangat buat anak sulungnya itu ketika lelaki itu hilang keyakinan untuk meneruskan hidup. Tidak dapat dinafikan, Hajah Zainun adalah tunggak kekuatan Datuk Zafran selama ini. Kerana itu Hajah Zainun cukup benci bila perihal Arisa diungkitkan.
Mustahil dia mampu memberi izin lagi andai Arisa mahu kembali ke dalam hidup lelaki itu. Mati hidup semula pun, dia takkan dapat menerima Arisa sebagai menantunya semula biarpun jauh dalam hati Hajah Zainun sudah lama memaafkan segala perbuatan bekas isteri anaknya itu. Tajam mata Hajah Zainun memandang Datuk Zafran bila lelaki itu merengus halus.
Surat khabar di tangannya terus dicampak perlahan ke tepi sofa. Hilang segala keinginannya untuk terus membaca apatah lagi tumpuannya di dada akhbar itu memang telah hanyut sejak Hajah Zainun membuka cerita tentang perkara itu.
“Berapa kali Zaf nak bagi tahu mak. Arisa tu dah lama jadi isteri orang lain. Dia dengan Zaf dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Kalaupun dia belum berkahwin lain, Zaf sendiri takkan kahwin semula dengan dia. Jodoh antara kami dah lama tamat, mak. Dah tak ada apa yang boleh kami lakukan lagi untuk bersatu semula. Hati Zaf dah lama tak ada untuk dia,” sahut Datuk Zafran sedikit mengeluh.
Tidak perlu Hajah Zainun ingatkan, dia sendiri tidak mahu sejarah silam berulang lagi. Cukuplah dengan apa yang telah dia lalui, Datuk Zafran sudah tidak mahu merasainya buat ke sekian kali. Datuk Zafran sedar. Dia hanya seorang kerani biasa yang bertugas di salah satu jabatan kerajaan di Pekan, Pahang ketika bergelar suami kepada Arisa. Ketika Arisa sedang mengandungkan anak sulung mereka, dia ditukarkan ke Kuala Lumpur.
Hidup di kota metropolitan, tidak sama kosnya sepertimana di kampung. Keadaan itu memaksanya menjalankan perniagaan menjual keropok yang diambilnya dari kampung secara kecil-kecilan. Apatah lagi beberapa tahun kemudian Arisa melahirkan anak kedua dan anak ketiga mereka, menjadikan kehidupan mereka semakin terhimpit. Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga.
Saat dia berusaha meningkatkan taraf ekonomi mereka sekeluarga, sedar tak sedar Arisa semakin hanyut dengan kehidupan di kota. Isterinya itu mula lupa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarga. Keizinan yang diberikan dia untuk isterinya itu keluar bekerja menjadi batu loncatan buat Arisa bergerak lebih jauh. Hinggalah pada satu hari, perkara yang ditakuti Datuk Zafran berlaku juga.
Dia dan Arisa berpisah juga akhirnya. Perpisahan yang akhirnya menjadikan dia bersyukur atas apa yang berlaku. Syukur kerana dia mampu meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah pemergian wanita itu daripada hidupnya.
Lama matanya memandang Hajah Zainun yang mula tersenyum lebar. Jelas perempuan tua itu senang hati dengan pengakuannya.
“Hmm... Kalau macam tu kata kamu, baguslah. Mak lebih rela tengok kamu membujang sampai ke tua daripada berkahwin dengan perempuan tu semula. Kalaupun Arisa tu dah berubah perangai, mak tetap tak percayakan dia. Kalau diri tu dah biasa makan bangkai, sampai mati pun dia takkan lepaskan bangkai kalau dapat peluang. Tak dapat makan, dapat hidu pun dah cukup puas baginya. Kamu faham kan maksud kata-kata mak ni, Zaf?”
Sambil memeluk tubuh, wajah suram Datuk Zafran ditatap lagi. Hati Hajah Zainun masih belum tenang selagi segala perintahnya tidak dituruti. Dia tersenyum semula bila Datuk Zafran mengangguk perlahan. Malas mahu menyahut.
“Jadi, sekarang ni, mak nak kamu dengar cakap mak pula, Zaf. Mak tak kira, sama ada kamu suka ataupun tidak, mak nak kamu kahwin semula. Bila masanya, dengan siapa orangnya, mak yang akan tentukan. Dulu kamu pernah kahwin dengan pilihan kamu, bukan? Akibatnya kamu dah merasa. Sekarang ni mak nak kamu kahwin pula dengan pilihan mak. Mak yakin kamu akan bahagia dengan pilihan mak kali ni.” Sambil bermundar-mandir di depan lelaki itu, Hajah Zainun memberi arahan tegas. Tidak peduli Datuk Zafran sudah tergamam dengan kata-katanya.
“Tapi, mak, Zaf dah bagi tahu mak, bukan? Zaf belum terfikir nak kahwin semula.” Tegas Datuk Zafran membantah. Tanpa sedar dia sudah bangun berdiri tegak di depan maknya. Wajah serius Hajah Zainun ditatap lama. Meminta pengertian.
“Mak tak peduli! Selagi kamu tak kahwin, selagi itulah hati mak takkan tenang. Kamu jangan fikir mak tak tahu yang bekas isteri kamu tu masih cuba dapatkan kamu semula. Walaupun hanya beberapa tahun dia menjadi isteri kamu, mak cukup kenal dengan perangai dia. Perempuan macam dia tu sanggup lakukan apa saja asalkan dia dapat apa yang dia nak. Cukuplah kamu hidup menduda berbelas-belas tahun ni. Mak tak boleh bersabar lagi. Sebelum apa-apa berlaku antara kamu dan dia, lebih baik mak kahwinkan kamu semula dengan perempuan lain.”
“Tapi, mak...”
“Zafran, kamu dengar cakap mak ni baik-baik. Kalau kamu rasa kamu tu anak kandung mak, kamu kena ikut cakap mak. Kalau tidak kamu jangan anggap mak ni mak kamu. Kamu harus ingat, Zafran. Kamu masih berhutang budi dan wang ringgit dengan mak. Jumlahnya pun bukannya sedikit. Kamu sendiri pernah katakannya, bukan? Jadi, sekarang mak mahu kamu tebus semuanya. Mak tak mahu kamu bayar dengan wang ringgit, tapi mak nak kamu setuju kahwin dengan perempuan pilihan mak. Itu saja. Fikir habis-habis kata-kata mak ni, Zaf!” tegas Hajah Zainun. Dia terus berlalu dari ruang tamu itu kemudian. Tanda perbicaraan mereka tamat di situ sahaja.
Datuk Zafran terduduk semula di sofa. Sambil menyebak rambut tebalnya, dia mengeluh panjang. Akalnya mula berserabut.
“Aku nak kahwin lain? Dalam usia macam begini? Mengarut betul!” rengusnya sendiri.

Hajah Zainun masih tidak penat bermundar-mandir di ruang tamu luas itu. Akalnya sibuk memikirkan rancangannya untuk mengahwinkan Datuk Zafran buat kali kedua. Biar apa pun yang berlaku, dia harus memastikan rancangannya untuk melihat Datuk Zafran bersanding di jenjang pelamin menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.
Dia tidak bimbang tentang penerimaan anak-anak Datuk Zafran tentang perkara itu. Dia yakin, Niesya akan menyokong rancangannya seratus peratus. Bahkan gadis itu juga seperti dirinya, tidak sabar-sabar mahu melihat Datuk Zafran kembali beristeri.
Sejak diberitahu tentang perancangan Hajah Zainun, Niesya kelihatannya begitu teruja. Malah, gadis lincah itu langsung tidak kisah andai gadis pilihan Hajah Zainun jauh lebih muda daripada Datuk Zafran, asalkan gadis yang bakal bergelar isteri Datuk Zafran itu mampu membahagiakan Datuk Zafran sepertimana yang diharapkan mereka semua selama ini.
Satu penerimaan yang cukup melapangkan hati Hajah Zainun. Sekali gus menaikkan lagi semangat Hajah Zainun untuk meneruskan rancangannya. Tanpa sedar, Hajah Zainun tersenyum sendiri tatkala bayangan gadis yang bakal disatukan dengan anak sulungnya menjelma dalam akal. Dia yakin, rancangannya pasti akan berjaya kali ini. Insya-Allah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan