Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 7 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 8

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

DI depan sebuah bilik yang menghadap tempat parkir kereta, Zul mula membuka pintu yang dikunci.
“Ini bilik Cik Durrah. Jemputlah masuk. Bilik Cik Ju pula sebelah sini aje. Jadi, senanglah kalau nak berhubung ke, nak pergi makan sekali. Jom, Cik Ju, saya tunjukkan bilik Cik Ju pula,” terang Zul sambil menyerahkan anak kunci kepada Durrah.
Dari pintu bilik saja, mata Durrah sudah boleh memerhati bilik yang memang luas itu. Bilik yang mempunyai tiga buah katil.
“Biar betul? Aku sorang nak duduk dalam bilik besar ni?” Durrah mula mengomel. Matanya memerhati Zul yang sudah membuka pintu bilik sebelah. Bukannya jauh mana. Macam jiran sebelah sahaja.
“Zul, kenapa saya tak satu bilik saja dengan Ju? Kan senang? Lagipun bilik ni besar kut? Siap ada tiga buah katil,” luah Durrah sebelum sempat Juliana melangkah masuk.
“Sebenarnya, macam ni Cik Durrah. Waktu pihak kami tempah bilik, hanya bilik yang ni saja yang masih kosong. Lagi luas lagi baik, kan? Selesa buat Cik Durrah dengan Cik Juliana,” tukas Zul.
“Betul tu.” Juliana seperti biasa terus menyokong tanpa sebarang paksaan.
“Yalah, tapi besar sangat kut untuk sorang. Biarlah saya kongsi bilik dengan Ju.”
“Err... Janganlah salah faham dengan I, ya? I lebih suka kalau kita tak kongsi. Asing-asing, boleh?” balas Juliana sambil tersenyum.
“Nak asing ke nak sekali ke, Cik Durrah dengan Cik Ju boleh terus berbincang. Apa-apa pun kedua-dua bilik ni memang ditempah, jadi pihak saya memang tak ada masalah. Terserah. Hari ni, berehat-rehatlah dulu. Esok, saya datang lagi. Assalamualaikum,” ucap Zul sebelum berlalu.
Fuh! Lega. Tugasannya untuk hari ini telah berakhir dengan jayanya.
“Waalaikumussalam. Bye Cik Durrah!” Terus, tanpa bertangguh Juliana memboloskan diri ke dalam bilik.
Durrah mula mencebik. “Aku pun tak kisahlah kalau kau tak mau satu bilik dengan aku. Huh!”
Durrah ikut melangkah masuk ke dalam bilik sambil menarik bagasinya. Sebaik memasuki bilik, Durrah terus mengeluarkan telefon bimbitnya sambil melabuhkan punggung di birai katil. Gambar-gambar yang diambil tadi ditatap kembali dengan rasa puas hati.
Mengingatkan penerangan Zul yang salah satu kemudahan yang ditawarkan oleh resort itu adalah wi-fi, terus Durrah menyentuh skrin telefonnya untuk menggunakan kemudahan tanpa wayar itu secara percuma. Sempat alat kawalan penghawa dingin dicapai untuk menghidupkan penghawa dingin yang tersedia.
Aplikasi WhatsApp terus dibuka. Beberapa notifikasi kedengaran menandakan adanya mesej baru diterima. Lima mesej dan semuanya daripada Nuha.
“Amboi! Asyik dengan kain batik dia.” Tergeleng-geleng kepala Durrah apabila membaca mesej daripada kawan baiknya itu. Jari pantas menaip untuk membalas. Gambar-gambar yang diambil tadi juga turut dihantar kepada Nuha.

Ni gambar-gambar dia orang. Yang pertama tu Encik Bahar. Kau dah kenal. Yang kedua, yang si perempuan tu nama dia, Ju. Pun kau dah kenal, kan? Yang lelaki tu, nama dia Zul. Ejen yang datang ambil kami kat Pekan Kuah tadi.

Satu mesej yang siap ditulis itu terus dihantar. Jari kembali pantas menyentuh papan kekunci pada skrin telefon.

Kami tinggal kat Langkapuri Inn. Apa-apa nanti aku update kat kau. Baru aje sampai. Aku nak kau save tau gambar-gambar tadi. Buat back-up.

Durrah tersenyum sebaik mesej WhatsApp yang terakhir itu selamat dihantar. Sekarang, barulah lega sedikit rasa hatinya. Kalaulah terjadi apa-apa, muka-muka tersebut telah berjaya diabadikan dalam gambar oleh telefonnya.
Jam pada telefon bimbitnya jelas terpapar pukul 12.30 tengah hari. Durrah yang tadinya elok duduk di birai katil, terus merebahkan diri di atas tilam. Tubuh yang penat dan nyamannya udara yang ditiup oleh penghawa dingin bagaikan membuai Durrah. Mata semakin kuyu tanpa dipinta.

Sedar tidak sedar, hampir ke pukul 2.00 petang barulah Durrah terjaga. Laju tangannya menyambar bagasi yang ada di sisi katil. Beberapa helai pakaiannya yang elok berlipat dikeluarkan dan dilepaskan ke atas tilam. Sehelai kain tuala dan baju kaftan terus dicapai sebelum bergegas ke bilik air. Tudung bawal yang sudah senget terus ditanggalkan.
Selesai membersihkan diri dan bersolat, Durrah menukar baju. Sehelai blaus berwarna putih dan skirt labuh yang bercorak ikat celup dipilih. Sehelai selendang turut dikenakan di kepala sebelum melangkah keluar. Beg duit dan telefon bimbitnya turut dicapai.
Sebaik pintu mula dikuak, terpempan sejenak Durrah apabila melihat Juliana yang tercegat berdiri di luar. Gadis itu sedang mengibas-ngibas kain tudung yang dipakainya.
“Awak buat apa kat sini?” soal Durrah cuak.
Juliana yang tadinya asyik mengibas kain tudung yang dipakai terkelu sesaat apabila melirik penampilan gadis itu. Manis pula Durrah kelihatan pada pandangan matanya. Sopan, ayu... erk! Bab ayu itu ya, tapi bila dia banyak soal, terus hilang keayuan itu!
“Ju? Dengar tak ni?” Durrah menampar lengan gadis itu.
“Sakitlah! I nak buat apa lagi kat sini kalau tak tunggu you. Dah siap? Jom.”
Durrah melirik Juliana yang masih mengenakan jubah, tudung labuh dan berpurdah.
“Err... kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Juliana cuak apabila melihat Durrah sedang melirik kepadanya.
“Err... taklah. Cuma...”
“Cuma apa?” pintas Juliana tidak sabar. Sepasang matanya yang bercelak, tajam memerhati riak wajah Durrah.
“Cuma saya tertanya-tanya. Awak err... selesa ke pakai macam ni?” Durrah melepaskan soalannya teragak-agak.
“Kenapa you tanya macam tu? Mestilah I selesa. I memang dah terbiasa dengan jubah, purdah.” Juliana memberikan jawapan dengan penuh keyakinan.
Durrah mengerutkan kening.
“Kalau dah terbiasa, kenapa tadi awak duk kibas-kibas macam tu? Mesti rasa panas, kan?” sanggah Durrah tidak percaya.
Gulp! Juliana menelan liur. Dia harus bersikap selamba agar Durrah tidak dapat mengesan perubahan pada dirinya. “Isy! Biasalah... Cuaca kat sini memang panas, kan? Ke you rasa macam kat Iceland sekarang ni?”
Durrah menjeling apabila menerima jawapan yang penuh sinikal itu daripada Juliana. Pintu segera dikunci apabila perutnya kian berbunyi.
“Dahlah. Jom.” Durrah memulakan langkah untuk ke kafe.
Juliana mengikut. Dalam diam dia tersenyum kerana berjaya meyakinkan Durrah untuk terus mempercayainya.

Pagi itu Rafiqi gelisah sendirian di dalam bilik pejabatnya. Sekejap-sekejap jam di pergelangan tangan dikerling. Baru meneliti laporan kewangan yang berada di tangannya, jam dikerling lagi. Tidak cukup dengan jam di tangan, waktu yang terpapar pada skrin komputernya dipandang pula.
“Mana ni? Takkan tak dapat apa-apa lagi?” Jari jemari diketuk-ketuk di atas meja.
Sejak dua hari yang lalu dia menantikan hasil untuk rancangannya. Orang yang diharap-harapkan, sepi terus tanpa berita. Fokus Rafiqi memang terganggu selagi tidak menerima khabar berita daripada orang suruhannya yang seorang itu.
Sedang fikirannya jauh melayang memikirkan hasil yang mungkin diperolehi, telefon iPhone 6 yang berada di atas meja berbunyi. Laju saja gadjet yang berwarna keemasan itu disambar. Skrin yang memaparkan nama si pemanggil membuatkan Rafiqi mula tersenyum.
“Helo. Lamanya kau tak telefon!” Rafiqi tidak bertangguh terus menyembur sebaik menjawab panggilan.
“Helo bos. Sabar, sabar...” Kedengaran suara si pemanggil di hujung talian.
“Sabar, sabar. Kalau kau kat tempat aku boleh kau sabar? Hei! Dua hari tau aku tunggu kalau-kalau kau nak bagi tahu aku apa-apa. Ni tak, senyap terus!” sahut Rafiqi berang.
“Maunya saya tak senyap bos. Bos juga yang nak saya ikutkan dia, kan? Ingat senang? Ni hah... Sampai utara baq hang!” Suara lelaki itu sudah mengekek ketawa.
Rafiqi yang tadinya santai menyandar di kerusi bingkas berdiri sebaik mendengar maklumat tersebut.
“Utara? Kat mana?” Semakin berkerut wajah lelaki yang berusia 30 tahun itu. Wajah semakin cemburut apabila pelbagai kemungkinan datang menerpa di dalam kepala.
“Kat Kedah. Dah bos suruh ikut dia, kan? Saya buat ajelah. Nanti, saya masukkan dalam bil ya bos?”
Suara Khairul, salah seorang pekerjanya yang dihantar untuk melakukan tugasan itu bagaikan semilir di pendengaran Rafiqi. Kedah? Apa yang dia buat kat negeri utara itu?
“Bos? Helo?”
“Hah! Kenapa?” Rafiqi melangkah beberapa tapak membawa diri ke jendela. Cermin kaca lut sinar yang menyajikan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur terasa hanya menyesakkan dadanya di saat ini.
“Tak, saya cakap tadi, nanti saya tuntut ya semua bil ni? Banyak tau bos!” Nada Khairul beria-ia memberitahu.
“Itu ajelah yang kau tahu! Tapi, kenapa dia pergi sana? Kau tak tengok apa yang dia buat? Dengan siapa dia berjumpa? Semua tu kau kena ambil tahu, faham?” Rafiqi terus mengeluarkan arahan.
Terdengar ketawa Khairul yang semakin lantang di hujung talian apabila menerima arahan daripada bosnya itu.
“Hei! Kau dah kenapa? Kelakar ke apa yang aku cakapkan tadi?” Rafiqi mula hilang sabar.
“Tak, bukan pasal bos,” sahut Khairul dengan tawa yang masih bersisa.
“Dah tu?”
“Pasal dialah. Kalau saya cakap mesti bos takkan percaya punyalah!”
Well, try me Khairul. Kalau pasal dia, benda yang mustahil pun boleh dia buat,” sahut Rafiqi yang mula terasa ingin tahu.
“Nantilah bos. Balik sana nanti saya bagi tahulah. Lagipun, saya bukannya cakap kosong. Ada gambar-gambar lagi tau yang saya ambil. Manalah tahu kalau-kalau bos ingat saya nak temberang sama bos,” tukas Khairul.
“Cara kau bercakap ni macam benda tu serius aje?” Rafiqi terus cuba mengorek maklumat.
Terdengar lagi tawa Khairul di hujung telinganya. “Serius tu memanglah serius sebab saya sendiri pun tak faham kenapa dia sanggup buat macam tu. Pening saya bos dua tiga hari ni bila fikirkan sebab dia buat semua ni, tapi kelakar pun ada bila tengok dia. Nantilah saya cerita. Apa-apa nanti saya update bos.”
Perbualan Khairul tamat di situ. Rafiqi kembali menghenyakkan punggung di kerusinya. Kepala mula menyandar. Biarpun deru penyaman udara bertiup di dalam bilik, tetap saja tidak mampu menyejukkan hatinya yang semakin gundah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan