Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 4 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 3

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Wajah yang terbias pada cermin mula diteliti. Lipstik yang menyaluti bibir juga diperiksa, kalau-kalau ada sisa comot yang hanya akan merosakkan solekan pada wajahnya. Bibir Alisya mula menguntumkan senyuman apabila berpuas hati dengan wajahnya. Kaki melangkah keluar dari kereta kesayangan Maruti Suzuki Ciaz yang berwarna merah itu.
Alisya mula menghala ke lobi bangunan. Pagi ini dia ingin melihat sendiri koleksi busana milik butiknya yang akan diperagakan oleh model-model tempatan untuk sesi fotografi. Dia menaja segala kos yang diperlukan untuk sesi fotografi itu dan sebagai balasan, koleksi-koleksinya akan dipaparkan di dalam majalah Pretty sebanyak lapan muka surat. Secara tidak langsung, dia sudah beroleh promosi busana-busananya di situ.
Kaki terus melangkah menuju ke lif. Studio penggambaran terletak di aras tujuh. Sesekali, Alisya membetulkan rambutnya yang sudah didandan rapi. Melihatkan pintu sebuah lif yang terbuka, dia mula berlari-lari anak sebelum terlambat. Baru sahaja hendak melangkah masuk, terasa bahunya dirempuh oleh seseorang dari arah belakang.
“Hei! Tak nampak ke, hah?!” Alisya menjerit geram. Hampir terjatuh tubuhnya tadi kalau tidak ada sepasang tangan yang pantas menyambut.
Are you okay?” Suara lelaki kedengaran.
“Maafkan saya cik. Err... saya takut terlepas lif ni tadi.” Suara perempuan pula menyapa pendengaran.
Bersilih ganti kata-kata itu menusuk ke pendengaran Alisya. Lelaki yang menyambutnya tadi membantunya untuk berdiri semula.
Are you okay?” Sekali lagi Luth Zafir melepaskan soalan.
Alisya yang sedang membetulkan tali beg Chanel yang tersangkut di bahu tersenyum sambil menganggukkan kepala.
Yes, I’m fine. Terima kasih,” balas Alisya. Sempat matanya menjeling semula seorang perempuan yang berdiri di dalam lif. Perempuan yang melanggarnya tadi.
“Err... maaf,” tutur Julia sekali lagi. Bibirnya diketap menahan malu yang semakin menebal.
Sudahlah terlanggar perempuan yang sedang merenungnya sekarang bagaikan singa yang sudah bersedia hendak menerkam pada bila-bila masa, lebih malang di hadapan Encik Luth pula! Malunya berganda-ganda.
Pintu lif yang tadinya sempat ditahan oleh Luth Zafir mulai tertutup. Alisya menekan butang yang tertera nombor tujuh. Julia pula menekan butang yang tertera nombor 14. Hanya mereka bertiga berada di dalam perut lif. Alisya yang berdiri di tengah-tengah menjeling lagi perempuan yang berdiri di kanannya. Penampilan gadis itu dilirik sekali lalu.
Julia yang sedar dirinya diperhati mula memberikan senyuman. Alisya tidak mengendahkan sebaliknya matanya menjeling tajam sebelum memandang semula ke hadapan. Sempat matanya menjeling nombor aras yang tertera. Baru berada di aras tiga. Masih ada lagi peluang untuk berkenalan dengan lelaki yang membantunya tadi.
Alisya menoleh ke arah lelaki yang berdiri di kirinya. “Terima kasih sebab tolong I tadi.”
My pleasure,” balas Luth Zafir sambil menganggukkan sedikit kepalanya.
By the way, my name is Alisya,” ucap Alisya sambil tersenyum. Tangan kanannya dihulurkan ke arah Luth Zafir.
Luth Zafir memerhati. Susuk gadis itu dikerling sekali lalu atas dan bawah. Sekali lagi dia menganggukkan kepala apabila matanya memandang tepat kepada gadis itu. “Luth Zafir.”
Oh! Dia tak nak salamlah? Alisya yang mengerti menarik semula tangannya.
Julia yang memerhati menahan tawa. Padan muka! Dahlah berlagak. Encik Luth pun tak nak salam dengan kau. Mata Julia mula mencuri pandang bosnya. Rambutnya disisir rapi seperti selalu. Kemas dengan sut Giorgio Amani jenama kegemarannya. Hari ini, sutnya berwarna kelabu.
Lif kembali sepi.
Alisya mengerling ke arah nombor aras yang tertera. Sudah berada di aras lima. Tangannya mula menggagau sesuatu di dalam ruang poket beg tangannya. Jumpa! Bibirnya tersungging senyum. Lelaki yang berada di sisinya ini ada auranya yang tersendiri. Terasa dirinya bagaikan dicabar apabila tangannya tidak bersambut tadi.
Tiba di aras tujuh, pintu lif terbuka. Alisya berpaling ke arah Luth Zafir sambil menghulurkan sekeping kad yang diambil dari beg tangannya tadi.
“Kad I.” Meleret suara Alisya yang tersenyum terus.
Julia yang memerhati mula mencebik. Kad konon! Cakap sajalah yang kau nakkan nombor bos aku tu, huh!
Luth Zafir menghela nafas. Kad sudah dihulur. Takkanlah hendak ditolak? Kalau diambil, seharusnya ada balasan pula. Tangannya mula meraba kocek kot. Mujur ada dua keping yang tersimpan di situ. Sekeping ditarik keluar dan dihulurkan kepada gadis yang bernama Alisya itu. Kad masing-masing bertukar tangan.
Thanks,” sahut Alisya girang. Berjaya! Bukannya susah sangat pun. Kalau setakat tahu nama saja, nak buat apa, kan?
Kaki mula melangkah keluar. Sebelum pintu lif tertutup sepenuhnya, sempat dia menoleh ke belakang dan menghadiahkan senyuman yang paling manis buat lelaki yang berekspresi serius itu.
Alisya tersenyum terus biarpun pintu lif sudah tertutup dan membawa pergi dua orang itu. Sempat dia terfikir sambil kaki melangkah perlahan menuju ke studio. Kalaulah dia tahu yang dia akan terserempak dengan lelaki kacak pada hari ini, tak payah dia nak berdandan bagai rambutnya yang hampir mencecah pinggang. Biar hanya diluruskan dan disapukan pelembap sikit. Bolehlah dia flip tadi sewaktu berpaling. Biar ada kesan yang dapat ditinggalkan untuk lelaki yang bernama Luth Zafir.

Julia yang memerhati bosnya dan gadis tadi mula mengetap bibir. Pandai perempuan berlagak itu mengatur ‘permainannya’. Ah! Nombor bosnya bukankah dia sendiri pun sudah tahu? Ke Encik Luth ada nombor lain? Satu untuk urusan kerja dan satu lagi untuk urusan peribadi? Nombor mana yang diberikan kepada perempuan berlagak tadi?
“Julia, awak okey?” Belum pun habis berfikir, kedengaran suara Luth Zafir.
“Hah?”
“Saya tanya, awak okey ke? Kalut semacam pagi ni sampai orang pun awak langgar. Mujur seorang, kalau ramai tadi?”
“Err... ya.” Julia hilang kata-kata. Tidak tahu apa yang harus dituturkannya pada saat ini.
Lif terus membawa mereka ke aras 14. Sebaik pintu terbuka, Luth Zafir terus melangkah keluar. Julia mengikut dari belakang. Bibirnya dirasakan susah pula hendak dikawal. Asyik tersenyum sejak mendengar soalan daripada bosnya tadi. Tidak sangka. Dia betul-betul tidak sangka yang Encik Luth Zafir mengambil berat akan dirinya.
Beberapa tapak melangkah, Luth Zafir berhenti. Dipandangnya Julia yang berada di belakang. Penyambut tetamunya itu terpempan sejenak. “Are you sure you okay?”
Julia mula merasakan kakinya bagaikan tidak mencecah lantai kini. Kenapa Encik Luth begitu prihatin? Kenapa Encik Luth begitu mengambil berat akan dirinya? Sungguh tidak sangka. Di sebalik ekspresi wajah yang senantiasa serius itu, terselit sifat penyayang buat dirinya. Penyambut tetamu yang tidak seberapa ini. Ya, saya okey sayang. Eh! Encik Luth.
“Julia?” Luth Zafir menguatkan suaranya apabila melihat pekerjanya itu kaku dan tidak memberikan respons.
“Ya, ya! Saya okey encik,” sahut Julia gelabah.
“Saya, err...” Julia mula hendak mengatur ayat. Ingat perempuan berlagak itu saja yang tahu mengayat? Dia pun nak cuba!
“Baguslah awak tak apa-apa. Don’t forget to bring a cup of coffee to my office then,” tutur Luth Zafri seraya menolak pintu kaca pejabat Perkasa Sdn Bhd lalu melangkah terus. Sudahlah semalam kopinya lambat dibancuh.
Julia ternganga. Patutlah... Patutlah Encik Luth tanya dia okey ke tak. Rupa-rupanya hanya kerana secawan kopi yang memang menjadi rutin kerjanya. Sama seperti semalam, apabila bosnya itu meminta kopi melalui interkom. Isk, isk! Baru nak perasan yang lelaki itu mengambil berat akan dirinya. Punah harapan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan