Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 12 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 10

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

HARI yang ditunggu-tunggu pun tiba. Mereka berdua bersiap-siap untuk menghadiri majlis hari jadi Zulfah Insyirah.
Akeel Firdaus ambil kotak kecil berisi gelang Pandora untuk Zulfah Insyirah. Itu pun atas cadangan Afeef Zakwan dan pilihan pun Afeef Zakwan yang tentukan. Akeel Firdaus tak ada perasaan untuk memilih pun. Semuanya dia serahkan kepada Afeef Zakwan.
Sedang dia bersiap-siap, Afeef Zakwan masuk ke bilik adiknya sambil membawa sejambak bunga. Terkejut Akeel Firdaus melihat bunga di tangan abangnya.
“Bunga ni untuk siapa pulak?” soal Akeel Firdaus.
“Untuk Cik Zufa Akeel tulah. Siapa lagi.” Afeef Zakwan letak bunga tersebut di atas katil bersebelahan dengan kotak kecil.
“Kita dah bagi hadiah ni, bang, bunga buat apa lagi?” rungut Akeel Firdaus.
“Apa Akeel ni? Nak bagi biarlah ikhlas. Ini abang dah pilihkan dah. Akeel bagi aje kat Cik Zufa tu nanti. Perempuan kan suka bunga? Apa salahnya bagi?” balas Afeef Zakwan yang lebih memahami jiwa wanita berbanding Akeel Firdaus.
Akeel Firdaus tidak menjawab. Bila semua sudah bersedia, mereka terus keluar dan Akeel Firdaus memandu menuju ke banglo milik Zulfah Insyirah berpandukan peta di dalam kad undangan tersebut.

SAMPAI di luar kawasan rumah Zulfah Insyirah, masing-masing berbalas pandangan. Memang bukan calang-calang orang yang duduk di kawasan ini. Mereka teragak-agak berjalan memasuki pekarangan banglo yang sudah cantik dihiasi itu. Semua hiasannya bercirikan kemewahan.
Akeel Firdaus mencari kelibat Zulfah Insyirah untuk dia serahkan sejambak bunga dan hadiah kecil untuk wanita itu. Sedang dia mencari, ada pautan lembut di bahu Akeel Firdaus. Segera dia menoleh. Zulfah Insyirah sudah tersenyum manis.
Dia pandang wanita high-class itu dari atas ke bawah. Dia tahu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki semuanya mahal. Berlian Swarovski bertaburan merata-rata di baju dan kasutnya.
“Hai.” Gugup pula Akeel Firdaus rasakan saat ini.
“Hai,” balas Zulfah Insyirah lembut.
Afeef Zakwan hanya tersenyum. Sekali lagi dia dapat menatap wajah Zulfah Insyirah secara dekat. Cantiknya dia. Kemudian mata wanita itu beralih kepadanya. Cepat-cepat Afeef Zakwan pandang ke arah lain.
Whos this?” soal Zulfah Insyirah. Tiada lagi senyuman. Senyumannya hanya untuk Akeel Firdaus.
“Oh, lupa I nak kenalkan. Ini abang I, Afeef Zakwan.”
“Oh, you ada abang?” soal Zulfah Insyirah sambil pandang Afeef Zakwan dari atas ke bawah.
“Ya. Abang sulung I. Masih bujang.” Akeel Firdaus tunjuk barisan giginya.
Zulfah Insyirah ketawa singkat. Dia tak hairan langsung dengan maklumat yang Akeel Firdaus beri.
Afeef Zakwan hanya tersenyum kecil. Pasti Zulfah Insyirah tak cam siapa dirinya.
“Bunga tu untuk I?” soal Zulfah Insyirah tanpa segan-silu.
“Err... ya. For you. Happy birthday yang ke...” Akeel Firdaus tunggu jawapan daripada Zulfah Insyirah.
“Oh, I dah tua. 30 years old.” Zulfah Insyirah sambut bunga yang dihulurkan. Spontan dia cium bau bunga mawar merah jambu itu.
Thanks. Pandai you pilih warna bunga kesukaan I.” Zulfah Insyirah menyentuh lembut pipi Akeel Firdaus.
Akeel Firdaus dan Afeef Zakwan saling berpandangan. Waktu itu Zulfah Insyirah membelakangkan Afeef Zakwan. Akeel Firdaus buat isyarat tangan menunjukkan nombor tiga.
Hampir sahaja Afeef Zakwan ketawa di situ juga. Dia faham maksud adiknya. Lagilah membuatkan Akeel Firdaus tidak mahu menerima Zulfah Insyirah yang lebih tua daripadanya. Akeel Firdaus baru berusia 28 tahun kut. Walaupun bukanlah satu kesalahan kalau mereka bercinta sekalipun.
“Ermm, mana semua pekerja-pekerja you?” soal Akeel Firdaus. Dia seperti tercari-cari seseorang.
“You nak jumpa I ke nak jumpa pekerja-pekerja I? You cari siapa sebenarnya?” Angin Zulfah Insyirah sudah berubah. Dia berpeluk tubuh dan merenung tajam wajah Akeel Firdaus.
“Eh, of courselah nak sambut birthday you.” Akeel Firdaus tersengih-sengih. Terlalu awal dia mahu tunjuk niat sebenarnya datang ke majlis hari jadi Zulfah Insyirah.
“Dahlah, jom.” Zulfah Insyirah menarik tangan Akeel Firdaus.
Afeef Zakwan hanya turut sahaja ke mana mereka pergi. Sabar sahaja dia melayan sikap Akeel Firdaus dan Zulfah Insyirah. Mereka duduk di satu meja bulat.
Zulfah Insyirah menarik kotak kecil yang dihadiahkan oleh Akeel Firdaus.
“Apa ni?” soal Zulfah Insyirah sambil mengerling manja wajah Akeel Firdaus.
Afeef Zakwan yang berada di situ seperti tidak wujud pula.
“Kalau you nak tahu, bukaklah,” ujar Akeel Firdaus.
Zulfah Insyirah tidak tunggu lama. Dia terus buka bungkusan kotak kecil tersebut. Isi di dalam kotak dikeluarkan. Zulfah Insyirah tersenyum seadanya melihat gelang Pandora yang dihadiahkan.
I hope you like it.” Akeel Firdaus tersenyum sinis.
Of course I like, Akeel. Apa-apa daripada you mesti I suka.” Sekali lagi Zulfah Insyirah membelai pipi Akeel Firdaus.
Kemudian acara potong kek dan makan-makan pun bermula. Mereka berdiri dan sama-sama menyanyikan lagu ulang tahun untuk Zulfah Insyirah.
“Ermm, terasa kembali ke zaman kanak-kanak pulak,” bisik Akeel Firdaus kepada Afeef Zakwan. Bisikan berbaur sindiran.
“Orang kaya, Akeel. Orang kaya,” balas Afeef Zakwan.
Akeel Firdaus jongket bahu. Dia bukan mahu raikan sangat pun. Matanya sentiasa meliar, memandang kalau-kalau gadis yang masih tidak diketahui nama itu ada di situ.
Hanya Afeef Zakwan sahaja yang betul-betul menumpukan perhatian sewaktu Zulfah Insyirah sedang meniup lilin.
Nampaknya mood Zulfah Insyirah baik malam itu. Maklumlah, malam yang paling bermakna buatnya. Para pekerja juga nampaknya tidak kekok untuk meraikan hari jadi Zulfah Insyirah.
Afeef Zakwan terus memerhati. Cantik, tapi sayang, kekurangan kasih sayang. Itu tebakan awal Afeef Zakwan terhadap Zulfah Insyirah. Apa yang paling buat Afeef Zakwan yakin tebakannya mengena apabila dia tidak lihat di mana-mana pun orang tua mahupun adik-beradik Zulfah Insyirah.
Ya, wanita ini punya segala-galanya. Dia boleh dapatkan sesuatu hanya dengan petikan jari sahaja. Semuanya akan tersedia.
“Akeel?”
Laungan Zulfah Insyirah buat lamunan Afeef Zakwan terhenti. Dia lihat Zulfah Insyirah berlari-lari anak mendapatkan Akeel Firdaus. Akeel Firdaus ditarik menuju ke meja hiasan untuk kek tiga tingkat.
Zulfah Insyirah tanpa segan-silu menyuapkan kek ke dalam mulut Akeel Firdaus. Apalagi, berebut-rebutlah wartawan yang dijemput mengambil gambar-gambar mereka.
Afeef Zakwan terkejut. Sungguh dia tidak menyangka majlis hari jadi Zulfah Insyirah ini akan mendapat liputan media. Akeel Firdaus lagilah terkejut, tetapi dia cuba tidak mahu malukan Zulfah Insyirah di khalayak ramai.
Afeef Zakwan hanya tersenyum dari kejauhan. Hai, nasib kaulah Akeel. Popularlah lepas ni. Bijak Zulfah Insyirah memerangkap Akeel Firdaus.
Selesai acara potong kek, Akeel Firdaus terus menghampiri Afeef Zakwan. Mukanya nampak tegang. Afeef Zakwan tahu adiknya itu bengang dengan tindakan Zulfah Insyirah.
“Jomlah kita balik.” Akeel Firdaus mahu pergi.
Afeef Zakwan hanya turut sahaja. Kelihatan pula Zulfah Insyirah berlari-lari anak mendapatkan mereka berdua.
“Akeel, you nak ke mana?” soal Zulfah Insyirah.
“I nak balik. Sanggup you perangkap I macam tu? Kita baru kenal, Zufa. Nanti apa pulak pihak media tu nak cerita dalam akhbar?” Tahap kesabaran Akeel Firdaus sudah sampai batasnya.
Look, Im sorry, okay. I tak jangka pun semua tu. I just want to share my happiness with you. Takkan itu pun tak boleh? Hmm?” pujuk Zulfah Insyirah.
“I dah penat. I nak balik.” Akeel Firdaus masih tetap dengan keputusannya.
“Okey, okey. You boleh balik sekejap lagi. Tapi, kali ni, please. Temankan I menari, please. Jangan hampakan birthday girl ni, okey?” pujuk Zulfah Insyirah lagi.
Afeef Zakwan pegang lembut bahu adiknya. Mengalah juga Akeel Firdaus akhirnya.
Last, okay?” Sempat Akeel Firdaus beri amaran.
Zulfah Insyirah hanya menjeling geram, tetapi terpaksa bersetuju. Kalau Akeel Firdaus lari malam itu, malulah dia. Semua dia telah atur dan rancang dengan baik. Selebihnya dia mahu tunjuk kepada Syasya yang Akeel Firdaus itu haknya. Jangan berani rampas kepunyaan dia.
Kemudian lampu di laman yang luas itu tiba-tiba malap. Seorang pengacara majlis berdiri di tengah-tengah laman yang berlantaikan simen itu. Acara tari-menari akan diadakan sebentar lagi.
Selesai pengacara majlis berucap, lampu yang tadi suram kini bertukar berwarna-warni pula. Lagu romantik didendangkan. Acara yang paling ditunggu-tunggu oleh Zulfah Insyirah. Dia berdiri di tengah-tengah laman sambil memegang kedua-dua belah tangan Akeel Firdaus.
Akeel Firdaus terpaksa menerima. Rela dalam terpaksa. Matanya masih melilau mencari gadis yang ditunggu-tunggu.
Sebaik sahaja Zulfah Insyirah dan Akeel Firdaus menari, barulah beberapa pasangan lain turut sama menari dan memenuhkan ruang tarian itu. Sedang Zulfah Insyirah leka dibuai perasaan yang mula berbunga, tiba-tiba tangannya yang melekap di bahu Akeel Firdaus ditarik dan disatukan.
Akeel Firdaus merenung tepat ke dalam anak mata Zulfah Insyirah yang terpinga-pinga. Senyuman Akeel Firdaus penuh makna yang tersembunyi.
Thanks sudi menari dengan I. I nak jumpa seseorang.” Terus sahaja Akeel Firdaus meninggalkan Zulfah Insyirah sendirian.
“Akeel, you nak ke mana?” soal Zulfah Insyirah. Malunya dia tak terkata. Sempat Zulfah Insyirah menghentak kaki di situ. Dia memandang kiri dan kanan. Hendak keluar dari ruang tarian terasa malu pula.
Afeef Zakwan yang melihat kejadian itu mula berdiri. Dia kasihankan Zulfah Insyirah yang seperti kera sumbang di situ. Niat dia cuma tidak mahu memalukan Zulfah Insyirah. Sudahlah ini majlis hari jadinya, tetapi dia ditinggalkan pula oleh pasangannya.
“Akeel, Akeel...” Itu sahaja yang terluah dari bibir Afeef Zakwan sambil berjalan mendapatkan Zulfah Insyirah.
Zulfah Insyirah menyumpah seranah dalam hati. Tambahan pula dia melihat Akeel Firdaus menuju ke arah Syasya. Menyesal pula dia menjemput model itu ke majlis hari jadinya. Dia ingatkan dengan menjemput Syasya ke majlisnya, dia boleh beri amaran kepada gadis itu. Tetapi, ternyata dia silap. Akeel Firdaus sendiri yang mencari Syasya. Sewaktu mereka sedang menari pula tu.
Sanggup Akeel Firdaus tinggalkannya begitu sahaja. Tak guna!
“Cik Zufa?” tegur Afeef Zakwan.
Zulfah Insyirah berpaling. Dia pandang pelik Afeef Zakwan.
“Nak apa?” soal Zulfah Insyirah sombong.
“Nak selamatkan maruah Cik Zufa,” jawab Afeef Zakwan sambil menghulur tangan tanda meminta izin untuk sambung tarian yang ditinggalkan oleh adiknya tadi.
“Hmm, okey.” Mata Zulfah Insyirah tidak lepas daripada memandang Akeel Firdaus yang berusaha untuk berbual dengan Syasya.
Syasya pula kelihatan takut-takut. Huh! Walaupun bukan dia yang cari Akeel Firdaus, tetap aku benci perempuan tu.
Afeef Zakwan dan Zulfah Insyirah menari sehingga muzik tamat. Kemudian laju sahaja Zulfah Insyirah menuju ke mejanya. Diekori oleh Afeef Zakwan kerana tadi mereka bertiga duduk di meja yang sama. Afeef Zakwan dapat lihat dengan jelas Zulfah Insyirah betul-betul marahkan sikap Akeel Firdaus. Lama dia merenung adik kepada Afeef Zakwan yang berada di hujung laman.
Afeef Zakwan duduk bertentangan dengan Zulfah Insyirah. Matanya juga turut memandang panorama yang tidak indah pada pandangan wanita di hadapannya itu.
“Hisy, mengada-ada,” rungut Zulfah Insyirah.
Afeef Zakwan tersenyum kecil.
Zulfah Insyirah perasan akan hal itu. Dia renung tajam wajah Afeef Zakwan.
“Kenapa? Kenapa you senyum-senyum?” soal Zulfah Insyirah garang.
“Senyum tu kan sedekah.” Lembut sahaja Afeef Zakwan balas.
“Tapi, you senyum ada makna. You mengata I?” soal Zulfah Insyirah lagi.
Nope. I senyum sebab I kagum dengan perasaan you terhadap adik I. You betul-betul suka dia?” soal Afeef Zakwan lagi.
 “Ya. I memang suka dia. I jatuh cinta dengan dia. Tapi, tengok apa adik you buat.” Zulfah Insyirah kembali memusatkan pandangan ke arah Akeel Firdaus. Sakit sungguh hatinya.

SYASYA sudah semakin tidak selesa. Semakin dia cuba mengelak semakin keras Akeel Firdaus berusaha mahu berbual dengannya.
Elena dan Miss Dee juga saling berpandangan. Nasib Syasya memang dalam bahaya. Mereka pandang lagi Akeel Firdaus yang cuba berbual dengan Syasya tidak jauh daripada mereka. Berani sungguh lelaki itu mendekati Syasya. Bukan mereka tidak nampak Akeel Firdaus tinggalkan Zulfah Insyirah begitu sahaja sewaktu sedang menari. Dan sekarang, mereka boleh lihat mata Zulfah Insyirah seperti mengeluarkan api merenung Akeel Firdaus dan Syasya.
“Kenapa awak nampak takut?” soal Akeel Firdaus. Jus oren yang baru diambil diserahkan kepada Syasya.
Cepat Syasya mengambilnya dan meneguk perlahan.
“Saya takut Cik Zufa marah saya berbual dengan Encik Akeel,” balas Syasya jujur.
“Nak takut apa? Kenapa semua orang mesti takut dengan dia?” soal Akeel Firdaus tidak faham.
“Lebih baik Encik Akeel pergi ke sana semula. Saya perasan Cik Zufa dah pandang kita banyak kali,” pinta Syasya. Dia betulkan duduknya. Rambut yang menutup wajah disebak perlahan.
“Awak kena tahu satu perkara,” ujar Akeel Firdaus lagi. Dia tidak berniat mahu kembali ke tempat duduknya di sana. Akeel Firdaus duduk bertentangan dengan Syasya.
“Apa dia?” soal Syasya perlahan.
Dia akui seronok berbual dengan Akeel Firdaus. Semenjak mereka bertembung di lif tempoh hari, Syasya cuba untuk lenyapkan wajah manis Akeel Firdaus yang tersenyum kepadanya, tetapi tidak berjaya. Kalaulah Akeel Firdaus itu bukan teman lelaki Zulfah Insyirah, alangkah bahagia hidupnya ketika ini dapat berbual dengan lelaki di hadapannya.
“Saya dengan Mrs. Sendu tu tak ada apa-apa.”
“Hah? Mana awak tahu gelaran tu?” bisik Syasya. Terkejut bila Akeel Firdaus tahu gelaran yang mereka semua berikan kepada Zulfah Insyirah.
Akeel Firdaus ketawa melihat wajah kecut gadis di hadapannya. Dia menggeleng kepala. Kuat sungguh kuasa Zulfah Insyirah sampai semua orang takut dengannya.
“Saya terdengar masa receptionist tu berbual. Kelakarlah gelaran tu,” balas Akeel Firdaus.
“Baik Encik Akeel rahsiakan.” Syasya beri amaran.
Sekali lagi Akeel Firdaus ketawa.
“Saya tak ada niat nak stop kat sini aje. So please take my number, Syasya.” Akeel Firdaus keluarkan pen dari dalam poket seluarnya dan dia tarik lembut lengan Syasya.
Syasya hanya biarkan sahaja Akeel Firdaus menconteng nombor telefon pada lengannya. Serba salah, tetapi dia suka. Mujur bila dia curi-curi pandang ke arah Zulfah Insyirah, wanita itu tidak memandang mereka.
“Jangan takut dengan Cik Zufa. Kalau dia pecat awak sekalipun, bumi Allah ni luas. Kat mana-mana boleh cari rezeki,” ujar Akeel Firdaus. Sekali gus menenangkan perasaan Syasya yang gundah-gulana.
Syasya hanya tersenyum. Tidak berniat mahu membalas kata-kata Akeel Firdaus. Lelaki itu mula berdiri. Syasya hanya mendongak memandang lelaki itu.
Call me. Kalau tak saya ganggu terang-terangan Syasya kat tempat kerja. Nak?” soal Akeel Firdaus.

Pantas Syasya menggeleng. Itu menempah maut namanya! Kemudian kedengaran Akeel Firdaus ketawa sambil pergi semula ke mejanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan