Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 12 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 8

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

MEMANG betul kata Akeel Firdaus. Selang beberapa hari Zulfah Insyirah mula mencarinya lagi. Tapi, kali ini dia hanya hantar orang-orangnya untuk sampaikan pesanan kepada Akeel Firdaus.
Din dan Dol datang ke Old Malaya Kopitiam dan berjumpa dengan Afeef Zakwan. Mereka gagal untuk berjumpa dengan Akeel Firdaus kerana waktu itu Akeel Firdaus sedang bertugas di luar kawasan.
Sekembali Akeel Firdaus ke tanah air pada satu malam, terus Afeef Zakwan berikan nota kepada adiknya. Seperti biasa pasti Akeel Firdaus akan buat muka bila melihat pesanan pada nota kecil itu.
Dan kini Akeel Firdaus dalam dilema. Sama ada mahu pergi ataupun tidak. Waktu itu mereka sedang santai-santai di rumah. Masing-masing bercuti. Afeef Zakwan yang sedang menonton televisyen mula beralih pandang ke wajah kusut Akeel Firdaus.
“Dah kenapa?” soal Afeef Zakwan. Matanya kembali ke skrin leper televisyen 42 inci.
“Benda nilah, kena pergi ke jumpa dia? Malas pulak rasanya,” balas Akeel Firdaus sambil mencampak nota kecil berisi alamat pejabat Zulfah Insyirah.
Rimas sungguh Akeel Firdaus. Entah apa yang dia nak buat lagi?
“Alahai, pergi ajelah. Mungkin dia nak ajak makan tengah hari kut.” Afeef Zakwan tersengih.
“Senang abang cakap. Cuba abang yang kena. Baru abang tau langit tinggi rendah,” rungut Akeel Firdaus. Wajahnya sudah cemberut.
Afeef Zakwan ketawa galak. Dia tahu adiknya stres hadapi perempuan seperti Zulfah Insyirah.
“Cubalah. Sana mesti ramai awek lain. Mana tahu jumpa jodoh lain? Hahaha.” Afeef Zakwan ketawa lagi.
“Tak kelakar, okey.” Akeel Firdaus beri jeling sedas.
“Okeylah, okeylah. Pergi aje okey. Mungkin yang terakhir? Akeel cakap terus terang. Takut nanti dia kata Akeel main-mainkan perasaan perempuan pulak.” Afeef Zakwan beri cadangan.
Kesian pula dia melihat Akeel Firdaus yang nampak terpaksa sahaja menurut kehendak Zulfah Insyirah.

DENGAN langkah malas, Akeel Firdaus keluar dari keretanya. Dia mendongak memandang pejabat urusan milik Zulfah Insyirah yang gah berdiri. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang. Hai, takkan nak jumpa Zulfah Insyirah pun hati berdebar-debar? Bukannya dia ada perasaan apa-apa pun kepada wanita itu.
Kemudian Akeel Firdaus melangkah masuk ke pejabat milik Zulfah Insyirah. Dia tersenyum kepada dua orang pekerja di meja penyambut tetamu. Kedua-duanya seperti terpukau memandang Akeel Firdaus tanpa berkelip.
“Hai, assalamualaikum.” Terpaksa Akeel Firdaus yang menegur mereka dahulu.
“Err... Waalaikumussalam. Ya, encik. Boleh kami bantu?” soal Nur Jannah sambil tersipu-sipu malu.
Akeel Firdaus menguntumkan senyuman. Dia jadi geli hati bila melihat lelaki lembut yang memakai tanda nama Kelly di sebelah Nur Jannah. Walaupun cara berpakaian, bersolek dan berambut panjang seperti perempuan, Akeel Firdaus tahu di sebelah Nur Jannah itu adalah lelaki.
Kelly menggesel-gesel di bahu Nur Jannah sambil buat aksi menggoda. Matanya masih tak lepas daripada memandang Akeel Firdaus. Sesekali lidahnya terjelir-jelir sambil bermain dengan rambut panjangnya. Tersenyum-senyum dan buat aksi mahu mencium Akeel Firdaus.
“Ya, kami boleh bantu. Encik cari siapa?” soal Kelly pula.
“Ermm, saya cari Zulfah Insyirah. Dia ada?” soal Akeel Firdaus.
Terus dua pasang mata di depan Akeel Firdaus terkebil-kebil. Senyuman mereka serta-merta mati. Dan Akeel Firdaus perasan akan hal itu.
“Oh, nak jumpa Mrs. Sendu. Ops...” Cepat-cepat Kelly menutup mulutnya. Kemudian menampar-nampar lembut bibir mongelnya.
“Err... Cik Zufa ada di tingkat tiga. Lif di hujung sana. Keluar lif encik belok ke kiri.” Nur Jannah beri penerangan.
“Terima kasih. By the way, comel gelaran Mrs. Sendu tu.” Akeel Firdaus terus menuju ke lif.
Hilang sahaja Akeel Firdaus di dalam perut lif, Nur Jannah memukul kuat bahu Kelly.
“Itulah kau! Mulut tak reti nak jaga! Kan dah terlepas cakap.” Nur Jannah mula membebel.
“Aku tak sengajalah. Dah terbiasa mulut ni sebut Mrs. Sendu.” Kelly beri alasan.
“Ha, kalau kau berani, cubalah sebut Mrs. Sendu depan Cik Zufa. Gerenti kau kena pecat,” arah Nur Jannah lagi.
“Alah, relakslah, Jannah. Kau janganlah takutkan aku.” Kelly sudah mula cuak.
“Jangan kata kau, aku pun takut.” Nur Jannah pandang kiri dan kanan. “Kalau lelaki tadi tu anak ikan Cik Zufa macam mana? Mesti dia mengadu kat Cik Zufa punya.”
Kelly sudah terjerit kecil. Mulalah dia kalut semacam. Panik tak tentu arah. Menggelabah sahaja gayanya sehingga Nur Jannah pula yang jadi kalut.

SAMPAI di tingkat atas, senyuman Akeel Firdaus masih tidak lekang dari bibirnya. Dalam kepalanya hanya melekat gelaran Mrs. Sendu yang ditujukan kepada Zulfah Insyirah. Boleh tahan juga para pekerja Zulfah Insyirah di sini.
Pintu lif terbuka dan Akeel Firdaus melangkah keluar dan belok ke kiri sepertimana yang Nur Jannah arahkan. Kemudian dia melihat satu ruang pejabat di sebalik cermin kaca yang menempatkan beberapa kakitangan.
Akeel Firdaus menolak pintu kaca. Semua mata mula tertumpu ke arah Akeel Firdaus sehingga lelaki itu jadi tidak keruan dibuatnya. Hai, jadi kacak pun masalah juga, puji diri sendiri dalam hati. Tak sedar dia sudah menguntumkan senyuman.
Elena mendekati lelaki itu. Dia memang kenal siapa gerangan yang menjejakkan kaki di pejabat Zulfah Insyirah. Ini kalau Zulfah Insyirah tahu, pasti wanita itu tergedik-gedik suka. Mesti hilang sifat sombongnya.
“Encik Akeel Firdaus, kan?” soal Elena.
Para pekerja yang lain tercengang-cengang bila melihat Elena sudah kenal dengan lelaki yang baru pertama kali mereka lihat itu.
“Ya, saya. Macam mana boleh kenal saya?” soal Akeel Firdaus hairan. Rasa mahu kembang hidungnya bila terasa diri bagaikan artis pula.
Elena tidak menjawab, malah tersenyum manis. Dia pasti Akeel Firdaus lupa yang dialah orangnya yang bersama-sama Zulfah Insyirah di dalam kapal terbang.
“Ikut saya, encik,” pinta Elena.
Akeel Firdaus mengekori ke mana sahaja langkah Elena.
“Sila duduk. Nanti saya bagi tahu Cik Zufa yang Encik Akeel datang, ya.” Elena sudah menekan punat interkom.
Akeel Firdaus hanya tersenyum dan mengangguk. Menunggu sehingga Elena selesai. Dia memandang sekeliling ruang pejabat. Ruang pejabat nampak ceria, tetapi dia rasa suram. Entah di mana silapnya.
“Encik Akeel?”
Akeel Firdaus segera berpaling.
“Cik Zufa minta Encik Akeel masuk ke bilik dia sekarang,” ucap Elena sambil menutup pintu bilik Zulfah Insyirah.
Akeel Firdaus berdiri dan bersedia melangkah masuk ke dalam bilik wanita itu dengan perasaan separuh hati.

DENGAN perasaan penuh berbunga, Zulfah Insyirah menunggu Akeel Firdaus masuk ke dalam bilik. Bedak kompak dikeluarkan dan dia melihat wajahnya. Span disapu pada bedak kompak dan ditekan-tekan pada wajahnya agar kelihatan segar dan tidak berminyak.
Kemudian Zulfah Insyirah berdiri menghadap cermin panjang yang dilekatkan pada dinding bilik. Cermin yang memperlihat seluruh tubuhnya. Rambut panjang melepasi bahu disikat rapi. Sempat dia capai botol serum rambut dan disapu pada hujung rambutnya.
Pintu diketuk dan dibuka perlahan. Zulfah Insyirah sudah bersedia dan berpaling menghadap Akeel Firdaus yang baru masuk ke dalam biliknya.
“Hai, Akeel.” Zulfah Insyirah menghampiri lelaki itu. Lengan lelaki itu dirangkul mesra kemudian ditarik perlahan menuju ke sofa.
“Err... Hai.” Akeel Firdaus kelihatan kaku.
“Duduklah.” Riang sahaja suara Zulfah Insyirah mempelawa Akeel Firdaus duduk.
Mahu tak mahu Akeel Firdaus duduklah juga. Dia kalau boleh mahu cepat-cepat keluar dari bilik itu.
Zulfah Insyirah duduk di sebelah Akeel Firdaus dengan aksi yang cukup menggoda. Kakinya disilangkan sehingga menampakkan pahanya yang putih gebu. Badan dihadapkan ke arah Akeel Firdaus dan tangannya menari-nari di bahagian kolar baju milik lelaki itu.
Akeel Firdaus jadi tidak selesa. Dia berganjak sedikit daripada terus rapat melekat dengan badan Zulfah Insyirah.
“Kenapa? You malu?” soal Zulfah Insyirah sambil senyum menggoda.
“Ya. Nanti apa pulak kata pekerja-pekerja you kalau nampak kita macam ni,” balas Akeel Firdaus sambil mengusap tengkuk tanda dia betul-betul tidak selesa.
“Jangan risau. Dia orang takkan kata apa-apa pasal kita. Sinilah... dekat sikit.” Zulfah Insyirah menarik lembut lengan Akeel Firdaus.
“Err... Tak apalah. Sebenarnya you suruh I datang ke pejabat you ni atas sebab apa ya?” soal Akeel Firdaus berhati-hati.
“Alah, you ni relakslah. Cepat sangat nak tau kenapa I ajak you datang sini. Ermm, you nak minum apa-apa?” soal Zulfah Insyirah sambil memintal-mintal hujung rambutnya.
“Tak apalah. I masih kenyang lagi.” Akeel Firdaus mengelak lagi.
“Okeylah.” Zulfah Insyirah beralah.
Dia bangun dan berjalan menuju ke belakang sofa yang diduduki oleh Akeel Firdaus. Jari-jemari Zulfah Insyirah mula merayap di bahu Akeel Firdaus. Mengurut lembut bahu lelaki itu.
“Eh, janganlah macam ni.” Akeel Firdaus menolak lembut tangan Zulfah Insyirah.
Zulfah Insyirah ketawa kecil. Dia rasa lucu dengan sikap kalut Akeel Firdaus. Kali ini Zulfah Insyirah berpeluk tubuh pula. Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke meja kerjanya. Sesuatu dikeluarkan dari dalam beg tangan mewah berjenama Luiss Vuitton. Kemudian Zulfah Insyirah mendekati Akeel Firdaus semula.
Kelihatan lelaki itu kembali tenang. Zulfah Insyirah duduk rapat di sebelah Akeel Firdaus. Satu tangan menyerahkan sekeping kad dan satu tangan lagi ditopang pada kepala sofa. Badannya menghadap Akeel Firdaus.
“Apa ni?” soal Akeel Firdaus sambil menyambut apa yang dihulurkan Zulfah Insyirah.
“Bukaklah kalau nak tahu,” balas Zulfah Insyirah sambil tersenyum manis.
Akeel Firdaus tidak tunggu lama. Sampul dibuka dan kad empat segi tepat itu dikeluarkan.
“Jemputan ke majlis hari jadi you?” soal Akeel Firdaus untuk kepastian.
Dia toleh ke arah Zulfah Insyirah dengan satu pandangan yang pelik. Takkanlah dah tua-tua pun masih nak sambut hari jadi? Biar betul dia ni?
Yes, its my birthday! You kena datang. Tak boleh ada alasan apa-apa.” Zulfah Insyirah menggerakkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan.
“Ermm, insya-Allah. Kalau I tak fly.” Akeel Firdaus beri jawapan selamat.
Oh, please, Akeel. Setahun sekali kita sambut birthday. I just want you to come,” rayu Zulfah Insyirah.
Akeel Firdaus serba salah. Akhirnya dia mengangguk. Tak pasti sama ada dia akan menurut kehendak Zulfah Insyirah kali ini ataupun tidak.
“Okey, kalau you dah setuju, jom!” Zulfah Insyirah sudah berdiri. Menuju ke meja kerja dan capai beg tangannya.
“Jom ke mana?” soal Akeel Firdaus terpinga-pinga. Spontan dia turut berdiri.
Lunch. Lepas tu teman I shopping.” Zulfah Insyirah sudah bercekak pinggang.
“Hah?”
Zulfah Insyirah sudah tarik dan taut jari-jemari Akeel Firdaus. Mereka melangkah keluar dari bilik. Seperti biasa semua pekerja memberi ucapan selamat kepada Zulfah Insyirah yang menonong sahaja keluar dari ruang pejabatnya.
Hanya Akeel Firdaus yang tersenyum-senyum malu dengan tindakan drastik Zulfah Insyirah.
Sampai di pintu lif mereka menunggu seketika. Bila pintu sudah terbuka, mereka bergandingan masuk ke dalam perut lif. Hampir sahaja pintu mahu tertutup, kedengaran derapan tapak kaki berlari untuk mengejar dan menahan lif itu daripada tertutup.
Spontan Akeel Firdaus menahan pintu lif. Dapat juga gadis itu masuk ke dalam lif dan pintu tertutup.
My scarf!” Syasya kelam-kabut.
Akeel Firdaus pantas menarik kain selendang yang menghiasi batang leher Syasya yang tersepit di celahan pintu lif.
Zulfah Insyirah sudah berubah wajah. Anginnya mula tidak baik. Dia berpeluk tubuh sambil memandang dua manusia yang sedang sibuk bantu-membantu.
Thanks,” ucap Syasya perlahan sambil tersipu-sipu malu setelah kain selendangnya berjaya ditarik keluar oleh Akeel Firdaus.
Kemudian matanya terarah kepada wanita yang duduk di sudut ruang lif. Serta-merta wajahnya berubah. Tiba-tiba terasa kecut pula melihat mata Zulfah Insyirah merenung tajam ke wajahnya.
Good afternoon, Cik Zufa,” ucap Syasya perlahan dan terus menunduk. Tak berani lagi mahu bertentangan mata.
Zulfah Insyirah tidak menjawab apa-apa. Sakit hatinya melihat Syasya sekarang. Kemudian matanya beralih kepada Akeel Firdaus pula. Lelaki itu tersenyum sambil merenung wajah Syasya walaupun gadis itu tidak membalas pandangannya. Lagilah bertambah sakit hati Zulfah Insyirah.
Kemudian, pintu lif terbuka. Syasya menekan butang buka supaya pintu lif terbuka lebih lama. Dia biarkan Zulfah Insyirah yang sudah merangkul lengan Akeel Firdaus keluar dari perut lif terlebih dahulu. Selepas itu, baru dia pula keluar.
Syasya hanya pandang sepi Zulfah Insyirah keluar dari bangunan dan dia dengan penuh rasa sesal naik semula ke tingkat dua. Niatnya sebentar tadi hanya mahu turun ke tingkat dua untuk kembali ke studio dan menjalankan latihannya, tetapi disebabkan terkena panahan anak mata Zulfah Insyirah terus sahaja dia biarkan lif turun sehingga ke tingkat bawah sekali.
Sampai di tingkat dua, cepat-cepat Syasya mencari Miss Dee. Kelihatan Elena juga ada bersama Miss Dee.
“Kau ke mana?” soal Miss Dee sebaik sahaja melihat kelibat Syasya.
“Ke tingkat tiga,” balas Syasya pendek.
“Intai boyfriend Cik Zufalah tu,” usik Miss Dee.
Serta-merta wajah Syasya pucat. Spontan dia menggeleng-gelengkan kepala. Syasya duduk berhadapan dengan Miss Dee dan Elena.
“Kau orang tahu tak, aku terserempak dengan Cik Zufa dengan seorang lelaki dalam lif,” ujar Syasya takut-takut.
“Hah?” Miss Dee dan Elena serentak bersuara. Terkejut yang amat. Sampai Syasya jadi blur tiba-tiba.
“Kau naik satu lif dengan Cik Zufa?” soal Miss Dee.
Syasya mengangguk.
“Lepas tu apa jadi?” soal Elena pula.
“Masa tu pintu lif nak tertutup, aku sempat masuk sebab lelaki yang dengan Cik Zufa tu tolong aku. Dah tu pulak, selendang ni tersepit kat celah pintu lif. Lelaki tu juga tolong tarik dan keluarkan,” cerita Syasya apa yang berlaku sebentar tadi.
“Cik Zufa?” soal Miss Dee seakan-akan takut-takut.
“Dia pandang aku macam nak telan. Masam betul muka dia,” jawab Syasya serba salah.
“Kau tak ucap selamat?” soal Elena pula.
“Dah.” Syasya mengangguk.
“Sekarang bukan soal ucapan. Sekarang ni kau terlupa nak bagi tahu Syasya satu perkara.” Miss Dee menoleh ke arah Elena.
Elena balas renungan Miss Dee dengan wajah blur seketika. Kemudian baru dia faham maksud kata-kata Miss Dee.
“Ya Allah, aku terlupa nak bagi tahu kau sesuatu. Lain kali, kalau Cik Zufa masuk atau dah ada dalam lif, jangan sesiapa berani masuk. Dia tak suka kongsi lif dengan pekerja.”
Kata-kata Elena bagaikan halilintar yang menyambar telinga Syasya. Baru sahaja dia berazam tak mahu lakukan apa-apa kesalahan yang boleh menimbulkan kemarahan Zulfah Insyirah. Tetapi, nampaknya dia sudah lakukan dua perkara yang boleh buat Zulfah Insyirah marahkan dia.
“Aku rasa satu lif dah satu kesalahan, berbual dan senyum dengan lelaki yang di sebelah Cik Zufa dah dua kesalahan. Mesti dia ingat aku nak caras boyfriend dia. Matilah aku.” Syasya mula panik.
“Relaks, relaks, okey. Kau relaks dulu. Mana tahu kalau mood cinta Cik Zufa buat dia tak kisah dengan apa yang terjadi.” Elena cuba memujuk.
“Aku tak rasa macam tu. Dia jeling pun aku macam nak pengsan aje tau tak? Macam mana kalau dia pecat aku?” Fikiran Syasya mula kusut.
Miss Dee geleng kepala. “Tak mungkin. Kau masih dalam kontrak. Kau jadi duta untuk produk terbaru dia. Mana boleh dia buang sesuka hati.”
“Tapi kalau lepas tamat kontrak, aku tak boleh jamin status kau.” Elena bersimpati.
Syasya terdiam. Nampaknya terpaksalah dia intai-intai peluang kerja lain pula. Masing-masing pun tak dapat meneka apa yang akan jadi seterusnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan