Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 4 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 5

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Sekeping surat yang baru diterima oleh Durrah membuatkan keningnya berkerut-kerut sekejap. Dibelek berkali-kali sampul surat yang berwarna putih itu. Memang jelas tercatat nama dan alamatnya di atas sampul surat tersebut.
“Calm Travel & Tours Agency?” Durrah semakin pelik apabila membaca nama dan alamat yang tertera di bahagian atas kiri sampul surat itu.
Seingatnya, tidak pernah sekali pun dia mendaftar di mana-mana agensi pelancongan untuk pergi melancong. Terus sampul surat dibuka. Sekeping surat yang berada di dalam sampul itu dikeluarkan dan mata Durrah bergerak membaca maklumat yang tercatat.
“Tahniah. Anda terpilih sebagai salah seorang pemenang. Pemenang?” Durrah mula menyandar di sofa apabila melihat satu patah kata itu. Minda cuba digerakkan seaktif yang mungkin untuk mengingati kalau-kalau ada peraduan yang pernah disertainya.
“Mustahil aku. Kalau Nuha, ya.”
Durrah tertawa kecil mengenangkan sahabat baiknya itu. Memang Nuha suka masuk peraduan-peraduan yang ada di dalam surat khabar. Bukan setakat di dalam surat khabar, di dalam majalah pun. Kalau boleh, semua peraduan dia nak masuk!
“Sebagai pemenang, anda layak menerima pakej percutian di Langkawi selama empat hari tiga malam. Hmm...” Durrah mula menggigit bibir sendiri. Pelik! Dia memang yakin yang dia tidak pernah langsung menyertai mana-mana peraduan.
Telefon bimbit yang berada di atas meja di ruang tamu itu terus dicapai. Nama kawan baiknya dicari dan panggilan mula dibuat.
“Assalamualaikum Nuha.” Durrah bersuara sebaik panggilannya berjawab.
“Waalaikumussalam. Kenapa Durrah? Ada kecemasan ke?”
Nada Nuha yang kedengaran sedikit cuak itu membuatkan bibir Durrah tersungging senyum. Risau betul kawannya yang seorang ini. “Bukanlah. Aku okey. Ni... aku baru dapat satu surat. Cakap yang aku menang peraduan. Peraduan apanya?”
“Hah?! Kau menang Durrah? Biar betul ni. Ya Allah!” Suara Nuha sudah kedengaran menjerit di hujung talian.
“Isy! Dengar dulu apa yang aku nak cakapkan ni. Aku mana pernah masuk mana-mana peraduan. Macam mana pula tiba-tiba aku boleh menang? Peliklah,” tukas Durrah.
“Err... sebenarnya Durrah...”
Wajah Durrah mula berubah riak apabila mendengar nada suara kawan baiknya itu. Cepat benar berubah intonasinya. Tadi bukan main lagi seronok macam dia yang menang pakej percutian ini, tapi sekarang?
“Sebenarnya?” Durrah mula menyoal balas.
“Err... Kau ingat tak yang bulan lepas kita beli barang kat satu pasar raya tu, kan?” Nuha memulakan mukadimahnya.
“Hmm... Jadi apa kaitan pasar raya tu dengan peraduan yang entah apa-apa ni?” Durrah mula terasa panas hati.
“Janganlah marah Durrah.” Nada Nuha kedengaran cuak di hujung telinganya.
“Aku bukannya marah. Cuma pelik,” tukas Durrah.
“Apa yang peliknya? Lepas aku dah selesai bayar hari tu, aku ada isi dua borang ni. Borang cabutan bertuah. Amoi tu cakap, kalau menang nanti dia orang bagi tahu kita.”
“Kita?” balas Durrah. Dia sudah boleh mengagak apa yang akan disampaikan seterusnya oleh Nuha.
“Err... kitalah. Maksud aku, kalau kita menang. Satu nama kau dan satu lagi, tentulah nama aku. Tapi nampaknya kaulah yang menang. Tahniah!”
“Isy! Tak payah nak tahniah sangat. Entah apa benda peraduan yang kau masuk pun aku tak tahu, ni nak ucap tahniah lagi?” Durrah mula mendengus. Geram pula dengan perangai Nuha yang satu itu.
“La... Aku dah bagi tahu tadi, kan? Cabutan bertuah. Apa pula tak tahunya? Aku sendiri yang isi borang-borang tu. Tapi kan, hadiah apa yang mereka bagi?” soal Nuha, mula teruja semula.
“Langkawi. Empat hari tiga malam.”
“Langkawi? Best tu!”
“Kalau best, apa kata kau saja yang pergi? Lagipun kau yang seronok sangat dengan peraduan-peraduan ni, kan? Bukannya aku,” tukas Durrah. Surat yang tadinya berada di tangan dilepaskan ke atas meja. Dia mula berbaring di sofa.
“Kalau boleh, kau tak payah cakap. Aku yang akan tawar diri aku sendiri,” balas Nuha yang sudah tertawa.
“Maksud kau?”
“Memang tak boleh. Dia orang tak bagi. Ada syarat-syarat yang amoi tu terang kat aku hari tu dan salah satu syaratnya, hadiah tak boleh ditukar hak milik. Maksudnya, kalau kau yang menang, memang kau saja yang layak dan boleh tuntut hadiah tu. Kau tak boleh nak bagi kat orang lain.”
Durrah mula mencebik. Apa-apalah! Tidak penting pun untuknya, kan?
“Kalau macam tu, lantaklah. Aku takkan pergi. Habis cerita.” Durrah meluahkan kata putusnya.
“Janganlah macam tu Durrah, sayanglah kalau macam tu.” Intonasi Nuha sudah seperti merayu pula di hujung telinga Durrah.
“Dah tu, kau nak aku pergi? Memang taklah!” Naik satu ton suara Durrah. Dia tidak akan sesekali meninggalkan rumahnya. Tidak sama sekali!
“Kau memang, kan? Degil! Apa-apa pun, nanti kita sembang lain. Aku kat sekolah ni,” tukas Nuha.
“Maaf aku kacau kau. Terlupa.” Durrah tertawa kecil. Jam yang tersangkut pada dinding terus dikerling. Hampir ke pukul 10.15 pagi. Semestinya pada waktu itu Nuha yang bertugas sebagai guru masih lagi berada di sekolah.
“Tak apa. Aku pun memang tengah makan ni. Sekarang ni kan waktu rehat. Tengoklah, petang atau malam, aku datang rumah kau, okey?”
“Hmm... yalah. Assalamualaikum,” ucap Durrah sebelum mematikan panggilan. Gadjet itu dilepaskan ke meja. Surat yang diterima tadi dicapai kembali.
“Langkawi.” Nama Pulau Lagenda itu diseru perlahan.
Kenangan yang pernah dibina bersama-sama ahli keluarga yang tersayang di pulau itu hadir tanpa dipinta. Segaris senyuman duka terlukis di ulas bibir Durrah. Sebak semakin menebal dalam dada. Air mata yang ditahan akhirnya menitis jua.

Seperti yang dijanjikan, selepas maghrib sebuah kereta Persona berwarna hitam sudah terparkir di halaman rumah Durrah. Dia yang baru sahaja hendak menikmati makan malamnya terus berlalu ke pintu.
“Hah, macam tulah. Bila aku sampai, terus sambut.” Nuha yang baru melangkah keluar dari keretanya sudah tersengih kepada kawannya yang berdiri di muka pintu.
“Banyak cantik muka kau. Amboi! Nak bersambut segala,” tukas Durrah sambil mencebik. Usik-mengusik itu memang sudah menjadi kebiasaan antara mereka berdua setiap kali bersua muka.
Durrah berlalu semula ke ruang tamu. Alat kawalan TV yang berada di atas meja dicapai dan televisyen mula dihidupkan. Sepinggan nasi goreng yang masih lagi panas diangkat dari atas meja sebaik Durrah melabuhkan punggung di atas sofa.
“Kau baru nak makan? Aku ada bawa kuetiau goreng ni,” ujar Nuha yang sudah berada di ruang tamu.
“Kau ambil sendiri pinggan di dapur ya,” tukas Durrah tanpa menoleh. Matanya terus menonton siaran berita.
Sempat Nuha mencebik sebelum terus berlalu ke dapur. Selang beberapa minit kemudian, dia muncul semula dengan sebiji pinggan dan sejag air anggur lalu diletakkan ke atas meja.
Mata Durrah mula menjeling. “Amboi! Siap dengan air nampak?”
“Yalah. Rumah kau rumah aku juga, kan?” Nuha mula menuangkan air untuk kawan baiknya itu.
Durrah yang memerhati pinggan yang berada di atas meja mula berkerut kening. Suapannya terhenti. “Eh! Tadi bukan kau kata kau bawa kuetiau?”
Nuha yang mula mencapai pinggannya sebaik selesai menuangkan air terus tersengih. “Aku tengok nasi goreng kau ada lagi dalam kuali tu, aku rembat sajalah. Lagipun nasi goreng sardin kut. Sedap! Kat kedai mana boleh dapat macam ni?”
Durrah membatukan diri. Macam-macam perangai Nuha. Tumpuannya dihadapkan kembali pada peti TV.
“Mana surat tu?” Nuha yang baru menyelesaikan suapan pertama mula bersuara.
“Tu...” Durrah memuncungkan mulut ke arah sekeping sampul surat yang berhampiran dengan jag air.
“La... Kau ni Durrah. Mujurlah tak basah ke apa. Isy! Tak hargai langsung.” Nuha mula membebel. Tangannya laju mencapai sampul surat yang berwarna putih itu sebaik meletakkan pinggannya.
Durrah tidak mengendahkan bebelan yang keluar dari mulut Nuha. Sekeping surat yang dirasakannya tidak penting. Sebab itulah dia tidak menjaganya dengan baik.
Keadaan hening sejenak. Hanya suara daripada peti TV yang kedengaran.
“Durrah, sayang ni kalau kau tak pergi.” Nuha mula bersuara sebaik selesai membaca isi kandungan surat itu.
“Tak kuasa aku nak pergi sana,” tukas Durrah ringkas. Matanya mengerling Nuha yang sudah tersengih.
Kalau Langkawi, bila-bila masa saja dia boleh pergi. Lainlah kalau Krabi ke, Mauritius ke. Tengoklah dulu. Itu pun kalau dia rajin untuk meninggalkan rumahnya!
“Alah, Durrah... Apa salahnya kalau kau pergi? Percumalah. Semuanya dah ditanggung. Kau cuma pergi bawa diri. Lagipun, dah berapa lama kau tak keluar dari rumah ni? Asyik nak terperuk dalam rumah, kau ingat elok ke untuk kesihatan kau? Keluarlah sekali-sekala, ambil angin.”
Suapan Durrah tiba-tiba terhenti.
Nuha yang memerhati mula merasa cuak. “Err... Durrah, aku...”
“Dah lama aku tak dengar cakap macam tu. Suruh aku keluar, ambil angin. Selalunya mak aku yang...” Nada Durrah mula berubah rentak. Tidak berdaya untuk meneruskan kata-katanya.
Sebak yang tiba-tiba menyerang pantas sahaja membuatkan matanya digenangi air. Raut wajah-wajah kesayangannya bertamu tanpa dipinta.
“Aku minta maaf kalau...”
“Apa pula nak minta-minta maaf ? Memang betul apa yang kau cakap. Entahlah. Cuma aku yang terlebih emosi dua tiga hari ni,” luah Durrah.
“Sebab tu aku rasa kau kena pergi Langkawi tu. Keluar dari rumah ni. Tukar angin sekali-sekala. Kalau tak banyak, sikit pun jadilah kalau dapat buat kau gembira. Walaupun sekejap. Betul tak? Kau pergi ya?” Nuha terus memujuk.
Durrah cuma tersenyum tawar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan