Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 1 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 5

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

TOK! Tok! Tok!
Bunyi ketukan di muka pintu rumah menyentak Ellina yang ralit membaca novel di ruang tamu rumah. Lambat-lambat dia menapak ke pintu sambil akalnya sudah ligat berfikir. Siapa pulak yang datang ke rumah malam-malam begini? Sudahlah ayah belum balik lagi. Hatinya tertanya-tanya sendiri.
“Ellina, buka pintu ni!” Suara garau Pak Samad kedengaran dari balik pintu sesaat kemudian.
Mendengar suara itu, cepat-cepat Ellina menarik selak. Dia hanya menunduk bila Pak Samad masuk melintasinya. Lelaki tua itu terus duduk di kerusi. Wajah lelaki tua itu kelihatan biasa-biasa saja. Tiada tanda marah sebagaimana biasa.
“Ayah nak makan? Ina boleh hidangkan kalau ayah nak,” pelawa Ellina lembut.
Getar dalam suaranya tetap ada walaupun dia cuba berlagak biasa. Lelaki panas baran seperti Pak Samad, bila-bila saja anginnya boleh berubah. Kerana itu Ellina sentiasa merendahkan nada setiap kali bercakap dengan lelaki tua itu.
“Tak payahlah. Aku dah kenyang,” sahut Pak Samad baik saja nada suaranya.
“Duduk sini, Ellina. Ada perkara yang aku nak cakapkan pada kau,” arah Pak Samad kemudian.
Ellina yang baru berkira-kira ingin menapak masuk ke bilik tidurnya kembali duduk di kerusi rotan. Tidak jauh dari kedudukan ayahnya.
“Ayah nak cakap apa?” soal Ellina lambat-lambat.
Matanya memandang seimbas wajah tenang Pak Samad sebelum kepalanya kembali ditunduk. Rasa bimbang kembali menerjah hati. Bimbang jika tersalah kata, pasti tubuhnya akan menjadi mangsa sepak terajang lelaki tua itu buat ke sekian kali.
“Mulai esok aku nak kau bekerja dengan Wong Pai. Dia perlukan orang untuk bekerja kat kelab malamnya di Kuantan sana,” arah Pak Samad tegas.
Dalam kepala, dia sudah terbayang-bayang perbualannya dengan tauke berbangsa Siam itu sebentar tadi. Perbualan yang dirasakan bakal memberi keuntungan lumayan kepadanya.
Ellina tersentak. Laju matanya membalas pandangan ayahnya.
“Kerja dengan Wong Pai? Ina tak mahu, ayah! Lagipun Ina kan dah bekerja dengan Puan Hajah. Apa pula kata dia nanti kalau Ina berhenti kerja? Hutang ayah dengan dia pun Ina masih belum habis bayar,” bantah Ellina lembut.
Ellina tergamam bila Pak Samad terus bangun lantas menyepak keras kerusi rotan di sisinya. Berubah seinci kedudukan kerusi uzur itu dari kedudukan asalnya.
“Menjawab! Menjawab! Itu saja yang kau tahu ya!” jerkah Pak Samad mula naik angin. Pantas dia mencekak rambut Ellina sehingga gadis itu terjerit kesakitan.
“Aku tak peduli! Esok kau kena pergi bekerja dengan Wong Pai! Kalau tidak, siapa lagi yang nak bayar hutang aku pada dia, hah?” jerkah Pak Samad lagi. Kepala Ellina dihantuk pula ke muka dinding rumah.
Ellina cuba melawan. Dia berusaha bangun sebelum sekuat hati dia menolak tubuh Pak Samad. Lelaki tua itu terdorong ke belakang. Tidak menyangka gadis pendiam itu akan membalas tindakannya.
“Ina tak mahu! Apa jadi sekalipun, Ina tak mahu bekerja dengan Wong Pai! Seluruh kampung tahu yang dia tu bukan manusia, tapi syaitan! Ayah yang berhutang dengan dia, ayah sajalah yang bayar hutang ayah tu. Kenapa Ina pulak yang nak dijadikan tebusan?” Walaupun takut-takut, Ellina cuba mempertahankan hak sendiri.
Bekerja dengan Wong Pai samalah seperti hidup dalam neraka dunia. Siapa pun tahu tentang itu!
“Tak guna punya budak! Kurang ajar!” Pak Samad pantas menerpa lalu rambut Ellina dicekak semula. Lebih kuat.
Sekuat tenaga dia menghantuk kepala gadis itu ke dinding rumah semula. Berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, tubuh kecil molek Ellina ditendang beberapa kali. Langsung tidak peduli gadis itu sudah menjerit kesakitan.
“Sakit, ayah! Sakit!” Panjang jeritan Ellina kali ini.
Dia cuba menghalang tindakan Pak Samad, namun sia-sia. Ternyata tenaga lelaki tua itu lebih banyak berbanding dirinya yang sememangnya sentiasa lemah dan tidak bertenaga.
“Tak guna betul! Kau dah pandai melawan cakap aku ya sekarang? Siapa yang ajar kau, hah? Dasar budak tak kenang budi!” tengking Pak Samad.
Wajah Ellina ditampar pula berkali-kali sebelum tubuh gadis itu ditolak hingga jatuh tersungkur ke lantai rumah.
“Ayah yang ajar Ina jadi anak derhaka. Kerana ayah, mak terpaksa jadi pelacur. Kerana ayah, mak mati kerana penyakit AIDS. Kerana ayah juga, abang dah tak mahu balik ke rumah. Semuanya kerana ayah. Ayah yang mengajar Ina menjadi anak tak guna. Ina memang anak yang tak guna, ayah! Kalau ayah benci sangat pada Ina, bunuh saja Ina, ayah! Bunuh saja Ina!” sergah Ellina dalam tangisan hibanya.
Dia teresak-esak menangis. Dia tidak sengaja mahu mengungkit keluar semua itu, namun entah mengapa, laju saja patah-patah kata terkeluar dari mulutnya ketika ini.
“Diam! Budak tak guna! Sia-sia saja aku bela dari kecil. Dah besar panjang begini pandai pula nak mengajar aku ya?” jerkah Pak Samad lantas tubuh lemah Ellina disepak lagi.
“Kau nak mati sangat, kan? Baik. Aku bunuh kau malam ni jugak!” jerkah Pak Samad masih tidak puas melepas kemarahan.
Rambut Ellina kembali dicekak kuat. Tanpa menghiraukan jeritan gadis itu, Pak Samad menghentak kepala Ellina ke dinding semula. Langsung tidak peduli darah sudah mengalir mengenai pipi gadis itu. Lelaki itu hanya melepaskan pegangannya bila terperasan Ellina tidak lagi sedarkan diri. Lalu tubuh lembik hampir tidak bernyawa itu ditolak ke lantai.
Pak Samad tercebik sinis.
“Huh, nak sangat melawan cakap aku. Nak ajar aku konon. Mampuslah kau!” maki Pak Samad langsung tidak bersimpati. Sempat dia meludah tubuh itu sebelum berlalu keluar rumah.
Membiarkan Ellina tergolek tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah tanpa disedari sesiapa.

“KAU sihat, Ellina?” soal Irman sebaik saja dia melabuh punggung di atas pangkin kayu di ruang depan rumah gadis itu.
Sayu matanya menatap keadaan Ellina yang jelas kelihatan tidak bermaya. Hilang segala tanda tanyanya berkenaan ketidakhadiran Ellina ke ladang sebagaimana biasa sehari dua ini.
Ellina pula seperti biasa tetap mempamerkan senyuman manisnya walaupun di balik tudung bunga-bunga kecil yang dipakai jelas kelihatan lebam-lebam di sekitar muka putih bersihnya.
“Alhamdulillah. Aku sihat macam biasa,” sahut Ellina sambil menyua segelas air.
“Maaf ya, Man, air suam aje pun yang mampu aku beri. Gula kat rumah aku dah habis sebenarnya. Tak sempat aku nak beli tadi,” kata Ellina, tertahan-tahan nadanya. Malu kerana terpaksa menghidangkan tetamu hanya dengan segelas air suam.
“Tak apa, Ina. Aku faham,” sahut Irman.
Cepat-cepat dia menyambut bila terperasan tangan Ellina yang tergetar-getar menyua gelas kepadanya. Jelas gadis itu masih belum sihat sepenuhnya. Diteguk air itu sedikit sebelum diletak di atas pangkin di sisinya.
“Ina, aku fikir aku nak bawa kau pergi klinik sekarang. Kau bersiaplah ya?” pinta Irman lembut. Dia mengeluh bila Ellina menggeleng perlahan.
“Terima kasih ajelah Man. Aku demam sikit aje ni. Nanti-nanti baiklah,” tolak Ellina masih juga memberi alasan yang serupa setiap kali dipelawa lelaki muda itu.
“Macam mana kau nak baik kalau ubat pun kau tak makan? Kalau pasal duit yang kau risaukan, kau jangan bimbang. Aku akan bayarkan semuanya untuk kau. Aku tak minta pun kau ganti semula duit aku. Asalkan kau kembali sihat, itu dah cukup baik bagi aku.” Irman tidak puas hati dengan penolakan gadis itu.
Rasa ambil beratnya terhadap Ellina begitu menggunung hingga semalam dua ini matanya tidak dapat lelap dengan lena gara-gara memikirkan keadaan Ellina.
“Tak apalah, Man. Aku tak nak susahkan sesiapa. Aku dah biasa lalui semua ni. Esok-esok, legalah demam aku ni.” Bersungguh-sungguh Ellina cuba meyakinkan sahabat baiknya itu. Segan sebenarnya dengan pertolongan Irman biarpun dia tahu lelaki muda itu ikhlas mahu membantu.
“Demam tu memanglah boleh baik, tapi lebam-lebam kat muka dan badan kau tu macam mana pulak? Takkan kau nak biarkan diri kau terus jadi mangsa keganasan ayah kau yang tak berhati perut tu?” balas Irman sedikit beremosi.
Ikutkan hati mudanya, mahu saja dia membalas semua perbuatan jahat Pak Samad terhadap Ellina. Biarpun tubuhnya tidak sebesar tubuh Pak Samad, namun semangatnya jauh lebih tinggi berbanding Pak Samad yang seusia ayahnya itu.
“Sejahat mana pun dia, Man, dia tetap ayah aku dunia akhirat,” tegas Ellina pula.
“Aku tahu, tapi itu tak bermakna dia boleh berbuat apa saja terhadap kau,” sergah Irman sekali gus membuatkan mulut Ellina terkunci rapat.
Sedar dengan kebenaran kata-kata lelaki muda itu, namun dia malas menjawab.
“Kan bagus kalau kau kahwin dengan aku aje Ina? Hidup kau pun taklah sesusah ni.” Suara Irman tiba-tiba. Matanya memandang lama Ellina yang hanya menayang wajah tenang. Bagai kata-katanya tidak terkesan langsung di hati gadis itu.
“Ina, kahwin dengan aku,” lamar Irman bila dirasakan Ellina bagai tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi. Matanya memandang lama Ellina yang sudah terlongo.
“Kahwin dengan aku, Ina. Aku janji aku akan jaga kau baik-baik. Aku mungkin tak sekaya mana. Diri sendiri pun tak ada harta, tapi aku janji, aku boleh sediakan kehidupan yang lebih baik daripada yang kau ada sekarang. Kita kahwin ya, Ina?” lamar Irman buat kali kedua. Penuh harap.
Hampa rasanya bila Ellina perlahan-lahan menggeleng sebelum gadis itu tersenyum tawar.
“Man, aku tahu kau sayangkan aku. Aku juga sayangkan kau, tapi sayang aku pada kau tak lebih daripada kasih sayang seorang sahabat. Itu saja. Kau baik sangat, Man. Tapi, lebih sesuai rasanya kalau kita berkawan saja seperti sekarang.” Satu per satu Ellina meluah agar Irman memahaminya.
“Tapi, Ina, aku ikhlas nak jadikan kau isteri aku. Kita...”
“Man, aku tahu kau boleh sediakan segalanya untuk aku, tapi kau kena faham. Mak ayah kau ada kedudukan mereka tersendiri di kampung ni. Ayah kau penghulu kampung kita. Mak kau ketua persatuan wanita kampung. Mungkin bagi kau semua tu tak ada apa-apa, tapi besar nilainya di mata aku. Cukuplah kita berkawan saja, Man. Tak payahlah kita nak fikirkan lebih daripada itu,” pintas Ellina. Lebih tegas kali ini.
Irman terdiam. Dia tahu, Ellina punya sebab tersendiri untuk menolak lamarannya. Bukan Irman tidak sedar. Baik mak mahupun ayahnya sendiri tidak pernah menyukai Pak Samad. Semuanya gara-gara Pak Samad yang pernah mencuri seekor kerbau milik ayahnya padahal kerbau itu sudah pun dijual kepada orang lain. Hanya menanti masa untuk diberikan kepada tuan pembelinya.
Demi Ellina, Pak Samad dilepaskan, namun kejahatan Pak Samad tidak berhenti di situ. Beberapa tandan pisang milik ayahnya dicuri pula. Akibatnya, semalaman Pak Samad merasa duduk di dalam lokap. Hanya selepas Ellina datang merayu, ayahnya bersetuju untuk membantu mengikat jamin Pak Samad. Sejak itu, mak dan ayahnya begitu membenci Pak Samad. Mustahil pula mereka mahu berbesan selepas ini.
“Man, kau jangan kecil hati dengan kata-kata aku ya?” Suara Ellina bila Irman hanya mengunci mulut. Lega hatinya bila lelaki muda itu kembali tersenyum biarpun tawar.
“Kenapa pula aku nak kecil hati? Itu hak kau. Aku tak boleh paksa,” sahut Irman ikhlas.
Jauh di dasar hati memang ada luka yang tercalar. Hanya dia tidak mahu mengendahkan kerana dia sudah tahu. Jiwa lelakinya pasti tercarik dengan jawapan yang bakal Ellina berikan. Bukan baru sekali ini dia meluah rasa hatinya kepada gadis itu. Sudah banyak kali biarpun baru kali ini dia meluahnya secara berdepan. Tak seperti sebelum-sebelum ini, dia memilih untuk menyelitnya dalam gurau senda sesama mereka.
Ternyata andaiannya benar-benar terjadi. Kehidupan Ellina telah membataskan gadis itu daripada membuat pilihan terbaik biarpun demi masa depan sendiri.
“Entah sampai bila kau perlu lalui semua ni.” Irman bersuara semula. Mengeluh.
“Tak apalah, Man. Dah nasib aku dapat ayah begini. Tapi, sekurang-kurangnya aku bersyukur sebab aku masih ada ayah.” Suara Ellina lirih. Menitik air matanya setitis. Cepat-cepat dia mengelap.
Irman yang melihat turut terkesan. Biarpun Ellina baru saja menolak lamarannya, namun Irman tidak mahu menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk dia membataskan hubungan persahabatan mereka selepas ini. Jika Ellina tidak dapat menerimanya lebih daripada seorang sahabat sebagaimana yang dirasakannya selama ini, itu tidak mengapa bagi Irman. Asalkan mereka masih boleh bersahabat dan berkongsi masalah sebagaimana sekarang. Itu sudah memadai bagi Irman yang cukup menyayangi gadis polos itu.
“Jadi, macam mana sekarang? Kau tetap nak ikut kehendak ayah kau supaya kerja di kelab malam Wong Pai tu ke?” soal Irman setelah mereka terdiam seketika. Sekilas dia memandang Ellina yang lambat-lambat menggeleng.
“Taklah. Biarlah aku susah macam mana sekalipun, nak buat kerja-kerja haram tu takkan sesekali aku lakukan!” sahut Ellina sungguh-sungguh. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan