Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 6 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 8

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

“KAK INA, ada surat untuk akak!”
Laungan Mamat, anak jirannya menyentak Ellina yang sedang menyidai pakaian di ampaian. Cepat-cepat dia menyudahkan kerjanya sebelum mendapatkan Mamat yang berdiri di bawah sebatang pokok. Anak kecil itu sedang menantinya sambil melayang-layangkan sekeping sampul di tangan ke arah Ellina.
“Surat dari siapa tu, kak?” soal Mamat sebaik Ellina mencapai hulurannya.
“Surat kawan akak dari London,” jawab Ellina, membaca seimbas nama pengirimnya.
“Err... Tak apalah, kak. Mat minta diri dulu ya? Mat ada kerja lain nak buat ni,” pamit Mamat seraya cepat-cepat memanjat basikalnya.
“Yalah,” sahut Ellina seraya menyandar tubuh pada batang pokok.
Tersenyum-senyum dia membaca surat itu sebelum dimasukkannya semula ke dalam sampul tak lama kemudian. Sambil-sambil itu, dia menyeluk poket baju kurungnya. Baru teringat pada sampul kecil pemberian Hajah Zainun kepadanya masa dia ke rumah wanita tua itu tengah hari tadi.
Usai dia meminta diri selepas mengajar cucu-cucu wanita tua itu, Hajah Zainun memberinya sedekah berupa wang dan sebakul buah-buahan. Biarpun belum hujung bulan, namun memang begitulah tingkah Hajah Zainun. Tidak pernah berkira wang ringgit mahupun harta benda dengan Ellina hingga telah menjadi kebiasaan pula pada Ellina untuk membawa pulang apa-apa pemberian Hajah Zainun setiap kali berkunjung ke rumah agam wanita tua itu.
Diam-diam, Ellina terharu dengan kebaikan Hajah Zainun. Mereka tidak mempunyai ikatan kekeluargaan, tetapi layanan yang diberikan Hajah Zainun membuatkan Ellina berasa seolah-olah dia telah lama menjadi sebahagian daripada ahli keluarga wanita tua itu. Begitu pun Ellina tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan atas semua kebaikan yang dihulurkan Hajah Zainun. Dia masih sedar tentang kedudukan dan taraf dirinya.
Ellina tersentak tatkala matanya terpandang Pak Samad melangkah turun dari sebuah kereta mewah bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Tepat di tepi jalan raya yang menghadap depan rumahnya. Cepat-cepat dia menyimpan surat dan sampul kecil di tangan ke dalam poket bajunya semula. Bergegas dia ke dalam rumah bila kedengaran suara Pak Samad memanggil.
“Ellina! Ellina!” panggil Pak Samad kuat. Sesekali dia mengalih muka pada lelaki yang kini bersandar tubuh di badan keretanya.
Lelaki itu hanya menyarung T-shirt putih lambang tengkorak dan berseluar jean hitam. Ada rantai emas yang tergantung di leher lelaki beriak bengis itu.
“Ya, ayah,” kata Ellina sebaik berdiri di depan ayahnya. Sempat dia menjeling lelaki yang dibawa pulang ayahnya.
Terasa meremang bulu romanya bila lelaki itu terus menegak tubuh sebaik terpandang kelibat Ellina. Lelaki itu merenungnya tajam. Sesekali lelaki itu menelan air liur sendiri seraya tersengih jahat.
“Jadi, inilah anak kau?” soal lelaki itu seraya mendekati Pak Samad. Dia mengangguk seraya menepuk-nepuk bahu lelaki tua itu. Senyumannya melebar.
“Bagus, bagus. Cantik orangnya, macam anak orang putih. Aku suka,” kata lelaki itu. Dia tersenyum lagi. Matanya tetap memandang liar Ellina yang takut-takut membalas pandangannya.
Cepat-cepat Ellina melarikan pandangan bila lelaki itu kembali tersengih. Menampakkan barisan gigi yang sudah kekuningan-kuningan. Entah mengapa Ellina benar-benar tidak selesa dengan renungan lelaki yang kelihatannya bukan lelaki Melayu itu.
“Ellina, ini Wong Pai. Aku nak kau layan dia sekarang,” arah Pak Samad tegas.
Ellina tersentak.
“Layan? Layan apa pulanya, ayah? Ina tak faham.” Nada suara Ellina sudah tergetar-getar, bagai memahami apa yang bakal dilaluinya sebentar lagi. Ya Allah... Selamatkanlah hamba-Mu ini, doanya dalam hati.
“Kau layan aje Wong Pai ni. Layan baik-baik sebab dia ketua aku. Kau jangan berani-berani nak bantah cakap aku!” jerkah Pak Samad terus menolak tubuh Ellina ke dalam rumah.
Ellina cuba melawan, namun dia terjerit sakit bila Pak Samad terus menamparnya.
“Ayah! Tolong jangan buat macam ni pada Ina! Tolong, ayah!” jerit Ellina sekuat hati. Dia cuba melarikan diri, namun Pak Samad terlebih dahulu mencekak kuat lengannya.
“Aku tak peduli! Aku nak kau langsaikan hutang aku dengan dia sekarang jugak!”
“Tapi, ayah, bukankah ayah dah berjanji dengan Puan Hajah yang ayah tak mahu berjudi lagi?” Ellina sudah mengongoi hiba.
“Argh! Peduli apa aku dengan orang tua tu? Dah, jangan banyak cakap! Ikut saja suruhan aku!” jerkah Pak Samad. Dia terus menolak-nolak tubuh Ellina hingga gadis itu terjatuh ke lantai bilik tidurnya.
“Wong Pai?” panggil Pak Samad mengisyaratkan agar lelaki Siam itu masuk.
Tidak berlengah, Wong Pai terus melangkah masuk. Pintu bilik di kunci rapat.
“Hai, baby, jangan takut dengan aku. Kau layan aku sekali, banyak duit yang kau boleh dapat, sayang,” kata Wong Pai sambil menyeringai.
Meleleh air liurnya menatap Ellina yang sudah tergetar-getar menahan ketakutan yang maha hebat. Dia terus mendapatkan Ellina bila gadis itu cuba bangun. Lelaki berambut perang itu cuba memeluk Ellina.
“Pergi! Jangan sentuh aku, syaitan!” Ellina menjerit dengan air mata sudah merembes laju ke pipi. Segala barang yang ada di ruang biliknya dilontar ke arah lelaki itu.
“Hahaha! Aku kau panggil syaitan? Ayah kau tu yang syaitan, baby. Kalau tidak dia takkan suruh kau layan aku! Hahaha!” Lelaki itu ketawa lagi. Dia terus memeluk Ellina.
Gadis itu menjerit sekuat hati. Ditampar wajah Ellina beberapa kali bila Ellina cuba melawan. Tubuh kecil molek Ellina ditolak ke katil kemudian. Ellina jatuh terlentang. Wong Pai terus menerpa gadis itu. Lalu tubuh Ellina ditindih.
“Ya Allah! Ya Allah!” laung Ellina sekuat hati bila Wong Pai cuba mendekatkan wajahnya ke wajah Ellina.
Tiba-tiba bum! Pintu bilik Ellina ditendang kuat oleh seseorang dari luar. Ehsan meluru masuk. Dia terus mendapatkan Wong Pai yang terkejut dengan kehadiran tiba-tiba lelaki itu. Tubuh sasa Wong Pai ditendang hingga lelaki itu tersungkur ke tepi almari. Satu tendangan dilepaskan lagi bila lelaki berbangsa Siam itu cuba bangun. Tepat di celah-celah kelangkang lelaki itu.
Wong Pai terjerit nyaring. Senak.
“Mari, dik. Kita keluar dari sini!” jerit Ehsan terus menarik tangan Ellina. Sempat lagi dia menerajang Wong Pai buat ke sekian kali sebelum berlari keluar.
“Ayah!” jerit Ellina bila terpandang Pak Samad sudah tersungkur di tepi longkang rumah. Pasti lelaki tua itu telah dikerjakan Ehsan sebentar tadi.
“Jom, dik, tinggalkan saja lelaki keparat tu!” jerkah Ehsan terus mengheret Ellina agar mengikut jejaknya.
Segera dia mendapatkan keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Tubuh kecil molek Ellina disumbat masuk ke dalam kereta sebelum dia sendiri ikut melolos tubuh selepas itu. Hanya dalam beberapa saat, kereta Ehsan terus menderum laju. Pergi meninggalkan Pak Samad yang masih berusaha untuk bangkit semula.
Lelaki tua itu kembali terjerit sakit bila tiba-tiba satu tendangan hinggap di perutnya. Dia hanya mampu terus menjerit dan menjerit bila satu demi satu tendangan singgah ke tubuh tuanya kemudian.
“Macam mana? Sedap makan terajang aku?” soal Wong Pai. Dia tersenyum mengejek. Tajam matanya memandang Pak Samad yang tertiarap lemah di tanah.
Lelaki tua itu telah lunyai dikerjakannya. Namun, Wong Pai masih tidak puas hati. Lantas rambut yang mulai ditumbuh urat-urat uban milik Pak Samad dicekak pula. Sekuat mungkin.
“Kau memang tak guna, Samad. Kau hutang aku, tapi kau benarkan anak lelaki kau larikan anak perempuan kau pula. Kau memang bangsat!” tengking Wong Pai lalu perut Pak Samad menjadi mangsa sepakannya buat ke sekian kali.
Dia benar-benar sakit hati bila mengenangkan tubuh putih gebu Ellina yang tidak sempat dijamahnya tadi. Tubuhnya sendiri sakit setelah mendapat habuan daripada Ehsan. Mengingatkan itu darah panas Wong Pai kembali mendidih.
“Ba... Bagi aku satu peluang lagi, Wong Pai. Aku akan langsaikan semua hutang aku kepada kau.” Dalam sakit-sakit, Pak Samad cuba meminta simpati. Dia terjerit kecil bila Wong Pai melepas kasar pegangannya di kepala lelaki tua itu.
“Dah tentu kau kena bayar semua hutang kau tu, tapi ingat. Anak perempuan kau tu pun aku nak juga. Perempuan cantik macam anak kau tu memang sesuai jadi pelayan di kelab malam aku. Pasti ramai orang yang berebut-rebut mahukan dia nanti.” Dalam marah, Wong Pai tersengih-sengih tatkala akalnya mula membayangkan bentuk tubuh Ellina yang kini sudah menjadi idamannya.
Dia kemudian kembali menunduk. Duduk mencangkung menghadap Pak Samad yang masih terlentang di tanah. Jari telunjuknya dihala tepat ke muka menyeringai sakit Pak Samad.
“Kau ingat baik-baik kata-kata aku ni, Samad. Aku nak kau dapatkan anak perempuan kau tu dan serahkan dia kepada aku secepat mungkin. Kalau dia ada dalam tangan aku, bermakna hutang kau dengan aku selesai. Tapi, kalau kau tak dapat cari dia, aku nak kau bayar semua hutang kau dengan aku. Tak banyak. Hanya 100 ribu ringgit, tapi memandangkan kau dah buat aku rugi, jadi hutang kau meningkat sebanyak 200 ribu ringgit.
“Aku bagi tempoh seminggu saja untuk selesaikan semua hutang kau tu. Kalau tak, kau anggap saja yang nyawa kau dah tak sabar-sabar nak tinggalkan badan kau ni!” Sempat Wong Pai memijak belakang tubuh lelaki tua itu sebelum dia berpaling pergi. Meninggalkan Pak Samad kembali mengerang kesakitan di laman sendiri.
“Tak guna kau, Ehsan. Sebab kau aku kena tanggung semua ni. Jantan kurang ajar!” maki Pak Samad dalam erangannya. Penuh marah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan