Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 7 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 7

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Durrah yang menarik bagasi miliknya mengatur langkah mengekori Juliana yang berada di depan. Sesekali, Juliana menoleh ke belakang, memerhati kawan yang baru dikenalinya. Bibirnya tersimpul senyum dalam diam.
“Sana... Itu dia feri kita. Pukul 10.45 pagi,” ujar Juliana sambil terus menyusun langkah.
Durrah hanya memerhati sambil terus menarik bagasinya. Sebaik melangkah masuk ke dalam perut feri, mata Durrah mula melingas mencari tempat duduk, mengikut nombor yang tercatat di atas tiket.
“Sini.”
Suara separa halus Juliana menarik perhatian Durrah. Siap tangannya diangkat sekali. Durrah mengatur langkah ke arah gadis itu.
“Sini. Kita duduk sebelah-menyebelah,” ujar Juliana sambil tersenyum.
 “You tahu? I rasa seronok sangat-sangat,” luah Juliana sambil membuang pandangan ke luar cermin tingkap feri. Memerhati laut yang bakal diterokai.
 I? Amboi! Cepat benar berubah cara percakapannya. Tadi, dengan Encik Bahar, dia cakap guna saya-awak, tapi sekarang? Durrah yang terus melirik ke arah Juliana yang berada di sisinya itu, mula membuka mulut.
“Kenapa awak seronok? Seronok sangat-sangat?” ajuk Durrah dengan kata-kata yang diberikan oleh Juliana kepadanya tadi.
Juliana yang tadinya leka memerhati laut yang tenang mula tersentak sebaik satu soalan itu menusuk masuk ke dalam pendengarannya.
“Err...” Juliana mula menoleh ke arah Durrah yang masih merenungnya, mengharapkan jawapan.
“Sebab?” Durrah terus menyoal sambil mengangkat kening.
“Err... Sebab ni pertama kali tau I pergi Langkawi,” luah Juliana.
Raut wajah yang hanya terlihat kedua-dua mata yang dikenakan celak itu sedang merenungnya. Durrah tatap dalam-dalam. Pertama kali nak sampai Langkawi? Kenapa hati aku tak percaya apa yang minah ini cakapkan?
Sepasang mata Juliana sendiri memerhati raut wajah gadis yang kemas mengenakan tudung bawal menutup kepala. Juga, sepasang mata yang tajam menjamah wajahnya. Itulah kau. Seronok sangat-sangat, kan? Sekarang tengok. Mesti budak ini dah syak semacam kat kau!
Beberapa minit kemudian, setelah seorang pekerja memeriksa penumpang yang sudah memenuhi feri, kenderaan tersebut mula bergerak meninggalkan jeti Kuala Perlis.
Durrah mencapai sebuah buku yang dibawa bersama dari beg tangannya. Pandangan terus dihadap pada buku yang sudah berada di tangan.
“Oh! Help Me ni I dah pernah baca. Pasal budak yang nama Katie Beers tu, kan?” Juliana mendekatkan dirinya kepada Durrah untuk mengintai buku yang sedang dipegang oleh Durrah.
Durrah yang agak tersentak mula menoleh kepada Juliana. Dah kenapa nak rapat-rapat sangat si Juliana ini? Durrah bergerak sedikit agar wujud jarak di antara mereka berdua.
 “Awak dah baca? Awak memang minat juga buku-buku macam ni?” Durrah menyoal balas. Tidak sangka yang Juliana mempunyai minat yang sama dengan dirinya.
Well, minat sangat tu taklah. I baca bila ada kelapangan. Ya, I memang suka buku-buku kisah benar macam buku ni. Buku-buku motivasi pun I ada,” terang Juliana jujur. Dia terus mendekatkan dirinya kepada Durrah. Bertemu sudah bahunya dengan bahu Durrah. Pandangan ditala pada buku yang berada di tangan gadis itu.
Durrah mengetap bibir. Kenapa dengan Juliana ini? Lagi diinjak, semakin dekat pula dia mendekatkan dirinya. Isy! Sesuatu sungguhlah. Takkanlah dia seorang les... Nauzubillah!
 “Are you okay?” Kedengaran suara Juliana menyapa pendengaran Durrah.
“Err... ya,” sahut Durrah mengiakan saja.
Juliana terus tersenyum dalam diam. Sengaja dia berpura-pura untuk membaca bersama-sama dengan Durrah. Padahal, buku itu sudah pun dibaca dahulu.
Hendak ataupun tidak, Durrah terpaksa membiarkan Juliana yang hampir dengannya untuk terus bersama-sama membaca buku itu.

Selepas 45 minit melakukan perjalanan, feri yang dibawa dengan kelajuan sederhana itu tiba juga di jeti Pekan Kuah. Durrah sengaja membiarkan penumpang yang lain bergerak turun terlebih dahulu. Buku yang menjadi penemannya sebentar tadi terus dimasukkan ke dalam beg.
Durrah dan Juliana yang sudah berada di luar jeti mula meninjau sekeliling. Masing-masing menoleh ke kiri dan kanan, mencari kelibat ejen yang dikatakan akan menjemput mereka sekali gus menyambung tugas Encik Bahar di situ.
“Cik Durrah?”
Satu suara yang kedengaran membuatkan Durrah dan Juliana pantas menoleh serentak, mencari sumber suara. Kelihatan susuk seorang lelaki yang santai mengenakan baju-T berwarna biru laut dan berseluar jean sedang melemparkan senyuman buat mereka berdua.
“Saya Zul. Ejen yang dikatakan oleh Encik Bahar tu. Silakan.” Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Zul itu bergegas mengambil bagasi yang sedang dipegang oleh Durrah. Beg beroda itu senang saja ditarik oleh ejen tersebut.
“Err... ni Juliana. Dia pun pemenang peraduan tu.”
“Oh! Ya, ya... Maaf. Biar saya bawakan beg Cik Ju juga ya?” Zul yang baru mengatur langkah menoleh semula ke belakang sambil tersengih. Bagasi milik Juliana terus diambil tanpa menunggu respons gadis tersebut.
Juliana sudah berwajah kelat. Pantang nampak perempuan dahi licin sikit! Huh!
Kedua-dua gadis itu menurut saja langkah Zul yang sedang bergerak menuju ke tempat parkir kereta. Keadaan yang semakin panas dan terik membuatkan masing-masing membatu diri. Tidak ada hati ingin mencetuskan perbualan.
Tiba di tempat parkir, Zul mula bersuara. “Inilah keretanya. Lepas ni, saya akan bawa cik berdua pergi ke resort dulu. Dapatlah berehat-rehat, nak segarkan diri. Esoknya barulah kita jalankan aktiviti kita ya?”
 “Silakan Cik Durrah, Cik Ju.” Zul mempelawa menaiki kereta.
“Kejap. Boleh Zul berdiri kat sini?” pinta Durrah sambil menunjuk ke sisi Juliana.
Berkerut dua saat kening lelaki itu apabila mendengar permintaan Durrah yang rasanya bagaikan tidak masuk akal di kala itu.
“Cepat!” Durrah terus menggesa. Sebelah tangannya sudah berada di dalam beg tangan yang tersandang elok di bahu.
Zul ikutkan saja kata gadis itu. Dia terus bergerak berdiri di sebelah Juliana. Mereka saling berpandangan pelik antara satu sama lain.
“Hah! Macam tulah. Tengok sini.”
Suara Durrah menarik perhatian Juliana dan Zul yang serentak menoleh kepada Durrah. Sekali tekan skrin telefonnya, gambar Zul dan Juliana sudah berjaya disimpan rapi di dalam gadjet kesayangannya itu.
“Err... Kenapa?”
“Saja. Nak buat kenangan,” balas Durrah sambil tersenyum sinis.
Kenangan? Kenanganlah sangat! Kalau terjadi apa-apa kat aku lepas ni, tahulah nasib kau dua orang, huh! Ingat aku ni bodoh sangat nak percaya senang-senang macam tu aje? Sekurang-kurangnya persiapan kena ada.
Sejak di jeti Kuala Perlis lagi, dia sudah menyimpan syak apabila mendengarkan jawapan daripada Juliana yang seakan-akan lebih mengetahui mengenai pakej percutian ini berbanding Encik Bahar. Oh, ya! Gambar Encik Bahar pun berjaya diambil dalam diam tadi. Yang penting, jelas.
Durrah tersenyum puas apabila melihat gambar yang sudah berjaya diambil. Kini, dengan senang hati, bagasinya dilepaskan kepada Zul yang sudah bersedia untuk memasukkan begnya ke dalam bonet. Dia dan Juliana mula melangkah memasuki kereta.
Ejen itu bergegas ke tempat duduk pemandu sebaik selesai memasukkan dua buah bagasi ke dalam bonet.
“Kita akan bergerak ke Pekan Cenang, ya? Dalam lebih kurang 25 minit macam tu kita akan sampai.” Ramah Zul menerangkan perihal perjalanan yang bakal dilalui.
Zul mula memandu kereta Honda meninggalkan pekarangan jeti Pekan Kuah. Sesekali Juliana memerhati Durrah yang diam membungkam, membuang pandangan ke luar cermin tingkap. Tiada lagi soalan daripada gadis tersebut.
Perasaan rindu bersulam sayu mengenangkan ahli keluarganya terasa apabila melihat suasana Pekan Kuah itu. Membuatkan Durrah mula menyandar ke kusyen kereta sambil memejamkam mata. Dia ke sini untuk menenangkan fikiran, seperti yang dikatakan oleh Nuha. Yang pergi tak mungkin akan kembali, Durrah.
Are you okay?” tegur Juliana merasa cuak. Manalah tahu, tiba-tiba dia mabuk perjalanan dan nak termuntah? Tak ke naya!
“Hmm...” Durrah menggumam sebagai jawapan.

Hampir setengah jam perjalanan, kereta yang dipandu sudah tiba ke destinasi yang dituju iaitu resort Langkapuri Inn yang sememangnya menjadi pilihan para pengunjung yang ingin melakukan aktiviti di pantai.
“Sini?” soal Juliana bagaikan tidak percaya apabila Zul memarkirkan kereta.
“Err... ya Cik Ju. Kenapa?” sahut Zul sambil menoleh ke belakang.
Durrah ikut memerhati perempuan tersebut.
“Taklah. I ingatkan you nak bawa kita orang pergi Resorts World, tapi tak apalah,” omel Juliana sambil melangkah keluar.
Amboi! Resorts World yang dulunya dikenali Awana Porto Malai itu? Demand tak bertempat betullah perempuan ini. Ini pun dah kira bersyukur, rungut Durrah dalam diam apabila mendengar soalan daripada Juliana tadi.
Masing-masing mula melangkah keluar dari kereta. Zul terus bergegas ke kaunter di ruang lobi. Beberapa minit di situ, dia keluar semula dengan dua kunci di tangan.
“Cik Durrah, Cik Juliana, sini. Biar saya tunjukkan bilik.” Ejen itu memanggil kedua-dua perempuan yang leka memerhati sekeliling.
Masing-masing hanya mengikut langkah ejen lelaki tersebut sambil membawa bagasi masing-masing. Bunyi desiran ombak menyinggah ke pantai jelas benar pada pendengaran mereka.
“Bilik cik berdua tak menghadap laut, tapi jangan risau. Bukannya jauh mana pun kalau nak ke pantai. Buka aje pintu, jalan sikit dah sampai. Wi-fi pun ada tau,” terang Zul dengan mesra.
Durrah yang mengikut sahaja gerak langkah Juliana dan Zul terhenti seketika apabila melihat dua susuk yang sedang mengatur langkah bertentangan dengan mereka. Kelihatan dua susuk itu baru sahaja melangkah keluar dari sebuah bilik. Bilik-bilik di sini kelihatan seperti rumah banglo yang mempunyai dua tingkat. Jadi, pengunjung boleh memilih sama ada untuk duduk di bahagian bawah atau atas.
“Dia? Apa yang dia buat kat sini?” getus Durrah perlahan. Seakan-akan tidak percaya pula apabila matanya melihat susuk tubuh itu.
“Hah! Sanalah bilik cik berdua.” Suara Zul pantas sahaja menarik perhatian dua orang perempuan yang sedang jalan beriringan itu.
Durrah mula mencepatkan langkah. Hajat di hati tidak ingin dirinya terlihat oleh salah seorang perempuan itu. Yang Zul ini pun satu hal. Nada suaranya itu macamlah aku dengan Juliana ini ada masalah pendengaran! Masa-masa ini jugalah nak gunakan pitch tinggi bagai itu.
“Hei! You?!”
Suara halus yang kedengaran membuatkan langkah Zul terhenti. Sekali gus menghentikan langkah Durrah dan Juliana juga.
“You, kan? Nama you err...” Perempuan itu mula mengetap bibir, cuba untuk mengingati.
“Durrah,” ucap Durrah dalam keterpaksaan. Manakan tidak, itu adalah Miss World yang ingin dielakkan tadi.
“Ya, Durrah. Jadi, siapa yang bertudung litup bagai ni? Oh! Wait, I know. Mesti kawan baik you, kan? Ustazah gitu! Yeah, whatever!” Alisya aka Miss World seperti yang digelarkan oleh Nuha dan Durrah terus berlalu bersama seorang kawannya usai berkata-kata.
Juliana yang dikatakan ustazah hanya terkebil-kebil memandang Durrah dan Alisya bersilih ganti.
“Jomlah Zul.” Durrah yang terasa panas hati dek pertemuan tidak diduga itu mula mengatur langkah.
“Ya, ya. Sini.” Zul bergegas menuju ke sebuah bilik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan