Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 5 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 5

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

TIBA di lapangan terbang, Din dan Dol berjalan perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan di lapangan terbang tersebut. Kerja yang diberi memanglah tidak susah mana. Tapi, di lapangan terbang ini bukan seorang dua sahaja pramugara dan pramugari. Jadi, mana arah yang patut mereka mulakan dulu? Takkanlah nak buat pengumuman guna pembesar suara di lapangan terbang ini kut?
Dol menarik tangan Din untuk mendekati seorang pramugari yang leka membelek risalah. Daripada pengamatan mereka, pasti pramugari tersebut sedang menunggu waktu bertugasnya. Serba salah Din dan Dol menghampiri pramugari tersebut. Mereka serentak menggaru kepala mereka yang botak itu.
“Assalamualaikum, cik.” Akhirnya Din menegur pramugari cantik itu.
“Waalaikumussalam. Ya?” jawab pramugari itu ramah dan tersenyum manis.
Bila pramugari itu memanggung kepala dan memandang mereka berdua, hampir juling biji mata Din dan Dol bila melihat wajah manis pramugari itu.
“Ya Allah, cantiknya, Din,” puji Dol tanpa sedar.
“Isy, kau ni.” Din menyiku kasar perut Dol. Kemudian dia pandang semula pramugari yang masih setia memandang mereka. Sesekali dia ketawa lucu melihat sikap Din dan Dol.
“Kami nak tanya ni, cik. Cik kenal tak pramugara yang namanya Akeel Firdaus?” soal Din sambil melihat nota kecil yang dibawanya. Dia senyum sopan supaya tidak menakutkan pramugari yang memakai tanda nama Nuri itu.
“Akeel Firdaus?” soal Nuri sambil berfikir. Seingat dia tidak ada nama itu dalam syarikat penerbangannya. Lagipun, mustahil kalau dia dapat ingat dan kenal semua pramugara.
“Maaf, encik. Pramugara dan pramugari kat sini ramai. Banyak syarikat penerbangan kat sini. Encik cari Akeel Firdaus ni, dia daripada syarikat penerbangan mana?” Lembut sahaja tutur kata Nuri.
Haahlah, Din. Kau ada tanya Cik Zufa tak?” soal Dol sambil sesekali mencuri pandang wajah Nuri yang cantik.
“Aku lupa. Cik Zufa pun satu, bagi details tak lengkap,” rungut Din pula. Kemudian dia pandang semula Nuri yang sudah berdiri. Mungkin masa bertugasnya sudah tiba. “Maaf ya, cik. Terima kasih.”
Nuri mengangguk dan tersenyum. Dia mula mahu menolak bagasinya.
“Cik Nuri kalau bosan-bosan tak ada teman nak ajak berbual bolehlah call saya.” Dol menghulurkan kad namanya.
Din yang melihat mula berasa hairan.
“Kenapa kau ada kad nama, aku tak ada?” soal Din. Dahinya berkerut seribu.
“Sebab aku tempahlah. Dah kau tak tempah, mana kau nak ada.” Selamba jawapan Dol.
Nuri yang mendengar mula ketawa geli hati. Dia menggeleng kepala melihat dua beradik kembar itu mula bertelagah.
“Dah, jangan gaduh-gaduh. Yang Din boleh tulis kat belakang kad ni.” Nuri sengaja mahu ambil hati kedua-duanya.
Din tersengih-sengih dan mula menulis nombor telefonnya di belakang kad nama Dol.
Wajah Dol ternyata tidak puas hati. Dia baru sahaja mahu mengurat, tetapi abang kembarnya sudah kacau daun.
“Terima kasih, cik. Jumpa lagi.” Din dan Dol melambai serentak. Kemudian, mereka meneruskan usaha mencari lelaki misteri bernama Akeel Firdaus.
Sehinggalah takdir menemukan mereka dengan Old Malaya Kopitiam. Mereka berdua duduk melepaskan lelah. Perut masing-masing juga sudah mula berkeroncong.
Kelihatan Afeef Zakwan sedang mengemas dan membersihkan meja. Sesekali matanya melirik ke arah dua lelaki berwajah seiras dan berkepala botak. Mereka juga sesekali memandang Afeef Zakwan. Bila mata mereka berlaga, Afeef Zakwan pantas menguntumkan senyuman.
Afeef Zakwan masih cam dua lelaki itu. Mana boleh dia lupa dengan ketangkasan tangan mereka yang mahu mematahkan tulang-tulangnya. Selesai mengemas meja makan, Afeef Zakwan menghampiri mereka dan berniat mahu mengambil pesanan. Dua keping kad diletakkan di atas meja Din dan Dol.
Good morning, sir. May I take your order please?” ucap Afeef Zakwan sopan.
Din dan Dol masih merenung ke wajah Afeef Zakwan. Mungkin mereka pun seakan-akan cam lelaki yang berdiri dan bersedia mengambil pesanan untuk mereka.
“Eh, macam pernah tengoklah kau ni,” tegur Din.
“Kau lupa ke? Ini kan yang kena hempuk dengan Cik Zufa?” soal Dol pula.
Barulah Din ingat di mana dia pernah berjumpa dengan lelaki yang sedang tersenyum tenang ini.
“Ermm, aku mintak maaflah pasal hari tu. Bos kami tu memang angin sikit. Tak pasal-pasal kau nak kena hempuk.” Din menggaru kepala botaknya.
Haah. Dah tugas kami kan. Maaf ya.” Dol pula menyampuk.
“Tak apa. Niat saya nak pulangkan beg duit cik tu aje.”
Din dan Dol tersengih-sengih dan mula meneliti kad di tangan mereka. Selesai memesan makanan, Afeef Zakwan mengambil kad di atas meja lalu terus menuju ke kaunter untuk menghantar pesanan di dapur.
“Hai, macam mana ni, Din? Kalau kita balik dengan tangan kosong, matilah kita,” keluh Dol. Dia mengusap kepala botaknya.
“Sabarlah, lepas makan kita cuba cari lagi.” Din berfikiran positif.
“Kau tau tak, ini bukan skop kerja kita. Sepatutnya kita ada kat sisi Cik Zufa sentiasa. 24 jam. Kerja siasat-menyiasat ni tugas penyiasatlah. Cik Zufa ni kalau nak save budget sekalipun, agak-agaklah.” Dol mula merungut.
“Tak apalah. Sekali-sekala tukar angin apa salahnya? Mana tau Cik Zufa nak bagi extra income.” Din menjongket kening berkali-kali
Dol tidak membalas. Dia hanya diam dan memikir jalan untuk mencari lelaki misteri yang Zulfah Insyirah mahu jumpa sangat.
Tidak lama kemudian, makanan yang dipesan sudah sampai. Sekali lagi Afeef Zakwan menghantar hidangan tersebut.
Enjoy your meals, sir,” ucap Afeef Zakwan mesra.
Baru sahaja Afeef Zakwan mahu berlalu menyambung semua kerja-kerjanya, pasangan kembar itu menggamit dirinya. Afeef Zakwan kembali merapati dua lelaki itu.
Yes, sir?” soal Afeef Zakwan perlahan.
“Alah, tak payah cakap orang putihlah, cakap Melayu aje. Kita kan Melayu,” ujar Dol sambil tersengih-sengih.
“Betul tu,” sampuk Din pula.
Afeef Zakwan ketawa mesra. Dia hanya mengangguk dan menunggu bicara seterusnya daripada dua lelaki di hadapannya.
“Aku Din.”
“Aku Dol.”
Mata Afeef Zakwan silih berganti memandang kedua-duanya. Dia tersenyum mesra. “Saya Afeef Zakwan. Afeef.”
Din dan Dol terangguk-angguk.
“Sebenarnya kami nak tanya sesuatu. Itu pun kalau kau tak keberatan untuk bantu kami,” ujar Din berhemah.
“Kalau boleh saya tolong, apa salahnya? Encik Din dengan Encik Dol nak tanya apa?” soal Afeef Zakwan.
“Macam ni, bos kami suruh datang sini untuk cari seseorang. Nama dia Akeel Firdaus.” Wajah Din penuh mengharap. Dia berharap pencariannya berhasil.
Kelihatan Afeef Zakwan sedang berfikir. Dia memandang Din dan Dol silih berganti. Mungkin dua lelaki ini mencari adiknya. Atau tidak mustahil Akeel Firdaus yang mereka cari itu bukan adiknya.
“Dia kerja pramugara. Agak-agak kau kenal tak? Manalah tahu kalau-kalau dia ada minum-minum kopi kat sini,” balas Dol pula.
“Akeel Firdaus. Hmm, kenapa encik berdua cari dia?” soal Afeef Zakwan tanpa menjawab pertanyaan mereka.
“Macam ni.” Din berdiri dan mengeluarkan satu risalah dari poket belakang seluar jeannya. Dia menghulurkan risalah tersebut kepada Afeef Zakwan.
“Nampak tak perempuan cantik dalam risalah tu? Kau pernah jumpa, kan?” soal Din merujuk kepada gambar Zulfah Insyirah.
Afeef Zakwan membelek risalah tersebut. Merenung seorang wanita yang tersenyum megah di samping beberapa buah produk.
“Itu bos kami. Dia pengasas produk kecantikan Zufa Beauty. Dia minta kami cari lelaki bernama Akeel Firdaus ni.” Giliran Dol pula bersuara.
“Tapi, boleh tak saya tahu kenapa dia cari Akeel Firdaus?” soal Afeef Zakwan masih tidak berpuas hati.
“Itu kami tak tahu pulak. Mungkin dia terberkenan kat lelaki tu dan nak ajak kahwin atau dia nak jadikan lelaki tu duta produk dia,” jawab Din jujur apa yang dia rasa dalam hatinya.
Afeef Zakwan sudah tersenyum-senyum. Dia masih membelek risalah tersebut tanpa memandang dua lelaki yang setia menanti jawapannya.
“Encik tanya ni, encik kenal tak siapa Akeel Firdaus ni?” soal Dol yang sedang makan.
Afeef Zakwan memanggung kepala dan memandang wajah Dol yang sedang lahap menikmati hidangannya.
“Kalau Akeel Firdaus yang kerja sebagai pramugara saya kenal seorang saja,” ucap Afeef Zawan sambil tersenyum tenang.
Pasangan kembar itu serentak memandang Afeef Zakwan. Adakah mereka akan berjuma dengan lelaki yang mereka cari?
“Ya ke kau kenal?” soal Din. Seakan-akan tidak percaya yang pencarian mereka akan membuahkan hasil.
“Ya. Takkan saya tak kenal adik sendiri,” ucapan Afeef Zakwan buat dua mulut itu melopong.
“Betul ke ni?” soal Dol teruja.
“Insya-Allah betul. Kalau nak lebih sahih, tunggu sekejap lagi. Rezeki encik berdua nak jumpa dengan Akeel Firdaus,” balas Afeef Zakwan bersahaja.
“Okeylah kalau macam tu. Kami tunggu kat sini.” Din memandang sekeliling.
“Okey. Encik berdua boleh sambung makan dulu. Kalau orang yang encik berdua cari tu dah sampai, nanti saya kenalkan, ya.” Afeef Zakwan tersenyum. Dia kemudiannya terus melayan pelanggan lain yang mula singgah di Old Malaya Kopitiam.

Sedang mereka enak makan muncul seorang lelaki yang berpakaian seragam pramugara. Din sepak kaki Dol dan Dol sepak balik kaki Din.
“Kau nak apa? Aku nak makan pun tak senanglah,” rungut Dol sedikit kuat sehingga lelaki itu menoleh sekilas ke arah mereka.
Dol merenung tajam wajah Din yang sedikit kegelisahan. Puas Din muncung dan herotkan bibirnya untuk menunjukkan lelaki yang tidak jauh daripada mereka.
“Apanya kau ni? Sawan ke?” Dol masih tidak faham.
Din garu kepala botaknya. Dia merengus kasar. Bila dia lihat lelaki itu tidak melihat ke arah mereka, Din mula bersuara. “Kau tengok lelaki tu. Aku rasa itu kut Akeel Firdaus.”
Dol memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Din. Kini dia juga terlopong sama.
“Makan cepat. Mana tahu kalau betul mesti kejap lagi Encik Afeef kenalkan kat kita.” Dol tidak buang masa. Dia cepat-cepat makan nasi goreng kampung yang masih berbaki.
Selesai makan, Din dan Dol santai-santai sambil minum kopi. Seperti yang mereka jangka, Afeef Zakwan mendekati mereka sambil diekori oleh Akeel Firdaus.
“Hai. Encik Din dan Encik Dol dah habis makan?” soal Afeef Zakwan sambil mengangkat pinggan kotor.
Din dan Dol mengangguk serentak. Mereka memandang Akeel Firdaus yang masih tidak tahu apa-apa.
“Akeel, ini ada dua orang cari Akeel. Ada hal katanya. Encik Din dan Encik Dol, inilah adik saya. Akeel Firdaus yang encik berdua cari.” Afeef Zakwan memperkenalkan adiknya.
Akeel Firdaus ramah tersenyum sambil berjabat tangan dengan Din dan Dol. Tanpa disuruh, Akeel Firdaus duduk berhadapan dengan mereka berdua.
“Kembar ke Encik Din dan Encik Dol ni?” soal Akeel Firdaus teruja.
“Ya, saya abang, tua lima minit kepada Dol.” Din tersengih-sengih bangga.
Dol juga turut tersenyum. Dia lebih suka meneliti penampilan lelaki di hadapannya sambil memikirkan apa kaitan lelaki ini dengan Zulfah Insyirah. Dia syak Zulfah Insyirah ada menaruh hati kepada Akeel Firdaus. Sebab itulah bosnya menyuruh dia dan Din untuk menjejaki di mana lelaki ini. Ya, Dol tidak nafikan lelaki di hadapannya ini segak dan berkarisma. Senyumannya manis mempesona.
“Kenapa Encik Din dan Encik Dol nak jumpa saya?” soal Akeel Firdaus.
“Macam ni, encik, bos kami yang suruh kami datang airport ni cari encik. Jadi, gigihlah kami ni bertanyakan kalau-kalau ada pramugara dan pramugari yang kenal dengan encik. Kebetulan kami duduk makan sini, cuba-cuba tanya dengan Encik Afeef. Tak sangka encik ni adik dia,” terang Din panjang lebar.
“Siapa bos encik berdua? Untuk apa yang dia cari saya?” soal Akeel Firdaus tidak sabar jadinya.
“Encik tengok risalah ni. Perempuan dalam gambar inilah bos kami. Dia minta encik dengan segala hormatnya untuk menelefon dia.” Dol pula menyampuk.
Din pula mengangguk-angguk tanda mengiakan kata-kata Dol.
Akeel Firdaus menarik risalah yang diletakkan di atas meja. Berkerut-kerut dahinya memikirkan siapa wanita yang cantik bergaya pada risalah itu. Setelah lima minit berfikir, baru otak Akeel Firdaus berfungsi semula. Dia sudah ingat di mana dia berjumpa dengan wanita ini.
Akeel Firdaus tersengih. Dalam pada masa yang sama dia mengeluh sambil menyandarkan tubuhnya pada kerusi.
“Kenapa encik? Encik kenal tak dengan bos kami ni?” soal Din. Risau kalau-kalau Akeel Firdaus akan beri masalah kepada mereka. Nanti mereka juga yang akan susah untuk berdepan dengan Zulfah Insyirah.
“Kenal. Saya kenal dia sebagai pelanggan syarikat penerbangan tempat saya kerja. Tapi, saya tak kenal siapa pun dia. Dia... duta produk ni?” soal Akeel Firdaus sambil menayangkan risalah itu di depan mata Din dan Dol.
“Dia bukan setakat duta, tapi dia pengasas produk Zufa Beauty ni. Ini produk pertama keluaran dia. Zufa Beauty Skincare. Dia kaya, cantik dan tegas orangnya.” Dol memuji Zulfah Insyirah.
Akeel Firdaus tersenyum penuh makna. Ya, cantik dan memang nampak seperti perempuan high-class dari segi pemakaian, beg dan kasut yang berjenama. Tegas? Dia tak nampak. Apa yang dia nampak seorang perempuan yang gedik dan berusaha mahu mendekatinya.
Tapi, belum mampu buat Akeel Firdaus terpaut hati dengan Zulfah Insyirah. Malah, tak ada perasaan langsung kepada wanita itu. Kenapa wanita itu bersungguh-sungguh mahu mengenalinya?
“Ini kad nama dia. Risalah ni pun encik simpanlah. Dia berharap sangat Encik Akeel akan hubungi dia. Mana tahu kalau-kalau dia mahu Encik Akeel jadi duta produk atau model sambilan syarikat dia?” ujar Din.
Akeel Firdaus terdiam dan berfikir sebentar. Dia sebenarnya kasihankan Din dan Dol yang bersusah payah mencarinya di sini. Mereka beruntung bila terjumpa dengan Afeef Zakwan. Senang sedikit kerja mereka.
“Tapi, betul encik kenal dia, kan? Bukan apa, kami takut salah orang. Teruk kami kena dengan Cik Zufa nanti, encik.” Dol pula bersuara.
“Ya. Saya kenal dia. Encik Din dan Encik Dol janganlah risau ya. Insya-Allah, saya akan call dia.” Akeel Firdaus sudah buat keputusan.
Apa salahnya dia menghubungi Zulfah Insyirah dan dengar apa yang wanita itu mahukan? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan