Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 29 Januari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 3

KAMAL memerhati sekeliling pejabat mencari kelibat Nuha. Sudah pukul 11.00 pagi masih belum masuk kerja? Apa kes ni? Ingat pejabat sendirian berhad ke? Matanya kemudian berkalih ke pintu apabila dikuak seseorang dari luar. Ha, panjang pun umur budak ni. Dia menunggu Nuha datang mendekatinya.
Nuha menutup pintu perlahan-lahan. Dadanya berdebar-debar mahu menghadap bos yang sedang bercekak pinggang memandangnya.
“Assalamualaikum, Encik Kamal. Maaf, sa... saya lambat sikit,” sapa Nuha sedikit menggeletar. Sejuk habis kedua-dua belah tangannya.
Kamal tengok jam. Selepas itu tengok Nuha semula. “Sikit? Cuba tengok jam dah pukul berapa sekarang?”
“11.02 pagi.”
“Masuk kerja lewat dua jam lebih awak cakap lambat sikit?” soal Kamal sambil mengangkat kening tinggi.
Nuha menggigit bibir. Takut-takut dia hendak bertentang mata dengan Kamal.
“Err... Encik Kamal, saya minta maaf lagi sekali. Hari ni teksi...” Belum sempat menjelaskan sampai habis, Kamal memotong laju.
“Tak habis-habis dengan teksi. Itu ajelah alasan awak kalau masuk kerja lambat. Semua nak salahkan teksi. Teksi rosaklah. Teksi meletuplah...”
“Bila masa pulak teksi saya naik meletup?” tanya Nuha sambil mengerut muka. Kalau meletup dia tidak kerja dekat sini dah. Mungkin sudah duduk di dalam kubur.
Kamal berdeham.
“Tayar meletup,” ujarnya membetulkan semula kata-kata. Ah, samalah tu. Kategori meletup juga.
“Bukan kehendak saya semua tu berlaku, Encik Kamal.”
“Dah tu, hari ni teksi awak naik ada masalah apa pulak?” Kamal berpeluk tubuh. Bersiap sedia hendak memasang telinga mendengar alasan Nuha. Tak apa, beri peluang.
“Minyak habis,” kata Nuha.
Kening Kamal terjongket lagi. “Ia ke? Entah betul ke tidak?”
“Betul, Encik Kamal. Saya tak tipu. Saya sendiri yang kena tolak teksi tu sampai ke stesen minyak. Habis berpeluh satu badan saya ni,” tegas Nuha bersungguh-sungguh. Hendak tunjuk bukti baju dia basah, sudah lama kering kena sedut dengan penghawa dingin teksi.
Kamal memandang Nuha lama. Kata-kata Nuha tadi seperti susah hendak percaya.
“Awak tolak teksi? Habis, drebar teksi tu buat apa?”
“Dia tolak jugak. Tapi, bila teksi tu bergerak, dia lepas tangan. Suruh saya tolak sorang-sorang.”
“Ada pulak perempuan yang kena tolak. Tak semenggah betul perangai macam tu,” kutuk Kamal.
Nuha mengangguk laju. Mengiakan kata-kata bosnya. “Itulah pasal, Encik Kamal. Nasib baik saya ni jenis kuat. Kalau tak, tak bergerak jugak teksi tu. Err, Encik Kamal janganlah marah ya? Macam inilah nasib orang yang tak ada kenderaan sendiri. Saya memang dah keluar awal tadi. Tapi, teksi tu yang datang lambat. Bila minyak habis, bertambah lambatlah saya.”
“Jadi, salah teksilah ni? Bukan salah awak?”
“Eh, tak... Maksud saya, pemandu teksi tulah. Dia yang lambat datang ambil saya. Lepas tu terlupa isi minyak pulak. Ha, memang dialah yang patut dipersalah dalam hal ni,” ujar Nuha tersengih-sengih.
Sekiranya ada salah dia pun mungkin satu persen sahaja sebab terlupa telefon pejabat memberitahu masalah yang dihadapinya.
Kamal bergumam. Apabila tengok Nuha membuat muka comel begitu, tidak jadi dia hendak marah lebih-lebih. “Dahlah, pergi buat kerja awak sekarang.”
“Baik, Encik Kamal. Terima kasih banyak-banyak sebab tak marah dekat saya.” Nuha bergegas masuk ke dalam bilik stor.
Fuh! Selamat aku. Dia menarik nafas lega.
Qistina yang mencuri dengar perbualan Kamal dan Nuha sebelum itu terus datang menghampiri abangnya sebaik Nuha berlalu.
“Abang ni berlembut sangat dengan si tukang sapu tu. Bila orang lain datang lambat, abang membebel. Giliran dia, abang pejam sebelah mata aje,” omel Qistina kurang senang.
Sudah lama dia perhati keadaan itu. Memang Kamal selalu memberi muka kepada Nuha. Menyampah!
Kamal mengerling Qistina.
“Dia datang naik kenderaan awam. Kenalah faham sikit,” balasnya.
“Eleh! Dia saja aje tu minta simpati. Sekali dua datang lambat bolehlah diterima. Tapi, kalau dalam sebulan dekat 10 kali, itu namanya ambil kesempatan,” cemik Qistina.
“Aduh!” Tiba-tiba dia mengaduh kuat apabila terasa punggungnya disondol sesuatu. Terus dia berpaling. Matanya membuntang.
“Maaf, Cik Qistina. Saya tak sengaja. Batang penyapu ni panjang sangat. Tak sangka pulak terkena punggung cik,” kata Nuha sambil tunduk.
Qistina mengetap gigi. “Kau ni memang sengaja kan nak kenakan aku? Punyalah banyak tempat kat dalam ofis ni. Tapi, kat tempat aku berdiri ni jugak kau sibuk nak sapu!” tengkingnya sambil mendengus.
Nuha melempar tisu di atas karpet secara curi-curi.
“Dah dekat sini ada sampah. Saya sapulah dekat sini dulu,” balas Nuha selamba lalu menyapu tisu tadi masuk ke dalam penyodok.
Qistina menjeling Kamal. Kamal hanya menjongket bahu. Dia bertambah geram. Bukannya hendak tolong bela adik sendiri kena buli dengan tukang sapu. Tanpa menunggu lebih lama, dia terus pergi ke mejanya.
Nuha tahan ketawa. Padan muka! Memang dia sengaja pun mengenakan Qistina tadi. Dasar batu api sangat. Kerjanya setiap hari asyik menghasut bos supaya bencikan dia sahaja.
“Nanti dah habis sapu lantai, tolong bersihkan pantri ya. Lap semua meja dan singki. Lepas tu, macam biasa. Buatkan secawan kopi sedap untuk saya,” pesan Kamal tersenyum.
“Baik, Encik Kamal.” Nuha mengangguk.

FADIL singgah sebentar di sebuah kafe siber. Iklan yang dia dengar di radio Boom FM tadi begitu menarik perhatiannya. Maklumat lokasi uji bakat dicari. Dia tersenyum.
“Bagus. Dah dekat sangat lokasi ni dengan tempat aku. Senanglah sikit aku nak pergi nanti. Memang confirm aku join!” kata Fadil teruja. Usai membaca semua syarat yang dinyatakan, dia terus print borang penyertaan.
Selepas itu dia ke kedai baju bundle Herman pula. Tidak sabar hendak beritahu Herman pasal hasratnya itu. Di hadapan kedai sahabat karibnya itulah dia sering melepak sambil busking dengan kawan-kawan dari pagi sampai ke malam.
Fadil memarkir kereta tidak jauh dari kedai Herman. Herman yang melihat Fadil datang dengan teksi terus menjadi terpinga-pinga.
“Hai, ni datang dengan teksi, motosikal kau mana?” soalnya. Tidak pernah pula Fadil datang ke kedai dia naik kereta.
“Ada dekat rumah. Aku pergi hantar orang tadi,” balas Fadil.
“Kau jadi drebar teksi pulak ke sekarang?”
“Tak ada maknalah. Kau ingat aku suka sangat ke pergi ke hulu hilir bawa orang? Pusing sana, pusing sini. Tak ada cabaran langsung. Ayah aku tulah. Tadi dia minta tolong aku hantar pelanggan dia pergi kerja. Kalau tak tolong, karang aku ni dianggap anak tak dengar cakap orang tua pulak.” Panjang lebar Fadil memberi penjelasan kepada Herman.
Herman tersengih. “Bukan sebab kau takut dengan ayah kau ke?”
“Bukan takutlah. Hormat,” nafi Fadil. “Gitar kau mana, Man? Aku nak pinjam sekejap. Nak praktis nyanyi sikit ni sebab tak lama lagi aku nak masuk pertandingan menyanyi.”
Mata Herman terjegil. Terkelip-kelip dia merenung Fadil bersama mimik muka tidak percaya. Dia salah dengar ke ni?
“Apa, Fad? Kau nak masuk pertandingan menyanyi?”
Fadil mengangguk. Borang yang diselit di poket belakang jean ditarik lalu dihulur kepada Herman.
“Ha, kau tengok ni. Rancangan realiti TV, Oi! Meletup Kau! tengah cari peserta untuk musim ketiga. Aku nak masuk pertandingan nilah,” nyata Fadil.
Kemudian dia masuk ke dalam kedai, mengambil gitar. Lambat sangat hendak tunggu Herman pergi ambil. Senang-senang pergi ambil sendirilah.
Herman membaca semua maklumat yang terdapat pada borang. Apabila Fadil keluar semula, dia terus bertanya, “Kau serius ke ni, Fad?”
“La... Apasal pulak kau tak percaya? Ni aku dah siap print borang penyertaan lagi ni. Maknanya aku memang seriuslah nak join. Kali ni aku nak cuba cabar diri aku menyanyi depan juri pulak. Nak tengok sejauh mana keberanian aku. Asyik busking tepi jalan aje. Apa salahnya improve diri sendiri. Baru orang nampak bakat terpendam aku ni.” Fadil tersenyum. Tali gitar dipetik-petik, membuat warming-up jari-jemari.
“Uisy, Fad! Kalau kau terpilih, memang glamorlah kau nanti. Bertanding masuk dalam TV tu. Kalau ada rezeki jadi juara, fulamak! Terus jadi artis. Kalau macam tu, aku sokong kau masuk pertandingan ni. Nanti aku buat sepanduk untuk kau sebagai sokongan,” kata Herman, teruja.
Bakat Fadil sememangnya tidak boleh dipertikai. Sepanjang mengenali lelaki itu, memang dia tahu kelebihan Fadil yang boleh menyanyi dan bermain alat muzik.
“Bila aku dah jadi artis, aku lantik kau jadi pengurus aku. Amacam? Kau bayangkan, Man. Bila nama aku jadi sebutan, jadi glamor... dengan kau sekali jadi terkenal nanti.” Fadil tersenyum memandang Herman.
Kemudian dia berdiri di depan kedai Herman dan mula memetik gitar. Tanpa menghiraukan orang lalu-lalang di sekitar kaki siar kawasan itu, dia mula menyanyi.

FAKRIE berjalan ke tempat parkir. Dia baru sahaja selesai berjumpa klien di sebuah restoran. Ketika hendak masuk ke dalam kereta, dia terpandang sebuah kereta yang diparkir selang sebuah daripada keretanya. Niat tadi terus dibatalkan. Dia pergi memastikan nombor pendaftaran kereta tersebut.
“Eh, ini teksi ayah aku. Apa pulak dia buat dekat sini?” tanya Fakrie kepada diri sendiri. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Pak Awi, tetapi tidak jumpa.
Pandangannya ditarik pula ke arah sekumpulan orang ramai yang berdiri di hadapan sebuah kedai. Sayup-sayup terdengar bunyi orang menyanyi. Dia berfikir sejenak. Entah-entah Fadil yang bawa teksi ni. Apabila pergi menjenguk di celah-celah orang ramai, dia melihat Fadil begitu asyik menyanyi sambil memetik gitar.
“Budak ni memang suka betul buang masa. Cari kerja malas. Melalak macam tu dia sukalah sangat. Malu betul aku ada adik macam kau ni, Fadil!” gerutu Fakrie.
Sekeliling kawasan itu diperhati. Dapat dilihat semua orang teruja mendengar Fadil menyanyi. Siap mengambil gambar dan merakam video lagi.
“Hairan betul aku. Suara sumbang macam tu pun ramai jugak yang dengar dia menyanyi? Tak sakit telinga ke?” Fakrie terus membebel-bebel.
“Apa abang cakap?”
Fakrie tersentak apabila seorang remaja lelaki di sebelahnya menegur.
“Aku cakap suara penyanyi tu tak sedap. Sumbang banyak!” katanya tidak berselindung. Dah memang pada pendengarannya suara Fadil tidak sedap. Takkanlah dia hendak puji pula.
“Eh, mana ada sumbang. Saya suka dengar abang tu menyanyi. Suara dia power. Macam ni!” Remaja itu mempamer isyarat bagus sebelum menyambung lagi. “Kalau dia jadi penyanyi, saya orang pertama yang akan beli album dia.”
Rahang Fakrie terasa seperti hendak patah mendengar kata-kata itu. “Orang tak ada masa depan macam tu kau nak support? Tak payahlah, dik. Tak ada faedah langsung.”
Remaja itu mengerut muka memandang Fakrie. “Abang ni ada masalah ke dengan abang tu? Dari tadi lagi saya dengar abang duk kutuk dia aje. Dia ada sakitkan hati abang ke?”
“Hati aku ni memang selalu sakit dibuat dia. Kau apa tahu?” jerkah Fakrie seraya beredar.
“Gila punya orang,” kutuk remaja itu sambil menggeleng-geleng.
Fakrie masuk ke dalam kereta bersama hati yang dongkol. Terngiang-ngiang lagi pujian yang dia dengar tadi. “Huh, suara power konon. Aku dengar biasa aje pun. Bukan setakat biasa. Tapi, memang tak sedap langsung!”

NUHA mengetuk pintu bilik Kamal perlahan. Selepas mendengar sahutan bosnya memberi kebenaran masuk, dia terus memulas tombol pintu. “Kopi, Encik Kamal.”
“Hmm... Letak dekat situ aje.” Kamal berkata tanpa memandang Nuha.
Nuha teragak-agak hendak berbuat demikian. “Encik Kamal tak nak minum lagi ke?”
Kamal mendongak. Cermin mata bingkai hitam yang terlurut sedikit ke pangkal hidung dinaikkan.
“Awak tak nampak ke kerja saya berlambak kat depan ni?” soalnya.
“Err... Bukan apa, Encik Kamal. Kalau Encik Kamal tak nak minum lagi, saya letak kat meja sofa sana ajelah. Tumpah nanti, habis semua kerja Encik Kamal tu,” ujar Nuha. Dia pun bukan bodoh. Kalau tumpah, dia juga yang kena marah dan lap.
Bibir Kamal melorek senyum memandang Nuha. “Inilah sebabnya kenapa saya lebih suka awak yang buatkan air untuk saya. Awak ni memang seorang yang peka dengan keadaan sekeliling.”
Nuha tersipu-sipu malu menerima pujian Kamal. Namun, dalam hati dia menjerit kesukaan.
“Bukan sebab air yang saya buat sedap ke?” guraunya.
“Itu pun salah satu sebab jugak. Kalau macam tu saya minum teruslah.”
Nuha menghulur cawan. “Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu. Lagipun saya belum makan lagi ni.”
“Hari ni awak bawa bekal apa?” soal Kamal. Seperti yang dia ketahui, Nuha memang selalu membawa bekal datang ke pejabat.
“Kuih seri muka. Saya buat sendiri tau. Kalau Encik Kamal nak rasa, sekejap lagi saya hantar.”
“Hmm... boleh jugak.”
Nuha terus berpaling. Apabila sampai di muka pintu, dia tidak jadi keluar dan menghadap Kamal semula.
“Hah, kenapa pulak ni?” Kamal kepelikan melihat Nuha seperti serba salah.
“Err... Sebenarnya, saya baru teringat. Kuih tu tertinggal kat dalam teksi,” beritahu Nuha ralat. Aduh!
“La... Yang awak pergi tinggal siapa suruh? Tak apalah, Nuha. Tak ada rezekilah tu saya nak makan kuih hasil air tangan awak.”
“Eii! Ni semua salah si Fadil Ashraf tulah!” Nuha bersungut perlahan sambil mendecit. Berbakul-bakul dia mengutuk Fadil dalam hati.
Kamal mengerut muka. “Fadil Ashraf? Siapa tu?”
Nuha tersentak dan kembali memandang Kamal semula. Macam telinga lintah Kamal ni. Dengar sahaja dia bersungut.
“Fadil Ashraf tu drebar teksi yang hantar saya tadi.” Alah, macam mana ni? Janganlah mamat durjana tu ngap kuih aku. Penat aku bersengkang mata buat pagi-pagi buta.
“Fadil Ashraf tu tua ke muda? Bukan ke selama ni awak selalu naik teksi Pak Awi? Dah tukar teksi lain pulak ke?” Kamal cuba mencungkil rahsia.
Entah mengapa hatinya berasa lain macam apabila mendengar nama lelaki lain meniti bibir Nuha. Sedap pula bunyinya. Kalau Pak Awi, dia memang sudah sedia maklum orangnya berusia.
“Hari ni tak. Fadil Ashraf yang ganti. Fadil Ashraf tu anak kepada Pak Awi. Nak kata tua tak adalah sangat. Dia tua sikit aje daripada saya. Tapi, muda banyak daripada Encik Kamal,” cerita Nuha.
Dia tengok kad pengenalan Fadil tadi umurnya 28 tahun. Berbeza setahun sahaja daripadanya.
Handsome ke?”
“Boleh tahanlah.”
“Siapa lagi handsome? Saya ke dia?”
Terkebil-kebil Nuha memandang Kamal. Dah kenapa pula ni tanya soalan ala-ala cemburu sahaja? Ke Kamal nak suruh puji dia? Okeylah, puji sahajalah. “Eh, mestilah Encik Kamal lagi handsome. Lelaki lain mana boleh lawan handsome Encik Kamal.”
Mendengar pujian Nuha, Kamal tersenyum bangga. Lenyap terus perasaan cemburunya tadi. Kemudian dia menyeluk poket seluar dan keluarkan duit kertas 10 ringgit. “Kalau macam tu, awak ambil duit ni. Pergi beli kuih lain.”
Sekali lagi Nuha tergamam. Duit dan wajah Kamal dipandang silih berganti. “Be... Betul ke ni Encik Kamal bagi saya duit?”
“Ambil ajelah. Ni saya beri upah sebab awak puji saya handsome tadi. Termasuk buat air kopi yang sedap ni,” ujar Kamal sambil menggesa Nuha menerimanya.
Sekelip mata duit itu bertukar tangan.
“Alhamdulillah. Terima kasih, Encik Kamal. Semoga Encik Kamal bertambah handsome di masa akan datang. Saya keluar dulu ya,” ucap Nuha penuh girang.

AIR teh O di dalam muk dikacau perlahan-lahan. Nuha mengeluh berat apabila teringat kuih seri mukanya.
“Hisy! Macam manalah aku boleh terlupa nak ambil kuih tu tadi? Nak call tak tahu nombor pulak,” omel Nuha penuh ralat. Entah mengapa dia berasa nasibnya malang setelah berjumpa dengan Fadil.
Di luar pantri pula tanpa disedari Nuha, Qistina sedang memerhati gelagatnya bercakap seorang diri sebelum masuk menegur. “Amboi! Kau bodek bos eh tadi?”
Nuha terus berpaling. Terperanjat dia disapa secara mengejut begitu. Huh! Ada sahaja minah ni di mana-mana dia berada.
“Apa Cik Qistina cakap ni?” soal Nuha tidak mengerti.
Qistina mencebik. “Kau ingat aku tak nampak ke apa yang berlaku kat dalam bilik bos tadi?”
“Oh, jadi Cik Qistina menghendaplah ya?”
“Mana ada! Aku ternampak aje. Tak ada masalah aku nak buat kerja yang tak menguntungkan macam tu,” sangkal Qistina.
Nuha menjongket kening. Ni macam nak cari pasal dengan aku aje, gumamnya. “Apa yang Cik Qistina tengok tak sama dengan apa yang Cik Qistina fikir.”
“Alah, kau tak payah berlakonlah, Nuha. Aku tahulah kau ni kaki bodek. Datang lambat pun bos tak marah. Kalau orang lain, tak ada pulak dia macam tu. Lepas tu buat air siap dapat upah lagi.”         
“Bukan saya yang minta. Bos yang nak kasi.”
“Tapi, boleh aje kalau kau tolak, kan?”
“La... Kalau dah rezeki saya takkan nak tolak pulak? Musuh tu yalah. Memang terpaksa tolak sebab saya ni tak suka cari gaduh,” balas Nuha selamba. Mohon Qistina terasa!
Qistina menjulingkan mata ke atas. “Whatever!”
Nuha minum air tanpa menghiraukan Qistina. Tidak kuasalah dia hendak melayan perempuan senget macam Itu. Tiba-tiba bahunya terangkat apabila Qisitina menepuk meja kuat sambil meletak sekeping kertas kecil di atasnya.
“Lepas minum nanti aku nak kau cari fail ni. Aku nak semuanya hari ni.” Qistina menjeling Nuha sebelum keluar dari pantri.
Nuha membaca apa yang ditulis oleh Qistina mengenai nombor rujukan fail. Ini semua fail lama. Jenuhlah nak selongkar stor nanti. Huh, geram betul dia dengan adik Kamal ni. Berlagak nak mampus!

Khamis, 28 Januari 2016

Suami Paksa Rela - Bab 3

Karl perhatikan subjek yang tengah berdiri tegak di depan matanya ini. Siap berpeluk tubuh lagi orang itu. Muka masam mencuka tanda tak puas hati. Mata pula tak habis-habis tajam memerhati. Amboi, marah betul perempuan ni!
“Apa yang tak kenanya?” tanyanya. Cuba cari tahu kenapa. Datang-datang, muka terus cemberut macam itu, dah kenapa?
“Mana awak dapat nombor saya?” soal Wafa, tak puas hati.
Dia memang tak suka kalau ada orang dapat nombor telefon dia tanpa kebenaran dia. Seingatnya, dia tak pernah bagi nombor telefonnya kepada Karl. Dari mana lelaki itu dapat agaknya?
Karl tergelak. “La, pasal nombor telefon aje kau nak tayang muka ketat macam tu dekat aku? Come onlah, Wafa.”
Wafa diam sekejap sebelum mula membuka mulut. “Okeylah, abaikan pasal nombor tu. Sekarang ni, kita serius. Mesej yang awak bagi tadi. Apa maksud awak?”
Soalan Wafa, Karl biarkan tanpa jawapan sekejap. Dia bangun dari kerusi kerja dan berdiri sambil membutang kot yang tersarung pada tubuh sasanya. Dia berjalan dan berhenti tepat di depan Wafa. Hanya beberapa inci saja jarak yang memisahkan mereka.
Dengan jarak yang sedekat itu, Wafa mula rasa tak selesa. Air liur, dia telan berkali-kali. Gulp. Gulp. Dan, gulp!
Karl menunduk sedikit. Bibirnya didekatkan dengan telinga Wafa.
I’m in,” bisiknya perlahan. Menggoda sahaja bunyinya.
Oh, tidak! Wafa yang mendengar nada suara lelaki itu, tiba-tiba rasa macam sesak nafas. Rasa tak cukup udara yang nak dia sedut. Dia perlukan oksigen! Oksigen!
Wafa terus melangkah ke belakang beberapa tapak. Kepala yang tak gatal, dia garu-garu sikit. Kemudian, dia berdeham berkali-kali. Nak selesakan tekak yang tiba-tiba rasa macam tercekik sesuatu. Tercekik sebab dengar suara menggoda si Karl!
Karl tak mampu nak kawal senyum bila nampak Wafa jadi kelam-kabut begitu. Dia tahu perempuan itu terkejut dengan kelakuannya tadi. Emmm, she’s affected!
“Apa yang I’m innya?” Wafa bersuara bila rasa dirinya dah kembali tenang.
Haih, duduk berdua dengan Karl di dalam ofis lelaki ini buat dia rasa tak tenteram. Lelaki itu macam pelik pula dia tengok. Berbeza sangat karakter semasa dia jumpa lelaki itu tengah hari tadi.
Karl berundur ke belakang semula dan duduk di atas meja kerjanya. Matanya tak lepas daripada merenung Wafa dari atas ke bawah.
Kalau tadi, dia tak sempat nak memerhatikan perempuan itu dengan lebih jelas. Kali ini, baru dia dapat lihat semua itu. Tinggi kawan adik sepupunya itu hanya paras telinganya saja. Orangnya putih melepak, kurus dan berkaca mata bingkai hitam. Rasanya bukan sebab perempuan itu rabun. Mesti gara-gara fesyen nak nampak comel saja. Hipster kononnya!
Rambut pula entah fesyen mana yang diikut, disanggul tinggi seperti orang dalam pantang. Tapi, gaya itu sebenarnya buat perempuan itu nampak makin comel. Ya, sangat comel!
“Aku setuju nak kahwin dengan kau. Bila kau nak kahwin? Aku ikut aje.” Karl jelaskan maksud I’m innya tadi.
“Errr... Tapi, kenapa awak setuju?” Wafa rasa macam tak percaya. Lelaki itu setuju nak kahwin dengan dia? Errr, like seriously?
“Sebab aku nak kahwin dengan kaulah.”
“Yalah. Tapi, kenapa?” Wafa masih tak puas hati. Tiba-tiba saja lelaki itu nak kahwin dengannya. Sudahlah baru sekali saja jumpa. Tak sampai beberapa jam. Tiba-tiba, dah setuju nak kahwin. Macam tak logik saja.
“Sebab aku nak kahwinlah. Eee, banyak soallah kau ni.” Karl mula berpeluk tubuh sambil duduk. Letih nak melayan sesi soal jawab dengan perempuan itu.
Wafa yang cuba tak nak pandang ke arah Karl, terpandang juga. Matanya macam tak nak lari pula daripada terus memerhatikan susuk tubuh lelaki itu. Sudahlah pakai sut yang melekap ke badan. Bila buat gaya silang tangan macam itu, memang nampaklah segala lekuk-lekuk otot yang ada. Paling ketara pada bahagian tangan lelaki itu. Wau, sado kut!
“Tapi...” Karl bersuara.
Wafa pandang muka Karl. “Tapi, apa?”
“Aku ada syarat kalau kau nak aku kahwin dengan kau.”
“Syarat apa pulak?” tanya Wafa, mahu tahu.
“Kalau kita kahwin, aku tak nak ada ada syarat dalam perkahwinan kita.”
Hah? Wafa blur. Tak nak syarat. Tapi, yang baru mamat ini cakap bukan pasal syarat ke?
“Apa awak cakap ni? Saya tak fahamlah.” Wafa tanya minta diberi penjelasan lagi.
“Maksud aku, bila kau dah kahwin dengan aku, kau kena kahwin betul-betul dengan aku.”
Hek eleh, memanglah! Takkan nak kahwin tipu-tipu pulak, sangkal Wafa dalam hati.
“Kisah kita ni aku tak nak macam drama petang-petang tu ya. Yang tidur bilik asinglah, ada kontrak bagailah. Nak kahwin, kahwin dengan ikhlas. Macam sekarang ni, kau kahwin sebab kau nak lupakan ex kau, kan? Mulai sekarang, tetapkan hati. Kau nak kahwin sebab kau nak rasa nikmat sebuah perkahwinan tu. Terima yang jodoh kau dengan aku. Boleh?”
Wafa terkebil-kebil mendengar ayat Karl. Biar betul lelaki yang bernama Karl Elliyas ini yang tengah berkata-kata? Kejap-kejap, nampak normal. Kejap-kejap, macam sengal pula perangainya. Pelik sungguh dia rasa.
“Oh, ya. Sebelum terlupa, nah!” Karl hulurkan sesuatu.
Wafa nampak kotak kecil yang berwarna turquoise di tangan Karl. Errr... jangan cakap. Jangan cakap yang itu kotak Tiffany & Co. Oh, tidak!
“Aku main ukur aje dekat jari kelengkeng aku. Cuba kau pakai. Muat tak?”
Wafa sambut bekas kecil itu dari tangan Karl. Bekas itu dia buka. Mata tiba-tiba jadi silau. Okey, itu memang dia yang over. Hahaha! Sebentuk cincin berlian terletak elok di dalam bekas itu.
“Apasal awak bagi cincin ni? Kita belum apa-apa lagi kut.” Mulut Wafa sibuk bercakap, tapi mata masih tetap melekat ke arah cincin. Perempuan mana tak sukakan berlian hoi!
“Jangan nak banyak bunyilah. Cuba pakai. Muat tak?” gesa Karl.
Wafa turutkan kata-kata Karl. Cincin berlian itu disarungkan ke jari manis kirinya. Uiii, muat kut! Sedang-sedang elok saja.
“Hah, muat pun. Nasib baik jari tu tak debab. Kalau tak, tak pasal-pasal kena tukar saiz,” kata Karl lagi.
Wafa buat muka menyampah. Jari aku dikatanya debab. Heh!
“Suka tak?” tanya Karl.
Gila tak suka? Sukalah! Wafa pandang muka Karl. Cuba beriak biasa. “Suka.”
Good. So, apa rancangan kita sekarang ni? Terus kahwin ke macam mana? Rasa macam tak sabar pulak nak kahwin. Macam seronok aje, kan?”
Wafa tengok Karl dah tersengih-sengih bila sebut perkataan kahwin itu. Amboi, gatalnya!
“Tak payah nak seronok sangatlah!” Wafa kerling Karl. “Pasal kahwin tu, biar saya bincang dengan mak saya dulu.”
“Ha, ni kau nak aku ikut kau jumpa mak kau tak?”
“Eh, tak payah! Biar saya aje yang cakap dengan dia dulu. Bila semua dah okey, saya bagi tahu awak. Kalau terus bawa awak karang, tak pasal-pasal mengamuk Mak Jemah tu!” balas Wafa laju.
“Mak Jemah? Siapa Mak Jemah?” soal Karl ingin tahu.
“Siapa lagi, bakal mak mertua awaklah!”
Erk? Karl terdiam kejap. Mak mertua dia bernama Mak Jemah? Mak Jemah yang gelak menggelegak macam kat Radio Era tu ke? Emmm, tertanya-tanya dia jadinya.

Rabu, 27 Januari 2016

Tak Sangka Jatuh Cinta - Bab 1

SUARA nyanyian burung kedengaran merdu berlagu dan begitu mengasyikkan. Kawasan yang dikelilingi gunung-ganang itu kelihatan sangat cantik dengan dilatari pelbagai jenis bunga yang sedang indah mekar. Ada sekumpulan rama-rama dan lebah berebut-rebut mahu mendapatkan madu dari kelopak bunga pelbagai warna itu. Hembusan bayu juga begitu lembut membuai wajahnya yang sedang mendongak ke atas.
Gadis itu tidak pasti di mana dia berada, tapi itulah tempat yang selalu muncul dalam mimpinya. Dia selalu berangan-angan untuk tinggal di tempat yang indah seperti itu. Seketika, matanya yang beralis lentik itu terpaku pada bayangan seseorang yang sedang berjalan menghampirinya. Dalam jarak lebih kurang lima meter, dia kurang pasti siapakah gerangan bayangan itu. Lebih-lebih lagi, kabus masih lagi menyelubungi kawasan itu.
Siapakah? Dia berteka-teki sendiri. Matanya agak sukar untuk menebusi kabus pagi yang agak tebal itu. Dia menenyeh-nenyeh matanya berulang kali. Dipejamcelikkan matanya berkali-kali. Namun, dia tetap gagal mengenal pasti susuk tubuh misteri itu. Tapi, dia pasti itu adalah seorang lelaki.
Ya, lelaki! Kerana daripada cara berjalan dan pakaiannya. Dia mula merasakan debaran yang tidak terucap. Mungkin itulah lelaki yang digelar Prince Charming yang telah lama bersemadi dalam diarinya. Diari yang dibeli dengan harga RM2.50 dari kedai runcit Pak Mehat. Debaran dalam hatinya mula bertukar menjadi teruja. Duhai teruna idamanku.
Dia mula tersenyum simpul. Malah, terlebih pula simpulnya sampaikan susah untuk dia ungkaikan kembali. Tersenget-senget bibirnya menantikan kehadiran lelaki itu di depan matanya. Ketika lelaki itu hampir dengannya...
“Hannah!”
Terdengar namanya dilaungkan dari jauh. Melantun-lantun ke dalam anak telinganya. Erk? Dia tersentak. Kalau namanya dipanggil oleh lelaki itu, kenapa suaranya suara perempuan? Dan dia sangat kenal dengan suara yang macam petir itu. Itu kan suara umi?
“Hannah!”
Sekali lagi lantunan suara itu bergema. Dia mula keliru apabila terasa tubuhnya seperti digoncang-goncang dengan kuat dan kasar. Apa dah jadi ni? Takkanlah di Malaysia sudah ada gempa bumi?
“Nur Hannah Delayla!”
Serentak itu juga wajah dan tubuhnya yang kurus tinggi itu terasa seperti ditimpa hujan yang sangat lebat. Dia membuntangkan matanya. Telinganya dapat mendengar dengan jelas suara sedang terkekek-kekek ketawa.
Hannah menggosok-gosokkan matanya. Dia berpaling ke kiri dan kanan. Poster-poster pelakon dan penyanyi K-Pop Choi Siwon kelihatan memonopoli dinding bilik itu. Hannah mula faham yang kisah tadi adalah mimpi semata-mata kerana dia masih berada dalam biliknya! Ceh! Dia mendengus sebal. Rambutnya dikuak kasar.
Basah? Tapi, kenapa? Dia segera membuka matanya luas-luas. Saat itu, matanya memfokuskan ke arah dua raut wajah yang sedang tersengih dan mencangkung di atas katilnya. Hannan? Hadziq?
“Apa kau orang dah buat ni? Kenapa kakak basah macam ni? Kau orang sabotaj kakak ek? Meh sini...” Dia tidak sempat bertindak apabila dua orang adik kembarnya itu sudah pun melarikan diri ke luar.
Mereka sempat menjelirkan lidah kepadanya membuatkan dia tidak mahu kalah. Eiii, dua orang musuh ketatnya itu mesti diajar! Pagi-pagi lagi dah buat dia hilang mood. Pantas sahaja dia bingkas bangun dan mengejar adik-adiknya sehingga ke dapur. Di situ kelihatan uminya sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Hannan dan Hadziq memeluk umi erat. Hannan di sebelah kiri dan Hadziq di sebelah kanan. Apalagi, becoklah mulut uminya memulakan sesi leteran untuk pagi itu.
“Hah! Bangun pun anak dara Haji Darus ni ya? Ingatkan nak tunggu air satu baldi kena muka baru nak bangun. Matahari dah tegak atas kepala baru nak bangun! Dah tua bangka pun nak kena kejutkan juga.”
Tu dia, Puan Hajah Hayati memulakan ceramahnya dengan serangan yang sangat menyakitkan telinga. Hannah berdiri tegak sambil menjegilkan matanya kepada adik-adik kembarnya yang sedang tersengih tanda kemenangan. Seronok barangkali kerana dapat mengenakannya.
“Umi, tengoklah dua orang mangkuk ni! Dia orang jirus Hannah tadi. Habis basah baju Hannah tahu tak? Eiii... kang Hannah kasi luku kepala baru tahu!” Hannah mengadu dengan harapan umi akan membelanya. Tapi, harapan itu cuma senipis kulit bawang sahaja.
“Bukan adik dengan ucu yang jirus kamu! Umi yang jirus tadi. Hah, marilah luku kepala umi ni! Sekarang ni bukan subuh gajah lagi dah tahu tak? Dah subuh King Kong! Tu... tengok matahari dah naik tu!” Hajah hayati meneruskan sesi leterannya sambil bercekak pinggang. Matanya yang bengis macam mata singa itu merenung wajah anak sulungnya dengan perasaan geram.
“Hannah cutilah umi! Buat apa nak bangun awal-awal? Umi tahu tak... Tadi kan Hannah baru nak berkenalan dengan putera idaman Hannah. Tahu-tahu saja dah basah kena jirus. Kalau tidak mesti Hannah dengan dia tengah bercanda bahagia.” Hannah menjawab dengan wajah yang berkerut.
Sesekali dia menunjukkan isyarat berjaga-jaga kepada Hannan dan Hadziq yang beria-ia menjelirkan lidah kepadanya.
“Oh, kalau cuti tak payah bangun awallah? Kalau macam tu, makan pun tak payah! Putera idaman konon. Kalau ada pun, mesti dah dilarikan orang sebab kamu tu suka sangat bangun lewat!”
Hannah cuma mencebik. Dia mencapai kotak corn flakes dan terus menuangkan ke dalam mulutnya. Dia sangat berpuas hati apabila Hannan dan Hadziq menjerit melihat corn flakes itu masuk ke dalam mulutnya dan selebihnya sudah bertabur di atas meja. Padan muka kau orang! Kikiki.
“Umi, tengoklah kakak tu makan corn flakes adik dengan ucu!” Si Hannan mengadu sambil mengongoi.
Hadziq turut mengongoi sambil menarik-narik tangan umi.
“Hannah! Ya Allah... Anak dara apa kamu ni? Pelahap macam 10 hari tak makan. Suka sangat usik adik dengan ucu.” Hajah Hayati mencerlung ke arahnya sambil memujuk pasangan kembar itu mengatakan yang walid akan belikan yang baru. Lepas tu, Jangan kasi kepada kakak!
“Tak nak kasi sudah! Kakak pergi beli sendiri. Nanti kakak beli banyak. Satu lori! Tapi, kakak tak nak kasi kau orang juga. Padan muka kau orang!” Hannah ketawa lagi apabila jeritan mereka mula meninggi membuatkan Hajah Hayati bingkas bangun dan seperti biasa, telinganya ditarik dengan agak kuat. Hannah menyeringai.
“Dah besar panjang pun tak nak mengalah!”
“Adoi, sakitlah umi! Eh, tu cekodok umi dah hangus tu!”
Hajah Hayati berpaling memandang kuali di atas dapur. Baru dia teringat, dia sudah menutup api dapur tadi. Dan sarapan juga sudah siap terhidang atas meja dan satu perkara lagi. Dia tidak membuat cekodok pagi itu. Dia menyediakan mi goreng untuk pagi itu.
“Kamu jangan nak...” Hajah Hayati tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila tubuhnya dipeluk erat oleh Hannah. Kemudian, pipinya menjadi sasaran bibir mungil itu berkali-kali.
“Sayang umi! Hannah mandi dulu ya?” Hannah terus mengangkat kaki menuju ke biliknya. Lagi lama dia di situ lagi banyaklah leteran uminya. Lebih baik dia melarikan diri!
“Hannah, jangan lupa nanti tolong bawakan mi goreng untuk walid. Tadi walid tak sempat sarapan!” Hajah Hayati menggelengkan kepala sebaik mendengar suara Hannah menjawab dari dalam biliknya.
Anak sulungnya itu memang suka sangat memeningkan kepalanya. Dari kecil nakalnya, nauzubillah! Sampai dah nak masuk umur 25 tahun pun masih lagi tidak berkurang perangai nakalnya. Sudahlah nakal, Keras kepala pula tu!
Ketika berumur 10 tahun, Hannah pernah melastik satu reban ayam milik Mak Uteh Bidan kerana orang tua itu memanggilnya betina hangit. Sehari dia tak makan sebab tak puas hati. Esoknya, riuh satu kampung mengatakan ayam Mak Uteh mati dilastik. Hajah Hayati tahu itu kerja anak daranya sebab sebelum tu, Hannah membeli lastik di kedai Pak Mehat.
Hannah memang kasar dan gerak lakunya macam orang lelaki. Nasib baiklah dia membesar dengan didikan agama yang cukup. Walaupun kasar, tapi Hannah tetap bertudung litup.
Lamunannya terhenti sebaik mendengar suara rengekan Hadziq. Cepat-cepat Hajah Hayati mendapatkan anak lelakinya itu.

“WALID!” Suara Hannah memenuhi kawasan kolam ikan air tawar itu.
Matanya melilau mencari-cari kelibat walidnya. Mana pula walid pergi ni? Hannah menggaru-garu lengannya yang gatal dek serangan nyamuk piruk (nama nyamuk yang diberi khas oleh umi). Bekas berisi mi goreng diletakkan di atas pangkin buluh berhampiran kolam ikan keli. Dia duduk di situ melepaskan lelah seketika.
“Hannah cari walid ke?”
Satu suara menegurnya dari belakang. Hannah mengurut dada. Terkejut. Lantas berpaling ke arah pemilik suara itu.
“Abang Muaz ni... Buat Hannah terkejut aje! Nasib baik tak melayang Tupperware ni. Kalau tak, ada juga yang arwah hari ni tau,” ujar Hannah selamba. Bergurau. Tapi, kasar ya amat.
“Amboi, tegur sikit aje dah nak jadikan Abang Muaz arwah dah. Abang Muaz ni muda lagi tahu tak? Kahwin pun belum lagi. Kalau mati sebelum kahwin, Rugilah!” seloroh Muaz pula. Seraya itu dia menapak menghampiri gadis yang sedang bersila atas pangkin.
“Kalau dah takut mati sebelum kahwin, kenapa tak kahwin aje? Takkan nak tunggu sampai dah beruban macam walid tu baru kalut nak cari isteri? Masa tu, memang tak adalah orang nak,” sakat Hannah.
Dia sudah biasa bergurau dengan lelaki yang sudah hampir lapan tahun menjadi pekerja walidnya. Walid sayang sangat dengan Abang Muaz. Rajin!
“Dah tak ada yang sudi...” Muaz merendah diri. Topi di atas kepala ditanggalkan lalu dikibas-kibas badannya.
“Eleh, pasrah pula! Yang Kak Juliana tergedik-gedik nakkan abang kenapa abang tolak? Kalau tak dah berdozen anak abang tau.” Hannah mengusik.
Dia pelik kenapa Muaz menolak Kak Juliana, jelitawan Kampung Rendang Pasir ni. Bukan saja cun melecun dan kiut miut Tapi baik hati, lemah lembut, sopan santun, rajin. Pendek kata semua perangai yang baik tu habis dilobinya. Kak Juliana adalah pujaan hati semua teruna dalam kampung ini termasuk juga kampung-kampung berdekatan.
“Eh, ke situ pula! Pandai aje Hannah ni. Kak Jue tu cantik sangatlah. Takut abang tau.”
“Kenapa pula? Kalau dapat isteri perfect macam Kak Jue tu, Mestilah bangga. Semua orang tergila-gilakan dia. Kiranya abang ni bertuah sebab hati Kak Jue tu terkenen kat abang,” tokok Hannah bersungguh-sungguh.
Kalaulah Abang Muaz kahwin dengan Kak Juliana maka, dialah yang paling suka. Sebab mereka berdua tu sama cantik sama padan. Macam pinang dibelah dua. Couple of the year. Sesuai sangatlah gelaran itu untuk mereka.
“Ewah, Hannah ni kalau bab nak kenakan abang memang pandai. Yang Hannah ni bila pula nak kahwin? Kan dah habis belajar.” Muaz mengalihkan topik pula.
Sambil itu matanya merenung seraut wajah polos di hadapannya. Berdetup-detap pula hatinya. Diam-diam, ada muzik lagu Hindustan bermain-main dalam mindanya kerana gadis itu. Lebih-lebih lagi bila dia melihat sebentuk cincin yang tersarung di jari manis Hannah. Itu adalah cincin pemberiannya sempena hari jadi Hannah yang ke-25. Hati Muaz mula berlagu riang.
“Hannah?” Hannah terbeliak mendengar soalan cepumas itu.
Muaz angguk.
“Kahwin?” Terus anak dara Haji Darus itu ketawa besar. Kelakar.
Hannah rasa perkataan kahwin tu paling tak sesuai untuknya. Kenapa? Sebab seumur hidupnya selama 25 tahun. Dia tidak pernah bercinta pun! Nak mampus? Dikejar dek Haji Darus dengan belakang parang nanti, siapa yang nak tolong? Kau orang nak tolong ke? Memang taklah, kan?
“Abang tahu tak? Walid tu kalau Hannah buka mulut bercakap pasal lelaki ajnabi, boleh tercabut paku lima inci dengan suara dia sergah. Eiii... Tak beranilah Hannah!”
“Tak baik Hannah cakap walid macam tu. Kang dengar dek walid sekali dengan abang kena kejar dengan belakang parang. Abang pun takut juga,” gurau Muaz membuatkan ketawa mereka berpadu.
“Eh, walid pergi mana sebenarnya ni? Abang tak jawab pun soalan Hannah tadi,” tanya Hannah setelah ketawanya reda.
“Walid pergi pekan dengan Pak Cik Nordin. Nak hantar ikan yang pelanggan pesan. Dia orang nak pagi ni juga.”
“Ya ke? Kalau macam tu, abang ajelah makan mi goreng ni. Kalau walid pergi pekan mesti tengah hari nanti baru balik.” Hannah menolak Tupperware berisi mi goreng kepada Muaz.
Lelaki itu cuma mengangguk. Lantas, penutup bekas makanan itu dibuka dan dia menyuap mi itu ke dalam mulut. Sedap. Kalau masakan ibu pun sedap, mestilah masakan anaknya pun sama. Mana nak tumpah kuah kalau tak ke nasi? Muaz bermonolog sendiri.
“Abang makanlah. Hannah nak panjat pokok mempelam tu. Banyaknya buah.” Gadis tinggi lampai yang mengenakan T-shirt lengan panjang, seluar trek dan bertudung litup itu bingkas bangun dan melangkah laju-laju ke arah pokok mempelam di tepi kolam ikan keli.

Muaz cuma mengangguk. Dulu dia melarang juga, tapi sekarang dia dah biasa dengan perkara itu. Hannah panjat pokok macam orang lelaki. Selamba sahaja. Pokok kelapa pun ada hati nak panjat juga. Hai, Hannah, Hannah. Nama punyalah sedap macam nasi kandar, tapi perangai mengalahkan jantan. Ganas dan kasar, tapi itulah gadis yang sejak dulu menghiasi episod mimpi indahnya. Tapi, tak siapa yang tahu termasuk empunya nama indah itu. Nur Hannah Delayla.

Selasa, 26 Januari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 2

NUHA mundar-mandir di wakaf. Sekejap-sekejap dia tengok jam di tangan.
“Ya Allah, manalah perginya Pak Awi ni? Dah lebih 20 minit aku tunggu. Karang membebel pulak bos aku tu kalau lambat sampai ofis,” sungutnya sendirian.
Resah hati tidak dapat dibendung lagi. Nak sampai ke pejabat terpaksa meredah banyak lampu isyarat. Lagilah makan banyak masa. Memang tadah telingalah jawabnya nanti.
Nuha mendecit. Tidak pernah lagi Pak Awi lambat menjemput dia. Selalunya on time sahaja. Kadang-kadang dia baru hendak melintas jalan sudah ternampak teksinya menunggu di depan wakaf.
“Hisy! Tak boleh jadi macam ni. Aku kena telefon Pak Awi tanya dia ada dekat mana sekarang. Kalau dia tak jadi datang, senang aku tahan teksi lain,” kata Nuha.
Dia menggagau beg tangannya mengeluarkan telefon Samsung Galaxy Y warna coral pink. Walaupun touch screen, tetapi tidak berapa nak pintar sangat sebab fungsinya terhad dan tidak boleh download banyak aplikasi. Dia guna buat hantar SMS dan telefon orang sahaja.
Dalam masa yang sama, tiba-tiba terdengar bunyi tayar kereta terseret kuat. Nuha terus panggung muka.
Ha, sampai pun. Tetapi, kenapa ganas sangat Pak Awi bawa teksi hari ni? Betul ke Pak Awi yang pandu kereta? Untuk mendapatkan kepastian, dia tunduk sedikit mengintai wajah si pemandu.
“Hah! Tengok apa lagi? Masuklah cepat. Pintu tak kunci pun,” balas Fadil.
Rasanya memang dah betul kut pelanggan ayah aku ni, getusnya apabila melihat di bahu gadis itu tersangkut beg tangan warna merah.
Nuha tersentak apabila disergah begitu. Alamak! Bukan Pak Awi. Dia tidak kenal siapa gerangannya. Tidak pernah jumpa pun sebelum ini. Apabila diperhati ada iras-iras macam Pak Awi juga. Siapa pula mamat ni?
“Janganlah tengok aku macam tu. Karang jatuh cinta, tak pasal-pasal pulak kau jadi angau,” tambah Fadil lagi. Hairan sangatlah tu kut tengok bukan ayah dia bawa teksi.
Nuha mencebik. Boleh tahan perasan mamat drebar ni.
“Sebelum saya masuk, saya nak tanya. Ini teksi Pak Awi, kan? Tapi, kenapa awak pulak yang bawa?” soal Nuha inginkan kepastian. Dia mesti tahu semua itu. Dibuatnya lelaki itu orang gila ke, entah ke mana pula dia kena bawa lari nanti.
“Dah dia suruh. Aku bawalah. Yang kau tercegat lagi dekat luar tu, kenapa? Nak suruh aku tolong buka pintu ke? Tak kuasalah aku!” jawab Fadil sinis. Leceh betullah perempuan ni. Banyak tanya pula. Tinggal karang baru terhegeh-hegeh nak masuk.
Nuha mengerut muka. “Pak Awi suruh awak bawa? Habis tu mana dia? Ke awak curi teksi ni daripada dia? Baik awak cakap betul-betul.”
Ek eleh perempuan ni. Ada jugak jadi mangsa ciuman aku karang. Mulut tak bertapis langsung. Baru aje jumpa dah penuh dengan prasangka, gerutu Fadil geram.
“Daripada aku curi teksi ayah aku ni, baik aku curi kereta Ferrari terus. Boleh jugak buat eksyen dekat kau kalau terserempak kat tepi jalan. Setakat teksi Proton Iswara ni, apa kelasnya?”
Nuha tergamam. Apa? Mamat ni anak Pak Awi? Biar betul!
“Pak... Pak Awi tu ayah awak?” tanya Nuha tergagap-gagap.
Patutlah muka ada iras-iras Pak Awi. Tetapi, boleh percaya ke? Takkan anak Pak Awi serabai macam ni? Penampilan Pak Awi kemas sahaja. Baju selalu tuck in dalam seluar slek. Siap pakai kopiah dan kasut kulit lagi. Mamat ni pula, hujung rambut sampai kaki macam mat pet sahaja. Musykil!
“Dah tu, takkan ayah kau pulak? Apa punya banganglah soalan kau tu. Hah, ni kau nak naik ke tak nak? Kalau tak nak, aku nak blah!” marah Fadil sambil menjeling Nuha.
“Saya nak awak tunjuk dulu bukti yang Pak Awi tu ayah awak. Kalau betul, baru saya naik,” kata Nuha.
Fadil mendecit. Kenapalah ayah dia tidak beritahu tadi pelanggan tetapnya itu seorang yang banyak songeh? Tak pasal-pasal pula kena tunjuk pengenalan diri kepadanya.
“Nah, ini IC aku. Kau tengok betul-betul nama aku tu bin siapa.” Kad pengenalan dihulurkan kepada Nuha. Sudah macam gaya kena tahan dengan pegawai JPJ yang buat road block sahaja.
Nuha membaca nama yang tertera. Fadil Ashraf bin Aluwi. Jadi, memang betullah mamat ni anak Pak Awi. Huh! Jauh beza benar perangai ayah dengan anak. Ayah bercakap dengan pelanggan sopan sahaja. Anaknya pula mulut macam brek tak makan.
“Sekarang kau percaya ke tak? Ke kau masih anggap aku ni pencuri teksi lagi?” sindir Fadil sambil merampas kasar kad pengenalannya dari tangan Nuha.
Eh, dia ni... Minta baik-baik tak boleh ke? Main rampas bodoh macam tu aje. Nuha menggerutu tidak puas hati. Tanpa membalas pertanyaan Fadil, dia terus masuk duduk di belakang. Malaslah nak duduk di depan. Dengan Pak Awi sahaja dia berani duduk sebelah menyebelah.
“Hantar saya ke Wisma Indah. Cepat sikit sebab saya dah lambat,” pinta Nuha.
“Kau masuk kerja pukul berapa?”
“8.30.”
Fadil mengerling jam dekat dashboard. “Sekarang dah pukul 9.07. Bos kau tak marah ke masuk kerja lambat?”
“Kalau awak bawa teksi laju macam Dominic Toretto dan cepat sampai ke ofis saya, mungkin bos saya tak jadi nak marah.” Nuha tahan geram mendengar pertanyaan Fadil. Buat-buat tanya pula. Kan bagus kalau Fadil tekan pedal minyak tu rapat-rapat daripada tanya soalan bengap macam tadi.
Fadil tersenyum senget. Kalau bukan sebab dia singgah makan roti canai dekat kedai mamak tadi mungkin kelewatan ini tidak berlaku. Tak apalah, yang kena marah Nuha. Bukannya dia. Fadil ketawa dalam hati.
Tercabar dengan kata-kata Nuha tadi, dia menekan pedal minyak rapat dan drift sehingga Nuha terhuyung-hayang ke kiri dan kanan. Mana-mana kereta yang berada di hadapan habis dia potong sehinggalah tiba di satu lampu isyarat. Lampu hijau tidak sempat dikejar dan akhirnya dia menekan brek mengejut.
Tindakan itu menyebabkan Nuha terdorong ke hadapan dan tercium kerusi di hadapannya.
“Hei! Apa awak ni bawa kereta macam orang mabuk minum air daun ketum aje? Bawa elok-elok sikit tak boleh ke?” bebel Nuha sambil menjeling Fadil geram.
Fadil menoleh ke arah Nuha sekilas. “Tadi kau jugak yang suruh aku bawa macam Dominic Torreto, kan? Hah, bila aku dah jadi si Dom tu kau pot-pet pot-pet pulak macam itik serati. Kau ni memang jenis cakap tak serupa bikin eh?”
“Maksud saya tadi tu bawa laju-laju janganlah sampai mengabaikan keselamatan penumpang.”
“Ah, dan-dan aje sekarang ada maksud. Tadi kau tak sebut pun pasal tu semua!” tempelak Fadil laju.
Nuha mendengus. Banyak mulut betullah mamat ni. Dahlah cakap kasar tidak bertapis. Menyakitkan hati sahajalah! Eii... Stresnya naik teksi drebar perangai macam jerangkung ni.
Bagi menghilangkan rasa bengangnya, Nuha berpaling ke luar tingkap. Namun, dia perasan mata Fadil asyik mencuri pandang ke arahnya. Apa hal pula ni jeling-jeling macam tu? Namun, dia sengaja buat-buat tidak nampak.
Setelah lampu bertukar hijau kembali, Fadil meneruskan pemanduannya dengan tenang. Sedang-sedang laju sahaja dia bawa. Terlebih laju karang tak pasal-pasal penumpang banyak songeh itu membebelkan dia lagi nanti.
“Kau pergi kerja memang selalu naik teksi ke?” tanya Fadil.
“Hmm...” Nuha hanya bergumam malas.
“Kau tak ada kereta sendiri? Motosikal ke?”
“Tak ada.”
“Ya tak ya jugak, kan? Kalau ada kenderaan sendiri buat apa naik teksi pergi kerja?” Fadil ketawa sendiri kemudiannya.
Nuha tunjuk muka bosan. Ngok-ngek betul mamat ni. Sendiri tanya sendiri jawab. Tiba-tiba dia merasakan kelajuan teksi itu menjadi perlahan. Semakin lama semakin perlahan.
“Eh, apa hal ni awak bawa teksi perlahan sangat? Kalau macam ni pukul berapa saya nak sampai pejabat?” Kali ini Nuha sudah tidak dapat menahan rasa geram dan marahnya terhadap Fadil.
Gaduh pun gaduhlah. Dia memang tidak suka cara Fadil memandu kereta. Tidak lancar macam Pak Awi. Kenapalah Pak Awi suruh Fadil hantar dia pagi ni?
“Bukan aku yang bawa perlahan. Tu, minyak kereta dah nak habis...” ujar Fadil seraya memberi isyarat signal kiri. Sebaik sahaja berhenti di tepi jalan, enjin kereta terus mati.
Mata Nuha terjegil melihat jarum meter minyak. Aduh! Malang betullah nasib dia hari ini. Tidak pernah lagi naik teksi tiba-tiba teksi mati di tepi jalan. Ini memang betul-betul mengundang kemarahan!
“Dah tahu nak hantar orang, kenapa tak isi minyak penuh tadi?”
“Mana aku perasan. Ayah aku tak pesan pun suruh isi minyak. Kau ni asyik membebel aje dari tadi. Bingit telinga aku tahu tak? Daripada kau duk bising macam ni, baik kau keluar tolong aku tolak kereta ni,” arah Fadil, membuatkan mata Nuha terjegil.
“Apa?!”
“Ya! Tolak kereta ni sampai ke stesen minyak kat depan tu ha...”
Rahang Nuha terus jatuh. Anak Pak Awi ni memang menyakitkan hatilah!

DAHI yang berpeluh diseka dengan tangan. Belakang badan juga sudah lencun. Melekit-lekit satu badan dia dibuatnya. Ini semua Fadil Ashraf punya pasal. Huh! Dia benci lelaki itu. Sudahlah mulut macam puaka Niyang Rapik. Layan perempuan macam orang tidak ada hati perut langsung.
Malu besar dia tadi apabila semua pengguna jalan raya tengok dia menolak teksi. Fadil memang ada tolak sekali. Tetapi, bukan tolak bersungguh-sungguh macam dia. Sekadar tolak sambil lewa dan banyak mengarah suruh dia tolak kuat-kuat. Dasar pembuli! Nuha menyumpah seranah Fadil bertubi-tubi dalam hati.
“Oi, Cik Jah! Termenung apa lagi tu? Kau tak nak pergi kerja ke?”
Nuha tersentak. Dia memandang Fadil yang memberi isyarat suruh masuk ke dalam kereta. Segera dia patuhi arahan itu.
“Awak isi penuh tak minyak tu? Jangan sampai saya kena tolak lagi teksi ni nanti,” tanya Nuha. Pintu dihempas kuat sebagai protes.
“Nasiblah kalau kena tolak lagi,” balas Fadil bersahaja seraya menghidupkan enjin.
Sempat dia kerling Nuha tatkala menjatuhkan brek tangan. Tajam sekali jelingan Nuha lempar kepadanya. Dia hanya tersenyum senget lalu meneruskan kembali perjalanan.
Nuha semakin sakit hati dengan Fadil. Tak apa. Kau tunggulah aku mengadu dekat ayah kau nanti!
Sambil memandu, Fadil membuka radio bagi menghilangkan rasa bosannya. Layan lagu lagi best kut daripada melayan Nuha.
“Terima kasih kerana anda terus setia mendengarkan kami di Boom FM. Pastinya kebabom selalu. Okeylah, sebelum kita layan lagu seterusnya, Coki nak buat pengumuman sikit. Ha... kepada sesiapa yang ada bakat seni menyanyi atau rasa suara dia sedap bak buluh perindu, apa kata cabar diri pergi uji bakat rancangan realiti TV, Oi! Meletup Kau! musim ketiga? Kalau menang, memang meletup-letup sangat ni.
“Hadiah wang tunai sebanyak 100 ribu ringgit bakal menjadi milik juara selain sebuah kereta BMW X6 dan berpeluang menjadi artis rakaman di bawah label syarikat rakaman terkenal di Malaysia, Gergasi Music Entertainment. Wau! Jadi, tunggu apa lagi? Cepat-cepat isi borang penyertaan. Untuk maklumat lanjut, bolehlah melayari laman web www.oimeletupkau.com,” ujar deejay bernama Coki itu penuh bersemangat.
“Pergh! Bestnya kalau menang. Dapat duit 100 ribu. Lepas tu dapat kereta. Siap boleh jadi artis rakaman lagi. Siapa tak nak? Aku pun nak macam ni. Kalau aku jadi juara, mesti meletup habis aku nanti. Semua rakyat Malaysia akan sebut nama aku. Gilalah...” Fadil bercakap sendirian.
Teruja pula dia mendengar iklan sebentar tadi. Nak cuba ke tak nak? Dia memang suka menyanyi. Cuma bakat yang ada selama ini hanya ditonjolkan di jalanan sahaja bersama kawan-kawan yang lain.
Nuha yang turut memasang telinga, mencebik.
“Mamat ni nak jadi penyanyi? Sedap sangat ke suara dia? Berangan aje lebih,” kutuknya perlahan, tanpa sedar didengar oleh Fadil.
“Apa kau cakap?”
Terjongket bahu Nuha akibat kena sergah dengan Fadil.
“Bila masa saya cakap? Awak tu dari tadi tak habis-habis bercakap sorang-sorang,” nafi Nuha.
Fadil mendengus. “Lebih baik aku bercakap sorang-sorang daripada bercakap dengan kau. Ni Wisma Indah yang mana satu kau kerja? Yang depan ni ke depan sana?”
“Depan sana. Dahlah, berhenti dekat sini ajelah. Saya boleh jalan kaki aje pergi ke sana.” Nuha sudah tidak tahan duduk di dalam teksi bersama Fadil lama-lama.
Fadil terus memberhentikan kereta seperti disuruh.
“Nah, duit tambang. Petang nanti awak ke Pak Awi yang datang jemput saya?” Nuha menghulur duit sebanyak lima ringgit kepada Fadil.
Teksi Pak Awi tidak pakai meter. Biasanya dari kampung sampai ke tempat kerja memang jumlah itu dia bayar pergi dan balik. Kadang-kadang, Pak Awi mengambil empat ringgit sahaja.
“Kalau aku yang jemput, apa masalah kau?” soal Fadil sinis. Duit yang Nuha hulur diselit ke dalam poket jean. Boleh buat beli air Nescafe ais nanti.
Nuha menghela nafas. Memanglah masalah sebab dia tidak suka cara Fadil memandu. Tambah-tambah tidak mesra macam Pak Awi.
“Tak ada apa-apalah. Saya balik kerja pukul 5.00. Awak jangan datang lambat pulak macam tadi,” pesan Nuha sebelum membuka pintu. Baru sahaja jejak sebelah kaki ke tanah, dia berpaling semula apabila Fadil memanggilnya.
“Kenapa? Duit tambang tak cukup ke?”
“Aku dah lama nak cakap dekat kau. Tapi, tak sampai hati. Nah, ambil tisu ni buat kesat mulut kau yang sememeh tu.” Fadil menghulur tisu sambil memuncungkan mulut ke bibir Nuha.
Hah? Nuha segera memanjangkan leher tengok cermin pandang belakang. Panjang kesan gincunya terconteng di tepi mulut. Aduh! Malunya... Patutlah dari tadi Fadil asyik duk curi-curi tengok dia sangat. Ini mesti kes tercium kerusi tadi. Bencilah! Dia terus menyambar tisu itu dari tangan Fadil.
“Terima kasih!” ucapnya lantas terus keluar tanpa menunggu lebih lama. Pada saat itu dia rasa mukanya berbahang seperti duduk di depan bara api!

Fadil menghentak stereng kuat. Terkekek-kekek geli hati.