Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 18 Januari 2016

Suamiku Pembuli Cinta - Bab 10

Bab 10
PAGI itu aku bersiap seperti biasa. Baju kurung polka dot menjadi pilihanku pada hari ini. Fesyen polka dot dari dulu lagi sudah terkenal. Tapi tak tahu kenapa baru kini fesyen polka dot menjadi kegemaran orang pada zaman sekarang.
“Amboi, berserinya! Nak jumpa tunang tersayang ke?” Alina yang datang menjengukku bersuara.
“Hei, sejak bila aku ada tunang ni?” soalku bersama kerutan di dahi. Sempat juga aku tempekkan bedak ke pipiku.
“Sejak Encik Irsyad muncul dalam hidup kaulah.” Alina membalas selamba.
Pantas aku menolehkan kepala lalu memandang tajam ke arahnya.
“Apa? Aku salah cakap ke?” soal Alina bersama muka tak bersalah dia.
“Buat pengetahuan Cik Alina Mohd Firdaus ya, dia tak ada kena-mengena pun dengan aku. So, jangan babitkan hal dia dengan aku. Lagipun, aku anggap dia tu kawan business aje. Tak lebih daripada tu,” ujarku bersama gelengan yang berulang kali.
Seriously? Like seriously?” Alina buat muka tak percaya.
Like seriously kepala lutut kau. Malas aku nak layan kau.” Aku menjeling sambil menuju ke dapur. Sekarang memang tak sempat nak sarapan, jadi dapat minum air sajalah.
“Kau anggap Encik Irsyad tu macam kawan? Biar betik!”
“Betik kat sini tak ada.”
“Habis tu? Kalau tak ada betik, nak pakai apa?” soal Alina lurus.
“Biar tembikai!”
“Hahaha. So funny.” Alina gelak sepatah-sepatah sambil buat muka sarkastik.
Siot betul! Alina ni memang nak kena! Dilayan hambar lawak aku yang memang hambar ni. Argh, lantaklah, tak kacau hidup dia pun, fikir aku seraya membasuh cawan yang aku guna tadi di dalam singki.
Just shut up. Dah, jom. Nanti kita terlewat, bos miang tu membebel-bebel pulak. Kalau aku, confirm selamat. Kalau kau? Hmm... entahlah. Agaknya gantung kerja sebulan kut!” Serentak itu aku sudah ketawa terkekek-kekek.
“Kerek betul minah ni. Kau memang nak kena pelangkung dengan kuali ke?” Alina menyoal aku geram.
Hmm... Aku suka bila tengok Alina marah. Hidung comel dia akan terkembang kempis menahan marah. Pipi dia pula akan menjadi merah, ori macam pakai blusher. Tanpa mempedulikan amarah Alina, aku terus menuju ke luar apartmen dengan membawa beg kerjaku sekali. Bila aku berpaling untuk mengunci pintu, aku tengok Alina masih berdiri tegak di ruang tamu. Ceh, nak protes akulah tu!
“Lambat, tinggal,” ujarku selamba.
“Aku kisah apa?”
“Aku cakap serius ni. Dalam kiraan tiga, kalau kau tak datang, aku kunci pintu ni sampai petang.” Aku sudah mengeluarkan ugutan. Ceh, ni mesti sebab pengaruh Irsyad ni. “Satu...”
“Kau ingat aku tak boleh bukak sendiri pintu tu?”
Aku sudah mengukir senyuman apabila mendengar soalannya. “Aku ada kunci mangga lain.”
Mata Alina sudah terbeliak. Lantas, dia terus berlari menuju ke arahku. “Kejam gila kau ni.”
“Kejam ke, tak kejam ke, aku kisah apa? Kau yang suka membuang masa aku.” Aku balas tanpa perasaan.
Alina hanya ketap bibir dia. Laju saja tangannya menepuk bahuku.
“Adoi, sakitlah!”
“Padan muka.” Dan Alina terus berlari meninggalkan aku.
Ceh, aku cuma geleng kepala. Memang Alina dah besar panjang, tapi perangai dia... sangatlah mengalahkan budak-budak!

BEG kerja kuletakkan di atas meja. Kemudian, aku duduk di atas kerusi. Bersiap sedia untuk melakukan kerja yang sudah pastinya berlambak.
Seketika kemudian, tanganku mula laju membuka komputer riba. Segala laporan yang belum aku print aku semak betul-betul untuk memastikan tiada kesalahan walau sedikit pun. Puas sudah, tanganku mula gatal membuka laman web Facebook. Alah, apa susah? Kalau Dato’ Ghani datang, pandai-pandailah cover.
Selepas memasukkan e-mel dan kata laluan, aku terus mengarah kursor ke butang log in. Mataku terbeliak sekejap. Huiii... Bukan main banyak orang yang request nak kawan dengan aku. Hmm, adalah dalam 50 orang. Almaklumlah, aku dah lama tak bukak Facebook. Mungkin dalam sebulan yang lepas.
Pantas aku melihat siapa yang mahu menjadi kawan aku. Aku ini sebenarnya jenis yang main accept saja. Tak kisahlah bapa orang, suami orang, semua aku main terima. Alasan aku? Heh, aku mana ada masa nak cek satu per satu status orang yang add aku. Buang masa!
Tiba pada satu nama ini, aku terhenti sekejap. Pandangan mataku difokuskan dalam-dalam pada nama tersebut. Muhammad Irsyad? Erk! Jangan cakap dia pemilik syarikat Garuda Holdings tu! Pantas tangan aku menekan profil lelaki itu.
Sah! Memang terang-terangan tertulis dekat wall profile dia bahawa dialah pemilik syarikat yang gah itu.
“Hai, Iman. Stalk profile I ke?”
Suara garau kedengaran di telingaku. Pantas aku berpaling. Namun, aku terkejut beruk kerana jarak muka aku dengan dia terlalu dekat.
Arghhh!” Dalam aku kalut nak menjauhkan diri daripada dia, aku terjatuh dari atas kerusi.
“Erk! You tak apa-apa ke Iman?” soalnya gelabah. “Sorry sebab terkejutkan you.”
Hesy... Mamat ni suka betullah terperanjatkan aku. Nasib aku tak ada penyakit jantung tau. Lelaki itu sudah pun menghulurkan tangannya, tapi aku tak sambut. Aku bangun sendiri sebab mana boleh aku sambut tangan lelaki yang bukan ajnabi aku.
Are you okay?” soalnya lembut.
Aku ketap bibir perlahan. “Sa... saya okey.”
Lelaki itu hanya menghelakan nafas lega. “Good then. Kenapa you terkejut sangat ni? Takut kantoi stalk my profile, eh?”
Wajahku terasa membahang. “Siapa yang nak stalk profile awak?”
“Tadi tu?” Dia kembali menyoalku bersama senyuman yang tidak dapat kutafsirkan.
“Err... Yang tadi tu, saya cuma nak pastikan yang itu awak punya Facebook. Tak bawak apa-apa maksud okey.” Laju aku menjawab.
Lelaki itu kulihat hanya mengangkat bahu tanda dia tak kisah. “So, you dah acceptlah my request?”
“Err... Belum.” Sebenarnya dah. Tapi aku sengaja tak nak cakap.
Hmm, make sure you accept my request okay,” ujarnya kemudian.
Aku hanya menganggukkan kepala.
“Awak buat apa dekat sini?” Aku tukar topik lain untuk berbual.
“Nak jumpa youlah. Rasa macam dah bertahun-tahun tak jumpa you,” ucapnya bersama senyuman manis.
Haih, mamat ni memang suka buat lawak. Yalah, baru semalam kut kami berjumpa. Akhirnya, aku senyum saja. Kalau aku balas, ada juga yang makan hati dengan aku. Mulut aku kalau lepas, memang boleh makan dalam juga.
“Hmm, okeylah. Saya nak pergi print out laporan saya.”
“Okey. Err... Iman,” panggilnya.
Yes?”
“Boleh tak tolong buat kopi yang hari tu? Kopi yang you buat hari tu sedaplah.”
Aku terkelu seketika apabila mendengar permintaannya. Tetapi, sebenarnya aku bangga juga bila Irsyad memuji kopi yang aku buat.
Okay. On the way,” ucapku sambil tersenyum.
Thanks, dear.” Serentak itu, dia terus beredar.
Dear? Adakah lelaki itu menyebut perkataan dear? Tak silap aku, dear tu maksudnya sayang. Jadi, bermakna lelaki itu sayangkan akulah? Erk! Iman, Iman... Kau ni suka betul syok sendiri. Entah-entah dia panggil aku rusa, manalah tahu, kan? Ah, malas lagi mahu memikirkan hal itu, aku terus menuju ke pantri untuk membuatkan kopi untuknya.

“HOI! Termenung aje kerja. Kau nak makan ke tak nak ni? Kalau kau tak nak, baik kau bagi aku.”
Suara Alina yang kuat mengalahkan guruh itu mematikan lamunanku. Ketika itu, aku dan Alina sedang makan tengah hari di Restoran Selasih.
“Banyak cantik muka kau.” Aku balas sambil mencebik.
“Hohoho. Muka aku memang banyak cantik. Kenapa? Jealous?” soal Alina dengan nada kerek.
Aku menjulingkan mata ke atas. Sungguhlah minah ni poyo!
“Eh, kau dah cakap dekat bos miang tu ke belum yang kau dengan Encik Irsyad tak ada ikatan langsung?”
Soalan itu membuatkan aku termenung seketika. Aduhai... Ya tak ya jugalah. Bila aku nak cakap tentang hal tu ya? Mungkin kerana kerjaku yang menimbun, membuatkan aku terlupa tentang hal itu. “Hmm... Aku rasa, hari ni kut.”
Seriously?” soal Alina tidak percaya.
Aku pantas menjeling Alina.
What?” Terpinga-pinga Alina bila aku pandang tajam ke arahnya.
Aduhai, mana taknya. Dari hari tu lagi, tak habis-habis dengan seriously dia tu. Mula-mula tu memanglah tak rasa apa-apa, tapi makin rasa macam nak tampar saja mulut tu. Rasa sakit saja telinga ni dengar. Tambah pula dengan suara gedik dia, lagilah rasa nak bagi penumbuk.
“Tak ada apa-apalah, Cik Alina. Ya, seriously hari ni.” Aku tekankan perkataan seriously tu kuat-kuat. Kalau terasa, nasiblah.

LEWAT pukul 6.00 petang, aku masih lagi gelisah di tempat duduk. Sesekali mataku mengerling ke arah bilik bos miang itu. Lampu masih menyala, menandakan Dato’ Ghani masih belum balik. Staf-staf yang lain pula kelihatan sudah mengemas barang, mahu balik ke rumah barangkali.
“Iman, kau tak nak balik ke?” tegur Alina.
Aku hanya menggelengkan kepala. “Err... Kau baliklah dulu.”
“Okey. Malam ni giliran aku masak, kan? Kau nak aku masak apa?” soal Alina.
“Hmm, ayam masak samballah. Nanti buat ulam sikit tau.”
Alina sudah menganggukkan kepalanya. “Okey. Aku balik dulu eh. Hati-hati.”
Aku hanya tersenyum mendengar pesanannya. Setelah memastikan kelibat Alina hilang, aku terus menyandarkan tubuh ke kerusi. Baru sahaja aku ingin memejamkan mata, aku sudah terasa bahawa ada orang sedang berdiri tegak di hadapanku. Pantas aku membuka mata.
“Kenapa awak tak balik lagi?” soal Dato’ Ghani.
Laju saja aku berdiri tegak di hadapannya. Tiba-tiba terasa lain macam bila duduk berdua dengan Dato’ Ghani. “Err... Yang sebenarnya, saya ada benda nak cakap dengan bos.”
“Apa dia?”
Sudah terasa peluh mengalir di tepi dahiku. Air liur juga turut kutelan bagi menghilangkan rasa gementar. “Sa... Saya...”
Kening Dato’ Ghani terangkat tanda dia sudah tidak sabar untuk mengetahui apa yang ingin kukatakan. “Cakaplah. Yang awak tergagap-gagap ni kenapa?”
“Saya... saya sebenarnya belum bertunang.” Akhirnya, ayat itu terkeluar juga. Tepat seperti yang kujangkakan, wajah Dato’ Ghani berubah seratus peratus.
“Maksud awak?”
“Sa... saya tak ada apa-apa ikatan pun dengan Irsyad. Dia bukan boyfriend saya,” ucapku lagi.
“Maknanya, saya masih ada peluanglah untuk jadikan awak isteri ketiga saya?”
“Hah?” Mulut aku sudah terlopong tanda aku betul-betul terkejut dengan soalan Dato’ Ghani itu.
“Tunggu!” Seseorang menyampuk perbualanku dengan Dato’ Ghani.
Pantas aku berpaling untuk melihat siapakah gerangannya. Seketika, mulut aku terlopong buat kali kedua. Irsyad?! “Awak buat apa dekat sini?”
Soalanku tidak dijawab olehnya kerana dia tiba-tiba saja menarik tubuhku dekat dengan tubuhnya.
“Dato’ tak boleh ambik dia sebagai isteri Dato’,” ujarnya nekad.
Kening aku sudah berkerut. Hadoi... Apa yang tengah berlaku ni?
“Kenapa? Dia sendiri dah pun mengaku yang awak bukan tunang dia, jadi awak tak ada hak jugalah,” balas bos miang itu selamba.
“Ya, saya mengaku saya tak ada hak dan saya mengaku saya bukan tunang dia. Tapi pada minggu depan, saya akan hantar rombongan meminang untuk dia. Dan saya akan jadikan Iman milik saya seorang!”
Hah?! Aku sudah terkejut besar apabila mendengarnya. Ya Allah... Biar betul ni? Ni semua tipu! Cakaplah yang ini semua hanyalah mimpi aku saja. Aku pantas memandang wajahnya. “Awak janganlah main-main, Irsyad...”
No. I’m serious, Wafiyyah Iman. I’ll make you mine, forever!”

Waktu itu aku sudah tidak fikir apa dah. Apa yang aku mahu fikir sekarang, aku mahu balik ke rumah dan menganggap perkara ini tidak pernah berlaku kepada aku. Ya Allah... Tolonglah hamba-Mu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan