Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 28 Disember 2015

Dudaku Suamiku - Bab 1

Bab 1
“PEMENANG bagi Pelakon Wanita Popular bagi kategori filem adalah Suzy Murad!” jerit dua orang pengacara wanita itu.
Suzy yang sedang berbual seketika dengan rakan artis di sebelahnya terkejut yang amat sangat. Dia memandang rakan artisnya dengan rasa tidak percaya. Bukannya dia tidak tahu empat filemnya meletup tahun ini. Mungkin disebabkan itu dia memenangi anugerah ini buat pertama kalinya dalam kategori ini. Kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Boleh dikatakan semua artis wanita yang berlakon filem mengidamkan kategori ini. Tahun ini rezeki berpihak kepadanya.
Dengan gaun daripada kain sutera dan lace yang diletakkan pula satu reben besar di belakang bahunya, dia bangun. Gaun labuh yang mendedahkan dadanya yang putih melepak itu nampak cantik ketika dia melangkah naik ke atas pentas untuk menerima trofi.
“Terima kasih kepada mama yang banyak menyokong saya dan adik-beradik saya. Dan tak lupa kepada cinta hati saya. Love you so much. Terima kasih! Saya tak jangkakan kemenangan ni sebenarnya. Calon-calon lain juga hebat belaka. Terima kasih semua.” Suzy mengangkat tangannya yang memegang trofi ke arah peminat yang menyokongnya.
Jeritan daripada peminat-peminatnya membuatkan hatinya makin teruja dengan kemenangannya kali ini. Biarpun baru pertama kali. Ini semua atas semua sokongan peminat setianya. Tanpa mereka siapalah dia sebagai pelakon. Suzy tersenyum kepada semua wartawan yang sedang menanti untuk menemubualnya selepas majlis tersebut tamat.
“Suzy, bagaimana perasaan apabila dinobatkan sebagai pelakon filem yang paling popular tahun ini?” tanya salah seorang wartawan yang berada di situ.
“Susah nak cakap, mungkin rezeki saya kali ni. Semua yang bertanding hebat-hebat belaka,” balas Suzy sambil mengukirkan senyuman kepada semua yang ada di situ.
“Suzy, selepas ini mungkin ramai pengarah yang akan ambil Suzy berlakon?” tanya wartawan daripada sebuah akhbar tabloid.
“Kita tengoklah. Tapi saya akan memberi sepenuh komitmen saya.”
“Suzy, saya dengar Suzy akan bertunang sekali gus berkahwin pada tahun ini. Tak takut tak laku selepas berkahwin?” tanya yang seorang lagi.
Buk! Nah, soalan cepumas. Betul-betul menghempap kepalanya. Soalan inilah yang paling dielakkan oleh Suzy selama ini. Suzy senyum menyembunyikan rasa. Dipandang wartawan wanita yang terkenal itu. Daripada sebuah majalah yang terkenal di Malaysia. BINTANG.
“Taklah. Peminat tahu menilai. Pengarah pun bukannya pilih kasih. Kalau macam tu semua artis di Malaysia ni tak boleh kahwinlah. Sebab bila berkahwin aje dah tak laku. Tipikal sangat. Saya rasa kahwin ataupun tak semuanya sama sahaja. Kita mesti tahu batas-batas selepas kita berkahwin.”
Suzy melangkah selepas melayan semua wartawan itu. Hatinya menyumpah wartawan wanita tadi. Dari manalah dia tahu aku nak bertunang? Tak pasal-pasal pula nanti pecah rahsia. Lebih malang lagi kalau terbocor di TV atau surat khabar. Mahu meletup kepala kekasih hatinya. Lelaki itu tidak suka hubungan mereka digembar-gemburkan oleh pihak media. Sebab itulah Suzy menyembunyikannya.
Suzy lebih suka semua orang tahu siapa kekasih hatinya itu sebenarnya. Tapi itulah, lelaki kesayangannya itu tidak mahu dikenali media. Katanya rimas. Kalau mahu berjumpa pun hanya di tempat yang tertutup. Di kelab yang ahlinya hanya terhad kepada VIP sahaja. Lelaki hebat seperti dia sepatutnya lebih dikenali. Suka sangat low profile. Tak apa. Bertunang sahaja Suzy akan membawa lelaki itu ke mana sahaja. Kerana dia sudah berjanji.
Hon, tengok tak?” tanya Suzy.
“Buat pula tak tengok? Nanti dear bambu hon pula.”
Suzy ketawa galak. Lelaki itu memahami dirinya. Itu yang paling penting.
“Bila balik?”
“Esok. Malam ni nak tidur sini dahulu. Rindu ya?” Suzy bertanya manja.
“Yalah. Tapi esok nak kena jemput pukul berapa?” tanya kekasihnya itu.
 “Around 10.00. Hon, love you. Tadi ada wartawan tanya pasal our engagement and wedding. Tapi, dear alih topik. So, setakat tu ajelah,” cerita Suzy.
Dear hon memang pandai. Love you so much. Night. Hon ngantuk. Muah.” Honnya memberi ciumannya kepada Suzy.
Suzy ketawa galak lagi. Kalaulah kekasihnya itu berada di sini, alangkah indahnya. Malam itu Suzy tidur bertemankan mimpi yang indah-indah. Mimpi dia berada di singgahsana bersama honnya.

Suzy melangkah keluar dari KLIA. Matanya melilau mencari lelaki kesayangannya itu. Matanya memandang jam Omega di tangan. Sudah lebih lima minit. Selalunya lelaki itu terlalu punctual. Hari ini dia pula yang lambat. Atau sebab aku pakai cermin mata gelap ni? desis hati Suzy. Glasses itu diangkat dan diletakkan di atas kepalanya. Wajah Suzy semakin menarik dengan gayanya itu. Ditalakan lagi matanya ke tempat letak kereta. Mana tahu honnya sudah tiba, tetapi masih berada di dalam kereta.
Hon, kat mana? Dear dah sampai,” tanya Suzy apabila lelaki itu menelefonnya.
“Dah nak sampai. Que pula kat luar ni tadi. Ada satu Limo hentam kereta.”
Suzy senyum senang. Suzy ternampak BMW X6 hitam milik kekasihnya. Suzy segera menarik beg. Pintu belakang dibuka. Dia memasukkan beg ke dalam kereta. Bukan kekasihnya tidak mahu menolong, tetapi wartawan yang sedang memandang dengan kamera di tangan membuatkan Suzy melakukannya sendiri. Biarlah mereka hanya melihat keretanya sahaja. Asalkan tuannya masih belum dilihat.
“Kenapa, dear?” tanya kekasihnya apabila Suzy melarangnya keluar.
Hon nampak tak perempuan yang pakai baju merah tu? Tulah wartawan sesedap rasa,” kata Suzy memuncungkan mulut ke arah wartawan itu.
Honnya melihat melalui cermin depannya. Wanita yang dalam 30-an itu sedang menalakan pandangan pada keretanya. Sudah namanya kerja jadi wartawan, tentulah asyik mencari berita. Nasib badanlah berkasih dengan orang popular. Bukannya dia meminta-minta. Dah jodoh dengan orang glamor, nak buat macam mana lagi. Nak berpisah rasanya dia tidak sanggup kehilangan Suzy.
Hon...” Tiada reaksi.
Hon!” Juga tiada reaksi.
“Adam Syarez bin Adam Mansor!” jerit Suzy di telinga itu.
Syarez terpinga-pinga selepas telinga dijeritkan dengan nama penuhnya. Bingit sangat.
Dear, pekak telinga hon nanti.” Syarez memasukkan jari kelengkengnya ke dalam lubang telinga.
“Apa yang dimenung tak tahu. Dua kali panggil, tetap macam tu. Panggil nama penuh barulah sedar. Hon ingat siapa ni?” tanya Suzy curiga. Dia merenung kekasih hatinya.
“Siapalah yang hon nak ingat. Hon ada dear sorang aje,” bisik Syarez hampir ke pipi Suzy. Pipi Suzy dielus lembut dengan tangan kirinya.
Suzy menolak tangan Syarez. Mana tahu, lelaki kaya-raya macam Syarez siapa yang tak mahu dekat? Sudahlah dilahirkan dengan pakej yang lengkap untuk seorang kaum Adam. Handsome dan kaya serta keturunannya yang membawa nama Adam di depan itu amat memberikan impak yang besar kepada sesiapa yang mengenali mereka.
Dear, hon sayang dear sorang aje. Love you so much,” ucapnya.
Suzy tersenyum. Mudah sangat untuk Syarez memujuk Suzy. Cukuplah dengan ucapan I love you, Suzy sudah mula mengukirkan senyuman. Dia mudah terpujuk dengan kata-kata itu. Bagi Suzy jika Syarez kerap menyebutnya, tentulah Syarez amat mencintainya.
Hon ada surprise untuk dear. Dear nak jemput rakan rapat dear tak?” tanya Syarez.
Surprise apa?” tanya Suzy galak. Dia sudah dapat menekanya, tetapi sengaja bertanya.
“Adalah. Di De Gardens. Malam ni.” Syarez masih lagi mahu berahsia. Dia senyum kepada Suzy.
Dear tahulah... Hon selalu macam ni. Nak jemput siapa?” tanya Suzy kepada dirinya sendiri.
“Ha, Gisele dengan Marina!” jeritnya.
“Dua orang aje?” tanya Syarez terkejut.
“Yalah, dah dua orang aje rakan rapat dear. Tak naklah banyak-banyak. Nanti dia orang goda hon macam mana? Dear tak sanggup,” kata Suzy.
“Mata ni hanya nampak dear aje,” balas Syarez sambil tersenyum. Syarez menalakan wajahnya ke pipi Suzy. Menggeselkan pipinya ke pipi Suzy.
Suzy melekapkan bibirnya ke pipi Syarez.
“Ni yang hon suka ni. Gesel sikit aje dapat habuan yang lebih besar,” usik Syarez.
Hon ni gatal. Tapi kan, dear sukalah hon buat macam tu,” balas Suzy lagi. Terkekek-kekek Suzy ketawa.
Syarez juga ikut ketawa. Bahagia melimpahi hatinya. Mempunyai Syarez sebagai kekasih hati amat membahagiakan Suzy. Suzy melangkah turun dari kereta. Dia melambaikan tangan kepada Syarez yang berada di dalam kereta. Kakinya diayunkan ke dalam lif yang akan membawanya ke kondonya. Kondo itu dibeli dengan hasil titik peluhnya sebagai pelakon selama 10 tahun ini. Dia tidak perlu bergantung kepada Syarez untuk tempat tinggalnya.
Suzy merebahkan badannya di atas tilam. Laju sahaja tadi kakinya itu masuk ke dalam bilik. Dia amat merindui biliknya ini.
Teringat sewaktu perkenalan pertama dengan Syarez. Mereka bertemu ketika sama-sama sedang membeli barangan di sebuah pasar raya. Ketika itu dia bersama dengan pengurusnya, Haini atau lebih dikenali dengan nama Kak Ani. Troli yang ditolak Suzy menghentam kaki seorang lelaki yang sedang berdiri memilih barang. Lelaki itu mengaduh kesakitan.

Sorry... sorry... Sakit ke?” Suzy bertanya cemas apabila troli yang ditolaknya terkena kaki lelaki itu.
“Sakit sikit. Tak apa,” kata lelaki itu.
“Sini, saya tengok. Kenapalah saya ni cemerkap sangat?” rungut Suzy kepada dirinya. Suzy sudah mencangkung. Mahu melihat sejauh mana kaki lelaki itu sakit. Mana tahu berdarah ke apa.
Lelaki itu menjauh sedikit. Terkejut dengan tindakan spontan Suzy.
Miss, I’m okay. Please... Miss, semua orang sedang tengok kita,” kata lelaki itu agak segan apabila matanya menangkap ada pandangan lucu daripada pelanggan lain.
Suzy mendongak. Matanya melingas ke kiri dan kanan. Memang betullah. Ya Allah, malunya. Suzy menutup sedikit selendang yang menutupi kepalanya. Selendang itu sebagai pelindung wajahnya daripada dikenali orang ramai. Memang susah betul mahu hidup normal seperti orang lain. Sana sini semuanya mahu mengenalinya lebih dekat andai mereka ternampak dirinya.
Sorry... I ni over pula. Sebab you mengaduh, itu I takut sangat,” ujar Suzy.
Lelaki itu mengukirkan senyumannya.
Suzy terpanar dengan senyuman yang memukau itu. Tadi dia tidak melihat sangat wajah lelaki itu. Ciptaan Tuhan ini memang sungguh kacak.
“Tak apa. Sikit aje,” kata Syarez. Dia menunduk memandang kakinya. Sakit, tetapi dia merasakan sakit kakinya itu berbaloi apabila bertemu muka dengan wanita cantik seperti wanita di hadapannya ini.
“You ada contact number?” tanya Syarez mencuba nasib. Mana tahu wanita itu sudi memberikan nombor telefonnya.
I missed call aje ya. Berapa nombor you?” tanya Suzy kembali. Dia sudah mengeluarkan telefonnya.
Telefon di dalam poket Syarez berdering apabila nombornya didail oleh Suzy. Mereka berdua berbalas senyuman.

Perkenalan singkat itulah yang membibitkan cinta hingga ke hari ini. Dan tidak lama lagi akan diakhiri dengan perkahwinan. Suzy tersenyum gembira. Hatinya senang kerana tidak lama lagi bakal bergelar Puan Adam Syarez, lelaki yang boleh dikatakan jutawan muda. Biarpun kekayaan itu diwarisi oleh keluarga, tetapi Syarez juga menyumbang pada kekayaan itu. Kerana dia juga menguruskan syarikat ayahnya itu. Syarez satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Yang tiga lagi kesemuanya perempuan.
Suzy bukan mata duitan seperti artis lain. Suzy tidak meminta dicintai oleh Syarez, tetapi semuanya adalah jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya. Dia sebagai hamba-Nya akan menerima dengan hati yang terbuka. Jikalau jodoh itu tidak sekaya Syarez adakah Suzy akan menerimanya dengan hati yang terbuka?

Syarez terpaku memandang Suzy yang melangkah ke keretanya. Dia mengukirkan senyuman. Bangga mempunyai teman wanita secantik Suzy. Gaun singkat separas lutut berwarna merah terang itu nampak cantik tersarung pada badan Suzy yang tinggi lampai. Diperbuat daripada kain satin yang bermutu, semakin menyerlahkan lagi penampilannya, walaupun dia tidak mengenakan sebarang aksesori pada tubuhnya. Seseorang bila sudah cantik tentulah pakai apa sahaja tetap nampak cantik.
Hon ni macam tak pernah tengok dear pakai macam ni.” Suara Suzy kedengaran seperti merengek. Manjalah kononnya.
“Bukan tak biasa. Dear sentiasa cantik. Mana pernah hon nampak dear tak cantik,” puji Syarez. Dia sudah memandu keluar dari kawasan kondo Suzy.
“Terima kasih, hon. I really appreciate that.” Suzy melirikkan matanya ke arah Syarez. Mereka berdua berbalas senyuman.
Sesampainya di De Gardens mereka masuk secara berasingan. Tidak mahu ada mata yang memandang. Syarez tak biasa dengan lensa kamera. Lagipun Syarez sudah berjanji dengan umi dan baba tidakakan menonjolkan diri.

Suzy menolak pintu bilik VIP. Terbuka sahaja pintu itu, kesemua yang ada di dalam bilik itu menjerit. Bukannya ramai pun, tetapi suara jeritan itu tetap mengejutkannya.
“Gisele, Marina!” jerit Suzy kepada dua orang sahabat baiknya apabila dia terpandangkan kedua-duanya.
Ketiga-tiga sahabat baik itu berpelukan. Kerana kesibukan masing-masing mereka bertiga jarang dapat bertemu. Marina sebagai model manakala Gisele pula bekerja sebagai guru prasekolah di salah sebuah sekolah swasta yang terkenal di sini.
“Tengok sikit...” kata Gisele. Tubuh langsing Suzy dibelek-beleknya seperti memilih barang. Suzy dengan senang hati mengikut tingkah Gisele.
“Nampak berisi sikit daripada dulu,” kata Gisele lantas ketawa kecil.
“Ya ke?” tanya Suzy agak risau dengan kata-kata Gisele. Mana tahu ada kebenarannya walaupun jauh di sudut hati dia merasakan Gisele cuma bergurau.
“Kau dengarlah cakap minah amoi ni. Dia usik kau aje. Aku tengok kau okey aje. Dia yang dah lama tak jumpa dengan kau sebab tu dia rasa kau berisi. Aku tengok biasa aje.” Marina menafikan kata-kata Gisele.
“Kau ni, takutkan aku aje.” Suzy menampar lembut bahu Gisele.
Gisele mengaduh biarpun tepukan itu bukannya kuat mana pun. Matanya meliar mencari lelaki yang Marina selalu bercerita itu. Kekasih Suzy. Sejak mereka bercinta, Gisele tidak pernah berpeluang dapat bertemu muka dengan lelaki itu.
“Tu... hon aku dah sampai,” tunjuk Suzy dengan jari telunjuknya.
Gisele segera menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Suzy. Mata Gisele terpaku melihat kekacakan lelaki itu. Patutlah kekasihnya yang ini disembunyikan Suzy. Sepadan benar dengan Suzy. Cantik dan kacak.
“Okey tak taste aku?” tanya Suzy sambil menolak bahu Gisele dengan bahunya.
Taste kau memang maut. Dulu pun maut juga. Tapi itulah tak tahan lama.” Selamba Gisele menuturkannya.
Wajah Suzy segera berubah. Gisele segera perasan akan perubahan wajah Suzy.
Ops, sorry. Aku tak sengaja nak ungkit cerita lama.” Gisele menutup mulutnya. Kesal dengan kelancangan mulutnya. Itu cerita lama.
“Jangan ungkit lagi. Terutama sekali di hadapan hon aku tu.” Suzy memberi amaran.
Gisele cuma mengangguk. Syarez menghampiri kekasihnya. Pinggang Suzy dipaut, menarik Suzy rapat ke sisinya. Di sini dia tidak perlu berselindung. Cuma dua tiga orang rakannya dan dua orang rakan Suzy.
“Kenalkan, Gisele. Gisele, ni hon aku, Adam Syarez.”
Gisele dan Syarez berjabat tangan. Gisele terasa seperti pernah mendengar nama itu. Tetapi, mindanya tidak dapat berfikir dengan lebih lanjut kerana ketika itu ada pelayan masuk ke dalam bilik itu dengan membawakan kek.
“Terima kasih, hon,” ucap Suzy. Matanya merenung mata Syarez.
“Untuk dear, hon sanggup lakukan apa sahaja,” bisik Syarez.            
“Tapi, ni dah banyak sangat. Dear dapat raikan dengan kawan-kawan baik dear. Dah lama juga dear tak jumpa dengan mereka. Sebab tulah dear berterima kasih sangat.”
“Hmm, kita orang ganggu boleh ke?” tanya Marina. Dia melabuhkan punggungnya di tepi Suzy.
“Duduklah. Lagipun kita orang dah habis berbual pun,” kata Syarez.
Gisele mengambil tempat di hadapan mereka bertiga. Sejak tadi dia banyak mendiamkan diri. Mindanya masih mencari-cari di mana dia pernah mendengar nama itu. Namun, tetap tidak dapat berfikir. Biarlah. Dia cuma menjadi pendengar pada perbualan mereka bertiga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan