Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 6 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 9

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

“JANGAN, ayah! Jangan! Ina tak mahu pergi! Ina tak mahu ikut dia! Ina tak mahu! Ayah!!!”
Jeritan demi jeritan dari tingkat atas rumah mengejutkan Ehsan dan Fatihah yang ralit menonton televisyen di tingkat bawah. Kelam-kabut mereka berlari ke tingkat atas bila jeritan itu semakin nyaring dan kuat. Pintu bilik Ellina diterpa sebelum mereka menerjah masuk. Suis lampu ditekan cepat. Menjadikan bilik itu terang serta-merta.
“Ina! Ina! Bangun, dik! Bangun!” Tergesa-gesa Fatihah mengejutkan Ellina yang menggelupur di atas katil. Tubuh Ellina digoncang beberapa kali hingga gadis itu tersedar daripada igauannya.
Ellina tersentak. Dia bingkas bangun dengan nafas yang sudah turun naik beberapa kali. Ada air mata yang mengalir di pipinya. Tubuh Fatihah terus dirangkul saat dia tersedar dengan keadaan sekeliling.
“Kak... Ina takut, kak. Ina mimpi ayah datang ambil Ina. Ina mimpi Ina dijual pada orang jahat. Ina takut, kak. Ina takut sangat,” ngongoi Ellina dalam pelukan erat Fatihah.
Dia teresak-esak menangis. Langsung tidak peduli pada pandangan anak-anak Ehsan yang ikut serta menerpa masuk sebentar tadi. Masing-masing ikut serta mahu tahu apa yang sedang berlaku di bilik tempat adik perempuan ayah mereka berada sekarang.
“Shhh... Jangan menangis, dik. Ina selamat sekarang. Ina kat rumah kakak dan abang. Insya-Allah, Ina takkan apa-apa,” pujuk Fatihah sambil membelai-belai rambut panjang Ellina.
Sesekali dia mengalih pandangan ke arah Ehsan yang sudah melepas nafas panjang. Mengerti dengan keadaan yang sedang dilalui gadis itu ketika ini.
 “Abang janji abang takkan benarkan sesiapa pun ambil Ina daripada kami. Ina jangan bimbang ya,” pujuk Ehsan pula.
Dia hanya akur bila Fatihah mengerling. Bagai memberi isyarat agar membawa anak-anak keluar dari situ. Sekadar memberi ruang kepada Ellina untuk bertenang.
“Betul kata Abang Ehsan tu, Ina. Ina selamat selagi Ina bersama dengan kami. Dahlah, dik, jangan fikir yang bukan-bukan lagi ya? Tidurlah. Hari dah jauh malam ni,” pujuk Fatihah lagi seraya merenggangkan pelukan mereka setelah dia yakin Ellina sudah dapat menenangkan diri. Sisa-sisa air mata Ellina dilap dengan hujung jarinya.
Ellina mengangguk perlahan. Lambat-lambat dia kembali membaringkan diri. Dia hanya memandang tatkala Fatihah membetulkan kedudukan selimutnya.
“Kak...” panggil Ellina sebelum sempat Fatihah keluar. Memandang Fatihah yang sudah mengalih tubuh di muka pintu bilik.
“Terima kasih,” ucap Ellina penuh sungguh.
Lambat-lambat dia membalas senyuman Fatihah sebelum kakak iparnya itu menutup lampu dan pintu bilik. Meninggalkan Ellina yang perlahan-lahan cuba membuang segala mimpi buruk yang dilaluinya sebentar tadi. Ellina kembali terlena setelah membaca beberapa potong ayat al-Quran. Kali ini dengan lebih tenang.

“Ellina dah tidur?” soal Ehsan sebaik saja Fatihah melangkah masuk ke dalam bilik tidur mereka.
Ehsan baru saja selesai menidurkan anak-anak mereka. Dipandang lama Fatihah yang mengangguk perlahan.
“Dah, bang. Trauma betul Ellina dengan keadaan yang dilaluinya tu,” keluh Fatihah sambil duduk di sisi Ehsan yang sudah menyandar tubuh di kepala katil.
“Tihah peliklah, abang. Kenapa orang suka sangat jadikan perempuan sebagai pelacur? Dia orang tak tahu ke pelacuran tu sebenarnya hanya merosakkan masyarakat dan menambahkan lagi masalah sosial negara? Dia orang tak rasa berdosa ke buat kerja-kerja keji macam tu?” marah Fatihah tiba-tiba saja, beremosi.
“Siapa kata perempuan saja yang jadi pelacur? Lelaki pun ada juga, tapi jumlah dia orang tak adalah seramai jumlah orang perempuan,” sahut Ehsan. Mengerti dengan kemarahan yang sedang menghurung hati isterinya.
“Ya ke ada lelaki yang jadi pelacur, bang? Tihah tak pernah dengar pun,” soal Fatihah jelas terkejut.
“Adalah, sayang. Kalau lelaki ada nafsu, mustahil sangat perempuan sebaliknya. Sebab itulah wujudnya gigolo, lelaki pengiring dan lain-lain gelaran untuk pelacur lelaki ni. Hanya kita yang kurang sedar dengan kewujudan golongan ni. Tihah jangan tak tahu. Pelacur pun ada kelas-kelasnya tersendiri. Ada yang digelar pelacur jalanan, bohsia, pelacur pasar, pelacur bermajikan, pelacur kehormat, pelacur bebas dan lain-lain lagilah. Tapi, apa pun gelaran yang diberikan, tugas mereka tetap sama iaitu memberi khidmat seks bebas kepada sesiapa saja yang mahu.” Ehsan memberi keterangan setakat yang dia tahu.
“Apalah punca sebenar wujudnya kegiatan pelacuran ni ya?” soal Fatihah sudah menyandar tubuh di kepala katil.
“Ada banyak sebab kegiatan ni berlaku, Tihah. Antaranya sebab ekonomi. Maksud abang, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan masalah pengangguran, kemiskinan, hutang, peningkatan kos hidup dan peluang pekerjaan yang tidak seimbang dengan kelulusan menjadikan seseorang sanggup melakukan apa saja untuk kelangsungan hidup. Ada juga yang inginkan kehidupan mewah tanpa perlu berusaha keras. Jadi, secara tak langsung kegiatan pelacuran ni mampu memberi kemewahan dengan cara yang paling cepat dan mudah.
Sosial juga menjadi penyumbang kepada kegiatan ni untuk terus berleluasa. Mana tidaknya, keruntuhan moral seperti kurang didikan agama daripada keluarga menyebabkan nilai murni sesebuah masyarakat semakin hilang. Itu belum dikira lagi dengan masalah perceraian mak ayah, tekanan keluarga, paksaan suami yang suka berhutang menyebabkan anak gadis dan isteri dia orang menjadi pertukaran untuk membayar hutang. Bila ada ayah begini, sedikit sebanyak anak-anak remaja yang tertekan akan ikut sama terpengaruh dengan kegiatan ni semata-mata nak mencari keseronokan di luar dari rumah sendiri,” jelas Ehsan panjang lebar.
“Abang pun datang daripada keluarga yang sama seperti itu. Tapi, abang tetap boleh ubah nasib diri abang, bukan?” sampuk Fatihah jelas masih tidak memahami.
“Abang lain Tihah. Walaupun abang dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda dan ada ayah yang kuat berjudi, tapi arwah mak banyak bagi kekuatan kepada abang dan Ellina untuk berubah. Arwah selalu nasihatkan kami supaya pilih jalan yang baik biarpun sukar sebab hidup dalam dunia ni hanya sementara. Semiskin mana pun kami, arwah mak tak pernah lupa berikan didikan agama kepada kami berdua. Kerana itulah walaupun ayah sejahat tu abang masih boleh berfikir apa yang baik, apa yang tidak. Tapi semua orang mampu sekuat itu, Tihah. Malah, ramai yang memilih jalan salah semata-mata kerana kekurangan iman,” sahut Ehsan penuh syukur.
Syukur kerana dia adalah antara mereka yang terpilih untuk terus berada dalam landasan hidup yang benar meskipun payah.
“Betul cakap abang tu. Kita tak boleh salahkan sesiapa dalam hal ni, tetapi kita kena salahkan diri kita sendiri. Semuanya bermula daripada kita. Kalau kita ikut betul-betul segala perintah yang ada dalam agama, hidup kita akan jadi lebih baik daripada apa yang kita harapkan. Tapi nak buat macam mana, bukan semua orang mahu jadikan agama tu sebagai pedoman.” Fatihah ikut serta mengeluh. Dia tersentak bila Ehsan memeluk bahunya perlahan.
“Terima kasih kerana sudi jadi isteri abang walaupun Tihah tahu kisah silam dan cara hidup keluarga abang. Terima kasih sangat-sangat, sayang,” ucap Ehsan begitu terharu. Tangan Fatihah diraih sebelum dia mengucup lembut jari-jemari isterinya.
“Jangan ucap terima kasih, bang. Dah ketentuan Allah abang harus lalui kehidupan begitu. Abang sendiri pun tak pernah minta dilahirkan dalam keluarga begitu, bukan? Tihah juga bukannya sempurna macam orang lain. Tihah pun banyak kurangnya, bang,” ucap Fatihah sebak dengan kata-kata sendiri.
Ehsan memeluk erat tubuh isterinya. Sama-sama sebak dalam suasana sunyi yang semakin dibawa pergi masa.

Tergamak betul Samad jual maruah anak sendiri kepada Wong Pai. Isy... Dia tu manusia ke binatang sebenarnya hah sampai dah tak ingat dosa pahala?” soal Mak Wan Senah agak marah.
Perempuan tua itu masih tidak jemu bercakap tentang Ellina biarpun kejadian itu sudah berlalu sejak beberapa hari lalu.
“Manusia kalau berhati binatang, begitulah perangainya, Senah. Langsung tak ada hati perut sampai sanggup buat kerja-kerja keji yang dilaknat Allah. Kesian budak Ellina tu. Tak pasal-pasal dia jadi mangsa keadaan. Kalaulah aku ada anak lelaki yang dah besar panjang, nak jugak aku kahwinkan dia dengan budak Ellina tu. Tapi, bila dikenang-kenang perangai Si Samad tu, eii... Tak sanggup rasanya aku nak berbesan dengan manusia jahat macam dia tu,” sampuk Yong Naemah pula.
“Alah... Tak payahlah kau nak kahwinkan anak lelaki kau yang baru bersekolah darjah tiga tu dengan budak Ina tu, Mah. Ni hah... Hero kita kan ada. Masuk minta ajelah budak Ina tu, Man,” sampuk Wa Uteh pula sambil menepuk-nepuk bahu Irman.
Lelaki muda itu hanya tersengih kelat.
“Nak masuk minta apanya, Uteh oi? Satu kampung ni dah tahu macam mana perangai si Samad tu. Perempuan lain seusia Ellina tu dah berderet-deret anaknya. Malah, ada yang anaknya dah masuk sekolah pun. Ellina tu jangankan anak, teman lelaki pun dia tak ada. Dapat ayah jenis mata duitan, memang payahlah budak Ellina tu nak berlaki,” sampuk Mak Wan Senah sebelum sempat Irman berkata apa-apa.
“Habis tu, takkanlah budak Ellina tu nak membujang sampai ke tua? Dia pun mesti ada impian nak punya keluarga sendiri. Kalau tak dapat lelaki yang kaya harta pun, dapat lelaki yang boleh bela dia pun jadilah. Itu lebih baik daripada dia terus hidup dengan ayah yang tak guna macam si Samad tu,” sanggah Yong Naemah jelas tidak puas hati dengan kata-kata Mak Wan Senah.
“Nak berkeluarga macam mana, Mah oi, kalau ayah dia tu yang jadi batu penghalangnya? Kau sendiri pun tahu. Kat kampung ni, anak muda mana yang tak tertawan dengan perangai lemah lembut Ellina? Dia tu dahlah baik, rajin, pandai, hormatkan orang tua pulak tu. Tapi, siapa yang berani nak bersemuka dengan Pak Samad? Semua orang tahu anak lelaki dia sendiri, abang Ellina tu, kahwin pun kat Kuala Lumpur sana. Tak buat apa-apa kenduri pun. Main buat yang wajib saja.
“Tapi, tak apalah Ehsan buat macam tu pun sebab Ehsan tu lelaki, tak payah pakai wali. Hanya perlu saksi-saksi aje. Si budak Ellina tu lain ceritanya. Nak tak nak kena jugaklah bakal suaminya menghadap si Samad tu kalau nak jugak beristerikan Ellina,” jelas Mak Wan Senah panjang lebar hingga termengah-mengah dia sejenak.
“Tapi kan, kau orang tak rasa pelik ke? Aku perasanlah, sejak kecil lagi Ellina tu langsung tak sama rupanya dengan rupa Samad laki bini. Jangankan rupa, perangai pun berbeza sangat. Aku ingatkan masa kecil aje dia macam tu. Rupa-rupanya sampai ke besar pun dia tetap tak sama dengan orang tuanya. Kau orang tak perasan ke semua tu?” soal Yong Naemah, mula membuka rasa hati yang selama ini hanya disimpan sendiri.
“Hei... Aku dengar khabar angin orang, Ellina tu sebenarnya anak angkat Samad dan arwah Hasnah aje. Dengar-dengarnya, Hasnah ambil Ellina daripada mak kandungnya selepas ayah kandung Ellina jadi penyebab Hasnah tidak boleh mengandung semula selepas lahirkan Ehsan.” Bagai berbisik, Mak Juriah bersuara perlahan sambil mata liar memandang sekeliling.
“Kau biar betul, Juriah. Mana pulak kau dengar cerita mengarut ni?” sampuk Wa Uteh seraya merengus halus. Kurang senang dengan kata-kata Mak Juriah yang dirasakan tidak harus dijadikan buah mulut mereka.
“La... Aku tahulah. Aku kan berjiran dengan dia orang? Hari-hari aku dengar Samad gelar Ellina anak kutiplah, anak buanglah. Tapi, Ellina tak tahu hal sebenar sebab arwah Hasnah tak pernah khabarkan hal ni kat dia,” cerita Mak Juriah lagi bersungguh-sungguh.
“Kalau betullah apa yang kau cakap tu, Juriah, memang patut sangatlah rupa paras Ellina tu langsung tak sama dengan Samad laki bini. Anak kutip rupanya budak Ellina tu.” Kepala berbalut tudung bunga-bunga kecil milik Yong Naemah sudah terangguk-angguk.
Bagai dia sudah percaya benar dengan cerita yang baru sampai ke pengetahuan dia dan mereka yang lain itu.
“Hisy, kau orang ni. Perkara yang tak ada sahihnya jangan pandai-pandai nak iakan. Manalah tahu semua tu hanya cerita orang saja,” marah Wa Uteh agak tegas.
“Hah, Irman, tak payahlah kamu duk termenung macam ayam tertelan kapur lagi. Tak ke mana hilangnya gadis impian kamu tu. Dia kat rumah abang dia kat Kuala Lumpur sana nun saja. Kalau kamu rindu sangat kat dia, kamu ambillah cuti. Pergi jumpa dia. Mesti dia suka,” usik Wa Uteh.
Terpisat-pisat lelaki muda itu seketika sebelum Irman tersengih kelat tatkala sedar, semua mata sudah terarah kepadanya.
“Nasib kamulah Irman, jatuh cinta dengan anak kaki judi. Kalau budak Ellina tu bukan anak betul Samad, untung kamulah dapat guna wali hakim kalau nak bernikah dengan Ellina. Tapi, rasanya tak guna juga kamu nak berharap sangat. Benda belum sahih, kita pun tak tahu kebenarannya. Senang cakaplah, Man, kamu doa ajelah banyak-banyak agar kamu berjodoh dengan budak Ellina tu. Kata orang tua, kalau ada jodoh memang tak ke mana perginya,” suara Yong Naemah pula sambil menepuk-nepuk lengan lelaki muda itu.
Yang lain hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata perempuan tua itu. Masing-masing memandang Irman yang tetap tidak menyahut. Sekadar tersenyum tawar. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan