Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 6 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 7

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

Mata Hajah Zainun menyorot langkah Pak Samad yang semakin menjauh dari halaman rumah agamnya. Marahnya kepada lelaki itu masih lagi bersisa biarpun sempat dia melempiaskan separuh rasa marahnya kepada lelaki itu sebentar tadi.
Marah mengenangkan tingkah Pak Samad yang masih tidak serik-serik memukul Ellina biarpun sudah berkali-kali juga Hajah Zainun melarang lelaki itu daripada melakukannya. Ikutkan hati tuanya, mahu saja Hajah Zainun mengupah orang untuk membunuh Pak Samad. Lelaki itu telah banyak menyusahkan hidup Ellina.
Namun, akalnya masih waras. Mustahil dia akan melakukan perkara seburuk itu hanya kerana terlalu mengikut kehendak hati sendiri. Duitnya sendiri telah banyak dilaburkan kepada Pak Samad gara-gara tidak mahu Ellina terus-terusan menjadi mangsa keganasan lelaki panas baran itu.
Perlahan, Hajah Zainun mengeluh tatkala bayangan Ellina melintasi minda. Sayangnya kepada Ellina tidak dapat disukat dengan apa-apa sukatan sekalipun. Sayang itu datangnya sendiri, bukan kerana paksaan, tapi atas kerelaan hatinya sendiri. Bertambah-tambah rasa sayangnya kepada Ellina tatkala bayangan arwah Hasnah pula datang mencelah.
Hajah Zainun sedar. Dia terhutang budi kepada arwah mak Ellina. Budi yang bukan sedikit. Budi yang akhirnya mendatangkan rasa kesal yang begitu menggunung di hati Hajah Zainun. Hingga tanpa sedar, air mata Hajah Zainun menitis ke pipi. Kesal dengan kesalahan yang pernah dilakukannya suatu masa dulu. Salah yang tidak mampu dipadam sampai bila-bila.

“Ina, kahwin dengan aku.”
Masih tergiang-ngiang kata-kata itu di telinga Ellina. Dia yang sejak tadi duduk menopang dagu di tepi tingkap mengeluh kecil. “Kahwin dengan Irman? Mahu ke aku?”
Dia sebenarnya tidak terkejut bila mendapat tahu Irman menyimpan perasaan kepadanya. Sejak mereka di bangku sekolah lagi, dia sudah dapat merasakannya. Layanan Irman, cara pandangan lelaki muda itu terhadapnya, jauh berbeza pada pandangan mata gadisnya. Kawan-kawan sekolah mereka juga pernah mengusik dia dan Irman gara-gara hubungan rapat mereka.
Hanya Ellina yang pura-pura tidak faham. Malah, setiap kali Irman meluah perasaan hatinya, Ellina sering kali membalas dengan gurauan yang akhirnya mencetuskan tawa semua. Hingga akhirnya, perkara itu berlalu begitu saja.
Tetapi, apabila Irman melamarnya secara berdepan, Ellina terkaku sejenak. Mujur dia masih mampu membalas dengan tenang. Jika tidak, dia sendiri tidak pasti apa yang harus dikatakan bagi menjawab lamaran lelaki muda itu. Hakikatnya, Ellina memang tidak pernah memikirkan perkara nan satu itu. Bagaimana dia mahu menghabiskan masa memikirkan perkara itu jika dari dulu lagi dia sememangnya tidak pernah ada apa-apa perasaan istimewa kepada Irman?
Lama matanya menatap kerdipan bintang-bintang yang indah melatari suasana malam. Terasa tenang jiwanya kala ini bila tubuhnya disapa lembut oleh angin malam yang bertiup perlahan. Tanpa sedar, Ellina mengeluh semula tatkala akalnya terfikir sesuatu.
“Gadis-gadis lain yang sebaya dengan aku, dah lama ada kehidupan sendiri. Ada yang sambung belajar, ada yang pergi bekerja kat bandar-bandar besar, ada juga yang dah pun berumah tangga. Aku saja yang masih seperti dulu. Hidup aku hanya dihabiskan dengan kerja dan kerja. Tak kiralah kerja kat ladang ke, kat rumah ke, semuanya aku yang lakukan. Mahu tak mahu, terpaksalah aku bekerja sampai semua hutang ayah selesai.
“Entah bila nak selesai semua hutang tu pun tak tahulah aku, padahal dah bertahun-tahun ayah berhutang. Tahu-tahu, umur aku dah masuk 22 tahun pun sekarang. Hmm... Nampaknya sampai ke tualah aku hidup dalam keadaan ni. Langsung tak ada kemajuan,” rungut Ellina.
Ellina tersentak tatkala matanya terpandang kelibat seseorang yang cukup dikenalinya. Dalam kesamaran malam, kelihatan lelaki tua itu berjalan terhoyong-hayang menuju ke rumahnya. Lekas-lekas Ellina menegak tubuh lalu menutup tingkap rapat-rapat. Segera dia berlari ke dalam bilik sebelum pintu bilik tidurnya dikunci ketat. Dia hanya menekup telinga bila kedengaran seseorang melaung memanggil namanya dari luar rumah.
“Ellina! Buka pintu ni! Aku nak masuk!” jerkah Pak Samad.
Pintu rumah diketuk kuat beberapa kali. Bum! Bum! Bum! Bunyi ketukan semakin kuat.
“Hei, anak tak guna! Kau membuta ya? Bangunlah, woi! Aku nak masuklah!” jerkah Pak Samad mula naik angin.
Pintu rumah ditendang pula beberapa kali dengan harapan pintu itu akan terbuka luas. Usahanya gagal kerana Ellina awal-awal sudah meletak palang kayu di tengah-tengah muka pintu.
“Hei, anak sial! Kau buat apa kat dalam tu, hah? Kau dah mampus ke? Kenapa susah sangat kau nak buka pintu ni?” jerit Pak Samad sebelum prang!
Kedengaran botol kaca dihempas kuat ke muka pintu rumah. Pastinya botol yang ada di tangan Pak Samad telah menjadi mangsa kemarahan lelaki tua itu.
“Huh. Dasar anak kutip, tak sedar diri! Jagalah kau. Kalau aku dapat kau nanti, mampus aku kerjakan kau, tahu tak?” maki Pak Samad lagi.
“Tunggulah kau, Ellina. Malam ni kau sedap-sedaplah membuta dalam rumah ni. Esok lusa belum tentu kau boleh ada lagi kat sini. Tahulah aku nak mengajar anak tak guna macam kau tu!” Pak Samad kembali memaki.
Bosan dengan keadaan itu, Pak Samad kemudian beredar dari situ. Mencari tempat teduh untuk malam itu. Sambil itu, mulutnya tidak henti-henti memaki hamun Ellina. Tidak tahu Ellina yang berada di dalam bilik sudah menangis diam-diam. Hiba dengan nasib sendiri.

“MANA dia ni? Dah malam-malam begini pun masih tak tahu nak balik rumah. Ni tak ada lain, mesti dia tidur kat rumah isteri muda dia tulah!” marah Puan Sri Arisa.
Dia masih mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Biarpun ruang itu penuh dengan hiasan barangan mewah mengikut kehendaknya, namun semua itu tidak mampu menenangkan hatinya yang telah lama hilang rasa tenteram.
“Tak sedar ke diri tu dah tua? Masih ada hati nak berpucuk muda. Kalau ada anak, dah berderet-deret cucu tu, tahu tak?” marah Puan Sri Arisa lagi, seolah-olah Tan Sri Ridhuan berada di depan matanya sekarang.
Dia sebenarnya gelisah berada di rumah itu seorang diri. Sekadar ditemani beberapa orang pembantu rumah yang telah menghilang ke bilik masing-masing bila malam menjelang tiba. Letih bermundar-mandir, Puan Sri Arisa akhirnya terduduk di sofa. Dia mengeluh panjang.
“Kalau kami bercerai, pasti hidup aku takkan jadi begini. Tak adalah aku rasa bosan aje siang malam. Ini tidak. Setiap kali aku sebut pasal cerai aje, pasti dia buat tak tahu. Kalau dah tak sayang aku, kenapa masih nak simpan aku? Dia kan dah ada yang lain? Untuk apa dia beristerikan aku lagi?” Sendu Puan Sri Arisa mula kedengaran. Dia teresak-esak menangis sendiri.
“Dasar lelaki tak cukup dengan satu perempuan! Tak guna aku jadi isteri kau kalau kau hanya jadikan aku hiasan dalam rumah besar ni! Kau ingat aku tak ada perasaan ke, hah? Lainlah kalau aku patung, bolehlah kau buat sesuka hati kau, tapi aku ni manusia tahu tak! Manusia macam kau jugaklah, Ridhuan oi!” jerit Puan Sri Arisa dalam tangisannya.
Sayunya bertambah-tambah bila bayangan seseorang mencelah masuk ke dalam kepalanya tiba-tiba.
“Semuanya salah aku. Kalaulah aku tak minta Zafran ceraikan aku dulu, pasti aku sedang hidup bahagia dengan dia sekarang. Anak-anak kami pun akan sayangkan aku sepenuh hati dia orang. Tapi, manalah aku tahu yang dia akan boleh berjaya seperti sekarang? Kalau aku tahu dari awal dia akan berada dalam kedudukannya sekarang, mati hidup semula pun aku takkan minta dia ceraikan aku. Semuanya salah aku, silap aku. Memang salah aku! Salah aku tahu tak!”
Tak semena-mena Puan Sri Arisa memarahi diri sendiri. Dipukul dadanya beberapa kali. Kesal dengan apa telah dilakukannya suatu masa dulu.
Puan Sri Arisa masih ingat. Zafran baru pulang daripada kerja tatkala dia meminta cerai daripada lelaki itu. Tanpa peduli pada keadaan Zafran yang basah kuyup ditimpa hujan lebat, dia menjerit-jerit bagaikan orang diserang histeria. Malah, anak-anak mereka yang menangis di tepi kakinya juga tidak dihiraukan. Hajatnya waktu itu hanya satu, ingin melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan yang tidak lagi memberi sebarang kebahagiaan kepadanya. Pujukan Zafran juga sudah tidak mampu diterimanya biarpun lelaki itu tetap berusaha setakat mana yang mampu. Bahkan pujukan dan kata-kata nasihat lelaki itu dirasakan bagai duri yang mencucuk-cucuk hati wanitanya.
Hingga tanpa sedar, Puan Sri Arisa menuduh Zafran dengan tuduhan yang tidak sepatutnya. Menjadikan Zafran yang jarang-jarang menaikkan suara menghadiahkan penampar ke wajahnya buat kali pertama di luar kawalan Zafran sendiri. Biarpun Zafran meminta maaf, namun keadaan itu hanya memarakkan lagi kemarahan di jiwanya. Hingga akhirnya Zafran akur dengan permintaannya. Bersaksikan anak-anak mereka, Zafran melepaskan dia daripada ikatan perkahwinan mereka dengan talak satu.
Bahagianya dia ketika itu hanya Tuhan yang tahu. Hidupnya terasa indah serta-merta tanpa sebarang beban yang harus dipikul. Dia bebas melakukan apa saja yang dia inginkan, tanpa sebarang halangan. Malah, bayang Zafran dan anak-anak tidak pernah lagi muncul dalam fikirannya walau seketika.
Dia leka mengejar kebahagiaan yang kononnya mampu dimiliki setelah bebas daripada ikatan perkahwinannya dengan Zafran ketika itu. Sayangnya, semua itu hanya sementara dan kini setelah dia sedar, dia kembali menagih kasih daripada Zafran yang kini telah pun bergelar Datuk. Segala kebahagiaan yang dicari-cari selama ini hanyalah indah daripada khabar semata-mata.
Mengingatkan semua itu, hiba hatinya semakin bertambah-tambah. Hanya seketika, bila rasa marahnya kembali menguasai fikiran dan hati. Sekali gus melenyapkan segala sesalan yang sering kali mengganggu-gugat jiwa wanitanya.
“Argh! Aku tak peduli. Apa jadi sekalipun, aku akan dapatkan semula Zafran. Tak kiralah dengan apa cara sekalipun, aku takkan lepaskan dia lagi. Tapi sebelum itu, aku kena buat sesuatu supaya Ridhuan ceraikan aku. Tak kiralah macam mana pun, dia kena ceraikan aku juga. Kalau cara baik tak dapat, cara tak baik pun tak ada masalah bagi aku. Kalau tidak sampai bila-bila pun impian aku untuk kembali ke pangkuan Zafran takkan menjadi kenyataan,” kata Puan Sri Arisa sambil mengelap sisa-sisa air matanya.
Sedar tidak guna dia meratap perkara yang sudah berlalu sedangkan masa masih ada untuk dia menggapai segala impiannya. Impian yang bakal dijadikan kenyataan olehnya tak lama lagi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan