Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 4 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 4

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

“Hah! Sampai pun you Alisya. Kita orang pun baru aje mula ni.” Kelvin yang bertugas sebagai jurugambar menoleh sekilas ke arah Alisya yang baru menampakkan batang hidungnya di studio.
Dia yang sedang meneliti beberapa keping gambar hasil kerjanya sebentar tadi menoleh semula kepada gadis itu yang sudah mengambil tempat di sebuah kerusi.
Alisya tersenyum sambil mengangkat tangan kepada Kelvin. Sekeping kad yang masih berada di tangannya ditatap lama. Kelihatan nama, alamat pejabat dan nombor telefon tercatat jelas di atas sekeping kad yang berwarna krim itu.
“Luth Zafir... Interesting!” gumam Alisya perlahan.
“Luth Zafir?”
Satu suara yang menyapa menyentak Alisya. Tergopoh-gapah dia cuba memasukkan kad nama itu ke dalam beg tangannya. Cindy yang sudah mengambil tempat di sebelahnya mengangkat kening sambil mengulumkan senyuman.
“Luth Zafir, huh?” Cindy melepaskan lagi soalannya apabila melihat Alisya yang kelihatan serba tidak kena.
“Err...” Alisya terjeda. Minda cuba bergerak aktif untuk mencari jawapan. Orang kata, kalau boleh nak cover line.
Come on... I dah dengar dah tadi. Memang you sebut nama dia, kan? Luth Zafir bin Zahir, kan?” Sekali lagi Cindy menduga.
“You err... you kenal dia?” soal Alisya pula bagaikan tidak percaya.
Raut wajah Cindy, gadis yang bertugas sebagai editor majalah Pretty itu cuba ditelah. Takkanlah Cindy hendak berbohong kepadanya? Sememangnya itu nama yang tertera di atas kad yang sudah selamat disimpan di dalam beg tangannya.
Dear, siapa yang tak kenal dengan CEO tu kat sini? Dia kerja kat tingkat 14. Perkasa Sdn Bhd. Satu bangunan ni kenal dia tau,” ujar Cindy separuh berbisik.
Bibirnya yang disaluti lipstik merah jambu diketap apabila pandangan mata ditala kepada model-model yang sedang memperagakan busana hasil tangan Alisya. Sesekali kepalanya mengangguk perlahan apabila berpuas hati dengan pose yang diberikan oleh model-model itu.
“Macam mana you boleh kenal dengan dia?” soal Alisya teruja.
Nampaknya, sedikit sebanyak atau mungkin banyak maklumat, bakal diperolehi daripada Cindy perihal jejaka tampan yang sudah berjaya mengambil tempat dalam mindanya sekarang ini.
“Sepatutnya, I yang tanya you soalan tu. Macam mana you boleh kenal dengan hot bachelor tu, hmm?” Cindy menjeling sekilas kepada Alisya.
My gosh! Hot bachelor, really?!” Alisya semakin teruja. Bersinar-sinar matanya mendengar dua patah kata itu meluncur keluar dari bibir Cindy.
“You datang sini nak tengok penggambaran ni atau...”
I trust you, honey. Takkanlah rekaan I akan nampak buruk di dalam majalah you, kan?” Sepantas kilat Alisya memintas kata-kata Cindy. Soal busananya sudah tidak menjadi keutamaan lagi ketika ini. Apa yang penting adalah Luth. Ya, Luth Zafir!
Cindy menggeleng perlahan sambil tertawa kecil.
“Nak bercakap pasal dia, kenalah tahu cari tempat.” Dia bingkas bangun dari kerusinya dan mula menghala ke pintu.
Alisya bingkas bangun mengikuti langkah editor itu. Hari ini, perihal Luth Zafir akan dicungkil daripada pengetahuan si Cindy. “Bukan tadi you cakap dia bachelor ke? Masih bujang. Jadi, apa masalahnya?”
“Memang dia bujang, tapi rekod dia bersih. Tak pernah sekali pun I ada dengar gosip dia dengan mana-mana perempuan. Not even once! Sekarang you faham kenapa kita kena berhati-hati kalau nak bercakap pasal dia?” terang Cindy sambil tersenyum.
Not even once? Like, seriously?!” Alisya sudah menjerit kecil. Terasa susah pula hendak dihadam maklumat yang diberikan oleh Cindy itu. Jangan-jangan...
Yup! Not even once. He is a very low profile type. Remember our last issue? I ada jemput dia sebagai salah seorang hot bachelor dalam Malaysia ni untuk dipaparkan di dalam majalah, tapi dia tolak.”
But why?” soal Alisya tidak berpuas hati.
Cindy menghela nafas. Teringat bagaimana dia bersusah payah mendapatkan satu temu janji untuk bersua dengan CEO itu, tetapi akhirnya hampa setelah menerima jawapan yang negatif daripada Luth Zafir.
“Macam yang I cakap tadi. Dia ni jenis yang low profile. Dia tak suka dengan cadangan I nak masukkan dia dalam senarai hot bachelor tu. For him, it is all about work. Jadi, I tak boleh nak paksa,” ujar Cindy sambil menjongketkan bahu.
Alisya terdiam seketika. Entah kenapa andaian yang muncul dalam benaknya tadi sukar ditepis.
Well, bab yang tu mungkin I boleh terima. I faham, tapi err... Bila you cakap dia tak pernah walau sekali pun ada gosip dengan mana-mana perempuan, tu macam mustahillah pula.”
“Ya, memang tak pernah sekali pun. You boleh pergi tanya sesiapa pun dalam bangunan ni yang kenal dia. Semua orang akan cakap benda yang sama. I rasa salah satu sebab kenapa dia tak nak terima tawaran I pun sebab dia tak nak dikenali. He’s just not that type. Yang gilakan glamor, nakkan perhatian. Sebab tu I bawa you masuk pejabat I untuk bercakap pasal ni. Kalau kat sana, buatnya model-model tu terdengar ke, tak ke naya kalau benda lain pula yang disebarkan nanti?”
“Tapi, I tak kisah kalau ada gosip I dengan dia,” ucap Alisya yang sudah tersengih.
“You tak kisah, tapi I kisah. I tak nak cari pasal dengan dia,” ujar Cindy serius sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Entah apa-apalah you ni Cindy. Yang you takut sangat dengan dia tu kenapa?”
“Yalah. He is a business type. Business minded. Buatnya kalau ada gosip you dengan dia dan I pun terbabit sama, kalau dia marah ke, dendam ke, tak mustahil lingkup syarikat ni tau!” balas Cindy bersungguh-sungguh.
Wau! Low profile, business minded, kacak... Apa lagi yang kurang pada lelaki itu? Alisya terus membuat pertimbangan. Sesekali kepalanya digeleng perlahan. Andaian yang tadi terbit dalam mindanya mula berkunjung semula.
“Entah-entah err... dia gay tak?” Terlepas keluar juga andaian yang tadi hanya dipendamkan saja oleh Alisya dalam hatinya.
Yalah. Tidak pernah sekali pun tidak pernah digosipkan dengan perempuan, apa lagi alasan yang Luth Zafir ada? Agaknya, cita rasa dia yang ‘luar biasa’, kan?
Cindy melepaskan tawa. Tangannya digawang-gawang beberapa kali kepada Alisya. “Yang itu, I tak tahu. You tu yang entah apa-apa. Datang sini sepatutnya you ambil tahu pasal baju-baju you tu, ni tak. Nak bercakap pasal CEO tu pula. Dahlah tu, yang you beria-ia sangat ni kenapa? Macam mana you boleh kenal dengan dia?”
“Alah,... takkan you tak tahu? Takkan you tak boleh nak...”
No, no, no! Kalau you nak, you cari sendiri maklumat tu. I tak berani. I kerja sini makan gaji aje. Bukan setakat I, ramai lagi staf kat sini yang bergantung harap pada syarikat ni. Lainlah you, kerja sendiri. Kalau dia marah, habis sangat pun lingkup butik you aje. You still have your parents to support you. Tapi, I?” pintas Cindy.
Alisya mula memuncungkan mulut. Baru saja ingin meminta Cindy menyiasat hal yang satu itu. Bukannya susah sangat pun, kan? Ke susah? Itu sememangnya hal peribadi CEO itu, tetapi hatinya memang ingin sangat nak tahu.
Okay, fine. Memanglah I boleh buat, tapi nampaknya kenalah I datang sini selalu. Boleh?” duga Alisya sambil tersenyum.
“I tak kisah. Bangunan ni pun bukannya I yang punya. Tapi kalau you nak datang sini minggu depan, maaf. Memang tak boleh. Kecuali you datang sini, tapi tak nak jumpa dengan I,” ujar Cindy. Tangannya mula mencapai iPad untuk menyemak jadualnya.
“Alah, kenapa pula? You nak pergi mana?” balas Alisya dengan nada hampa.
“Minggu depan I dengan krew-krew akan pergi Langkawi. Kita orang akan buat sesi fotografi kat sana. Asyik dalam studio aje, rimas juga.”
“I ikut.” Alisya terus memberikan kata putus.
“Terserah. I okey aje.” Cindy mengangkat kening.
         
Lewat petang itu, Farhan menapak ke pejabat Luth Zafir. Sebuah fail yang berada di tangannya digenggam kemas. Tiba di depan pintu pejabat sepupunya, tangannya mengetuk dua kali. Tidak menunggu sebarang balasan, terus dia melangkah masuk.
Luth Zafir yang sedang menghadap komputer menjeling sekilas kepada Farhan yang sudah mengambil tempat di depan mejanya. Siapa lagi yang berani masuk tanpa kebenarannya kalau bukan sepupunya yang seorang itu?
“Macam mana?” soal Luth Zafir. Perhatiannya mula diberi kepada Farhan setelah menyemak sekali lalu laporan kewangan yang terpampang pada monitor komputer.
“Tengok oranglah,” balas Farhan dengan nada bangga. Fail yang dipegang dihulurkan kepada Luth Zafir.
Luth Zafir pantas menyambut. Tidak sabar betul untuk mengetahui perihal tuan rumah yang masih lagi berdegil itu. Tawaran yang ditawarkan oleh Perkasa Sdn Bhd hampir dua kali ganda daripada nilai sebenar, tetapi tuan tersebut tetap sahaja ingkar. Apa yang tidak kena?
“Perempuan?!” Tidak terkawal suara Luth Zafir apabila terlihatkan nama yang tertera di atas kertas di dalam fail itu.
“Yalah. Kenapa?” Selamba Farhan bertanya.
“Taklah. Mati-mati selama ni aku ingat lelaki. Lelaki tua. Macam err... pak cik-pak cik tu. Kau tahu? Yang memang degil tak nak pindah sebab dah lama duduk kat situ,” luah Luth Zafir.
Well, tu andaian kau. Apa kata kau tengok butiran tu?” Farhan mula memuncungkan mulutnya ke arah fail.
Keadaan sepi seketika. Farhan memerhati saja Luth Zafir. Sepupunya itu pula tekun meneliti butiran yang tertera. Berkerut-kerut dahi sepupunya.
“Nur Durrah, 27 tahun. Jadi, apa masalahnya? Kenapa dia tak nak pindah dari situ? Maksud aku, kenapa dia tak nak jual aje rumah dan tanah tu kat kita?” Bertubi-tubi soalan yang dilepaskan oleh Luth Zafir sebaik selesai membaca maklumat yang diberikan kepadanya.
“Kenapa dia tak nak pindah tu, aku tak tahulah. Kau cakap hari tu, carikan maklumat pasal tuan tanah tu aje. Lagipun, macam mana aku nak tahu kenapa dia nak pindah ke tak? Jiran-jiran yang berhampiran, yang semuanya dah setuju jual tanah dia orang kat kita bukannya tinggal kat situ dah. Kat mana lagi aku boleh nak cari maklumat pasal tu?” tukas Farhan.
Terangguk-angguk kepala Luth Zafir mendengar penerangan Farhan.
There must be a way,” gumam Luth Zafir tidak berpuas hati.
“Memang. Aku rasa satu-satunya jalan ialah kau lupakan hasrat kau nak beli tanah tu.”
No! Memang taklah kalau kau harap aku nak buat macam tu. Sekarang ni pun, jalan kat situ tengah dibesarkan, betul tak? Tu bermaksud, kawasan-kawasan yang berhampiran tu pun ada potensi untuk dimajukan. Aku tak nak kalau ketinggalan. Kalau satu hari nanti, ada ruang dan peluang untuk mana-mana projek, biar Perkasa yang jadi pendahulu. Kalau kita dah ada hak ke atas tanah-tanah sekeliling tu, sama ada kita nak usahakan projek atau jual balik kepada mana-mana pihak yang berminat dengan harga yang tinggi, dah tak ada apa-apa dah yang kita nak risaukan. Tapi, kalau tak ada hak? Orang lain dah sibuk nak buat kerja, kita? Baru nak terhegeh-hegeh beli? Or worse, we have to bid for that. No. I don’t want it,” tukas Luth Zafir panjang lebar.
“Atau dalam erti kata lain, kau tak nak kalah dengan Megah Holdings, kan?” duga Farhan sambil menjongketkan kening.
“Bukan setakat dengan Megah aje, dengan mana-mana syarikat pun. Apa nak jadi pun, aku mesti dapatkan tanah tu,” balas Luth Zafir geram.
“Tuan ni memang takkan jual. Kau letaklah banyak mana harga sekalipun, dia tetap akan cakap tak,” luah Farhan.
Akal Luth Zafir ligat berputar. Mustahil. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, bukan? Kenapa perempuan yang seorang ini begitu degil? Idea yang tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam mindanya membuatkan bibirnya mula terlukis segaris senyum. “Well, nampaknya kita kenalah hantar orang untuk selesaikan masalah ni.”
“Maksud kau?” soal Farhan yang mulai curiga. Pelik sangat senyuman Luth Zafir yang terlihat pada pandangan matanya tadi. Senyum ada makna!
“Adalah.” Sepatah kata yang dibalas oleh Luth Zafir. Bibirnya kembali tersenyum apabila menatap butiran yang terkandung di dalam fail itu.
Cik Nur Durrah, kita tengok siapa yang akan menang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan