Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Februari 2016

Suami Paksa Rela - Bab 5

“Weh, aku nak mandi.” Karl pandang belakang tubuh Wafa yang dah selesai mandi.
Gadis itu hanya pakai T-shirt lengan pendek dan berseluar track saja. Rambut perempuan itu pula seperti biasalah. Fesyen macam orang dalam pantang. Sanggul tinggi. Tapi, macam itu pun dah nampak cantik. Lawa!
“Hah, pergi ajelah,” jawab Wafa tanpa toleh belakang.
Dia tengah sibuk memasak lauk untuk makan malam. Mak Jemah kata malam ini dan malam esok, dia yang kena masak. Biar Karl rasa air tangan dia, kononnyalah. Heh, semua ni salah lelaki tu!
“Weh...” Karl panggil lagi. Meleret saja bunyinya. Mengada.
“Eee! Apanya?!” Nak tak nak, Wafa toleh belakang juga.
Dia tengok Karl tengah tegak berdiri sambil menjinjit beg pakaian. Muka pun nampak macam blur-blur saja. Fahamlah dia maksud lelaki itu.
“Jom. Saya tunjuk bilik awak.” Wafa tutup api dapur. Nasib baik dia dah siap goreng ikan. Tinggal nak tumis sambal saja.
Dia ajak Karl pergi ke bilik tetamu. Rumah maknya itu ada empat bilik. Bilik dia dengan Mak Jemah dah seorang satu. Jadi, lagi dua bilik adalah bilik tetamu. Wafa bawa Karl ke bilik tetamu yang berhadapan dengan biliknya. Apa-apa hal senang sikit. Sudahlah lelaki itu banyak sangat feelnya.
“Nah, ini bilik awak.” Wafa pegang daun pintu dan berdiri di situ.
Mata Karl labuhkan pandangan ke setiap sudut bilik yang akan dia duduk selama dua malam itu. Emmm, boleh tahan. Nampak selesa. Siap ada air-cond lagi. Beg pakaian dia letak di sisi katil. iPhone, wallet dan jam tangan dia buka dan letak di atas meja sisi. Kemudian, dia duduk di birai katil. Kepalanya mendongak memandang Wafa yang berdiri di depannya.
“Bilik air dekat mana? Aku nak mandilah. Berpeluh-peluh dah badan ni.”
“Ada dekat...” Ayat Wafa terhenti. Dia tiba-tiba dapat akal!
“Bilik air ada dekat luar. Ada kat belakang sana tu. Jom, saya tunjukkan,” sambung dia.
Karl ambil tuala dan pakaiannya untuk malam ini. Toiletries bag dia bawa sekali dan kakinya mengikut langkah Wafa.
Dahi Karl mula berkerut-kerut bila dia nampak bilik air yang Wafa cakapkan. Bilik air yang hanya berdindingkan papan. Siap ada lompang sana sini pula tu. Pintu pun dah macam nak tercabut. Dan, paling tak tahan, tandas yang bersebelahan dengan bilik air itu. Langsung tak berpintu!
Ni apa ni? Kalau nak berak macam mana? Nak tutup guna apa? Tuala?! Mana cukup, hoi!
“Weh, Wafa. Kau biar betul ni bilik air rumah kau?” tanya dia ragu-ragu dan seperti tak percaya saja.
“Hah, betullah. Kenapa?”
“Kau dengan mak kau mandi, ‘buang hajat’ dekat sini ke?” soal dia lagi. Sungguh, dia tak percaya.
“Hah, yalah. Kenapa?”
“Errr...” Kelu lidah Karl jadinya.
Dia tak tahu nak cakap apa. Tak terkata! Takkan dia nak komen lebih-lebih pula? Tapi, dia memang nak komen. Rumah Mak Jemah ini bukan main cantik kut. Rumah batu. Besar pula tu. Takkan bilik air dengan tandas... serupa ini?! You must be kidding me, Wafa!
“Ha, lagi satu. Awak jangan nak mandi lama-lama sangat. Lampu dekat dalam bilik air tu dah rosak tau. Karang bergelap pulak dekat dalam tu.”
Muka Karl dah macam orang nak menangis. Ini betul-betul atau Wafa sengaja nak kenakan dia?
“Saya nak masuk, sambung masak. Kalau ada apa-apa jadi kat dalam tu, awak jerit ajelah panggil saya ya? Good luck!” Wafa bagi senyuman jahat kepada Karl. Biar lelaki itu rasa penangan air kolah versi simen. Sejuk ke idok! Hahaha!
Bila tengok Wafa dah gerak masuk dalam rumah semula, Karl mulakan langkah masuk ke dalam bilik air dengan menelan air liur. Dia tengok keadaan dalam bilik air itu hanya ada satu batang pili dan kolah yang diperbuat daripada simen yang memang sudah penuh dengan air. Okey, dan ada satu gayung. Tak ada singki, tak ada shower, tak ada penyakut baju!
Oh my God! Dia rasa nak menjerit saja sekarang ini!
Ikut hati, nak saja dia keluar balik dari bilik air ini. Dia lebih rela ke mana-mana hotel atau homestay semata-mata sebab nak mandi. Tapi, bila dia ingat balik kepada Mak Jemah, dia tahu dia kena hormat wanita itu. Apa pula kata orang tua itu kalau tengok dia tiba-tiba saja nak keluar rumah sebab nak pergi mandi?
Dalam terpaksa, dia relakan saja. Dia buka pakaian dan mandi selaju yang mungkin. Mana tidaknya, seram pula bila ingat Wafa cakap lampu bilik air itu rosak. Tak nak dia mandi dalam keadaan bergelap. Karang ada pula yang teman. Ayoyooo!

“KARL, mari duduk sini. Makan jom,” ajak Mak Jemah. Dia gamit bakal suami anaknya itu untuk duduk di sebelah kanannya. Dia pula duduk di hujung meja.
“Ini ajelah lauk kita malam ni ya,” ujarnya lagi.
Di atas meja makan dah tersusun ikan puyu masak sambal, sayur buncis tumis, daging goreng kunyit dan ikan bilis goreng dengan cili dan bawang.
Karl senyum. “Tak apa, mak cik. Saya makan aje semua ni.”
“Senduk nasi tu, Wafa,” arah Mak Jemah.
Wafa sendukkan nasi untuk Mak Jemah. Kemudian, untuk Karl pula. Pinggan dia hulur kepada lelaki yang duduk di depannya itu.
“Terima kasih, sayang...”
Mak Jemah yang ketika itu baru menyedut air, terus tersedak. Terkejut bila dengar perkataan sayang dari mulut bakal menantunya itu. Amboi, bersayang bagai!
“Mak okey tak ni?” tanya Wafa, risau. Karl dia jeling geram. Ada juga yang kena makan senduk ni karang!
“Errr... Sorry, mak cik,” ucap Karl serba salah.
Sebenarnya, dia nak kenakan Wafa. Tapi, Mak Jemah pula yang terkena. Salah target nampaknya. Adeh!
Lepas saja insiden Mak Jemah tersedak, suasana di meja makan terus senyap. Karl lagilah. Kalau boleh, nak mengunyah makanan pun sampai tak nak keluarkan bunyi. Cuak punya pasal lepas kena jeling dengan Wafa tadi.
“Mak cik nak tanya ni, Karl. Kamu dah tahu ke perangai-perangai buruk anak mak cik ni?” Tiba-tiba Mak Jemah bersuara.
“Errr... maksud mak cik?” Karl tak beberapa faham dengan soalan orang tua itu.
Wafa sendiri pun tak faham. Dia pandang maknya itu. Tertunggu-tunggu penjelasan tentang apa yang maknya itu maksudkan sambil mulutnya penuh dengan makanan.
“Yalah, kamu tahu ke perangai si Wafa ni yang pemalas, bangun lambat, suka tengok TV, suka tengok wayang, malam-malam duk melalak dalam bilik dengar Suria Cinta. Kamu tahu semua tu?”
Kalau tadi Mak Jemah yang tersedak, kali ini giliran Wafa pula. Tersembur-sembur nasi di dalam mulutnya. Elok masuk ke dalam pinggan Karl.
“Hah, ni pun salah satu perangai buruk dia jugak. Suka sangat menyembur masa tengah makan,” sambung Mak Jemah lagi. Siap kerling anak daranya itu.
Wafa tepuk-tepuk dada dia yang rasa tersekat. Muka, usah cakaplah. Dah merah menyala. Mana taknya, tahan malu dan pedas serentak!
Karl yang terkejut dengan ‘semburan’ Wafa tadi terus terloncat bangun dari kerusi. Dikibas-kibas bajunya yang terkena sisa nasi dari mulut Wafa. Niat hati nak cakap yucks. Tapi, bila tengok muka merah gadis itu, terus dia hulurkan air. Kesian. “Minum ni...”
Wafa mencapai gelas yang berisi air itu. Bukan sebab dia sendiri dah tak ada air. Tapi, sebab air di dalam gelasnya dah habis kena teguk. Pedas!
“Apa mak ni?! Ada cakap macam tu pulak.” Wafa menjeling-jeling Mak Jemah, geram. Air mata dah meleleh-leleh jatuh.
Bukan sebab geram. Tapi, lebih kepada pedas. Haih, lain kali tak nak masak puyu sambal ni lagi. Sadis!
“Betullah apa mak cakap. Karl kena tahu semua perangai buruk kamu tu. Hah, ada lagi satu. Wafa ni pun suka sangat berangan nak kahwin. Gatal sangat dah nak ada laki!” Mak Jemah masih tak habis lagi bercakap soal perangai buruk anaknya itu.
Biar, dia memang nak Karl tahu pasal itu semua. Nanti dah kahwin, tak adalah terkejut sangat dengan perangai buruk anak tunggalnya itu.
“Mak! Sampai hati...” Kali ini, Wafa memang betul-betul nak menangis.
Malu! Sedih sebab Mak Jemah sanggup bongkar semua rahsianya di depan Karl. Eee, baru cadang nak ubah semua perangai buruknya itu lepas kahwin nanti. Tapi, tak sempat. Maknya dah kantoikan dulu. Mak ni kan... memang nak kena!
Karl tak tahu nak bagi respons macam mana. Hanya mampu diam dan terkedu tengok dua beranak itu. Macam-macam feel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan