Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 19 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 2

PANAS dan terik tengah hari menyerang ke kulit. Suasana bahang dirasakan sebaik sahaja keluar dari kereta Honda CR-Z Hybrid berwarna biru. Alfatah menyerahkan kunci kepada seorang pekerja yang berada di hadapan pintu masuk hotel bertaraf lima bintang itu.
Mengerti dengan bahasa tubuh Alfatah, lelaki tersebut memberikan senyuman dan dalam masa yang sama tangannya menyambut gugusan kunci tersebut.
“Terima kasih,” ucap Alfatah dengan mendatar.
Pekerja itu menganggukkan kepala lalu melangkah ke kenderaan milik lelaki yang mengenakan kemeja-T berjenama Polo dan berseluar pendek paras bawah lutut itu.
Alfatah menyeluk poket seluar dengan tangan kirinya. Dia menanggalkan cermin mata hitam. Saat tapak kasut yang dipakai bertemu ke lantai lobi, rasa bahang berganti dengan sejuk penghawa dingin. Tanpa melengahkan masa dia menuju ke kafe hotel seperti yang dijanjikan. Alunan lagu antarabangsa I Will Always Love You nyanyian Whitney Houston sebagai muzik latar menembusi telinga. Dia bergerak sambil melilau mencari susuk tubuh tersebut.
Selang setengah minit, orang yang dicari kelihatan. Tidak sukar mencari wanita yang sedang duduk di ruangan paling hujung itu memandangkan suasana kafe kelihatan lengang.
Sophea Alfiah mendongakkan pandangan tatkala hujung matanya menangkap ada seseorang semakin menghampiri. Dia mengukir wajah manis. Namun, tindakannya itu mendapat reaksi dingin. Pemuda tersebut segera melabuhkan punggung bertentangan dengan kakaknya.
“Fath sihat?” aju Sophea Alfiah, memulakan perbualan.
Dia menanggalkan cermin mata hitam yang memenuhi separuh muka. Perempuan itu tidak mengenakan sebarang solekan. Hanya bedak asas nipis menghiasi wajah. Barangkali dia bimbang jika identitinya diketahui orang yang berada di sekeliling.
“Alhamdulillah.” Pendek sahaja bicaranya sebagai balasan.
“Fath nak oder apa-apa ke?”
Alfatah mengelukan lidah. Menu yang berada di atas meja dicapai dan ditatap sekali imbas. “Tak ada. Kau cakap ajelah apa yang kau nak, kak.”
“Salah ke kakak nak jumpa dengan Fath?”
“Sejak kita terpisah masa umur kita lapan tahun, berapa kali kita jumpa?”
“Fath...”
“Boleh dikira jari. Masa abah meninggal, masa mak meninggal dan kali terakhir kita jumpa masa kau nak kahwin dengan suami kau. Itu pun kau cari aku sebab kau nak aku jadi wali. Sekarang kau tanya aku salah ke kau nak jumpa aku? Takkanlah artis terkenal sanggup dari KL turun ke Melaka untuk jumpa dengan satu-satunya adik dia tanpa ada sebab? Aku dengan kakak tak pernah rapat sejak umur kita lapan tahun. Jadi, kau tak payahlah nak tunjuk kat orang yang kita macam kembar lain yang ada kat dunia ni. Cukuplah kerja kau jadi pelakon, kak. Tak payahlah dalam hidup pun kau nak berlakon.”
Sophea Alfiah tertunduk, pandangan tumpah ke air minumannya. Ayat yang diluahkan oleh kembarnya itu menghambat naluri. Bibir cawan dirapatkan ke mulut. Air teh yang dikacau dengan gula sebanyak dua sudu kecil terasa kelat menuruni tekak. “Kakak minta maaf dengan apa yang jadi antara kita.”
Alfatah bersandar ke kerusi. Dia berpeluk tubuh dan pandangannya melilau sekeliling. Kalau boleh, dia tidak mahu menatap wajah Sophea Alfiah.
“Kakak tahu kita tak rapat. Tapi, kakak tak tahu nak minta...” Lidah wanita itu seakan-akan kaku untuk seketika.
Tiba-tiba hatinya berat untuk meluahkan permintaan. Memang dia tiada pilihan. Hanya Alfatah sahaja mampu membantu. Sophea Alfiah tertunduk, sedaya upaya cuba mengumpul kekuatan untuk berbicara. “Memang kakak nak minta tolong sesuatu dengan Fath.”
Alfatah tersenyum senget. Alunan tawa kecil yang terluah jelas kedengaran sinis. Memang begitu sifat manusia. Bila susah, baru nak cari.
“Hubungan kakak dengan Abang Raid ada masalah,” sambung Sophea Alfiah lagi apabila melihat reaksi dingin Alfatah.
Pandangan yang meliar lantas berlabuh ke wajah sugul itu. Bahagian bawah mata Sophea Alfiah tampak sembap. Siapa tidak kenal dengan Raid Ariffin? Anak VIP berpangkat Datuk yang berjaya dalam bidang hartanah. Perkahwinan pasangan tersebut dibina lapan tahun yang lalu kelihatan bahagia. Mereka berdua sering menghiasi muka hadapan majalah bertemakan keluarga.
Kini, ada desas-desus mengatakan rumah tangga mereka mengalami keretakan akibat orang ketiga. Alfatah mengetahui berita tersebut berdasarkan tulisan di dada akhbar dan mendengar kisah itu di televisyen melalui rancangan hiburan gosip. Akan tetapi, Sophea Alfiah menafikan berita tersebut setiap kali diajukan dengan pertanyaan sedemikan rupa.
“Jadi, memang betullah apa yang wartawan kat TV dan surat khabar beritahu tu?”
Berat mulut Sophea Alfiah mahu mengiakan. Kepala digerakkan ke atas dan ke bawah.
“Kakak terpaksa nafikan semua tu demi keluarga kakak. Lebih-lebih lagi Zaffi dengan Muzaf yang baru nak membesar.”
“Habis tu, kau nak aku buat apa? Apa yang aku ada dan kau tak ada sampai kau nak minta tolong dengan aku ni?”
“Kakak nak minta Fath tolong jaga Zaffi dengan Muzaf untuk sementara waktu.”
Rahang Alfatah sedikit terjatuh. Dia terkesima dengan permintaan Sophea Alfiah. Perasaan terkejut terus menyerang dan menyelubungi jiwa.
“Kau tahu ke tak apa yang kau minta ni, kak? Kau sedar ke tengah tidur sekarang ni?”
Rentak suara Alfatah lebih tinggi berbanding tadi.
“Ini saja caranya, Fath.”
“Cara apa? Aku dahlah tak kenal mana dengan anak-anak kau tu. Lagi nak suruh jaga? Tolonglah kak. Jangan nak libatkan orang lain dengan masalah kau.”
“Fath bukan orang lain. Kakak dengan Abang Raid selalu sangat bergaduh, tak habis-habis selisih pendapat. Kakak kena cari jalan penyelesaian.”
“Penyelesaian? Apa? Cerai? Sama macam...” Alfatah tidak berniat mahu menuruskan susunan katanya.
Namun, kesannya umpama benaman jarum halus yang tertusuk di jiwa Sophea Alfiah. “Benda dah lepas, Fath. Mak dengan abah pun dah tak ada. Fath masih marah pasal hal dulu?”
Ibu kepada dua orang anak itu mula merasa sebak. Hatinya tidak menafikan yang dia pernah memikirkan perceraian sebagai jalan akhir. Akan tetapi, dia ketepikan semula laluan buntu itu kerana dia juga tahu bagaimana menjadi mangsa perceraian ibu bapa.
“Aku tahu dah lepas benda tu. Semua orang buat silap. Aku pun buat silap. Tapi, kesan peristiwa tu sampai sekarang aku rasa.”
“Kakak tak sampai ke tahap tu lagi. Kakak masih cuba baiki apa yang tak kena. Fath, bukan Fath sorang aje yang alami kehidupan macam tu. Kakak pun sama.”
“Sekurang-kurangnya hidup kau tak macam hidup aku. Kau dengan mak hidup senang lepas tinggalkan abah.”
Sophea Alfiah menelan air liur menahan rasa pilu. Peristiwa perit lebih 20 tahun tersebut menggamit memori mereka. “Fath kena tolong kakak. Zaffi dah mula tanya kakak macam-macam. Muzaf pula menangis tak sudah bila dengar kakak dengan Abang Raid bertekak. Abang Raid dah jarang balik rumah. Kakak terpaksa tipu dengan dia orang. Kakak beritahu Abang Raid outstation. Padahal kakak tak tahu dia pergi mana.
“Wartawan, blogger, TV, surat khabar... semua tu kakak kena hadapi. Kakak tak nak Zaffi dengan Muzaf tertekan dengan apa yang berlaku. Dia orang budak-budak lagi. Apa pun yang jadi, kakak tak akan pisahkan dia orang. Kakak tak nak dia orang jadi macam kita.”
“Kenapa tak hantar aje kat keluarga mertua kau?”
“Kakak tak nak libatkan belah mertua. Saudara-mara keluarga Abang Raid orang ada nama. Dengan masalah syarikat lagi, kakak tak nak rumitkan keadaan.”
Keluhan berat terluah. Alfatah menongkat siku ke permukaan meja lalu memejamkan mata. Dia memicit bahagian tengah hidung. Satu beban yang berat datang menjengah ke benak fikiran.
“Fath...” panggil Sophea Alfiah dengan penuh harapan.
Pemuda itu mengangkat wajah. “Aku tak nak.”
“Tolong kakak, Fath. Mungkin paling lama pun sebulan dua aje jaga dia orang. Kakak akan usaha secepat mungkin untuk selesaikan masalah ni.”
“Sebulan dua? Lagi dua minggu aku dah tak duduk sini lagi. Aku nak pindah JB. Aku nak mulakan hidup baru kat tempat orang. Lepas tu kau nak suruh aku hidup dengan anak-anak kau? Kau ada fikir pasal sekolah dia orang? Makan, minum dengan pakai dia orang lagi, semua tu siapa nak uruskan?”
“Tak jadi masalah Fath. Zaffi dengan Muzaf boleh jaga diri. Pasal sekolah tu pun, kakak boleh uruskan. Kakak boleh cari sekolah swasta kat JB nanti.”
“Yalah tu, budak darjah dua boleh jaga diri! Kau cakap senanglah kak. Kau kat rumah ada maid, ada driver, ada orang suapkan anak kau bila kau pergi kerja. Ada duit semua boleh jalan.”
“Kalau pasal belanja, kakak akan bagi. Fath tak payah risau.”
“Kau tak fahamlah.”
“Fath, tolong faham masalah kakak.”
“Macam nilah kak. Senang cerita aku bukan orang yang sesuai untuk jaga anak-anak kau tu. Aku dahlah tak boleh jaga budak-budak, lagi kau nak aku jaga budak kaya macam Zaffi dengan Muzaf tu? Kau pandai-pandailah selesaikan masalah kau ni.” Selesai menyusun ayat sedemikian, Alfatah menggerakkan kerusi ke belakang lalu mengangkat punggungnya. Dia mahu beredar.
“Fath, akak merayu sangat dengan Fath. Tolong jaga Zaffi dengan Muzaf untuk akak.”
Kaki yang baru sahaja diayun tiga langkah terhenti.
“Aku memang tak dapat tolong,” ucap Alfatah tanpa menoleh ke belakang.
Sekali lagi dia memulakan gerakan untuk berjalan. Akan tetapi, suara wanita itu menusuk ke gegendang telinga dan membantutkan niat Alfatah.
“Kalau Fath tak dapat buat untuk kakak, Fath buat demi Rayhan Muzaffirah dengan Rayhan Muzaffar. Zaffi dengan Muzaf masih lagi sebahagian daripada diri Fath. Fath ayah saudara dia orang. Kita berdua sama-sama tengok mak dengan abah bertekak hari-hari sebab tak sefahaman. Fath tahu kan macam mana rasanya jadi mangsa orang tua kita? Fath tahu kan macam mana peritnya kita sebagai adik-beradik hidup macam ni sampai sekarang?
“Dan, akak rasa Fath cukup tahu macam mana rasanya hati kita sebagai seorang anak tak dapat hidup macam keluarga yang lain. Kakak tak nak buat silap tu, Fath. Kakak cuba untuk betulkan mana yang silap. Kakak cuba cari balik jalan yang betul,” luah Sophea Alfiah dengan linangan air mata. Rasa sedih yang cuba dikumpul di bahagian dada akhirnya tidak mampu dibendung.
Pemuda itu terdiam kaku. Memori yang cuba dilupakan berulang kali menjelma di ingatan. Meskipun cuba dibuang jauh, rasa itu tetap jelas menerjah ke pelosok naluri.
“Untuk jumpa jalan yang betul, kakak perlukan adik kakak.”
Ketika ini hati Alfatah dirundung sesuatu. Dia benci dengan situasi tersepit begini. Apa yang cuba dielakkan sepertinya tidak mampu ditepis. Fikirannya buntu. Memang benar, dia tahu bagaimana jiwa seorang anak memberontak kerana kepincangan keluarga.
Lelaki itu memalingkan kepala sedikit tanpa menggerakkan tubuhnya. “Minggu depan kau hantar Zaffi dengan Muzaf. Aku pindah awal sikit. Boleh aku uruskan hal sekolah dia orang kat JB nanti.”
Serta-merta Sophea Alfiah bangkit daripada duduknya. “Betul ke apa yang akak dengar ni?”
Alfatah menoleh semula ke hadapan. Cermin mata yang tergantung di baju dicapai lalu disematkan ke mata. Lelaki itu terus meninggalkan Sophea Alfiah.
“Fath... terima kasih,” ucap wanita tersebut dengan perlahan diiringi genangan air mata dan senyuman syukur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan