Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 22 Februari 2016

Per: Jawatan Isteri - Bab 2

Beberapa tahun kemudian…
DI meja makan, kepala Encik Amri sudah tergeleng-geleng melihat Adelia yang makan bertambah-tambah. Geramnya dia! Jadi, pagi ini Encik Amri dah nekad. Baginya, sudah tiba masa untuk dia hentikan gaya hidup Adelia yang tidak sihat.
“Hujan ribut pun dah berhenti, Adel. Kamu bila lagi?” sindirnya.
Adelia panggung kepala. Tersenyum sambil terus mengunyah. “Relakslah, ayah. Baru dua pinggan kut.”
Jawapan yang sengaja mengundang kemarahan Encik Amri lagi. “Baru dua pinggan? Kamu tak rasa yang kamu dah makan banyak ke, Adel? Hmm, macam mana tak kena tinggal dengan si Doni tu? Lelaki mana yang suka girlfriend dia gemuk? Cuba cakap!”
Ini yang Adelia tak suka. Apabila sentuh soal dia gemuk, mesti ayahnya kaitkan dengan Doni. Tapi, memang Doni tinggalkan kau sebab kau gemuk, Adel. Kenapa nak marah pulak? gumam hati. Adelia tarik nafas panjang. Saat ini kenangan lama itu kembali mengusik memori.

“Awak cakap apa, Doni? Awak nak kita putus?”
Doni angguk.
“Selepas awak gula-gulakan saya dengan janji-janji manis awak? Weh, cuba ingat balik. Siapa yang cakap konon saya ni bakal isteri dia? Konon saya ni bakal jadi ibu anak-anak dia? Konon saya ni satu-satunya wanita dalam hidup dia? Bukan awak ke? Ke mana perginya janji-janji tu semua? Mana?”
“Semua tu kisah lama, Adel. Saya dah tak cintakan awak lagi.”
Pandangan mata Adelia mencerlung ke wajah lelaki itu. Dia dengar apa yang dikatakan, namun untuk memahami sebab dan alasan, itu yang sedikit mengambil masa. Dia perlukan penjelasan daripada Doni.
“Dah bertahun-tahun kita bercinta, Doni. Tiba-tiba hari ini awak cakap awak tak cintakan saya dah. Kenapa?”
“Awak tahu sebabnya.”
Adelia mengeluh. “Sebab badan saya ke? Sebab saya dah gemuk?”
“Hati berubah, Adel. Jadi, maafkan dan lupakan saya. Boleh ya?”
Adelia berang. “Kenapa tak jawab soalan saya? Kenapa mengelak?”
“Awak nak saya cakap apa, Adel?”
“Mudahnya awak, kan? Masa awak nak dekat saya, bukan main awak merayu. Sekarang bila awak dah tak nak, laju awak suruh saya lupakan awak. Suruh maafkan awak. Hati berubah konon. Hati awak yang berubah, bukan hati saya! Mentang-mentanglah badan saya dah berisi...”
Lelaki bernama Doni turut meninggikan suara. “Kalau dah tahu badan tu berisi, kenapa biarkan saja? Kenapa tak cuba kuruskan?”
“Mana saya tahu awak tak suka saya gemuk? Kalau awak beritahu saya perasaan awak...”
Doni laju memintas. “Saya lelaki, Adel. Saya sukakan perempuan cantik, bukan perempuan gemuk. Takkan itu pun awak tak tahu? Ah, sudahlah! Tak payah kita nak bertekak. Lagipun Adel, putus cinta ni perkara biasa aje. Dulu saya cinta awak. Sekarang cinta tu dah mati. Dah tak ada. Sebab itu saya tak nak bazirkan masa saya dengan awak. Tak ada gunanya.”
Bulat mata Adelia mendengar balasan Doni. Lepas satu, satu, kutukan Doni kepadanya. Sakitkan hati betullah. Terutama ayat-ayat terakhir itu. Memang bikin panas. “Tak ada guna? Maksud awak, sia-sia bercinta dengan saya selama ni?”
“Ya.”
“Jahat betul mulut awak, Doni!” Adelia marah.
“Saya cuma berterus terang, Adel. Saya tak nak menipu. Memang saya tak gembira dengan awak.”
“Dalam kata lain, awak gembira sangatlah dengan perempuan baru tu, ya?” Adelia menyindir penuh geram.
“Kalau awak nak tahu sangat, jawapannya ya. Dia buat saya gembira. Dia buat saya bahagia. Nak tahu kenapa? Sebab dia jauh lebih baik dan lebih segala-galanya berbanding awak. Faham?”
Buntang mata Adelia. Mulutnya laju membalas. “Bukan main lagi mulut awak ya, Doni. Dia yang awak baru kenal awak bandingkan dengan saya yang dah bertahun-tahun jadi girlfriend awak. Dia buat awak gembira konon. Dia buat awak bahagia? Macamlah bila dengan saya awak asyik menangis, ya? Dia jauh lebih baik daripada saya? Okey, kita tengok sama-sama nanti. Pastikan bila awak nak kahwin dengan dia, awak hantar kad jemputan kepada saya. Baru saya percaya cakap awak.”
“Sudah-sudahlah tu, Adel.”
“Memang dah sudah pun!”
“Baguslah,” kata Doni sinis.
Adelia mendengus. “Doni, awak dengar cakap saya ni baik-baik. Dah awak nekad nak putuskan hubungan kita, putuskan saja! Saya tak kisah, tapi satu aje saya nak pesan. Dengar betul-betul!”
Doni mencebik, namun Adelia tak endahkan. “Ingat ni, Doni. Kalau satu hari nanti awak menyesal tinggalkan saya, jangan patah balik. Jangan datang terhegeh-hegeh dan nak tagih cinta saya semula. Saya tak sudi. Faham tak?”
Mata Doni buntang tetapi tak lama lepas itu lelaki itu gelak kuat-kuat. “Adelia, Adelia! Macamlah saya nak sangat buat macam tu. Tolonglah! Awak ingat awak hebat sangat ke sampai saya nak cari awak balik?”
Meskipun hatinya pedih, Adelia bertahan. “Saya cuma ingatkan saja. Kalau awak dah selesai, sila pergi. Saya harap kita tak akan jumpa lagi sampai kita mati, Doni.”
“Adel!”
Masih terdengar-dengar suara Doni memanggil dia.

“Adel!”
Itu bukan suara Doni, tapi suara ayahnya. Err, suara ayah? Adelia tegakkan dirinya. Wajah Encik Amri ditatap.
“Berangan apa? Bukan main jauh menungnya?” Encik Amri tanya.
Adelia geleng. Diri dimarahi. Tak pasal-pasal dia teringat pada pertemuan terakhirnya dengan Doni pula. Ah, tak suka! Benda dah lepas, apa nak dikesalkan?
Fasa sedih, murung dan kecewa itu sudah dilaluinya. Malah, dia pernah sakit mata tengok diri sendiri dalam cermin. Namun dia tahu, dia tak boleh biarkan diri tenggelam dalam kesedihan. Sama ada Doni atau kegemukan, kedua-duanya bukan alasan untuk dia tidak menikmati hidup.
Dia harus ceria. Dia harus gembira. Kalau bukan dia yang membahagiakan dirinya, siapa lagi? Ya, dia harus bersikap positif. Dia harus yakin diri. Dunia ini bukan untuk orang kurus dan jelita sahaja. Dunia ini milik semua orang termasuk dia dan kawan-kawan yang sedebab dia.
“Dengar nasihat ayah, Adel. Kuruskan badan tu.”
“Ayah, boleh tak kita ubah topik? Kita cakap pasal benda lain. Bab kuruskan badan semua ni kita biarkan aje dulu. Yang penting, yang ayah perlu tahu ialah... saya gembira sekarang.”
“Gembira? Konon! Ingat ayah percaya?”
Adelia mula tunjuk riak bosan. Bosan dengan sikap ayahnya yang tak pernah mahu memahami dia. “Ayah, saya yang pilih untuk jadi gemuk, jadi saya terima diri saya ni seadanya. Satu hari nanti kalau saya nak kuruskan badan ni, saya akan buat. Ayah jangan risaulah.”
Encik Amri mendengus. Sukar untuk dia percaya cakap Adelia. Sukar untuk dia yakin yang Adelia mampu berubah. “Kenapa kena tunggu esok lusa baru nak kurus? Ni, ayah nak tanya kamu sikit. Kamu tak cemburu ke tengok Emy yang kurus tu cergas aje pergerakan dia? Tak cemburu tengok dia pakai baju yang cantik-cantik?”
Wajah yang kelat semakin ketat. Adelia semakin kecewa dengan sikap Encik Amri yang sedang menbanding-bandingkan dia dengan adiknya, Emylia. Mentang-mentanglah Emylia punya badan macam model! Haila, kutukan ayahnya seolah-olah nak cakap bahawa menjadi gemuk itu satu dosa pula.
Mak Ngah Aidah nampak riak muka Adelia yang berubah. Tak senyum lagi dah. Mulut pun sudah dikunci rapat. Tu semua tanda yang menunjukkan Adelia sudah merajuk.
“Ri, cukup-cukuplah tu. Adel dah besar. Dia pun dah cakap kepada kamu kan... Nanti kalau dia nak kuruskan badan dia, dia akan usahakan. Cukup-cukuplah membebel tu!” Dia menegur Encik Amri.
“Itulah, kak ngah. Bila saya nak tegur budak-budak ni, kak ngah asyik melarang.”
“Habis, kalau merajuk si Adelia tu karang, siapa nak pujuk dia? Kamu?”
Encik Amri mendengus. “Cakap macam tu pun nak merajuk? Bukan saya marah pun. Saya cuma berikan nasihat aje. Tak boleh ke?”
Adelia tetap diam. Dah malas nak menyahut kata-kata ayahnya. Nampak benar betapa tidak sensitifnya lelaki itu. Encik Amri sudah mengecilkan hati anak perempuan sulungnya ini namun dari gaya ayahnya itu bercakap seolah-olah tak ada langsung rasa bersalah. Tak apalah kalau macam tu. Dia pun tak mahu nak gaduh-gaduh dengan ayahnya lagi.
“Nak ke mana tu, Adel?”
“Nak naik kemas beg, mak ngah. Saya ingat saya nak pergi ke rumah Nanilah. Kebetulan Nani ada telefon cakap dia seorang aje di rumah sebab suami dia, Doktor Khairul tu on call. Jadi, saya ingat saya nak temankan Nani dari hari ini sampai petang esok. Boleh, kan?” Adelia laju menaiki tangga.
Sama ada diizinkan ataupun tidak, dia tetap akan pergi juga ke rumah Nani. Dia mahu tenangkan hati dan fikirannya di sana nanti.
Jelingan Mak Ngah Aidah tajam menikam wajah adiknya. Waktu itu Encik Amri dah diserbu rasa bersalah. Terutama kerana muka anaknya yang tampak sedih ketika meninggalkan mereka tadi.
“Kan kak ngah dah cakap? Kamu ni memang sengaja nak kecilkan hati budak tu, Ri. Yang kamu duk sibuk marah dia gemuk tu apasal?”
Encik Amri terkedu. Tak sangka dirinya yang jadi mangsa kemarahan kini. Haila, anak! Betullah kata orang tua-tua. Lebih mudah nak jaga lembu sekandang berbanding nak jaga anak perempuan biarpun seorang. Mujurlah Emylia kurang buat perangai. Kalau tidak mahu botak kepala dia.

“TEPILAH. Tak payah pegang aku. Aku boleh jalan lagi ni.”
Aziz dan Remy saling memandang. Kemudian masing-masing geleng tengok Fahad.
Bagi Aziz, perangai Fahad jadi teruk sejak Nirina buat hal. Kini pula, Fahad semakin keras kepala, semakin sombong dan biadap. Minum, perempuan, melawan ayah, membentak ibu... Entah bila Fahad akan berhenti melakukannya. Sebagai kawan baik dan adik ipar Fahad, Aziz berasa dia sudah gagal membantu lelaki itu pulang ke pangkal jalan.
Seperti Aziz, Remy juga tak boleh nak kata apa dengan sikap Fahad sekarang. Nak ditegur, kawan baik itu tak akan dengar nasihatnya. Tak ditegur, jadi beginilah. Perangai Fahad semakin menjadi-jadi pula.
“Malang betul ayah dengan ibu dapat anak macam dia ni. Buatlah baik macam mana pun, tak ada dia nak kasihan belas kepada dia orang. Lagi tak endah adalah,” kutuk Aziz.
Dia memang hairan dengan sikap Fahad yang asyik mengungkit tentang Hajah Zuraini yang meninggalkan keluarga sewaktu umur Fahad sembilan tahun dan kembali semula lapan tahun kemudian. Sampai sekarang, mereka tidak tahu apakah alasan wanita itu pergi kemudian balik semula. Cuma yang pasti, kejadian itu benar-benar menyebabkan Fahad membenci ibunya.
Go, go, go! Pergi! Blah! Tak usah pedulikan aku. Hek!”
“Dalam mabuk-mabuk tu pun, ada hati nak halau kita,” cebik Aziz. Diperhatikan saja Remy mendapatkan Fahad yang sudah terjelepok di atas lantai.
Dari dekat, Remy dapat melihat kesayuan pada sepasang mata sahabat baiknya itu. Ada air mata yang sedang bergenang.
“Aku sedih sebab semua orang tak suka aku. Ayah aku, Aziz, Irah, perempuan tu... Dia orang semua anggap aku ni musuh. Kau pun macam dia orang ke, Remy?”
Remy terpanar. Kata-kata Fahad menyebabkan dia jadi sebak.
“Aku sayang kaulah. Kita kan sahabat dunia akhirat?” Dia menyahut sambil meraih tubuh Fahad agar bangun. Kerana tak berdaya dia menoleh ke arah Aziz yang diam memerhati mereka sedari tadi.
“Aziz, jom angkat budak tua ni. Takkan kita nak bertunggu-tangga di sini. Malu dekat orang lain. Fahad ni bising lepas tu merintih entah apa-apa.”
Aziz angguk dan segera membantu Remy.
“Lepaslah! Aku jaaalan sendiri. Hek!” Fahad dengan kedegilannya.
“Kau ni...” Aziz tak jadi meneruskan kerana dia bimbang nanti Remy terasa hati pula.
Sebab dia nampak Remy juga meneguk air haram itu di kelab tadi. Cuma, Remy minum sikit agaknya sebab itu Remy tak mabuk. Tapi, dosa tetap dosa, kan? Minum sikit ataupun banyak, mabuk ataupun tidak, yang Allah sudah tetapkan haram itu, hukumnya tetap haram. Tapi, tahukah dan fahamkah kedua-duanya kalau dia cuba menasihati mereka?
“Kau nak balik, pergilah Ziz. Aku ada dengan Han. Aku temankan dia malam ni,” kata Remy.
Aziz geleng. “Aku pun nak tidur di sini juga. Dah lewat sangat ni. Karang kalau aku balik dan bertembung dengan mertua aku, jenuh pulak aku nak jawab soalan dia orang.”
Remy yang pertama masuk, diikuti oleh Aziz. Ketika mahu menarik Fahad ke dalam, lelaki itu seakan-akan enggan melangkah. Boleh pula dia tercegat di tengah jenang pintu. Remy dapati sepasang mata Fahad sedang terarah ke tingkap rumah jiran di hadapan. Tajam dengan kening yang berkerut.
“Kau tengok apa, Han?” Dia bertanya. Soalan yang turut mengundang Aziz mendekat ke pintu semula.
“Hantu.” Dan Fahad mengekek ketika bergerak ke dalam meninggalkan Aziz dan Remy dengan bulu roma merinding.
Pukul 2.00 pagi sebut pasal hantu pula. Seram sejuk mereka dibuatnya.
“Dah nampak hantu pulak. Dah genglah tu. Kau pun ‘Han tu’ jugak, kan?” sindir Aziz.
“Weh, Han! Dengar tak tu? Aziz cakap kau hantu.”
“Shhh! Aku nak tidur. Jangan kacau!” Serentak dengan itu, Fahad menjatuhkan dirinya ke atas lantai. Mujur Remy sempat menyambut bahagian kepala. Kalau tidak mahu benjol!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan