Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 2 Februari 2016

Tak Sangka Jatuh Cinta - Bab 2

Waktu yang sama, tempat saja berlainan
DATIN MAZWIN mengetap bibir melihat wajah anak tunggalnya. Relaks aje! Macam tak ada apa-apa yang berlaku. Ikutkan hati, nak saja dia kasi penampar Arab ke pipi anak terunanya. Dah kena perli tahap berdesing telinga pun masih ada hati membelek majalah. Eiii, memang spesies papanya juga budak ni!
“Karz, Dengar tak apa yang mama cakap ni?” Datin Mazwin merengus sambil menarik muncung todaknya. Ditepuknya bahu Karzrin. Kuat.
“Dengarlah mama. Sejak bila pula anak mama jadi pekak?” balas Karzrin berbasi-basi. Malas mahu melayan amarah mamanya.
Tak lain tak bukan mesti punca kes baling kek di majlis ulang tahun perkahwinan Datin Hanum dengan Dato’ Jamil semalam. Karzrin sudah letih mendengar mamanya menceceh.
“Kalau dengar, kenapa tak jawab? Mama tak kira. Mama nak Karz kahwin hujung minggu ni juga!” Putus Datin Mazwin tegas.
“Kahwin?” Karzrin terbeliak. Mamanya angguk macam burung belatuk.
“Hujung minggu ni?”
Datin Mazwin mengangguk lagi. Kali ini, dengan bibir yang dikemam. Masih marah dengan insiden semalam.
“Mama nak Karz kahwin dengan siapa? Dengan tiang lampu kat luar tu?” Karzrin meletakkan majalah di atas meja. Wajah mamanya dipandang sekilas.
Sejak lima tahun lepas, itulah yang sering dia hadap. Mama asyik suruh dia kahwin aje. Kalaulah telinganya boleh bercakap, Agaknya dah lama mama kena sound balik. Kahwin! Kahwin! Kahwin!
“Pasal tu Karz jangan risau. Mama boleh uruskan. Ramai yang sanggup jadi isteri Karz tau. Kalau mama ofer, tentu bersusun perempuan yang bersedia nak jadi isteri kamu,” giat Datin Mazwin bersemangat.
“Mama jangan buat pasal. Ramai yang nak jadi isteri Karz, tapi Karz tak nak jadi suami dia orang. Faham?” bantah Karzrin tegas.
Bukan sebarang wanita yang boleh menjadi isteri kepada Karzrin Bin Datuk Hamka. Nak jadi isterinya mesti perfect! Ada ke wanita yang perfect? Setakat ni, dia masih belum jumpa yang betul-betul perfect. Yang berlambak macam CD cetak rompak tu bukan perfect, tapi kerek!
“Karz jangan bantah cakap mama. Kali ni, mama nak Karz kahwin juga. Karz tahu tak ada orang dah cop Karz ni, gay! Dia cakap yang Karz ni suka lelaki sebab tu Karz tak kahwin-kahwin lagi. Eiii... Sakit hati mama ni tahu tak? Boleh pula dia cakap anak mama yang handsome ni, gay?”
Dia marah betul! Ada ke patut Tengku Mariah menuduh Karzrin lelaki gay? Depan ramai teman-teman rapat mereka pula tu. Siap gelak macam puntianak lagi. Suka sangat agaknya bila dapat dosa memfitnah orang. Dia memang menempah maut.
Apa salah Karzrin kalau dia masih belum kahwin? Ada ke status Karzrin yang masih bujang tu mengganggu hidup dia? Memang tak pun. Jadi, Tengku Mariah sengaja cari pasal. Ini Datin Mazwin. Sanggup berkorban apa sahaja demi anak tersayang. Kebetulan, ketika itu Datin Hanum sedang memotong kek empat tingkat yang nampak sangat sedap. Hati tengah meradang, terus dia mengambil kek itu dan, pappp!
Wajah Tengku Mariah yang mulanya mengalahkan pelakon Opera Cina bertempek dengan kek. Huru-hara majlis itu dengan aksi berbalas baling kek mereka berdua. Padan muka kau Tengku Mariah!
“Mama ingat kahwin ni boleh buat macam main pondok-pondok ke? Biarlah orang nak cakap apa pun. Mama tak payah nak fikir sangatlah. Lagipun Tengku Mariah tu memang mulut dia bau longkang. Kalau dengan dia pun mama nak ambil hal. Nanti mama pun terkena bau longkang tu.” Sinis Karzrin berkata lagi.
Dia langsung tidak ada hati nak kahwin. Dia nak fokus pada kerja dan syarikatnya. Kalau kahwin waktu ini memang cari nahaslah! Perempuan memang leceh.
“Mama tak kira! Karz kena kahwin jugak. Mama nak tutup mulut Tengku Mariah tu sampai bila-bila.”
“Kalau macam tu, mama bagi dia racun tikus ajelah. Memang sah dia akan tutup mulut sampai bila-bila.” Karzrin melawak. Dia tersenyum geli hati melihat wajah masam mamanya.
“Lawaknya!” getus Datin Mazwin sambil berpeluk tubuh. Dia mengeluh panjang. Kecewa bila Karzrin tidak memberikan kerjasama.
“Karz... bolehlah! Karz kahwin ya?” pujuk Datin Mazwin lagi.
“Mama, Karz tak adalah terdesak sangat nak beristeri. Lagipun, Karz ada banyak lagi rancangan dan Karz tak akan kahwin selagi Karz belum bersedia,” tegas Karzrin. Muktamad!
Remote TV diambil dan dia menekan beberapa kali. Mencari siaran untuk ditonton. Jumpa pun! KIX HD. Malas nak layan kepala mamanya yang dah dirasuk hantu kahwin tu.
“Hai, apalah nasib mama ni, kan? Ada anak sorang aje, tapi langsung tak nak dengar cakap.” Datin Mazwin memulakan drama air mata. Ditenyeh-tenyeh matanya dengan kasar.
“Mama...” Suara Karzrin sedikit mengendur. Faham sangat dengan fiil mamanya yang memang lebih kuah daripada sudu tu.
“Mama tak kira! Mama nak Karz kahwin jugak. Kalau tak, mama janji mama akan menangis tujuh hari tujuh malam tanpa henti. Sampai hati Karz nak tengok mama jadi buta!” Datin Mazwin menambahkan unsur-unsur hiperbola melampau.
Lantaklah. Nak berlakon kenalah bersungguh-sungguh. Baru menjadi. Karzrin jenis yang boleh tahan keras kepalanya. Sebab tu dia kena berlakon betul-betul.
“Kenapa tiba-tiba aje mama nak paksa Karz kahwin ni? Karz muda lagilah. Baru nak masuk 28 tahun.” Karzrin bangun untuk ke tingkat atas. Mahu menonton televisyen di tingkat dua. Mahu bebas daripada leteran mamanya.
Tapi, baru selangkah dia melangkah tangisan mamanya mula meninggi. Siap mengongoi macam budak-budak. Karzrin mengetap bibir. Dia duduk semula.
“Mama, sudahlah tu. Tak payahlah menangis macam ni. Kalau mama ikut papa pergi Dubai kan bagus. Bolehlah tengok-tengok tempat orang. Boleh cuci mata, boleh shopping puas-puas dan boleh habiskan duit papa.” Karzrin tukar topik.
“Jangan tukar topik pula. Mama nak juga Karz kahwin. Biar Tengku Mariah tu tahu yang anak mama ni memang jantan. Tahun depan bolehlah mama dapat cucu.”
Karzrin menepuk dahi. Tak habis-habis lagi. Adoi... Pening betul!
“Mama cari ajelah calon isteri untuk papa. Cari yang muda sikit. Bolehlah mama dapat anak tiri, kan?”
“Apa? Isteri untuk papa? Karz nak tukar rumah kita ni jadi gelanggang gusti ke?” Datin Mazwin menjegilkan matanya. Satu cubitan diberikan ke lengan Karzrin.
“Sakitlah, mama,” gerutu Karzrin menyeringai. Sakitnya! Kemudian, wajah cemberut mamanya mengundang tawa di bibirnya. Tahu takut!
“Hisy, mama tak kira! Mama nak Karz kahwin jugak! Muktamad!”
“Boleh, tapi mama kena cari calon yang betul-betul boleh cairkan hati Karz ni. Kalau tak, Karz takkan layan permintaan karut mama ni.” Karzrin bangun dari sofa.
Dia tersenyum. Dia yakin mamanya tidak akan boleh mencari calon isteri yang kena dengan cita rasanya. Dia mahukan perempuan yang cantik, putih, tinggi dan yang paling penting tak sengau. Itu ciri yang wajib ada. Yang sunat-sunat pula banyak. Pandai masak, pandai kemas rumah, pandai ambil hati, pandai apa lagi ya? Karzrin sendiri dah tak ingat. Banyak sangat! Mana mama nak cari? Hihihi.
“Okey. Kalau mama jumpa? Karz setuju nak kahwin?”
As you wish, mama. Promise. Itu pun kalau mama boleh cari calon yang Karz nak tu.” Karzrin berpaling dan mengenyitkan matanya.
Datin Mazwin mengetap bibir.
“Karz jangan cabar mama. Mama akan cari sampai dapat.” Datin Mazwin nekad.
Apa nak jadi pun jadilah! Yang dia tahu, Karzrin kena cepat-cepat kahwin. Barulah Tengku Mariah akan tutup mulut. Tapi, mana dia nak cari calon untuk Karzrin? Adoi! Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu perlahan. Si Karzrin pula memilih. Kalau anak-anak teman rapatnya, semua Karzrin dah reject. Macam-macam alasan yang dia berikan. Tinggi sangatlah! Putih sangatlah! Kontrol ayu sangatlah! Serba tak kena di matanya. Pening kepala betul.
Datin Mazwin memicit kepala. Dalam melayan pening kepalanya itu, Datin Mazwin teringatkan adik iparnya di kampung. Dia sudah berjanji untuk balik ke kampung hujung minggu ini. Teringat pula yang dia masih belum beli oleh-oleh untuk anak-anak kembar kakak iparnya. Hannan dan Hadziq.
Ah, apa susah? Telefon saja Datuk Hamka. Suruh dia beli di Dubai. Lagipun, lagi dua hari suaminya akan balik. Selesai masalah. Datin Mazwin tersenyum sendiri. Telefon bimbit diambil. Mahu segera menelefon suaminya. Tapi, ada pula pesanan ringkas untuknya. 
Assalamualaikum mak long. Umi cakap kalau nak blik kampung nanti jangan lupa beli JERUK yang sedap tu! Umi nak makan. Umi tu memang ngada kan, mak long? Entah-entah, tengah MENGIDAM! Hai... penatlah Hannah nak jaga budak kecik lagi. Yang dua ekor tu pun dah pening! Okeylah, jumpa nanti ya? 
Dia ketawa besar sebaik saja membaca SMS itu. Hannah memang macam-macam. Dia suka dengan Hannah. Kelakar! Perkataan jeruk dengan mengidam tu siap bagi huruf besar lagi. Kikiki! Macam-macam hal. Mengingati Hannah membuatkan hatinya semakin tidak sabar untuk pulang ke kampung. Rindu dengan celoteh anak saudaranya itu. Tiba-tiba, senyumnya terhenti.
Hannah? Dia memetik jari. Dia tersenyum penuh makna.
Nombor telefon suaminya didail. Mahu pesan oleh-oleh dan tidak ketinggalan tentang perkara yang baru sahaja terlintas di fikirannya. Hihihi. Masalah selesai!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan