Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 7

FAIL yang dipenuhi dengan dokumen akaun diletakkan di atas meja. Cuma menunggu si singa beku itu hadir ke pejabat untuk diserahkan sendiri fail tersebut. Memandangkan masih awal, Zulaikha mengemas mejanya yang sedikit berselerak. Habuk-habuk pula disapu dengan tisu yang sedia ada di atas mejanya.
Memandangkan mejanya kosong tanpa hiasan, hari ini dia membawa potret kenangannya bersama mummy dan arwah daddynya beberapa tahun lalu. Itulah gambar kenangan terakhir yang ada dalam simpanannya. Tersenyum mekar dia di saat potret itu dihiasi di meja. Terasa kerinduan itu sedikit terlepas.
“Zulaikha!” Kuat suara Tengku Haikal menyapa.
Hah, pagi-pagi dah menjerit. Awal pula singa beku ni. Zulaikha panggung kepala dan spontan berdiri tegak. “Ya, Tengku Karl.”
“Bawa fail yang saya nakkan tu sekarang ke bilik.” Tegas nada suara Tengku Haikal memberi arahan.
Zulaikha memandang jam di pergelangan tangannya. Masih awal, lagi 10 minit waktu pejabat baru akan bermula. Cemberut mukanya, tanda kurang senang dengan kehadiran Tengku Haikal.
Fail yang diminta Tengku Haikal dibawanya dan diletakkan di atas meja. “Saya dah siapkan semuanya dan saya harap Tengku Karl puas hati.”
Tengku Haikal membelek-belek helaian yang terkandung di dalam fail itu. Sebenarnya hasil kerja Zulaikha memang sangat memuaskannya, cuma dia sahaja yang mahu Zulaikha buat semula.
“Bagaimana Tengku Karl? Tengku Karl nak saya buat semula ke?” soal Zulaikha sinis setelah melihat Tengku Haikal meletakkan dokumen itu ke meja.
Tengku Haikal gelengkan kepala. “Tak perlu.”
Zulaikha menghelakan nafas lega, terlepas juga dia kali ini. Banyak lagi tugas yang perlu disiapkan. “Kalau macam tu saya keluar dulu. Saya nak siapkan tugas tertangguh.”
“Saya tak cakap pun, awak boleh keluar!” Kuat suara Tengku Haikal.
Langkah Zulaikha terhenti serta-merta. Bibirnya digigit menahan rasa sakit hati. Apa lagi yang dimahukan oleh si singa beku itu?
“Hukuman awak belum habis.” Tengku Haikal berjalan dekat Zulaikha dan dikelilingi.
Zulaikha tertunduk, tidak membalas kata-kata Tengku Haikal dan tidak sanggup memandang wajah itu lagi. Takut hilang rasa sabarnya.
“Saya cakap dengan awak, pandanglah sini!” sergah Tengku Haikal kuat.
Zulaikha kembali mendongak dan dibalas pandangan Tengku Haikal seperti yang diinginkan. Menanti hukuman seterusnya, asalkan tidak keterlaluan.
“Tadi, saya nampak awak kemas meja, apa kata sekarang awak kemas meja saya pulak. Hmm, kalau kemas satu bilik terus lagi bagus kut.”
“Tapi, saya masih ada tugas yang perlu disiapkan. Lagipun tugas yang Tengku Karl arahkan ni bukan tugas saya, tapi Kak Milah. Apa kata nanti saya beritahu Kak Milah, Tuan Karl minta dia bersihkan bilik ni sekarang?” jawab Zulaikha kurang senang dengan arahan majikannya.
Tengku Haikal mencemik.
“Saya arahkan awak, bukan Kak Milah. Faham bahasa ke tak?” Lantang suara Tengku Haikal mengarah.
“Tapi, saya perlu siapkan tugas saya,” jawab Zulaikha. Ini sudah ke berapa kali tugasnya tertangguh gara-gara Tengku Haikal.
“Saya tak peduli. Saya nak awak yang bersihkan bilik ni dan jangan sesekali arahkan Kak Milah,” arah Tengku Haikal. Puas hati bila dapat kenakan Zulaikha. “Saya tak mahu tengok sikit pun ada habuk. Cermin tu, kalau boleh biar nampak macam tak ada cermin, bersih!”
Tidak lepas Zulaikha memandang Tengku Haikal di depannya. Arahan yang tidak masuk akal. Rasa macam nak telan orang sahaja saat ini.
“Awak dengar tak arahan saya?” soal Tengku Haikal dengan wajah yang cukup bengis.
Zulaikha diam tidak berkutik. Mulutnya terus dikunci rapat dengan ketapan gigi kejap.
Tengku Haikal aturkan langkahnya dekat Zulaikha.
“Sila lakukan tugas yang saya arahkan, sekarang!” arah Tengku Haikal dan terus melangkah keluar tanpa rasa bersalah.
Tidak lepas Zulaikha melihat Tengku Haikal hingga tubuh itu hilang daripada pandangan mata. Bergetar badannya dengan mulut bising mengomel tindakan Tengku Haikal. Makin membara pula hatinya kepada Tengku Haikal. Sesedap hati mengarah dia lakukan tugas yang lari daripada tugasnya yang sebenar.
Tugas yang diarahkan Tengku Haikal dilakukan segera. Nanti bising pula Tengku Haikal. Habuk-habuk di setiap rak dan meja itu disapunya bersih. Lantai yang sikit berdebu turut dibersihkan.
“Berapa lama agaknya Kak Milah ni tak cuci bilik singa ni?” rungut Zulaikha. Kayu mop itu ke hulur ke hilir ditolaknya ke lantai.
Siap mengemop dia lakukan tugas lain pula. Sementara menanti lantai itu kering, Zulaikha mengambil tuala kecil dan direndamkan ke dalam baldi yang berisi dengan air bersih. Cermin di bilik Tengku Haikal dibersihkannya.
“Nak sangat cermin ni macam tak ada cermin, pecahkan ajelah! Banyak pulak songehnya. Ingat aku ni maid dia ke?” bentak Zulaikha geram.
Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Sudah setengah jam dia habiskan masa di bilik ini. Satu kerjanya masih belum disiapkan. Mahu Tengku Malik minta awal sehari tugasannya, apa yang mahu dijawabnya?
Ouch!” Nyaring jeritan Marsha.
Kalut Zulaikha menoleh. Tergelak Zulaikha melihat Marsha yang sudah bagaikan nangka busuk di lantai yang masih basah.
“Apa yang kau buat kat bilik ni, hah? Habis basah lantai ni.” Pinggangnya yang terasa sakit akibat hentaman kuat tadi dipicitnya. Mulutnya sudah seinci memuncung.
“Aku buat kerjalah. Tak nampak ke?” jawab Zulaikha. Tangannya terus mengelap cermin tingkap di bilik itu. Biar bersih seperti yang diharapkan.
“Bodohlah kau ni! Sejak bila kau jadi mak cik cleaner kat sini? Karl mana?” Kasar bicara Marsha. Sesuka hati menggelarkan orang dengan panggilan bodoh.
“Tak tahu, aku bukannya pengasuh dia.” Acuh tak acuh sahaja jawapan yang dijawab. Malas nak melayan si singa betina.
“Apa yang kau tahu?” Bergetar badan Marsha.
Dia cuba bangun daripada jatuhnya. Tanpa disedari dia tertarik baldi yang berisi dengan air yang sedikit kehitaman. Tertumpah air itu, menyebabkan dia sedikit tersembam. Habis pakaiannya dibasahi air kotor itu.
“Eee, kotornya. Busuk pulak tu. Ini semua sebab kau!” Kuat suara Marsha menengking Zulaikha. Sakit hati sekali bila dirinya dibasahi dengan air perahan lantai.
“Siapa suruh kau tarik baldi tu?” Sinis sahaja pertanyaan Zulaikha.
Soalan yang menghangatkan hati Marsha. Berketap giginya dan membulat biji matanya. Pakaiannya yang basah itu disapu-sapu dengan tangannya.
“Itulah, lain kali hati-hati. Ada mata guna, bukan simpan dalam poket,” kata Zulaikha sambil tertawa kecil. Langsung tidak dihiraukan Marsha. Dia jatuh sendiri, bangun pun sendirilah!
“Kurang ajar kau ni, kan?” Hangat pula hati Marsha.
“Mana ada aku kurang ajar. Aku cakap benda yang betul aje. Takkanlah kau tak nampak ada baldi kat situ?” balas Zulaikha lagi. Tangannya terus mengelap cermin dengan kain basah.
“Kau memang sengaja nak cari fasal dengan aku, kan? Aku bosanlah tengok muka kau yang perasan cantik ni. Lepas tu buat baik ambil hati Karl sampai sanggup jadi cleaner balaci ni.” Tidak puas hati Marsha.
Bukannya dia tidak perasan, Tengku Haikal selalu memerhati Zulaikha. Sejak Zulaikha berkerja di sini, perhatian Tengku Haikal kepadanya berkurang.
“Alhamdulillah, kurnian Tuhan sentiasa sempurna,” balas Zulaikha tersimpul senyum.
“Kau jangan nak tunjuk bagus sangatlah, Zulaikha!” Kuat suara Marsha menjerit. Sudah lama dia tidak puas hati dengan Zulaikha.
Pintu bilik itu terkuak luas. Terhenti tugas Zulaikha bila melihat Tengku Malik berdiri di daun pintu dengan pandangan tajam. Air liur ditelan kelat.

Zulaikha berdiri tegak berhadapan dengan Tengku Malik, begitu juga Marsha berdiri di sebelahnya.
Kedua-dua tubuh yang berdiri di depannya itu dipandang lama oleh Tengku Malik. Dari segi penampilan dan sikap, banyak perbezaan antara mereka berdua. Dari tadi, Zulaikha hanya membisu, Marsha pula mengomel perlahan sambil tangannya tidak habis menggosok pakaiannya yang basah.
“Kamu berdua ada masalah ke?” Kedua-dua wajah itu dipandang bergilir-gilir.
“Zulaikha bersihkan bilik Tengku Karl. Macam tak ada kerja nak buat. Nak pikat Tengku Karl, sebab tu sanggup buat macam tu,” adu Marsha lagi.
So? Kenapa awak basah? Awak tak sempat nak berendam di rumah ke, sampai bilik Tengku Haikal habis basah?” Sinis sahaja soalan Tengku Malik.
Zulaikha hanya menyembunyikan rasa geli hatinya. Ditahan tawanya daripada terus meledak.
“Bukan, Tengku! Ini semua sebab perempuan ni, cuai buat kerja. Sebab dia saya tergelincir, habis baju saya basah.” Bajunya ditepis-tepis bagaikan dapat membuang kekotoran yang melekat.
“Ia ke, Zulaikha?” Pandangan Tengku Malik jatuh kepada Zulaikha pula.
Zulaikha hanya menganggukkan kepalanya. “Memang saya bersihkan bilik Tengku Haikal. Tapi, bukan sebab saya Marsha jatuh dan basah. Itu kecuaiannya sendiri.”
Amboi, berani mengadu kat bakal bapa mertua aku? Kurang ajar kau Zulaikha. Bergetar badan Marsha menahan rasa amuknya kepada Zulaikha. Zulaikha yang berdiri di sebelah ditolaknya.
Enough, Marsha!”
Marsha menghentikan perbuatannya bila disergah Tengku Malik.
“Bilik saya bukan tempat untuk bergaduh. Please respect!” Tegas suara Tengku Malik.
“Kenapa awak buat semua kerja cleaner tu, Zulaikha? Saya minta awak siapkan akaun yang saya nak tu.” Tajam anak mata Tengku Malik menangkap wajah Zulaikha.
Marsha tersengih puas bila Tengku Malik sedikit berkeras dengan Zulaikha.
“Tengku Karl yang minta saya bersihkan bilik dia, Tengku,” terang Zulaikha sedikit gugup. Pasti Tengku Malik pelik, mengapa dia yang perlu lakukan semua tugas Kak Milah.
“Tengku Haikal?” Nama anak terunanya itu ditekan.
Zulaikha menganggukkan kepala. Berketap bibirnya. Patutkah dia ceritakan semua itu kepada Tengku Malik?
Why?” Berkerut muka Tengku Malik. Hairan. Mengapa Zulaikha diarahkan melakukan tugas pencuci pejabat? Sedangkan Zulaikha ada tugas penting yang perlu diselesaikan.
“Haikal... Haikal... Tak habis-habis lagi,” rungut Tengku Malik perlahan. “Mana Haikal?”
“Saya tak tahu, Tengku. Dia terus keluar macam tu aje tadi,” beritahu Zulaikha. Masih kaku tidak bergerak.
“Haikal ni pun satu. Kenapa dia suruh awak buat kerja cleaner semua tu? Dan awak Marsha, kenapa tersengih-sengih, terkinja-kinja dari tadi? Seronok?” Bulat mata Tengku Malik jegil kepada Marsha. Dari ekor matanya tadi dapat dilihat sikap Marsha.
“Err, saya... saya...” Gelisah Marsha. Pakaiannya yang basah dan busuk itu membuatkannya tidak senang duduk lagi lama apatah lagi perlu berhadapan dengan Tengku Malik dalam keadaan begini.
“Berapa lama awak kerja di sini, Marsha?” soal Tengku Malik serius.
Wajah itu direnung tunak. Langsung tidak berkenan di hati. Perempuan begini yang Tengku Haikal ingin jadikan teman? Sampai ke sudah dia tidak akan izinkannya terjadi.
“Setahun setengah, Tengku,” jawab Marsha yakin.
“Awak tahu tak peraturan syarikat ni?” soal Tengku Malik lagi.
Dari awal pertubuhan syarikatnya, sudah termaktub beberapa syarat untuk para pekerja. Dalam ramai-ramai pekerjanya, hanya Marsha seorang sahaja mengingkari syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Marsha tertunduk. Perlahan-lahan kepalanya mengangguk
“Awak tahu, tapi kenapa tak ikut peraturan? Atau awak dah tak cukup duit mahu beli pakaian yang tutup tubuh awak tu?” Sinis sahaja soalan itu meniti di bibir Tengku Malik. Kurang senang dengan cara pemakaian Marsha yang terlalu terdedah.
“Saya dah biasa macam ni, Tengku,” jawab Marsha langsung tidak berasa segan, seolah-olah jawapannya itu cukup terbaik.
Menggeleng Tengku Malik mendengar jawapan selamba Marsha. Jawapan Marsha menambahkan lagi sikap sebenar gadis itu.
“Senta Holdings tak benarkan pekerjanya memakai pakaian sebegini. Awak tengok Helan, walaupun dia bukan Muslim dia menghormati peraturan syarikat ini. Tak ada pula dia pakai kain atas pada lutut, baju dedahkan dada. Selalu juga saya tengok dia pakai baju kurung,” tegas Tengku Malik.
“Saya nak cantik, mestilah saya pakai macam ni.” Marsha menjawab kata-kata Tengku Malik. Walaupun perlahan suaranya, kata-kata itu jelas didengar Tengku Malik.
For what?” Menjegil Tengku Malik. Jawapan yang mengejutkan dan tak disangka. Jauh sangat anak gadis itu menyimpang, jauh daripada landasan Islam yang sepatutnya.
“Sebab nak goda staf di sini?” sambung Tengku Malik tegang.
“Err, saya...” Gugup Marsha hendak membalas pertanyaan Tengku Malik kali ini. Dia mati kata-kata.
“Kalau awak nak cantik, biar cantik di mata lelaki yang akan jadi suami awak nanti. Kalau awak tak boleh ikut syarat syarikat ni, awak boleh kerja di tempat lain. Mulai saat ini, saya tak mahu tengok awak dengan pakaian begini. Dan saya tak mahu awak dekat dengan anak saya Tengku Haikal. Tolong jauhkan diri daripada Tengku Haikal.” Amaran tegas diberikan kepada Marsha.
“Ba... ba... baik, Tengku.” Gugup Marsha menjawab. Ditelan liurnya bila terus digasak Tengku Malik.
“Awak boleh keluar sekarang,” arah Tengku Malik kepada Marsha. Dihantar Marsha keluar hingga hilang daripada pandangan mata.
Matanya kembali tertumpu kepada Zulaikha yang masih ada di biliknya. “Dan awak Zulaikha. Saya ada hal nak cakap dengan awak sedikit.”
Zulaikha menganggukkan kepalanya tanda faham. Dia puas hati sekali dengan tindakan yang diberikan kepada Marsha. Bukan kerana dia cemburu keakraban Marsha dan Tengku Haikal. Kehadiran Marsha hanya memburukkan imej syarikat dengan sikapnya yang suka menggoda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan