Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 9

ALFATAH merenung seketika tingkah mereka berdua di ruang tamu sebaik sahaja menekapkan kaki di anak tangga terakhir. Televisyen yang menyala dipandang silih berganti.
“Zaffi, Muzaf, lupa ke peraturan nombor satu?” soal Alfatah, mengingatkan perjanjian mereka bertiga.
Gadget berbentuk segi empat itu seolah-olah melekat di tangan masing-masing. Mereka leka bermain aplikasi permainan dalam alat tersebut.
Alfatah menggelengkan kepala. Tanpa berlengah, dia menekan satu butang yang terdapat pada televisyen lalu ia terpadam.
“Peraturan pertama, jangan membazir elektrik. Matikan bila dah tak guna. Pak su dah cakap hari tu, kan? Selain elakkan bil naik, kita kena jimatkan tenaga. Macam kitar semula barang.”
“Tadi ada cerita kartun. Sekarang dah habis. Kan tengah iklan tu,” bidas Rayhan Muzaffar. Jari-jemarinya ligat melungsuri permukaan skrin iPad.
“Ha, jawab apa yang pak su cakap. Kalau tengok, kenapa dari tadi main game? Ingat pak su tak nampak ke? Sekarang ni pun pak su cakap, kau orang tengah main game, kan?”
Anak kecil itu tidak menjawab.
Suasana rumah menjadi sepi. Jam pada dinding dipandang sekilas oleh lelaki tersebut. Waktu menjengah 8.15 malam.
“Dah siap kerja sekolah belum?”
Pergerakan tangan Rayhan Muzaffar terhenti. Dia memandang insan yang seirasnya. Rayhan Muzaffirah duduk bertentangan.
“Mana ada kerja sekolah,” balas Rayhan Muzaffirah.
Timbul syak dan hairan di hati Alfatah usai mendengar penjelasan pendek itu. “Dari hari pertama sekolah kat sini sampai hari ni, cikgu tak pernah beri kerja sekolah? Asal pak su tanya, itu aje jawapannya.”
“Dah memang cikgu tak kasi. Kalau ada pun, bukan pak su nak tengok.”
“Zaffi, bila pak su tanya, tak boleh jawab elok-elok?”
Kanak-kanak itu menarik muka masam. Dia membiarkan sahaja pertanyaan tersebut.
Alfatah melepaskan lelah. Memang sakit kepala dengan budak-budak ni. Sudahnya, dia biarkan sahaja mereka berdua di situ. Dia berjalan menuju ke dapur untuk mengisi perut. Detik itu juga, langkahnya terhenti. Tudung saji anyaman mengkuang berada di atas meja. Semasa balik kerja petang tadi, tidak perasan pula. Dia terus ke bilik.
“Siapa yang hantar makanan ni? Nenek Jora ke?” soal Alfatah sebaik sahaja melihat ada tiga hidangan nasi yang dibungkus dengan telur.
Sekali pandang seperti nasi goreng pataya. Terdapat satu pinggan lauk berwarna seakan-akan masakan paprik. Alfatah menguis-uis sedikit makanan tersebut dengan menggunakan sudu. Campuran sosej berbentuk koktel, lobak merah, jagung muda dan tomato diadun menjadi lauk.
Sewaktu mendengar pertanyaan tersebut, cepat-cepat Rayhan Muzaffar mencuci tangan lalu menuju ke meja makan. Dia mengambil tempat.
“Kakak Tilam yang masak.”
“Kakak Tilam?” tanya lelaki itu dengan kehairanan.
“Yalah, kakak yang jaga Muzaf tulah.”
“Kak Nil?”
Rayhan Muzaffar mengangguk.
“Kakak Tilam ke Kakak Nilam?”
“Sama aje bunyinya. Muzaf nak panggil dia Kakak Tilam. Kakak Tilam cakap dia masak lebih untuk makan malam. Petang tadi Muzaf makan, sedap. Muzaf suka. Zaffi pun.”
“Zaffi tak cakap pun Zaffi suka.”
“Kalau tak suka, kenapa Zaffi makan sampai habis?”
“Zaffi lapar. Kalau tak lapar, Zaffi tak makan. Zaffi nak makan piza.”
“Kakak Tilam cakap, tak bagus makan piza selalu. Zaffi tak ingat ke?”
“Zaffi tak suka kakak tu. Pandai-pandai aje Muzaf cakap Zaffi suka.”
“Muzaf tak cakap yang Zaffi suka Kakak Tilam. Muzaf cakap Zaffi suka kakak tu masak.”
“Muzaf, mana ada...”
“Sudah, tak payah nak gaduh. Zaffi, mari sini makan,” potong Alfatah, menyekat pertengkaran dua beradik itu.
“Zaffi tak nak.”
“Jangan nak mengada-ada. Kakak dah masak untuk kita, kan? Sama macam Cik Yah masak untuk Zaffi juga. Apa lagi yang Zaffi nak?”
“Zaffi tak nak duduk sini. Zaffi tak suka pak su, Zaffi tak suka kakak. Zaffi nak balik rumah. Itu yang Zaffi nak. Pak su tak faham-faham ke?” beritahu Rayhan Muzaffirah dengan nada tegas.
“Zaffi! Satu hari tak buat perangai tak boleh ke?!” Bergema suara Alfatah di segenap ruang yang ada. Matanya membuntang luas, menahan marah.
“Pak su dah cakap banyak kali pasal hal ni. Nak pak su ulang berapa kali?”
“Pak su jahat!” Rayhan Muzaffirah menghentak kaki. Dia sempat memberi jelingan sebelum bertindak menaiki tangga.
Rayhan Muzaffar yang berada di meja makan hanya tertunduk. Terenjut bahunya melihat Rayhan Muzaffirah dimarahi Alfatah sekali lagi.
“Nanti pak su suruh Zaffi makan. Muzaf makan dulu,” pinta Alfatah.
Dia melabuhkan punggung di kerusi bahagian kepala meja. Usai membaca doa, Alfatah memotong sedikit telur dadar nipis yang membungkus nasi putih tersebut. Pandai juga Nil ni guna bahan yang ada kat dalam peti sejuk tu jadi lauk, puji lelaki tersebut dalam hati.
“Kenapa pak su tak makan? Kakak masak sedap. Macam Cik Yah juga.”
“Sedap?”
“Sedap. Muzaf tak pernah makan sosej masak macam ni.”
Tatkala mendengar pujian Rayhan Muzaffar, Alfatah mencedok lauk tersebut ke atas pinggannya. Perlahan-lahan dia menjamah. Boleh tahan juga Nil masak. Buat kerja pun rajin. Sekali lagi, tanpa Alfatah sedar, dia memuji gadis yang tidak dikenali itu.
Suapan kedua singgah ke dalam mulut. Dia menikmati santapannya dengan perasaan puas hati. Sebelum turun ke bawah tadi, dia memeriksa kamar anak saudaranya. Semua tersusun rapi. Seragam sekolah untuk esok hari telah tergantung kemas pada dinding. Keadaan rumah juga lebih terurus. Ruang tamu tidak bersepah. Semua kena pada tempatnya.
Memang berbaloi dia bertemu dengan Wak Jopri pagi tadi.
Setelah menikmati separuh nasi yang berada di pinggan, Alfatah bangun, menuju ke dapur. Gelas yang berada di kabinet digapai. Dia mahu mengambil minuman di dalam peti sejuk. Namun, niat untuk mengisi ruang kosong gelas dengan air terhenti. Matanya tertumpu pada nota yang dilekatkan bersebelahan dengan peraturan rumah.

Bos, saya rasa bos kena beli bahan mentah. Ayam ke, ikan ke. Sebab budak nak membesar tak elok makan makanan beku ni. Harap bos dapat pertimbangkan.
Terima kasih :)

Alfatah tersenyum sekejap membaca nota itu. Boleh pula Nilam Qadheera letak ikon smile. Kalaulah dia tahu siapa bos yang dia maksudkan, mahu ke dia letak ikon tu? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan