Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 15 Februari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 10

KAMAL resah. Sekejap-sekejap dia tengok jam. Tak masuk kerja lagi ke Nuha ni? Sekarang sudah hampir pukul 10.00 pagi. Takkan teksi buat hal lagi kut? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Bunyi interkom membuatkan dia tersentak.
“Abang, ada orang nak jumpa. Boleh bagi dia masuk?” Suara Qistina bergema di talian.
“Klien ke?”
“Bukan. Katanya tak ada kena-mengena dengan mana-mana kes. Dia cuma cakap nak jumpa abang.”
“Okey, suruh dia masuk sekarang,” putus Kamal.
Dia menanti orang yang dimaksudkan oleh Qistina tadi. Kemudian terdengar bunyi ketukan pintu. Apabila pintu terkuak, muncul seorang lelaki yang tidak dikenali dengan gaya penampilan selekeh.
“Encik Kamal Ghafari?” sapa lelaki itu.
Kamal mengangguk.
“Ya, saya. Awak ni siapa? Ada urusan apa nak jumpa dengan saya?” soalnya masih tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki di hadapannya itu.
“Saya, Fadil. Saya datang bagi pihak Nuha untuk serahkan MC ni,” ujar Fadil seraya meletak sekeping kertas di atas meja Kamal.
“Kenapa dengan dia? Demam lagi ke?” Kamal bertanya lagi tanpa ada hati hendak membaca butir-butir yang tertulis di dalam MC tersebut. Dia rasa Nuha baru sahaja bercuti sebab jatuh demam tempoh hari.
“Dia jatuh. Kaki terseliuh,” beritahu Fadil.
Kamal terkesima. Dia merenung Fadil lama. Siapa lelaki ini? Bagaimana dia tahu apa yang berlaku kepada diri Nuha?
“Apa hubungan awak dengan Nuha?”
“Kawan.”
“Kawan biasa ke kawan istimewa?”
Fadil mula dapat menebak baur cemburu di sebalik pertanyaan itu.
“Kenapa, Encik Kamal? Encik Kamal ada masalah ke kalau saya dan Nuha lebih daripada seorang kawan?” soalnya berniat ingin menduga.
Air muka Kamal terus berubah. Namun, dia tetap bersikap tenang. “Saya tanya aje. Baguslah dia ada kawan yang prihatin macam awak.”
“Saya nak sampaikan itu aje. Saya minta diri dulu,” ujar Fadil lalu terus keluar.
Kamal mengambil surat MC Nuha dan merenung lama. Hai, nampaknya terpaksa tanggung rindu lagilah, keluhnya dalam hati.
Tidak lama selepas itu, Qistina pula masuk ke dalam bilik pejabat Kamal. “Siapa lelaki selekeh tadi tu, abang? Ada urusan apa dia jumpa abang? Datang minta derma ke?”
“Dia kawan Nuha. Datang hantar MC Nuha. Nuha cuti tiga hari,” nyata Kamal.
Mata Qistina terbuntang.
“Apa?! Cuti lagi? Alasan apa pulak dia beri kali ni?” soalnya tidak berpuas hati.
“Kaki terseliuh.”
Qistina mencebik. “Ia ke? Abang percayalah ni?”
“Habis, bukti dah ada kat depan mata. Takkanlah abang nak pertikai pulak?” balas Kamal sambil menunjukkan MC Nuha.
“Qist tak percayalah. Dia tu banyak muslihat. Entah-entah dia sengaja mereka-reka cerita sebab malas nak datang kerja. Setakat MC tu orang boleh belilah, abang,” tuduh Qistina berprasangka.
“Abang percaya dia. Lagipun dia tak pernah berbohong.” Kamal mempertahankan Nuha.
“Hmm... Yalah, sebab dah tergila-gila sangat dengan si perempuan tu, kan? Dia buat apa-apa pun abang percaya aje. Abang ni tak boleh ke jatuh cinta dekat perempuan yang ada kelas sikit? Abang tu peguam. Takkanlah nak mengurat tukang sapu pulak? Malulah sikit.”
“Apa Qist merepek ni? Tak baiklah cakap macam tu. Dah hati abang terpaut. Nak buat macam mana?”
“Pilihan abang tu kolot. Kalau abang kahwin dengan dia, memang Qist tak nak mengaku dia tu kakak ipar Qist.”
“Apa masalah Qist ni? Suka hati abanglah nak jatuh cinta dekat sesiapa pun.”
“Memanglah itu hak abang. Tapi, pilihan abang tu salah. Mama dan papa mesti tak setuju kalau abang pilih dia. Percayalah,” tegas Qistina bersungguh-sungguh.
Andai kata kedua-duanya bersetuju, dia tetap akan hasut supaya Nuha tidak diterima dalam keluarganya.
“Sebab apa? Sebab dia tu tukang sapu? Apa susahnya? Nanti abang naikkanlah pangkat dia jadi kerani atau PA abang,” balas Kamal membuatkan rahang Qistina bagaikan hendak patah.
“Apa? Eii! Tolonglah... Agak-agaklah sikit kalau sayang pun. Jangan jadi bodoh sangat!”
“Dahlah, Qist. Tak payah sibuk nak pertikai pilihan abang. Sekarang pergi buatkan abang abang air. Nuha tak ada, Qist kena ambil alih tugas dia,” arah Kamal.
Qistina terlopong. Hisy! Ini yang aku tak suka ni.

LANGKAH Fadil terhenti di depan sebuah kedai alatan muzik. Gitar yang terpamer di sebalik cermin kaca menarik perhatiannya. Dia terus masuk ke dalam kedai. Telan air liur dibuatnya melihat harga yang terpamer pada gitar itu. Nak beli sekarang memang tidak mampu. Hanya mampu tengok sahajalah.
Setelah agak lama menghabiskan masa di situ, dia keluar beli air dan duduk melepak di tepi siar jalan. Sambil minum, dia memerhati gelagat orang ramai yang lalu-lalang di situ.
Hari ini terasa hendak bersendirian. Nak pergi busking pun tidak ada mood mengenangkan gitarnya sudah patah dua. Terasa seperti separuh jiwanya dibawa pergi. Dalam masa yang sama fikirannya turut teringatkan uji bakat yang dia hendak sertai.
Fadil menghembus nafas. Dia keluarkan telefon bimbit dari poket jean. Telefon Nokia model 1280 itu direnung seketika sebelum menekan menu contacts, melihat senarai nama kawan-kawan. Apabila sampai ke nama Nuha, matanya terpaku lama di situ.
Nombor Nuha itu dia salin daripada telefon bimbit ayahnya. Tetapi, tidak pernah lagi dia berhubung dengan Nuha menggunakan telefonnya sendiri. Namun, tidak semena-mena terdetik dalam hati hendak menelefon Nuha. Dia terus membulatkan tekad.
“Hei, aku ni. Fadil,” katanya memperkenalkan diri sejurus Nuha menjawab panggilan.
“Awak? Ada apa ni telefon saya?” soal Nuha dengan nada terkejut. Dia tidak menyangka Fadil menelefonnya.
“Tak ada apa-apa. Cuma nak beritahu MC kau aku dah kasi dekat bos kau tadi.”
“Terima kasih.”
No hal. Kau tengah buat apa?”
“Apa aje yang saya boleh buat dengan kaki sakit macam ni?” Nuha menyoal kembali seolah-olah menyindir.
Fadil bergumam. Hilang sudah modal hendak bercakap apa lagi.
“Kalau macam tu kau rehat ajelah. Tak payah bergerak banyak sangat. Karang lambat baik pulak kaki kau tu.”
“Fadil...”
Panggilan Nuha membuatkan Fadil tidak jadi hendak memutuskan talian. Mendengar Nuha menyebut namanya terasa seperti ada rasa aneh menyapa hatinya.
“Hmm...” balasnya malas, cuba menyembunyikan debaran yang sedang dirasai.
“Awak nak makan kek coklat tak? Malam tadi saya ada buat banyak.”
“Kaki sakit macam tu pun kau masih ada hati buat kek?”
“Saya tak boleh tidur. Jadi, saya buatlah untuk hilangkan rasa bosan. Kalau awak nak makan, datanglah ke rumah saya. Ha, nanti boleh bawa balik untuk Pak Awi sikit,” pelawa Nuha.
“Ayah aku tu tak makan sangat makanan manis. Tapi, aku makan aje. Okeylah, sekejap lagi aku pergi rumah kau,” putus Fadil. Rezeki jangan ditolak. Dia pun belum makan apa-apa lagi. Bolehlah buat alas perut.
“Okey. Assalamualaikum.”
“Nuha, sekejap!” Fadil menghalang Nuha memutuskan panggilan.
“Apa?” soal Nuha dengan nada terpinga-pinga.
“Kau tak rindu dekat aku, kan?”
“Ha? Apa maksud awak ni?” tanya Nuha terkejut.
Fadil tersenyum senget. Dia boleh membayangkan bagaimana reaksi muka Nuha sekiranya Nuha berada di depannya sekarang. “Kutlah kau suruh aku datang sebab nak lepas rindu tengok muka aku ke?”
“Perasan macam nak minta kena tempeleng aje awak ni. Dahlah. Kalau awak nak datang, datang. Kalau tak nak, sudah. Saya pun tak paksa!” kata Nuha lalu menamatkan perbualan.
Fadil ketawa geli hati. Mesti Nuha bengang habis dengannya.

“MAK, sekejap lagi Fadil nak datang. Nanti mak jangan tanya dia soalan bukan-bukan tau,” pesan Nuha siap-siap. Dia tidak mahu kejadian semalam berulang kembali. Malu dia dengan Fadil.
Mak Siti memandang Nuha dengan reaksi terkejut. “Datang nak hantar sup lagi ke?”
“Taklah. Nuha nak kasi kek coklat ni. Kan ada banyak lebih,” ujar Nuha.
“Mak tengok Fadil tu gaya dia serabai aje. Dia memang macam tu ke?”
Nuha tergelak kecil mendengar emaknya kompelin tentang penampilan Fadil. “Dah dia suka bergaya selekeh macam tu. Nak buat macam mana?”
“Bila tengok betul-betul muka dia tu, nampak boleh tahan kacak jugak orangnya. Tapi, tang rambut dia mak memang tak berkenan. Kalau dia potong pendek mesti lagi kacak.”
“Biarlah, mak. Rambut dia. Suka hati dialah nak buat stail macam mana pun. Nuha berkawan dengan dia tak pernah terfikir pulak pasal gaya dan penampilan dia tu. Dah dia selesa macam tu, biarlah,” ujar Nuha sambil memotong kek menjadi potongan kecil.
Mak Siti mengerling Nuha sekilas. “Kau berkawan dengan dia tak pernah terfikir pasal kahwin ke?”
Nuha mengeluh. “Mak ni dah mulalah tu. Nuha baru aje kenal dia, mak. Tak sampai sebulan pun lagi. Tapi, mak dah cakap pasal soal kahwin. Mak, tak payah risaulah pasal soal jodoh Nuha tu. Bila dia sampai nanti memang automatik mak dan ayah akan dapat menantu.”
Hmm... Bosannya asyik bercakap pasal jodoh aje, keluh Nuha dalam hati. Dia tidak tahu mengapa bagi emak dan ayahnya, soal itu seperti penting sangat. Bagi dia biasa-biasa sahaja.
“Mak bukannya apa. Umur kau sekarang dah 27 tahun. Semua adik kau dah tamat zaman bujang dia orang. Tinggal kau aje yang masih tak jumpa calon suami. Macam mana mak dan ayah tak risau?”
“Mak dengan ayah risau sebab takut Nuha jadi anak dara tua, kan? Alah, zaman sekarang ni kalau tak jumpa jodoh sampai umur 30 tahun pun orang dah tak hairanlah, mak...” balas Nuha.
“Hisy! Mak tak naklah kau kahwin lambat-lambat. Kalau boleh biarlah sebelum umur 30 tahun,” kata Mak Siti.
“Dah tu kalau jodoh Nuha belum sampai nak buat macam mana? Lagipun nak kahwin cepat-cepat bukannya Nuha ada duit sangat pun. Gaji cukup-cukup makan aje. Simpan duit nak kahwin pun terkial-kial.”
“Pasal tu kau tak payahlah risau. Nanti mana-mana yang tak cukup, mak dengan ayah tolonglah tambah sikit-sikit.”
“Nuha tak naklah macam tu. Lebih baik mak dengan ayah simpan aje duit tu buat belanja pergi haji.” Nuha tidak bersetuju dengan cakap Mak Siti. Dia yang nak kahwin, mak dan ayah pula yang hulur duit. Memanglah dia tidak sudi hendak terima.
“Setakat nak ringankan beban kau, tak jejas pun duit simpanan kami nak pergi haji,” ujar Mak Siti lagi.
Nuha mula berasa rimas. Dia potong sana, emaknya potong sini. Beri hujah bernas pun dia tetap kalah juga.
“Dahlah, mak. Tak naklah cakap pasal hal kahwin ni lagi. Ha, tu... Fadil dah sampai. Mak tolong pergi jenguk sekejap, boleh? Ajaklah dia naik datang sini,” pinta Nuha.
Mujurlah Fadil datang tepat pada waktunya. Berjaya juga dia menamatkan topik yang merimaskan kepalanya itu.
Mak Siti bergegas menyambut kedatangan Fadil di muka pintu.

“FADIL, jemputlah naik. Nuha ada dekat dapur.” Ramah Mak Siti mempelawa Fadil naik ke atas rumah.
Namun, Fadil menolak. “Tak apalah, mak cik. Saya duduk dekat luar ajelah.”
“Janganlah segan-segan. Bukannya tak pernah datang. Mari naik, kita duduk sembang dekat dapur. Nuha pun ada tengah potong kek.”
Fadil serba salah. Ramah pula emak Nuha ni. Sampai ke dapur mengajak dia bersembang. Melihat kesungguhan wanita itu, akhirnya dia bersetuju. Setibanya di dapur, dia tengok semua sudah tersedia. Ada kek dan air kopi terhidang di atas meja. Malah, kek yang Nuha beritahu hendak beri kepada ayahnya juga sudah siap-siap dibungkus di dalam plastik.
“Duduklah, awak...” Nuha pula mempelawanya.
Perlahan-lahan Fadil menarik kerusi di hadapan Nuha.
“Rumah kau ni berpesta makan kek coklat ke?” soalnya.
Nuha ketawa. “Kek ni satu rumah saya suka makan. Jadi, saya buatlah banyak-banyak. Buat sikit-sikit nanti tak cukup pulak.”
“Kau tak pantang makan ke?”
“Pantang makan apa? Pantang tengok makan sedap semua dia nak makan,” sampuk Mak Siti.
Fadil mula menjeling Nuha dengan rasa hendak marah. “Mana boleh macam tu. Nanti lambat pulak baik kaki kau tu. Dahlah kau banyak bergerak. Kau memang tak nak bagi kaki kau sembuh sampai bila-bila ke?”
“Bukan makan banyak sangat pun. Sekadar nak merasa aje,” pertahan Nuha.
Dah Fadil ni, kenapa? Macam mak nenek sahaja membebelkan dia. Terlebih prihatinlah pula.
“Kau ni berpantang tu biarlah betul-betul sikit. Kek-kek ni semua kalau boleh jangan makan lagi. Elok beri dekat aku semuanya.” Ayat terakhir itu Fadil bisik kepada Nuha supaya tidak didengar oleh Mak Siti. Mujur sahaja ketika itu Mak Siti pergi basuh tangan dekat singki.
Nuha menjeling Fadil. Huh! Tamak betul mamat ni.
“Yang dalam pinggan tu semua untuk awak. Awak makanlah sampai habis. Kalau rasa tak cukup, makan sekali dengan pinggan tu,” sindir Nuha selamba.
Fadil tersengih. Dia mengambil sepotong, bawa masuk ke dalam mulut. Sedap gila! Ini kali kedua dia makan kek yang Nuha buat. Semalam dia dijamu kek batik. Hari ini kek coklat pula. Memang handal Nuha membuat kek.
“Patutlah kau beria-ia sangat nak masuk kelas buat kek tu ya? Rupa-rupanya kau memang pandai buat kek.” Sekarang baru dia faham kegilaan Nuha terhadap kek.
“Saya masuk sebab nak tambah ilmu. Selama ni kalau saya buat, saya tengok resipi dan ikut kepala sendiri aje. Tak tahu mana betul dan salah,” nyata Nuha.
“Kau tak teringin ke nak berniaga kek? Mesti dapat untung banyak kalau ambil tempahan.”
“Saya buat suka-suka ajelah. Lagipun tak tahu laku ke tak kalau saya jual.”
“Kalau sedap macam ni mestilah laku. Betul tak, mak cik?” tanya Fadil kepada Mak Siti yang baru datang kembali menyertai dia dan Nuha.
“Tak payahlah kamu kipas-kipas sangat kek dia tu, Fadil. Mak cik puji tinggi melambung sampai ke langit pun dia beri jawapan sama jugak. Asyik duk risau memanjang kek dia tak ada orang nak beli.” Mak Siti menyindir Nuha secara halus.
“Mak, masalahnya sekarang kalau ada orang sudi beli pun, Nuha tak ada modal nak mulakan perniagaan. Memanglah Nuha teringin nak berniaga. Duit tu, mana Nuha nak cekau? Nak suruh Nuha pinjam dengan along? Tak naklah Nuha.” Nuha menggeleng kepala laju.
Pengalaman lepas sudah banyak mengajarnya. Dia kesal mengambil jalan mudah begitu. Sudahnya dia juga yang dapat susah.
“Hisy! Nak berniaga janganlah pinjam dengan along. Karang punah perniagaan tu along buat kacau kalau tak mampu bayar hutang. Dah banyak dalam surat khabar tunjuk kisah peminjam yang hidup sengsara bila kena kejar dengan along. Janganlah cari masalah dengan dia orang,” nasihat Mak Siti.
“Betul tu, mak cik. Along ni tolong orang mula-mula aje. Lepas tu dia tolong susahkan hidup orang pulak.” Giliran Fadil pula menokok tambah. Dia mengerling Nuha sambil tersenyum.
Nuha hanya diam. Macam perli aku aje Fadil ni.

HAMPIR sejam duduk di rumah Nuha, akhirnya Fadil meminta diri. Nuha menghantarnya sehingga ke luar rumah.
“Terima kasihlah sebab sudi jemput aku makan kek dekat rumah kau. Kenyang dah perut aku sekarang. Lain kali jangan segan-segan jemput aku lagi,” ucap Fadil tersengih-sengih.
“Sama-sama. Yang saya tapau untuk mak dan ayah awak tu jangan awak pergi habiskan pulak. Suruh dia orang makan sampai habis.”
“Aku tahulah. Oh ya... Sebelum aku balik, aku nak tanya kau satu soalan. Bos kau tu suka dekat kau ek?”
Nuha tersentak. “Apa awak merepek ni?”
“Aku tengok dia macam cemburu aje dengan aku tadi,” kata Fadil. Terbayang-bayang lagi reaksi muka Kamal dalam kepalanya. Kelakar.
Cemburu? Sejak bila pula Kamal pandai cemburu dengan dia? Nuha tertanya-tanya. “Dia ada cakap apa-apa ke dekat awak?”
“Dia tanya apa hubungan kau dengan aku.”
“Habis tu, awak jawab apa?”
“Aku cakaplah kau ni makwe aku.”
“Hah?!” Mata Nuha terjegil. “Serius, awak cakap macam tu?”
Fadil mengekek lucu. Lurus bendul juga si Nuha ni. “Aku acah ajelah. Aku cakap aku ni kawan kau aje. Lepas tu dia sibuk pulak nak tahu kategori kawan jenis macam mana. Aku rasa bos kau tu memang syok dekat kaulah. Kau tak perasan ke?”
Merepeklah Fadil ni. Dia hanya menganggap Kamal sebagai bos sahaja. Pasal perasaan Kamal terhadapnya dia tidak pernah mengambil pusing. Takkanlah Kamal suka dia kut? Memang merepek!
“Tanggapan awak aje tu,” kata Nuha malas hendak mengulas panjang.
“Tanggapan aku jarang salah tau. Kesian dia sebab tak dapat tengok muka gadis idaman selama tiga hari. Sesaklah dada tu menanggung rindu.” Fadil menyakat Nuha. Sengaja hendak melihat reaksinya.
“Jangan nak mengarutlah. Bos saya tanya awak macam tu sebab dia memang suka bertanya. Awak tu yang fikir bukan-bukan.”
Fadil herot bibir.
“Dia tanya sebab nak cungkil rahsia. Kalau dia tak kisah, tak adanya sampai persoal aku ni kawan biasa atau kawan istimewa kau. Kau... tak ada apa-apa perasaan ke dekat bos kau tu? Aku tengok dia tu berkarisma jugak orangnya. Tapi...” Dia berjeda panjang sambil tersengih-sengih memandang Nuha.
Nuha sudah pandang Fadil lain macam.
“Tapi, apa?” soalnya tidak sabar hendak tahu.
“Dia tu tua sangatlah untuk kau. Tak sesuai kau bercinta dengan dia. Nanti orang cakap macam pinang tak boleh dibelah pulak.” Fadil menggeleng-geleng sambil membuat mimik muka tidak berkenan.
“Siapa cakap saya bercinta dengan dia? Awak yang pandai-pandai kenenkan saya dengan dia. Eii! Tak ada maknalah saya nak jatuh hati dekat bos sendiri. Dahlah, awak pergilah balik cepat-cepat. Saya malas nak layan cakap-cakap awak yang mengarut tu,” marah Nuha. Dia tolak-tolak tubuh Fadil agar menuruni anak tangga.
“Yalah, aku nak baliklah ni. Tapi, jangan rindu aku pulak lepas ni,” balas Fadil selamba. Dia langsung tidak ambil pot kena halau dengan Nuha.
Nuha mencebik. Rindu dekat Fadil? Tak kuasalah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan