Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 8

BAJUNYA mula berbau busuk itu merimaskan. Tidak pernah dia berpenampilan sebegini. Melihat keadaannya di sebalik cermin, makin bertambah rasa sakit hati kepada Zulaikha.
“Tak boleh jadi ni. Takkan aku nak terus pakai baju busuk ni. Eee, geli!” Kalut kakinya melangkah keluar dari tandas. Tidak dipedulikan mata yang memandangnya dengan sengihan. Melangkah ke tempat duduknya dan dicapai beg tangannya.
“Kak Zah, I nak balik tukar baju sekejap. Kalau Tengku Haikal cari I, you bagi tahu dia ya.” Sempat Marsha meninggalkan pesanannya kepada Kak Zah, kerani data yang duduk di sebelahnya. Langkahnya terus diatur dengan mulut tidak habis bising menghamun Zulaikha.
Sudahlah Zulaikha menyebabkan dia basah, Tengku Malik pula memberi amaran kepadanya agar menjauhkan diri daripada Tengku Haikal. Bukan setakat itu sahaja, cara pakaiannya juga ditegur. Suka hatilah, apa yang ingin dipakainya. Menyibuk!
Ting! Pintu lif terbuka luas. Keluar Tengku Haikal dan Tengku Hakimi dari lif yang ditunggunya.
“Karl, you dari mana ni?” Terserempak juga dengan Tengku Haikal di depan lif. Tengku Haikal tidak keseorangan. Dia ditemani Tengku Hakimi.
“I ada meeting tadi dengan client. Kenapa dengan you ni?” Tengku Haikal sedikit menjauh bila Marsha cuba merapatinya.
“I basah sebab Zulaikha. Lepas ni, I nak you ajar dia puas-puas. Geram I tau...” rengek Marsha mengada-ada. Sengaja ingin ambil perhatian Tengku Haikal.
Tengku Hakimi yang berada di sebelah Tengku Haikal hanya menjuihkan bibirnya. Nak termuntah dengar rengekan manja Marsha yang tak bertempat itu.
“Zulaikha?” Sengaja nama itu ditekan kuat. Apa yang Zulaikha lakukan, hingga Marsha basah kuyup begini?
“I nak cari you tadi kat bilik. Masuk aje bilik terus I tergelincir sebab lantai basah. Bila I nak bangun, I tertarik baldi yang berisi air busuk kehitaman. Ini semua sebab Zulaikha, buat kerja pun tak reti. Tak fasal I jadi macam ni,” cerita Marsha dengan tangannya tidak diam dengan pelbagai gaya. Manja sahaja nada suaranya.
Tengku Haikal memandang Tengku Hakimi. Ikutkan hati mahu sahaja dia meledakkan tawa di situ, tapi tidak sampai hati hati pula. Tengku Hakimi pula sudah mengalihkan pandangannya. Menyembunyikan senyuman yang lekat pada wajah.
“Oh, ya? Kalau macam tu, you balik ajelah. Lagipun, takkan you nak terus kat sini dengan keadaan you macam ni.” Marsha tiada di sini lagi menyenangkan dirinya.
“I balik ya?” rengek Marsha lagi.
“Ya, pergilah. I ada kerja lagi ni.” Tengku Haikal terus menarik Tengku Hakimi, agar mengikut langkahnya.
Marsha tersenyum senang, bila semuanya telah disampaikan kepada Tengku Haikal. Pasti Tengku Haikal akan mengambil tindakan kepada Zulaikha.           
           
TENGKU HAIKAL dan Tengku Hakimi meledakkan tawa besar. Sudah tidak mampu ditahan lama-lama lagi ledakan tawa.
“Hahaha. Padan muka Marsha. Tak tahan aku!” Tengku Hakimi memegang perutnya.
“Tak tahan dengar suara rengekan Marsha ke?” Sinis Tengku Haikal tanya dengan tawa yang masih bersisa.
“Gilalah! Langsung bukan taste aku. Aku ni tak tahan tengok muka dia. Baru puas hati aku tengok dia macam tu,” sambung Tengku Hakimi diselang-seli dengan ketawa.
“Aku pun, inilah balasannya. Tapi, kesian jugak aku tengok dia.” Mengekek Tengku Haikal ketawa kali ini.
“Kesian ke? Jangan cakap, kau pun suka kat dia?” Berkurang sisa tawa Tengku Hakimi. Wajah sepupunya itu dipandang sipi.
“Taklah, mana ada. Mintak simpanglah dapat perempuan macam tu. Kau ingat aku ni tak ada taste yang baik-baik,” balas Tengku Haikal. Mereka berdua mengorak langkah seiring masuk ke biliknya.
“Habis tu, macam mana taste kau?” soal Tengku Hakimi. Ingin tahu juga cita rasa sepupunya itu?
“Adalah.” Jawapan itu disambut dengan suara tawa riuh mereka berdua.
Masuk sahaja ke bilik kelihatan Kak Milah sedang sibuk mengemas. Melihat Kak Milah, hatinya yang tadi tenang kembali membuak, panas hati. Pandai-pandai pula Zulaikha mengarah Kak Milah melakukan tugas yang diarahkan kepadanya.
“Akak, mana Zulaikha?” soal Tengku Haikal.
“Rasanya Zulaikha dah balik ke meja kerjanya, Tengku Karl,” jawab Kak Milah sambil kayu mop terus dihayunkan mengelap lantai yang basah.
“Siapa yang arahkan akak buat semua ni? Zulaikha?” teka Tengku Haikal sedikit kasar. Melampau!
“Aaa...” Gugup pula Kak Milah nak menjawab bila lihat Tengku Haikal membengis.
“Saya tak minta akak yang buatkan semua tugas ni, tapi Zulaikha. Akak berhenti buat semua kerja ni,” arah Tengku Haikal agar tidak meneruskan kerjanya.
Serba salah Kak Milah dengan arahan yang baru diterimanya itu.
“Zulaikha!” Kuat suara Tengku Haikal memenuhi pejabat.
“Cuba cool sikit, Karl. Kalau ia pun marah, tak perlulah jerit bagi satu pejabat dengar,” tegur Tengku Hakimi kurang senang dengan kelakuan Tengku haikal.        
“Aku tak peduli. Dia memang patut dihukum dan dimarah. Disebabkan dia nama aku dah busuk.” Langsung tidak diendahkan nasihat Tengku Hakimi. Tahap amarahnya melebihi segalanya.
Kuat dengusan dilepaskan. Kakinya kembali diaturkan ke muka pintu dan dikuak kembali pintu kasar. Dia perlu memanggil Zulaikha semula. Tiada sesiapa mampu menghalangnya. Baru hendak mengaturkan langkah, Tengku Malik sudah berdiri di depannya.
“Papa...” Liurnya ditelan.
“Kenapa ni Karl?” soal Tengku Malik dengan tangan menyeluk kedua-dua belah poket seluarnya.
“Papa buat apa kat sini? Kan papa bercuti hari ni?” Gugup Tengku Haikal. Langsung tidak menyangka papanya akan datang ke pejabat.
“Tak sedap hati macam ada yang tak kena,” jawab Tengku Malik.
“Kenapa papa cakap macam tu?” Takut-takut Tengku Haikal bertanya. Lain macam sahaja.
“Sebab Karl lakukan perkara yang tak sepatutnya.” Perlahan, tetapi tegas tutur Tengku Malik.
Tengku Haikal tertunduk tidak berani melawan arus renungan Tengku Malik. Hingga terasa getar itu mengganggu emosinya.
“Kenapa Karl minta Zulaikha yang bersihkan bilik ni?” Tengku Malik jongketkan keningnya. Meraih jawapan daripada Tengku Haikal.
Tengku Haikal tunduk dan memberanikan panggung kepala semula. Nafasnya dilepaskan.
“Karl nak hukum Zulaikha,” terang Tengku Haikal tidak berselindung lagi.
“Hukuman untuk kesalahan apa?” soal Tengku Malik lagi inginkan jawapan daripada Tengku Haikal sendiri. Anaknya seorang ini memang suka menghukum orang. Dari dulu sikapnya langsung tidak pernah berubah.
Nafas ditarik sedalam-dalamnya dan dilepaskan perlahan. Matanya yang dipejamkan dicelikkan kembali. “Zulaikha yang sebarkan gosip tentang Karl dengan Marsha tu. Dia yang Karl maksudkan kepada papa semalam.”
Kak Milah yang mendengar terkejut. “Tak mungkinlah, Tengku Karl. Kelmarin tu Kak Milah ada dengar jugak, tapi bukan dari mulut Zulaikha.”
“Habis tu, daripada siapa?” soal Tengku Hakimi.
“Daripada Marsha sendiri. Dia ceritakan kepada Helan dan Emelda. Masa itu ramai juga yang ada dan dengar sebab kuat sangat suara Marsha,” terang Kak Milah.
Tengku Malik, Tengku Haikal dan Tengku Hakimi memandang Kak Milah serentak.
“Ma... ma... maaf, Tengku. Bukan niat saya nak menyibuk. Tapi, saya cakap perkara yang betul aje.” Tertunduk Kak Milah bila semua mata memandangnya. Terasa dia melakukan satu kesalahan besar pula pada saat ini.
Terkebil-kebil mata Tengku Haikal mendengar penjelasan Kak Milah. Tak mungkinlah! Fikirannya jadi tidak tentu arah. Perasaannya sudah bercampur baur.
“Betul ke ni, Kak Milah?” soal Tengku Hakimi lagi ingin kepastian.
Kak Milah menganggukkan kepalanya. Selepas cerita itu diceritakan Marsha, terus ia tersebar ke seluruh pejabat. Semua mula bercerita perihal kejadian antara Marsha dan Tengku Haikal. Dia dengar dengan telinganya sendiri. Mula daripada cerita itulah timbul pelbagai versi cerita yang disampaikan hingga sampai ke pendengaran Tengku Malik.
Diam tidak berkutik Tengku Haikal mendengar penjelasan Kak Milah. Rasa bersalah dan menyesal sudah meresap perasaan. Begitu cepat dia menghukum Zulaikha dengan tuduhannya.         
“Kau dengar tu, Karl. Kan aku dah cakap, bukan Zulaikha yang sebarkan semua fitnah tu. Tapi, kau degil, keras hati, tetap nak salahkan dia.” Tengku Hakimi melepas buah serpih kepada sepupunya itu. Selalu sangat membuat tindakan tanpa usul periksa. Tidak fasal Zulaikha menjadi mangsa tuduhannya.
“Papa tak tahulah apa nak jadi dengan kamu ni, Karl.” Perlahan Tengku Malik menggeleng kepala.
“Karl tak tahu, papa.” Tertunduk Tengku Haikal. Malu dengan dirinya sendiri. Wajahnya penuh penyesalan.
“Kalau tak tahu cari bukti, jangan terus tuduh melulu tanpa siasat. Sekarang macam mana?” Terjongket kening Tengku Malik sebelah. Pandangan mereka saling berpandangan tika ini.
“Macam mana, papa?” Berkerut dahi Tengku Haikal.
“Takkan Karl nak diam begitu aje? Papa nak Karl pergi minta maaf dengan Zulaikha.” Tengku Malik memberikan arahan.
Tengku Malik terus berlalu. Salah satu sikap Tengku Haikal yang tidak digemarinya, selalu sangat membuat keputusan yang salah dan terburu-buru. Risau juga ingin diserahkan syarikat milik keluarga yang diwarisi ini kepada Tengku Haikal. Fikirannya adakalanya tidak dapat berfikir dengan baik.
Tengku Malik yang berlalu dipandang kosong hingga hilang daripada pandangan matanya. Tengku Haikal meraup wajahnya. Bibirnya diketap lama. Tidak tahu apa yang telah merasuk jiwanya.
Kak Milah yang sudah siapkan kerjanya juga sudah keluar dari bilik. Diikuti dengan Tengku Hakimi. Mula mengatur langkah ingin meninggalkan Tengku Haikal sendiri.
“Nanti Kimi. Aku perlukan kau sekarang ni,” halang Tengku Haikal. Dia menarik-narik rambut. Mati akal dengan tindakan apa yang perlu dilakukannya selepas ini.
Kenapalah dia selalu membuat tindakan tanpa berfikir? Tak fasal dia sudah menganiaya Zulaikha.
Langkah Tengku Hakimi diundurkan. Kali ini dia menghampiri Tengku Haikal sambil tangan menepuk belakang bahu sepupunya yang masih gelisah.
“Kimi apa yang perlu aku lakukan?” soal Tengku Haikal.
Tertawa sinis Tengku Hakimi dengan pertanyaan Tengku Haikal.
“Kimi aku serius ni. Aku ni dah buntu.” Punggungnya dihenyakkan di kerusi. Kepalanya dipegang dan ditarik-tarik rambutnya.
“Apa lagi? Minta maaflah...” Jawapan yang cukup tepat diberikan Tengku Hakimi.
Tengku Haikal menghelakan nafas. Perlahan-lahan dia rebahkan dua tapak tangannya ke atas meja. Rupanya Marsha yang menyebarkan cerita itu. Semua itu di luar jangkaan fikirannya.
“Kau rasa Zulaikha akan maafkan aku?” Serba salah, malu pun ada. Sudah mati-matian dia menuduh Zulaikha. Mahu dijilat balik tuduhannnya? Mahu disorokkan sahaja mukanya bawah meja. Tengku Haikal terus menyalahkan diri.
“Insya-Allah dia akan maafkan. Apa yang penting, kau perlulah ikhlas.”
Tengku Haikal meraup mukanya seketika, lalu nafas ditarik panjang. “Kalau aku tak minta maaf, tak boleh ke?”
Tengku Hakimi sebagai penasihat utamanya dari dahulu lagi menggelengkan kepala. “Sesiapa yang salah perlu minta maaf.”
Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan, lalu bangun daripada duduknya. Tali leher dibetulkan, sebelum kaki diaturkan langkah. Berjalannya ke daun pintu. Tombol pintu dipulasnya dan berlalu keluar. Dihampiri ke tempat Zulaikha, tetapi tuan empunya diri tiada di situ. Ke mana dia pergi? Dia beralih kepada Helan pula.
“Mana Zulaikha?” soal Tengku Haikal kepada setiausahanya.
“Ika dah balik Tengku Karl. Dia half day hari ni,” terang Helan.
Jawapan itu sungguh membuatkannya makin rasa bersalah. Pasti Zulaikha bercuti sebab layanan yang diberikan kepadanya. Makin menjadi-jadi rasa bersalah menghimpit diri. Kecewa bila kata maaf itu tidak dapat diucapnya. Longlai sahaja langkahnya diaturkan kembali.
“Sayang...” Suara mengada-ada milik Marsha kedengaran. Tangannya sudah melambai-lambai dari jauh.
Sebaik nampak kelibat Marsha, Tengku Haikal melajukan langkahnya. Panggilan Marsha tidak diendahkan dan dipekakkan telinganya.
“Karl!” Suara Marsha nyaring memanggil lagi kuat. Tidak peduli para pekerja yang memandangnya.
Tengku Haikal menapak masuk kembali ke dalam pejabatnya. Malas nak melayan kerenah Marsha lagi. Kerana Marsha dia salah faham kepada Zulaikha. Mengapa Marsha lakukan semua itu? Marsha sengaja memburukkan imejnya dan syarikat Senta Holdings.
“Tunggulah...” Marsha melajukan langkah. Sudah menghalang langkah Tengku Haikal.
“You tak dengar ke, I panggil you?” rengek Marsha. Tangan Tengku Haikal dipaut dan ditarik dekat ke bibir mungilnya.
Ditepis kelakuan Marsha. “You nak apa?” soal Tengku Haikal.
“Cantik tak I?” Badannya dipusingkan. Baju kurung yang dikenakan pada badannya ditunjukkan kepada Tengku Haikal. “Cantik tak?”
“Hmm, cantik. Tapi, sayang perangai you tak cukup cantik.” Tengku Haikal menolak badan Marsha yang berdiri di depannya. Buat kerja lagi bagus daripada melayan kerenah Marsha.
Berketap bibir Marsha. Kedua-dua tapak tangannya dihempas ke meja. “Apa maksud you, Karl?”
Tengku Haikal panggungkan kepalanya. Wajah tebal Marsha ditenung tidak puas hati. “I tak mahu you ganggu I lagi. I nak ingatkan you satu hal, antara kita cuma teman sepejabat sahaja. Tak lebih daripada itu.”
Kali ini dia tidak akan berdiam diri lagi. Memang Marsha sudah jauh meletakkan harapan pada hubungan mereka.
“You merepek apa ni, sayang?”
Please jangan panggil I sayang,” jeling Tengku Haikal tajam.
Marsha meledakkan tawa. Kaki mengaturkan ke belakang Tengku Haikal lalu dipeluk daripada belakang. Pipinya dilaga-lagakan dengan pipi Tengku Haikal “You jangan nak main-main dengan I, Karl.”
“I tak main-main,” jawab Tengku Haikal, lalu menolak badan Marsha. Sungguh Tengku Haikal tidak selesa.
“Tapi, I sayangkan you, Karl. You tak boleh minta I jauhkan diri daripada you.” Sukar untuk Marsha terima apa yang dikatakan Tengku Haikal.
Dia tidak sanggup berjauhan dengan Tengku Haikal. Apa yang penting perasaannya kepada Tengku Haikal diluahkan. Tidak mahu dipendam lagi. Biar Tengku Haikal tahu betapa dalam rasa cintanya itu.
“Sudah Marsha! I tak mahu dengar apa-apa lagi. Mulai saat ni you jangan sesekali dekati I.” Dijarakkan dirinya daripada Marsha yang ingin menghampirinya dekat.
“Tapi, sebab apa? Apa salah I kepada you, Karl?”
“I tak suka cara you, Marsha.” Atas hingga ke bawah dipandang Marsha. Gigih gadis itu cuba memikatnya. Walaupun Marsha berpakaian sopan saat ini, di matanya tetap nampak batang tubuh yang selalu ditayangkan itu. Langsung tidak memikat hatinya.
“Tapi, I sukakannya you. I cintakan you. You perlu tahu betapa dalamnya perasaan I kepada you.” Kaki diatur ke depan. Badan Tengku Haikal cuba diraih. Tetapi, perbuatannya itu terhalang.
Tengku Haikal kasar menepis. “Mulai saat ni, I dan you tak ada apa-apa hubungan lagi. You pekerja dan I majikan you. Jadi, selepas ni tolong hormat I sebagai majikan.”
Kali ini Tengku Haikal tegas. Tidak mahu berterusan membiarkan Marsha terus dengan perasaannya. Amarahnya kepada Marsha meluap-luap. Jika ditahan-tahan lagi boleh meletus lebih daripada gunung berapi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan