Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 15 Februari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 4

“MAN, aku balik dulu. Malam karang aku datang lagi,” laung Fadil.
Okay, bro. Jumpa lagi.” Herman mengangkat tangan tinggi.
Fadil berjalan ke tempat parkir kereta. Setelah masuk, matanya mengerling dashboard. Dah nak masuk waktu zuhur. Patutlah perut berasa lapar.
“Apa-apa hal pun pergi makan dululah,” putus Fadil seraya menghidupkan enjin.
Ketika memandang cermin pandang belakang, secara tidak sengaja dia tertengok beg kain berwarna coklat di tempat duduk belakang. Dia terus berpaling dan mencapai beg tersebut. Tupperware? Setelah melihat isi kandungan, semerbak hidungnya tercium bau wangi. Wah, kuih seri muka!
“Aik, macam mana aku boleh tak perasan minah tu tertinggal barang dia?” Fadil berkata-kata.
Dia yakin makanan itu kepunyaan Nuha. Kemudian, datang keinginan hendak merasa kuih tersebut. Dia mengambil sepotong dan telan.
“Pergh! Sedap gila kuih ni. Makan satu mana cukup. Aku makan semua sekalilah,” kata Fadil.
Sepotong demi sepotong kuih itu dimasukkan ke dalam mulut sehingga habis. Selepas makan, dia bersendawa panjang. Kenyang perutnya dapat makan kuih percuma. Disebabkan itu, dia batalkan hasrat pergi makan di kedai. Balik rumah layan mimpi lagi sedap kut.

FADIL tertanya-tanya apabila melihat ada sebuah kereta Mitsubishi Lancer Evolution berwarna kelabu metalik yang telah diubah suai tersadai di depan rumah. Dia pergi tengok lebih dekat. Baru sahaja hendak sentuh, terdengar suara keras melarangnya berbuat demikian.
“Hoi! Jangan sentuh kereta aku tu. Karang tercalar satu kerja pulak aku nak repair.”
Fadil menoleh ke tingkap. Fakrie berdiri di situ, memandangnya penuh curiga. Oh, jadi kereta Fakrielah ni?
“Bang, kau tukar kereta baru lagi ke? Banyak duit kau?” tanya Fadil.
Sebelum ini Fakrie memandu kereta Honda Civic. Tetapi, tidak pernah sekali pun Fakrie mengajak dia naik keretanya. Sentuh apatah lagi.
“Orang bekerja memanglah banyak duit. Yang malas kerja macam kau tu aje selalu tak ada duit. Dahlah, kau jangan sentuh-sentuh kereta aku tu. Aku baru lepas basuh tadi. Karang kotor pulak,” sindir Fakrie.
“Mana ada tangan aku kotor. Aku tengok ajelah. Bukannya aku ada niat nak curi atau buat apa-apa pun,” sangkal Fadil. Dia terus naik ke atas rumah.
“Kau dari mana ni?” Fakrie memandang Fadil atas bawah.
Penampilan selekeh Fadil benar-benar buat dia sakit mata. Dengan baju lusuh, seluar berbulu dan koyak sana sini. Belum masuk bab rambut panjang melepasi bahu. Sudah serupa hantu dia tengok.
“Jumpa kawan.” Fadil membalas ringkas.
“Kau ni tak rasa nak kerja ke? Asyik buang masa aje melepak tak tentu hala.”
Telinga Fadil kian panas mendengar kata-kata sinis abangnya. Pandangan tajam Fakrie yang tertancap ke arahnya dibalas dengan reaksi sama.
“Aku melepak, aku ada susahkan kau ke?” tempelak Fadil.
“Memang kau tak susahkan aku. Tapi, sikap pemalas kau tu buat aku rasa malu. Kau busking kat jalanan, kan? Eh, banyak lagilah kerja lain yang kau boleh buat. Kenapa kerja yang tak ada masa depan tu jugak kau nak buat? Macam pengemis aje menyanyi, orang sedekah duit.”
Rahang Fadil bergerak-gerak menahan marah. Kedua-dua tangan pula sudah digenggam erat. Nampak begitu hina sekali dirinya pada pandangan Fakrie apabila dianggap begitu.
“Aku tahulah kau kerja makan gaji besar. Boleh tukar kereta banyak kali. Dah mampu beli rumah sendiri. Tapi, dengan aku, kau tak payahlah nak besar kepala dan berlagak serba bagus sangat. Aku tak sibuk pun kompelin pasal hidup kau. Apasal kau sibuk kompelin hidup aku?”
“Ha... Inilah orang cakap bodoh sombong. Ada orang nasihat kau tak nak dengar. Sebab tu hidup kau tak ada kemajuan. Orang lain semua dah ke depan, kau sorang aje masih terkial-kial kat belakang. Sedarlah sikit, Fad... Kau tu bukannya budak-budak lagi dah. Jangan nak fikir seronok aje,” bidas Fakrie. Geram dia mendengar Fadil menjawab kata-katanya tadi.
“Kalau kau balik sini setakat nak tunjuk kau tu hebat, kau tak payah baliklah, bang. Aku pun tak hadap nak tengok muka kau. Dahlah! Urusan hidup aku, kau jangan sibuk-sibuk nak masuk campur. Buat hal kau sendiri sudahlah.” Fadil terus masuk ke dalam bilik. Kuat dia menghempas pintu melepaskan rasa bengang kepada Fakrie.
Sememangnya hubungan dia dengan abang sulungnya itu tidak begitu baik. Nama sahaja adik-beradik, tetapi tidak sekepala. Dalam banyak perkara, dia tidak menafikan Fakrie lebih berjaya daripadanya. Disebabkan itulah Fakrie menyombong dan selalu pandang rendah terhadapnya. Mujurlah Fakrie tidak tinggal sebumbung dengan dia di rumah ini. Kalau tidak, asyik bertekak sahajalah setiap hari.

Mak Ani yang mendengar kekecohan di atas rumah naik menjenguk keadaan. Dia melihat hanya Fakrie seorang sahaja berada di situ.
“Apa hal ni, Rie? Dari dapur mak dengar duk bising-bising. Bertekak dengan siapa?” soal Mak Ani.
“Siapa lagi? Anak kesayangan mak tulah. Tegur sikit nak melenting. Memang kepala batulah dia tu,” jawab Fakrie masih belum hilang marahnya terhadap Fadil.
“Fadil dah balik ke?”
“Baru aje tadi.”
Mak Ani mengusap-usap perlahan bahu Fakrie. Tahu, anginnya tidak begitu baik. “Dahlah tu. Tak baik marah-marah macam ni. Rie pun dah tahu adik tu jenis berangin, tegurlah elok-elok sikit.”
Fakrie menjeling bilik Fadil yang tertutup rapat sebelum memandang Mak Ani. “Tegur elok-elok pun dia jawab kurang ajar jugak. Mak nasihatlah sikit dia tu. Jangan nak bagi muka sangat.”
“Yalah, nanti mak cakap dengan dia.” Mak Ani malas hendak memanjangkan cerita.
“Okeylah, mak. Rie nak balik ke pejabat dulu. Ada masa lain Rie datang jenguk mak lagi.” Fakrie menghulur tangan bersalaman dengan Mak Ani dan terus keluar rumah.

DI dalam bilik, Fadil mengintai kelibat Fakrie masuk ke dalam kereta di sebalik langsir tingkap. Selepas Fakrie pergi barulah dia keluar semula. Langkah dipanjangkan ke dapur. Tekaknya terasa haus lain macam. Sedang asyik minum, Mak Ani datang mendekatinya.
“Kenapa Fad cakap kasar dengan abang tadi? Tak baik tau macam tu,” tegur Mak Ani lembut.
Fadil meletak gelas yang sudah kosong di atas meja.
“Dia yang mulakan dulu. Kalau dia cakap elok-elok, tak adanya Fad nak lawan cakap dia,” balas Fadil.
“Abang cakap untuk kebaikan Fad jugak.”
“Abang tu tak pernah baik dengan Fad, mak. Tambah-tambah sejak dah bekerja bagus ni. Kerek lain macam aje perangai dia tu. Mak, cuba mak beritahu Fad dengan jujur. Mak malu ke ada anak macam Fad ni?” Mata Fadil jatuh tepat ke wajah Mak Ani meminta kepastian.
Mata Mak Ani terkerdip-kerdip merenung Fadil.
“Kenapa Fad tanya macam tu? Fad kan anak mak. Nak malu apanya? Mak tak pernahlah membeza-bezakan anak mak,” kata Mak Ani.
“Tapi, abang cakap Fad ni memalukan dia. Cari duit kat tepi jalan macam pengemis. Mak tak rasa malu ke anak mak ni mengemis kat tepi jalan?”
“Selagi Fad tak buat kerja haram, mak tak kisah Fad kerja sebagai apa pun. Cakap abang tadi tu, Fad tak payahlah ambil hati sangat. Abang tak bermaksud apa-apa pun. Jangan fikir bukan-bukan ya?” pujuk Mak Ani menenangkan Fadil.
Dia tahu Fadil terasa hati. Dia tidak mahu menambahkan lagi luka di hati anaknya itu.
“Fad tahu jadi penyanyi jalanan ni gaji tak cecah lima angka macam abang. Tak mampu pakai kereta mahal dan beli rumah sendiri. Mak dan ayah pun tak rasa bangga kan dengan Fad?” Lirih Fadil berkata-kata. Dia sedar kekurangannya itu.
“Siapa cakap? Mak bangga apa dengan Fad. Fad tak ada duit, Fad pandai cari sendiri. Tak pernah minta dengan mak dan ayah. Gaji cukup-cukup makan pun Fad tak kedekut nak hulur dekat mak beli barang-barang dapur.”
Fadil tersenyum hambar. Dia menganggap pujian itu hanya sekadar mahu menyedapkan hatinya sahaja. “Setakat 20, 30 ringgit tu apalah yang nak dibanggakan sangat, mak? Itu pun bukan selalu Fad hulur.”
“Sekurang-kurangnya Fad ada jugak buat bakti dekat orang tua. Mak rasa bangga sangat dengan sikap Fad tu.”
Hati Fadil akhirnya terpujuk. Senyuman hambar tadi kini bertukar manis. “Nanti bila Fad ada rezeki lebih Fad beri dekat mak banyak sikit ya?”
“Yalah. Mak terima aje berapa Fad nak beri.” Mak Ani membalas sambil menarik nafas lega. Melihat rajuk Fadil sudah terhapus, terasa lapang dadanya.
Fadil berpaling ingin ke bilik air. Alang-alang sudah berada di dapur, ambil wuduk teruslah sembahyang zuhur. Mesti emaknya rasa bertambah bangga sebab dia sembahyang di awal waktu.
“Fad...”
Tidak jadi Fadil hendak menolak pintu. Pandangan ditala semula ke arah Mak Ani. Dia perasan mata wanita tua itu berlabuh pada bajunya yang terpampang gambar tengkorak. Sudah!
“Nak solat nanti tukar baju tu. Pakai baju lain,” pesan Mak Ani lembut.
Perlahan-lahan Fadil mengangguk sambil tersengih. Nasib baik kena tegur dengan emak. Kalau ayah, mahu berdesing telinganya.
           
NUHA mendengus. Hatinya dongkol lagi dibuat oleh Fadil. Suruh datang ambil pukul 5.00, pukul 6.00 masih belum nampak batang hidung lagi. Geramnya dia dengan mamat tu!
“Macam mana aku nak balik ni? Dahlah hujan lebat. Nak pergi stesen bas tak bawa payung pulak,” sungut Nuha sendiri. Dia memeluk tubuh kesejukan. Jika redah memang basah kuyup satu badannya nanti.
Pak Awi tidak pernah buat dia begini. Kalau lambat sekalipun, Pak Awi akan telefon memberitahu kelewatannya supaya dia tidak tertunggu-tunggu macam orang bodoh begini. Tetapi, Fadil tega! Mamat tu memang tidak boleh menjadi pemandu teksi.
Akhirnya Nuha berputus harap. Dia yakin Fadil terlupa hendak menjemputnya. Lantas dia membuat keputusan meredah hujan pergi ke stesen bas. Kalau tunggu Fadil, sampai subuh esok pun belum tentu sampai.
Setibanya di stesen bas, mujurlah masih ada bas. Dia bernasib baik kerana bas itu merupakan bas terakhir. Sementara menunggu bas bergerak, terdetik dalam hati hendak menelefon Pak Awi. Siap kau, Fadil. Aku nak buat repot dekat ayah kau. Nuha tersenyum jahat.
“Assalamualaikum, Pak Awi. Ada dekat mana tu?” tanya Nuha setelah panggilannya berjawab.
“Waalaikumussalam. Pak Awi dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu dah ni. Pagi tadi Pak Awi pergi Kuantan,” balas Pak Awi.
“Oh, patutlah anak Pak Awi yang datang jemput saya.”
“Ha, si Fadil tu. Macam mana? Okey ke tidak dia tu?”
“Hmm... Tak okeylah, Pak Awi. Ni Nuha telefon sebab nak mengadu dekat Pak Awi pasal dia,” kata Nuha. Dia tidak akan sorok satu benda pun apa yang Fadil sudah buat kepadanya hari ini.
“Apa yang dah berlaku? Cuba cerita dekat Pak Awi...”
Nuha terus bercerita daripada A sampai Z. Selepas itu dia terdengar suara Pak Awi mengeluh panjang.
“Astaghfirullah al-azim... Betul ke Fadil buat Nuha macam tu?” soal Pak Awi seperti tidak percaya.
“Betul, Pak Awi. Ni Nuha ada kat dalam bas. Baru nak balik rumah.”
“Nuha, Pak Awi minta maaf bagi pihak Fadil. Tak sangka pulak boleh jadi macam tu. Nanti Pak Awi sampai rumah Pak Awi sekolahkan dia sampai jadi pandai.” Nada suara Pak Awi kedengaran kesal di telinga Nuha.
Nuha tersenyum meleret. Eloklah tu, Pak Awi. Basuh dia cukup-cukup biar jadi manusia berguna!

BUNYI guruh berdentum menyebabkan Fadil terjaga daripada tidur. Tangan kanan menggenyeh mata manakala sebelah tangan lagi meraba-raba bawah bantal mencari telefon bimbit. Apabila jumpa, dia tengok skrin untuk memastikan waktu. Pukul 6.45 petang.
Dia letak semula dan menguap besar. Malasnya nak bangun. Hujan-hujan macam ni sedap pula duduk di dalam selimut. Mujur juga ayahnya tidak ada di rumah sebab orang tua itu pantang kalau dia tidur lewat petang.
Fadil menggeliat membetulkan urat dalam badan sebelum teringat sesuatu. “Alamak! Nuha!”
Sepantas kilat dia bangkit pergi basuh muka dan gosok gigi di dalam bilik air. Selepas bersiap ala kadar, dia bergegas keluar rumah. Sampai di tangga, bertembung pula dengan Pak Awi yang baru balik dari Kuantan.
“Hah, ni nak pergi ke mana ni kalut semacam aje?” soal Pak Awi.
“Err... Fad nak keluar pergi ambil Nuha,” jawab Fadil tergagap-gagap. Janganlah ayah aku mengamuk. Tertekan jantung aku nanti.
“Tak payah susah-susah. Dia dah balik naik bas. Tunggu kau datang ambil, tumbuh uban dulu rambut dia tu,” kata Pak Awi seraya naik ke atas rumah.
Fadil tercengang-cengang. Nuha balik naik bas? Dia tidak jadi jejak kaki ke tanah. Terus dipusingkan tubuh mengekori langkah Pak Awi.
“Macam mana ayah tahu? Dia ada telefon ayah ke tadi?” soal Fadil bertalu-talu, penuh hairan.
Pak Awi menjeling Fadil. Sengaja dia membiarkan lama pertanyaan itu tergantung. Dalam hati pula, dia cuba menyabarkan diri daripada marah.
“Bila ayah suruh kau tolong ayah, bermakna ayah beri kau amanah. Amanah tu kena laksana dengan jujur. Bukannya dipandang remeh. Kau sepatutnya jaga amanah ayah dan bertanggungjawab ke atas perkara tu. Tapi, sekarang... tengok! Apa yang kau dah buat? Datang jemput Nuha lambat. Kereta habis minyak kau suruh dia tolak pergi stesen minyak. Balik kerja kau tak pergi ambil dia. Kau ni betul-betul mengecewakan ayahlah, Fadil. Kalau ayah tahu macam ni jadinya, ayah suruh dia naik teksi lain aje hari ni,” balas Pak Awi meluahkan rasa kecewanya.
Terkulat-kulat Fadil memandang Pak Awi. Kata-kata itu walaupun tidak bernada tinggi, tetapi cukup menusuk ke dalam hati. Dia mula dihimpit rasa bersalah. “Fad minta maaf, ayah. Fad tak sengaja. Bukan Fad tak nak jemput dia. Tapi, Fad lupa. Lepas asar tadi Fad terlelap.”
Pak Awi mendengus. “Kau ni memang degil sungguhlah. Cakap ayah selalu aje nak ingkar. Berapa kali ayah pesan? Jangan tidur lepas asar. Lain kali apa yang ayah pesan, simpan sikit kat dalam kepala tu. Jangan masuk telinga kiri, keluar ikut lubang hidung!”
Pak Awi membebel Fadil semahu-mahunya. Sudah besar panjang pun masih nak kena diingatkan macam budak-budak kecil. Takkan nak suruh dia rotan punggung baru Fadil dengar cakapnya?
Fadil menggaru-garu kepala sambil mengerut muka. Setempek kena sembur.
“Yalah, Fad janji Fad tak buat lagi dah macam tu. Lepas ni Fad dengar betul-betul cakap ayah. Err... Pasal Nuha tu, dia mengadu apa lagi dekat ayah?” Teringin juga dia hendak tahu.
“Dia cakap perangai kau serupa hantu. Tak semenggah!” balas Pak Awi lantas berlalu meninggalkan Fadil.
Fadil terkedu. Dia tuju jari telunjuk ke muka sendiri.
“Dia samakan aku dengan perangai hantu? Boleh tahan celopar mulut minah ni. Macam tapai busuk. Aku rasuk kau nanti baru tahu,” gerutunya sambil mendengus geram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan