Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Februari 2016

Suami Paksa Rela - Bab 7

Karl berdiri tegak sambil berpeluk tubuh di depan pintu utama. Suasana pagi di rumah Mak Jemah terasa sangat sejuk. Dia berjalan ke beranda rumah. Menikmati permandangan sawah padi yang terhampar menghijau di depan matanya. Buat dia rasa tenang dan nyaman. Dia rasa sangat selesa.
Sedang dia menikmati keindahan pagi itu, matanya terpandang Mak Jemah yang sedang duduk di gazebo seorang diri. Dia pakai selipar dan menuju ke situ.
“Selamat pagi, mak cik,” sapanya lembut.
“Eh, pagi, Karl. Awal kamu bangun?” Mak Jemah ukir senyuman buat anak muda itu. Karl disuruh duduk menemaninya di situ.
“Dah terbiasa, mak cik,” jawab Karl sambil tersengih.
“Hah, eloklah. Tu, si Wafa tu, waktu macam ni terbongkang lagi dekat dalam bilik. Bukan reti nak bangun awal kalau hari cuti macam ni.” Sempat lagi Mak Jemah menyindir anaknya sendiri itu sebelum menyambung ayat semula.
“Ni... mak cik ada benda nak tanya sikit ni.” Mak Jemah membetulkan duduknya.
“Tanya apa, mak cik?”
“Mak cik tahu kenapa Wafa tu tiba-tiba aje nak kahwin. Dia tu mesti nak kahwin sebab bekas boipren dia, si Idham tu kahwin, kan? Dan, mak cik rasa kamu pun tahu pasal tu. Yang mak cik tak faham, kenapa kamu pun boleh terjebak sama dalam rancangan dia tu? Mak cik tak rasa kamu dengan Wafa ada hubungan. Betul tak?”
Karl diam, berfikir untuk menyusun ayat. Dia macam tak percaya saja yang Mak Jemah berjaya meneka agenda di sebalik rancangan perkahwinan dia dan Wafa. Emmm, betullah kata orang. Seorang ibu memang serba tahu. Lagi-lagi soal anak sendiri.
“Ya, mak cik. Pasal Idham tu, memang saya dah tahu. Ika dah cerita semuanya.”
“Kamu kenal Ika?” Terkejut Mak Jemah apabila mendengar Karl menyebut nama kawan baik anaknya itu.
“Ika tu sepupu saya, mak cik. Dia yang kenalkan saya dengan Wafa.”
Mak Jemah angguk-anggukkan kepala. Kiranya kalau Karl buat hal dengan anak dia, tahulah dia nak cari siapa nanti. Si Ika yang kenenkan dia orang ni rupanya.
“Hah, dah tu yang kamu join rancangan sengal anak mak cik tu kenapa?” soal dia lagi.
“Sebenarnya, saya pun tak tahu macam mana saya boleh setuju dengan rancangan gila dia tu, mak cik.” Karl garu-garu kening.
Kalau boleh memang dia tak nak Mak Jemah tahu kenapa dia setuju. Takkanlah dia nak cakap sebab dia bosan duduk seorang di rumah? Lepas itu, nak jadikan anak wanita itu sebagai bahan buliannya? Sah-sahlah meradang Mak Jemah ni nanti!
“Pulak? Dah tu, kamu dengan Wafa tu nak main kahwin ajelah ya?”
“Errr... Lebih kurang macam tulah, mak cik.”
Mak Jemah tepuk dahi. Geram pula dia dengan dua orang budak ini. Soal kahwin dia orang buat main-main? Dia orang ingat, ini kahwin main-main macam zaman budak kecil dulu-dulu itu ke? Kau jadi mak, aku jadi bapak? Haih, parah!
“Kamu ni biar betul, Karl oi? Zaman sekarang ni mana ada dah orang kahwin sebelum bercinta-cinta ni? Zaman dulu adalah. Sekarang ni mak bapak nak carikan jodoh pun anak-anak dah tak berapa nak berkenan. Konon tak boleh kahwin kalau tak kenal, kalau tak cinta ni. Mak cik tak nak nanti, tak sampai dua Ahad, kau orang dah sibuk nak bercerai. Kamu tu bukan tahu sangat perangai Wafa tu. Datang perangai sengal dia, tak tahan kamu.” Panjang berjela Mak Jemah bagi saranan.
Budak zaman sekarang ini bukan reti nak fikir panjang. Main ikut dan saja!
“Saya mengaku sekarang ni saya memang tak cintakan Wafa. Tapi, saya tak jamin kalau perasaan tu tak datang lepas kami kahwin nanti, mak cik. Wafa sendiri pernah cakap dengan saya, selagi tak kahwin, kami tak tahu apa yang akan jadi di kemudian hari. Nak tahu semua tu, kenalah kahwin dulu.” Karl cuba berbicara sejujur mungkin. Siap quote ayat Wafa lagi tu. Tak boleh blah langsung!
Mak Jemah mengeluh perlahan. “Biar Wafa seorang aje yang sengal. Jangan kamu pun ikut sengal, Karl!”
Buk! Karl rasa macam kena penumbuk. Tak pasal-pasal kena sengal dengan Mak Jemah di pagi-pagi hari macam ini. Adeh!
“Errr...” Dia dah tak tahu nak kata apa.
“Wafa tu boleh dikatakan muda lagi. Kadang-kadang, bila mahukan sesuatu, dia ikutkan hati. Bukan sedar apa yang dia cakap. Entah betul, entah tidak. Kamu tu, kalau nak jadi suami, biar jadi suami yang membimbing. Jangan kamu yang terumbang-ambing! Faham?” ucap Mak Jemah sambil mengerling dekat lelaki muda itu.
Karl yang nampak kerlingan itu hanya mampu tersengih. Hailah... Kena lagi dia!

KARL cuba membuka pintu bilik Wafa. Klik! Bagus! Perempuan tu tak kunci pintu rupanya. Lagi senang kerjanya. Ini kalau Mak Jemah tahu apa yang dia buat, mampuih kena maki!
Kepala dipanjangkan ke dalam. Sebelum nak masuk, dia intai dulu keadaan di dalam bilik. Selamat ke tidak. Dibuatnya Wafa sudah bangun tidur, rosak rancangannya. Bila dia tengok keadaan sunyi sepi dan satu tubuh tengah elok landing di atas katil, terus kakinya melangkah masuk dengan keadaan terjingkit-jingkit. Tak mahu menyedarkan perempuan itu daripada lena.
Karl letak satu bekas di meja kecil di sisi katil bersaiz queen itu. Kemudian, dia pandang Wafa yang tengah baring terlentang sambil bercekak pinggang.
“Ooo... Bukan main kau kenakan aku semalam, kan? Tak pasal-pasal aku kena mandi, berak dekat belakang sana tu. Padahal, bilik air mak kau bukan main lawa lagi dekat dalam rumah, kau suruh aku mandi dekat tempat yang dah berlumut tu. Kau ni kan... memang nak kena!” omel Karl sendirian. Tengok muka Wafa yang tengah lena itu, rasa macam nak cubit-cubit saja. Geram!
Nasib baiklah Mak Jemah terbuka cerita pasal bilik air dan tandas yang terletak di sebelah dapur tadi. Kalau tidak, terpaksalah dia mandi lagi di bilik air lama itu. Dan, dia pun satu juga. Tak perasan langsung ada bilik air yang terletak bersebelahan dengan dapur. Tadi masa dia mandi dekat situ, pergh... lawo gila! Siap ada shower lagi. Lantai marmar. Memang selesa habislah!
Paling buat dia sakit hati, kes malam tadi. Siapa saja yang tak rasa malu bila terpaksa berak tak tutup pintu? Rasa macam terdedah satu badan sangat! Nasib baiklah hari malam, kalau siang? Argh, tak sanggup dia nak bayangkan!
Matanya kembali ke arah Wafa. Dalam rasa sakit hati itu, sempat juga keadaan gadis itu buat dia geleng kepala. Sudahlah tidur lasak. Senget sana sini. Habis semua bantal jatuh ke bawah. Yang tinggal hanya bantal di kepala dan bantal peluk saja. Yang lain, habis terbang ke lantai. Dah tu, selimut pun entah ke mana.
Apa punya perempuanlah ni? Tak sopan langsung! Nasib baik tidur pakai seluar, kalau pakai kain? Dengan kain-kain sekali terbang.
Malas nak menunggu lama, Karl capai cebok yang berisi air yang diletak di meja sisi tadi. Dengan tekad dalam hati, laju dia simbah air kolah bilik air belakang yang sejuk itu tepat ke muka Wafa. Nah, ambik kau!
Burrr!
Wafa terus terjaga dan terduduk dalam keadaan termengah-mengah. Terkejut dengan rasa sejuk di muka dan rasa macam tak boleh nak bernafas tiba-tiba. Muka yang basah, dia lap laju. Kepala dia dongak. “Hoi, gila ke?!”
“Padan muka!” ejek Karl dengan muka tak boleh blah sungguh.
Wafa bangun dari katil. Dia tengok tilam tempat dia baring, sebahagiannya dah basah. Eee, satu hal pula dia nak kena jemur tilam ni. Eee! Dia pusing tubuh memandang Karl. Berdiri bertentang mata dengan lelaki yang dah tayang muka macam nak telan dia saja. Dah kenapa mamat ni? Buang tebiat?!
“Apasal awak masuk bilik saya ni? Siap simbah air bagai. Tahu tak yang saya boleh mati lemas?!” Berkerut-kerut kening Wafa apabila bercakap. Merah mukanya. Bengang!
“Alah, setakat kena siram dengan secebok air aje pun. Tak ada maknanyalah sampai nak mati lemas. Over acting sangat!”
Wafa ketap gigi. E’eh mamat ni! “Nak tunggu saya mati dulu, baru tak over? Macam tu?!”
“Ini balasan sebab kau tipu aku.”
“Tipu apa benda?!”
Karl kecilkan mata merenung tajam Wafa. Tengah dia buat muka nak marah, dia terpandang pula bahagian depan baju gadis itu yang dah basah terkena air tadi. Gulp! Dia telan air liur. Gulp! Dia telan lagi sekali. Mana tidaknya, matanya ternampak benda yang tak sepatutnya dia nampak. T-shirt Wafa sudahlah warna putih, basah pula tu. Baju kecil di dalam itu pula warna merah. Agak-agak boleh bayangkan tak apa yang dia nampak?
“Errr... tipu pasal... pasal bilik air belakang tulah. Kau memang sengaja, kan?” Karl dah mula tergagap-gagap. Matanya masih tak lari daripada terus memerhatikan dada Wafa. Rasa macam berat sangat nak alih pandangan dari situ. Hahaha! Mengada!
Wafa yang masih tak sedar sedang diperhatikan oleh Karl buat muka selamba. Dia berpeluk tubuh. “Hah, baguslah kalau dah tahu. Tak adalah saya nak kena teman awak pergi berak lagi. Busuk ya amat!”
Krik. Krik. Krik.
Tiada balasan daripada Karl. Lelaki itu hanya diam dan tak marah apabila diperli begitu. Wafa pelik. Biasanya, laju saja lelaki itu membalas kata-katanya. Kali ini tidak pula. Dia pandang muka Karl. Kemudian, dia terperasan sesuatu. Tu, mata tu. Pandang mana tu?!
“Eee... lelaki gatal!” Wafa sepak kuat betis Karl. Hah, rasakan. Gatal sangat kan!
Karl mengaduh kuat. Menahan rasa sakit. Betis digosok-gosok. Sakitlah, hoi! “Apa benda kau ni, Wafa?!”
“Apa benda, apa benda! Apa benda yang awak tengok, hah? Eee, nak kena cungkil biji mata tu, kan?!” Tangan Wafa terus menyilang tangan membuat bentuk X pada dada. Dia sendiri pun baru perasan keadaannya seperti itu. Haih, kenyanglah mamat gatal ni!
“Dah orang tu tunjuk, tengok ajelah. Free kut,” balas Karl selamba. Riak muka dikawal sehabis mungkin.
Tapi, betul apa? Bukan dia teringin sangat pun nak tengok dada Wafa itu. Dah ditakdirkan hari ini rezeki dia. Alhamdulillah. Rezekilah sangat kan, Karl! Hahaha!
“Dah, dah. Awak keluar sekarang. Keluar!” bentak Wafa, geram.
Wafa tolak-tolak tubuh Karl sampai ke depan pintu bilik. Entah macam manalah mamat itu boleh masuk ke dalam biliknya ini. Ini mesti sebab dia lupa kunci pintu bilik lepas teman lelaki itu lepas hajat malam tadi. Eee, semua salah mamat sengal ni!
“Yalah, yalah. Aku keluarlah ni. Tapi, sebelum tu...”
Wafa pandang Karl. Karl tersengih-sengih sambil angkat-angkat kening. Muka jahat sangat!
“Boleh tahan juga eh kau punya tu,” ucapnya sambil mata kembali mengerling dada yang sudah ditutup dengan tangan itu. Malulah tu...
Mata Wafa terus membulat besar.
“Karl Elliyas!” jerit Wafa sekuat hati. Versi Mak Jemah!
Tak fikir apa dah, terus berdesup Karl keluar dari bilik Wafa. Tak mahu dia berlama-lama di dalam bilik itu. Jadi lunyai karang didebik Wafa.
Dari dalam bilik, Wafa dengar suara Karl tergelak-gelak. Kemudian, dia terdengar sepotong ayat. Siap meleret lagi bunyinya, “Untungnya aku dapat kahwin dengan kau, Wafa oi...”
Wafa yang mendengar terus berlari dan terjun ke atas katil. Elok menonggeng sambil muka ditutup dengan bantal. Wuarghhh, malunya dia rasa! Sengal punya bakal suami. Heh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan