Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 10

ALIRAN air dari teko menuruni cawan terhenti. Bekas kaca jernih berisi air teh panas itu diletakkan semula ke atas meja. Puan Nusrah mendengar bunyi batukan dari arah tangga.
“Abang masih nak pergi kerja ke?” Nada isteri kepada Tuan Zulqhairi jelas kebimbangan.
Lelaki tersebut lengkap berpakaian menuju ke pejabat. Tuan Zulqhairi singgah sekejap di ruang tamu untuk meletakkan beg bimbit.
“Abang kena kerja, Nusrah. Banyak benda yang abang kena uruskan kat Sapphire tu,” ucap si suami sambil menuju ke meja makan untuk bersarapan.
“Abang tu bukannya sihat. Demam dari malam semalam.”
“Awak ni... Macam saya demam pertama kali aje dalam hidup saya.”
Puan Nusrah menggelengkan kepala. Keras kepala Tuan Zulqhairi memang tak boleh nak dilembutkan. Cawan yang mengandungi air teh dilapik piring dihidangkan kepada insan yang telah menjadi suaminya selama 31 tahun itu.
“Memanglah bukan pertama kali abang demam. Tapi, kita ni tak macam dulu. Dah tua, bang. Nak pulih daripada sakit tu payah.”
“Kalau dilayankan sakit, apa pun tak boleh buat. Saya larat nak jalan. Kereta tu pun bukan saya yang pandu.”
Semangkuk hidangan mi goreng yang masih hangat berada di bahagian tengah meja. Puan Nusrah memindahkan dua senduk ke pinggan. “Kalau abang nak masuk pejabat juga, abang masuk lambat sikit.”
“Ini pun saya dah lambat.”
“Maksud saya, abang kerja separuh hari aje. Sekarang ni, habis sarapan, abang makan ubat. Rehat aje kat rumah ni. Kalau abang makan ubat, insya-Allah kebah demam abang tu,” usul Puan Nusrah sambil menyerahkan pinggan kepada Tuan Zulqhairi. Wanita tersebut masih berusaha memujuk suaminya.
Tuan Zulqhairi tidak membalas bicara isterinya. Dia hanya mendiamkan diri. Dia menyuakan mi ke dalam mulut.
“Diam tu maknanya abang memang tak setuju dengan cadangan saya, kan? Saya ni bukannya apa bang...”
“Qadree mana? Dah bangun ke belum?” soal Tuan Zulqhairi, menghalang omelan isterinya.
“Kejap lagi turunlah tu agaknya.”
Mi goreng yang separa hancur ditelan. Dia memandang jam tangan. “Saya pun dah lambat ni, takkan dia nak pergi pejabat lebih lambat daripada saya?”
“Dengan anak sendiri pun nak berkira ke? Semalam dia balik lambat. Apa salahnya hari ni dia pergi pejabat lambat sikit?”
“Kat rumah, memang dia anak saya. Kat Sapphire, dia sama aje macam pekerja yang lain. Banyak benda dia kena belajar lagi. Itu jugalah salah satu sebab kenapa saya kena pergi pejabat. Macam mana saya nak serahkan Sapphire tu kat Qadree kalau datang kerja pun lambat?”
Puan Nusrah mahu membalas butir kata suaminya. Namun, dia membantutkan seketika niat tersebut tatkala melihat kelibat anak sulungnya menghampiri ruangan makan.
“Selamat pagi, baba, umi,” ucap Nila Zulqadree lalu mengucup lembut dahi ibunya. Dia mengambil tempat di sisi kiri Puan Nusrah.
Wanita itu turut menyediakan hidangan untuk santapan anaknya.
Thanks, umi,” lafaznya sambil menguap selama tiga saat.
Dia menggerakkan kepala ke kiri dan ke kanan untuk melegakan lenguh. Letih kerana menyemak dan meneliti sebut harga untuk projek akan datang sebelum dibentangkan kepada CEO Sapphire Creative Sdn Bhd iaitu ayahnya.
“Ngantuk tak habis lagi ke?” sindir Tuan Zulqhairi.
“Banyak kerja kat pejabat, baba. Itu pun bawa balik. Sambung kerja kat rumah. Itu yang macam letih sikit.”
“Masa lapan jam waktu pejabat patut digunakan sepenuhnya untuk siapkan kerja. Kalau kerja sampai dah bawa ke rumah, tak efisien namanya. Taklah pergi kerja pun lewat. Disiplinkan diri tu.”
“Baba, Qadree tengah belajar. Bukan selalu pun Qadree lambat.”
“Bukan selalu tulah jadi selalu. Baba tak nak pekerja lain ingat baba pilih kasih. Kalau hal pergi kerja yang kecil ni pun Qadree tak boleh nak uruskan, macam mana baba nak percaya yang Qadree boleh uruskan Sapphire?”
“Abang, sudahlah tu. Qadree baru nak makan ni.”
“Abang bagi nasihat biar dia sedar. Jangan tahu nak senang aje. Dia kena usaha lebih kalau nak capai apa yang kita ada sekarang ni. Apa guna saya hantar dia kat luar negara sana kalau bukan untuk tolong saya?”
“Baba, belajar kat overseas tu pun ambil masa sampai lima tahun untuk Qadree tahu apa yang Qadree belajar. It’s not fair baba nak nilai kerja Qadree kalau setakat dua tahun Qadree masuk Sapphire.”
“Sebab baba nak percaya kepada kamulah baba cakap macam ni. Kamu satu-satunya harapan baba.”
“Abang ni, janganlah terlalu mendesak Qadree. Terbeban dia dibuatnya.”
“Ini bukan beban, tapi tanggungjawab. Dia belum cukup ilmu dan pengalaman dalam hal syarikat. Awak juga cakap yang kita ni dah tua. Saya pun nak berehat. Saya nak harapkan siapa lagi? Anak awak yang sorang lagi tu?”
“Anak saya, anak abang juga.”
“Saya tak ada anak yang degil macam budak tu. Apa yang saya buat dulu untuk kebaikan dia juga. Tapi, dia keras kepala. Nak ikut juga kehendak sendiri.”
“Keras kepala dia pun daripada siapa?”
“Nusrah, awak nak sindir abang ke?”
“Saya tak sindir. Hakikat. Entah-entah, abang tiba-tiba demam ni sebab rindukan dia tak?” teka wanita tersebut.
Malam tadi dia terjaga daripada tidur. Waktu ketika itu menunjukkan 2.30 pagi. Hairan apabila sisi kanannya kosong. Dia bertindak meninjau keluar kamar. Hujung mata Puan Nusrah menangkap bilik anak bongsunya terang. Perlahan-lahan dia menghampiri dan ternyata suaminya berada di situ.
“Malas saya nak cakap dengan awak ni.”
“Abang nak ke mana pula tu?” soal Puan Nusrah tatkala melihat Tuan Zulqhairi mengangkat punggung. Mi goreng baru luak suku hidangan.
“Saya pening kepala bila bercakap dengan dua beranak ni. Saya nak naik.”
Puan Nusrah menggelengkan kepala dan dalam masa yang sama memerhatikan sahaja pergerakan lelaki berumur lebih separuh abad itu hingga hilang daripada pandangan. “Kenapa tak makan mi tu? Makanlah, baba dah tak membebel lagi.”
“Hilang selera nak makan. Nak pergi kerja pun dah tak ada mood.”
“Janganlah macam tu. Baba masuk kerja lambat tu. Qadree makan aje.”
“Kalau tahu baba marah macam ni, Qadree buat macam adik buat. Tak payah nak belajar tinggi-tinggi.”
“Kenapa cakap macam tu pula? Ilmu tu penting.”
“Yalah, baba macam tak percayakan Qadree.”
“Baba bukan tak percaya, tapi dia nak Qadree usaha lebih. Baba nak harapkan siapa lagi kalau bukan kat bahu anak lelaki dia? Susah payah dia bangunkan syarikat tu. Dia tak nak sia-sia macam tu aje. Baba nak Qadree tahu betapa pentingnya Sapphire tu dalam keluarga kita.”
“Qadree tahu, umi. Tapi, janganlah terlalu bagi tekanan kat Qadree. Memang patut pun apa yang adik buat tu. Agaknya, macam nilah stres yang adik rasa sampai dia pilih untuk keluar dari rumah kita ni. Nasib baiklah Qadree ni lelaki, jenis malas nak fikir sangat apa yang baba bebel.”
“Baba buat macam ni sebab dia sayang.”
“Entahlah, umi.” Jari telunjuk dan tengah Nila Zulqadree memasukkan gelungan tangkai cawan. Dia menggenggam tangkai itu lalu menghalakan tepi cawan ke bibir. Air teh yang panas dihirup perlahan. Rasa kelat pula minuman itu menuruni tekak.
“Baba tu jenis tak pandai tunjuk kasih sayang. Umi tahu dia sayangkan anak-anak dia. Dia ambil berat pasal Qadree dengan adik.”
“Baba pernah cakap dengan umi ke yang dia rindu adik?”
“Mana pernah, tapi gaya cakap dan perbuatan dia umi dapat baca. Tadi, ada ke kita ungkit pasal adik? Dia sendiri yang mulakan. Itu maknanya dia rindu kat adik.”
“Adik ada jumpa umi?”
Puan Nusrah menggeleng.
“Telefon?”
“Adik mana pernah telefon. Tup-tup kalau dia nak jumpa umi, tiba-tiba muncullah. Itu pun sekejap.”
“Merajuk sangat ke adik tu sampai tak nak kita hubungi dia? Sejak Qadree balik dari London ni, baru berapa kali aje dapat jumpa dia. Jumpa dengan adik sendiri macam nak jumpa kekasih gelap.”
“Bila baba terlalu tegas, adik pula keras kepala, macam tulah jadinya. Umi ni dah penat suruh baba mengalah. Tapi, baba cakap itu keputusan adik. Itu pilihan dia. Dia yang pilih untuk hidup susah.”
Nila Zulqadree mendiamkan diri. Dia menghela nafas. “Okeylah umi. Qadree nak pergi kerja dululah.”
“Tak nak makan ke?”
“Tak selera. Lagipun, kalau baba turun, Qadree tak pergi kerja lagi, mahunya kena marah lagi dengan CEO.”
“Ada ke macam tu pula? Sudah, Qadree pergi kat kereta. Biar umi letak dalam bekas. Makan kat ofis.”
Nila Zulqadree tertawa kecil. “Umi ni... mana ada COO bawa bekal pergi ofis. Macam budak sekolah pula.”
“Kamu COO ke, CEO ke, Qadree tu tetap anak umi. Kalau umi tak manjakan, siapa lagi?”
Lelaki itu tersenyum. Dia menghadiahkan kucupan di pipi ibunya.

AMAN menutup pintu belakang van Kasi Bersih Services sebaik sahaja kelengkapan pembersihan seperti penyapu, penyedut hampa gas, baldi dan alat pencuci dikeluarkan. Aman dibantu oleh dua orang pekerja yang lain. Masing-masing telah tahu tugas yang perlu dilakukan.
Nilam Qadheera pula mengenakan jumpsuit lalu dia menarik zip hingga ke bahagian abdomen, menampakkan kemeja-T syarikat. Setelah itu, dia duduk di sisi van, ruangan yang selalu dipijak untuk masuk ke dalam kenderaan tersebut.
Hari ini Nilam Qadheera tidak bertugas untuk mencuci panel kaca luar. Dia hanya perlu melakukan pembersihan di dalam bangunan. Menurut Encik Rahim, pemilik Sapphire Creative Sdn Bhd meminta khidmat pembersihan sebanyak tiga kali seminggu. Walau bagaimanapun, dia dan Aman hanya perlu mencuci panel kaca luar bangunan itu dua kali dalam tempoh tersebut.
Penutup hidung dan mulut diambil dari dalam beg. Dia mengenakan topeng tersebut ke muka.
Aman yang memerhatikan tingkah gadis itu mula terasa pelik. “Tak munasabah.”
“Apa?” Nilam Qadheera menarik pelindung muka tersebut ke dagu. Dia bersandar pada van.
“Kita nak cuci dalam bangunan. Bukan kat luar. Apasal kau pakai mask tu?”
“Kerjaya kita begitu mencabar sebab terdedah dengan habuk. Salah ke aku nak jaga proses pernafasan aku? Munasabah, kan?”
“Aku tahu, tapi kau mana kisah sangat pasal habuk tu. Muka kau ada tercalit kekotoran pun bukannya kau peduli. Yang aku perasan, kau akan pakai mask kalau kita pergi sini. Kat kompeni lain tak.”
“Aku pakai mask kat sini sebab... sebab... sebab kualiti udara kat sini tak beberapa bagus. Jerebu.”
“Ini lagi aku pelik. Dari hari tu kau cakap kat sini jerebu. Aku tengok terang-benderang aje, tak ada kabus pun. Cerah aje pemandangan. Berita jerebu pun tak keluar kat TV.”
“Kau apa tahu? Bumi kita tengah mengalami pencemaran dan kemusnahan sebab perbuatan kita sendiri. Ni semua jadi sebab kau buang sampah tak asing kertas dengan plastik.” Entah macam mana alasan tu boleh keluar pun Nilam Qadheera tak tahu.
Tidak semena-mena dia teringat akan gaya hidup majikannya yang baru. Sebenarnya, dia kagum. Yalah, bukan semua orang ada kesedaran macam tu. Tapi, bagi Nilam Qadheera, bos yang tidak diketahui wajahnya itu terlalu cerewet. Mungkin Mak Cik Kejora boleh jadi geng dengan dia sebab kedua-duanya ada peraturan rumah.
Yang seorang peraturan jimat cermat, yang seorang lagi pula misi selamatkan bumi. Selain menjimatkan penggunaan tenaga dan mengasingkan jenis sampah, ada satu peraturan yang tidak pernah Nilam Qadheera dengar selama ini iaitu item yang ketiga dalam senarai tersebut. Ia mengatakan buka pintu sejuk tidak boleh melebihi 15 saat. Undang-undang macam tu pun ada?
“Apa kena-mengena aku buang sampah dengan jerebu?”
“Kalau semua manusia kat bumi ni sama-sama asingkan sampah, kurang pencemaran. Salah satu cara nak lupuskan sampah ialah dengan membakar. Kalau kita buang sampah asing, maka kurang aktiviti pembakaran. Bila kurang pembakaran, kurang pencemaran udara. Selain tu, sampah kertas dengan plastik semua tu boleh jual. Dapat duit. Hmm... aku kena cakap dengan mak cik aku. Mesti dia setuju dengan cadangan aku ni. Benda mendatangkan duit ni, memang dia suka.”
Aman menggelengkan kepala. Dia menggaru-garu kepala. Keliru sekejap dengan penerangan Nilam Qadheera.
“Bila masa kau jadi duta alam sekitar ni?” soal Aman dengan niat menyakat rakannya itu
“Kau tak tahu ke semalam aku jadi presiden Kelab Mesra Alam Malaysia?” Selamba sahaja perempuan tersebut menjawab.
Jelas wajah Aman teraba-raba dalam gelap. Macam mana isu Nilam Qadheera pakai mask boleh sampai ke topik alam sekitar?
“Tak adalah. Kan aku ada cerita dengan kau yang aku kena jaga dua orang budak. Pak cik dia orang tulah. Cara hidup dia tak macam orang lain. Macam cerewet aje bos baru aku tu.”
“Bos kau yang mana satu Nil yang cerewet tu? Aku ni pun bos kau juga.” Tidak semena-mena suara garau Ecik Rahim mencelah.
Tersentak sekejap mereka berdua dibuatnya. Nilam Qadheera bingkas berdiri.
“Tak ada apa-apa bos. Saja berbual kosong. Saya ada banyak bos. Takkanlah saya nak mengata bos.”
“Memanglah kau tak mengata aku depan-depan. Mengata belakang ada, kan?”
Nilam Qadheera tidak tahu tahu membalas apa melainkan tersengih.
“Senyap tu, betullah tu. Sudah, jangan nak berbual lagi. Aku dah bagi tugas dengan budak-budak lain. Aman dengan Bad handle ground dengan first floor. Nil, kau dengan Mal kat tingkat enam dengan tujuh.”
Tingkat tujuh? Nilam Qadheera tidak senang. Kerana tingkat tujuh itulah dia dicop perempuan gedik oleh lelaki yang muncul dari planet yang penduduknya tidak pernah senyum seumur hidup. “Bos, tingkat tujuh?”
“Kenapa? Kau alergi ke dengan nombor tujuh?”
“Bukan bos... Ermm... kalau saya nak tukar tingkat lain boleh?”
“Kau ni banyak songeh betul. Kalau gitu, kau tukar dengan Zaki. Dia tingkat dua dengan tiga.”
Tingkat dua? Kat tingkat itulah ada CEO Sapphire Creative Sdn Bhd. Gadis itu menelan air liur. Berat juga lidahnya untuk memberitahu Encik Rahim. “Bos, kalau tukar lagi tingkat lain?”
“Kau nak tingkat berapa? Aku kasi terus tingkat bawah tanah, nak? Terus kena tanam, tak payah nak timbul lagi. Ke kau nak kena makan mangkuk tingkat?”
“Bos, sorrylah. Tingkat lain, asalkan jangan dua dengan tujuh.”
“Sekarang ni aku bos ke kau bos? Ke kau ingat kau ada share saham dengan aku? Tak ada, aku malas nak layan kau. Kerja kau kat tingkat tujuh dengan enam. Kalau nak tukar, tukar dengan Zaki.”
Nilam Qadheera menggosok-gosok mukanya sendiri. Stres! Pilihan Encik Rahim macam suruh dia pilih masuk mulut buaya atau harimau.
“Okeylah bos. Saya ambil enam dengan tujuh,” balas Nilam Qadheera lalu menarik mask di dagu ke bahagian mulut dan hidung. Dia mengambil kelengkapan dan melangkah masuk ke dalam bangunan tanpa berlengah.

PINTU kaca bergerak secara automatik apabila mengesan ada seseorang atau sesuatu menghampiri ruang masuk utama. Alfatah telah pun tiba di pejabatnya kira-kira 15 minit yang lalu. Namun, sewaktu dia mahu memulakan kerja, dia perasan yang dia tertinggal sesuatu di dalam kereta. Idea untuk projek yang sedang dia uruskan muncul malam tadi. Segala ilham dan ilustrasi dilakar pada kertas.
Lelaki itu melangkah keluar, menuju ke tempat letak kenderaan. Van Kasi Bersih Services hanya selang sebuah dari keretanya. Alfatah memandang sekilas beberapa orang pekerja sedang melakukan persiapan sebelum masuk ke dalam bangunan.
Usai mengambil lima helaian kertas di tempat duduk sebelah pemandu, Alfatah menutup kembali pintu kereta. Kebetulan, detik itu dia mendengar dialog antara dua insan. Apa yang menarik perhatiannya untuk terus mendengar ialah suara si gadis menyebut akan hal jerebu.
Alfatah memandang sekeliling. Dia menyedut udara yang ada. Elok aje. Tak rasa sesak nafas pula. Mata pun tak rasa pedih. Nampak aje langit tu. Bila masa jerebu? tanya Alfatah dalam hati.
“Kau apa tahu? Bumi kita tengah mengalami pencemaran dan kemusnahan sebab perbuatan kita sendiri. Ni semua jadi sebab kau buang sampah tak asing kertas dengan plastik.”
Beberapa susunan ayat yang dituturkan oleh perempuan tersebut terus menyebabkan tapak kasut Alfatah seakan-akan ada magnet untuk terus menekap ke bumi. Dia tertarik dengan teori si penutur. Terdetik di hatinya untuk melihat siapakah gerangan orang tersebut.
Dia tersenyum sendiri. Tidak sangka, ada manusia lain juga yang prihatin. Alfatah cuba menjengah menerusi cermin tingkap van. Terbit rasa ingin tahu untuk melihat wajah tersebut. Sekejap panjang, sekejap pendek leher lelaki itu. Malangnya, dia hanya melihat belakang si gadis. Namun, otak Alfatah memproses sesuatu.
“Macam pernah dengar suara dia ni,” ucap Alfatah, perlahan sahaja.
Saat dia mahu melangkah lebih dekat, telefon bimbit dipoket seluar berbunyi. Dia mengambil keputusan untuk terus masuk ke dalam bangunan. Tidak sempat dia mendengar perbualan seterusnya. Ayat terakhir yang dia dengar ialah pertanyaan Aman kepada Nilam Qadheera. Mungkin, jika telefon bimbit Alfatah tidak berdering, dia dapat mengetahui siapakah gerangan gadis tersebut. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan