Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 5

ZULAIKHA kembali ke meja tugasnya. Berketap giginya dilaga-lagakan, manakala kedua-dua belah jemarinya tergenggam erat. Senang-senang menuduhnya melulu tanpa usul periksa.
Sakitnya tu di sini, di hati! Jika diikutkan hati mahu sahaja disiat-siat mulut Tengku Haikal kerana menuduh tanpa usul periksa. Tengku Haikal tidak tahu menilai dirinya.
Tajam mata Emelda merenung pada wajah Zulaikha yang tegang.
“Ika...” bisik Emelda menyapa Zulaikha.
Zulaikha melepaskan keluhan, seraya wajahnya dipanggung sedikit. Pandangannya dan Emelda saling berbalas.
“Kenapa Tengku Karl panggil kau? Dia nak ajak kau dinner malam ni ya?” tanya Emelda.
Bukan dia tidak tahu Tengku Haikal selalu mencuri pandang gerak-geri Zulaikha dan mahu masuk jarum. Selalu sangat Tengku Haikal menyoal tentang Zulaikha daripadanya dan Helan.
“Jangan cakap pasal si dungu tu. Aku benci dia.” Bergetar badan Zulaikha. Jemarinya sudah tergenggam erat.
“Kenapa?” Berkerut muka Emelda melihat Zulaikha memberontak. Kertas-kertas di atas meja habis menjadi mangsa contengan.
Ke kiri dan ke kanan Zulaikha pandang. Kerusi beroda yang diduduki Emelda ditarik hampir dengannya agar memudahkan perbualan mereka.
“Tengku Haikal tuduh aku fitnah dia,” bisik Zulaikha.
Terkejut Emelda hingga terbuntang biji mata. “Fitnah apa? Betul ke kau buat macam tu?”
Laju Zulaikha menggelengkan kepala. “Gila aku nak buat macam tu. Ada aku cerita apa-apa kat kau dan Helan? Tak ada, kan?”
Jika, kisah bercumbu antara Tengku Haikal dan Marsha yang dimaksudkan, mati-matian mereka menutup mulut pagi tadi risau cerita ini diketahui orang ramai. Tetapi, hairan juga! Mulut siapa yang busuk longkang ni?
“Nasib baik dia tu anak bos. Kalau ikutkan hati yang sakit ni, aku cekik-cekik dan cili-cili mulut dia. Macam dia bagus sangat!” Kesabaran Zulaikha teruji.
“Ika, sabar.” Emelda cuba tenangkan Zulaikha. Kecut perut lihat wajah Zulaikha yang tegang.
“Aku sabarlah ni, Emel.” Muncung pen biru dihunus ke kertas, kuat.
“Dah sah buat salah, dah kecoh cerita sampai kat Tengku Malik, aku jugak yang kena. Kau agak-agak mulut siapa yang bawa cerita ni?” Zulaikha lirik Emelda tajam inginkan kepastian.
Laju Emelda memberikan isyarat tangan. “Bukan aku, dan Helan pun bukan.”
“Aku tak tuduh kau orang berdua.” Zulaikha percaya kepada Emelda dan Helan. Dia kenal, baik buruk dua orang temannya itu.
“Rasanya aku tahu siapa punya angkara.” Emelda mengesyaki seseorang.
Dia dan Helan juga tahu cerita itu dari mulut Marsha sendiri. Tidak mustahil Marsha sendiri yang kecohkan cerita itu satu pejabat.
“Kau pun tahu cerita ni, Emel?” Tidak lepas Zulaikha memandang Emelda. Kedua-dua belah keningnya dijongket tinggi.
“Tahu, Marsha yang cerita. Aku syak, ini semua kerja dia. Perempuan tak tahu malu memang macam tu.” Geli telinga bila dengar cerita Marsha membuka aib dirinya sendiri, tiada harga diri.
Perbualan mereka berdua terhenti begitu sahaja bila perasan Tengku Haikal mengatur langkah ke arah mereka berdua. Emelda kalut mengunci mulutnya dan menolak kerusi beroda itu dengan kakinya, kembali ke mejanya. Gerun lihat Tengku Haikal yang bengis semacam.
“Hah, tak ada kerja lain, mengumpat aje kerja kamu berdua!” sergah Tengku Haikal menyinga, berdiri Tengku Haikal di hadapan Zulaikha. Bergelora nafasnya bila berhadapan Zulaikha.
“Ikut saya ke pejabat sekarang,” arah Tengku Haikal kepada Zulaikha.
Tanpa banyak soal, Zulaikha mengikut Tengku Haikal dari belakang. Dalam hati, dia tidak berhenti berdoa. Demi kebenaran, dia sanggup berhadapan.

JANJINYA akan dikotakan dan hukuman akan diberikan. Tiada lagi belas kasihan untuk perempuan seperti Zulaikha. Tidak sangka wanita yang dipuja dan dibanggakan mempunyai sikap begini. Hanya berselindung di sebalik tudung yang dipakai. Raut wajahnya begitu sempurna untuk dipandang, cantiknya bagaikan bidadari, tapi sikapnya amat mengecewakan.
Tidak selesa duduk Zulaikha bila Tengku Haikal terus merenungnya. Gelisah, risau, semuanya bercampur satu.
Perlahan-lahan Tengku Haikal melepaskan keluhan. Dagunya yang berlekuk itu diurut perlahan. “Zulaikha...”
Zulaikha dari tadi tertunduk, memanggungkan kepala. Beranikan diri membalas renungan tajam Tengku Haikal. Bergetar seluruh jiwa raga bila mata itu dibalas pandang.
“Awak tahu tak, apa kesalahan awak?” Tengku Haikal yang duduk di kerusi empuknya mula bangun berdiri. Kedua-dua belah tangannya diletakkan ke permukaan meja berkaca.
Zulaikha menggelengkan kepala. Dia tahu Tengku Haikal menuduhnya telah menyebarkan fitnah tentang dirinya. Dia juga tidak takut untuk berdepan dengan pemuda di depannya itu, berani kerana benar.
“Apa motif awak nak fitnah saya, Zulaikha?” Tengku Haikal terus mendesak Zulaikha mengaku.
Zulaikha tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan.
“Saya tak fitnah Tengku Karl. Tapi, terpulanglah apa pun tanggapan Tengku Karl kepada saya. Saya dah nafikan tuduhan tu dan Tengku Karl tetap nak salahkan saya. Itu hak Tengku Karl,” jawab Zulaikha berani, langsung tidak gentar. Jika Tengku Haikal ingin terus menyalahkannya, teruskan!
“Hmm, awak tak mahu bela diri?” Galak mata Tengku Haikal menangkap bentuk muka Zulaikha. Memang tidak dapat dinafikan lagi kecantikan gadis itu. Paras wajahnya yang ayu itu tidak puas dipandang.
“Saya dah malas, Tengku Karl. Kalau bela diri apa yang saya dapat? Bukan Tengku Karl nak dengar pun cakap saya. Sekarang ikut Tengku Karl. Kalau Tengku Karl rasa saya bersalah hukum aje saya.” Tidak sikit pun Zulaikha berasa gugup. Sudah sahih dia tidak bersalah. Allah selalu ada bersama dengan orang yang benar.
“Baik, kalau itu yang awak cakap. Awak jangan nak marahkan saya, kalau saya beri hukuman nanti.” Mendatar suara Tengku Haikal, tetapi tegas.
“Tak guna saya marah, Tengku Karl.” Tenang Zulaikha berdepan Tengku Haikal.
Tengku Haikal menepuk tangannya dan tawanya mula meledak kuat. “Bagus, saya suka dengan jawapan awak Zulaikha.”
Tengku Haikal kembali ke kerusi empuknya dengan senyuman terukir pada wajah. Tengku Haikal tidak matang dalam membuat keputusan, tidak profesional. Jawatan pengurus yang disandang tidak layak dijawatnya dengan baik dan jika jawatan CEO digalasnya, habis rosak syarikat yang diusahakan Tengku Malik.
“Awak sudah sedia untuk terima hukuman?” soal Tengku Haikal.
Tak berkutik Zulaikha. Hanya bibir bawahnya dijuihkan labuh.
Tengku Haikal bertukar posisi duduknya. Fail yang sudah disiapkan Zulaikha dikeluarkan dari laci.
“Ini kerja yang awak siapkan tadi. Saya nak awak buat semula dan pulangkan hari ini juga.” Dokumen yang sudah siap dikoyak Tengku Haikal.
Laju darah naik ke kepala bila hasil kerjanya dikoyakkan begitu. Memang tak patut. Hanya ditahan sahaja amarahnya. Kalau diikutkan angin satu badannya memang gasak dibalas perbuatan Tengku Haikal. Sabar! Sabar! Selagi boleh sabar, sabar sahajalah.
“Selagi kerja awak tak habis, jangan harap awak boleh balik.” Lantang Tengku Haikal memberikan arahan yang berunsur dendam.
“Ya, Tengku Karl.” Mengangguk Zulaikha, mengikut sahaja arahan. Malas bertikam lidah. Ikut sahajalah apa kehendaknya daripada terus berdepan dengan Tengku Haikal lagi lama di sini.
“Awak boleh sambung kerja semula,” arah Tengku Haikal. Jari telunjuknya menunding ke daun pintu, mempersilakan Zulaikha keluar dari biliknya.
Tengku Haikal terus menghantar Zulaikha ke muka pintu dengan lirikan mata dan beberapa ketika dia terus meledakkan tawa yang ditahannya. Kelakar bila melihat muka Zulaikha yang tegang.
           
Tepat jam 9.00 malam, Zulaikha berjaya siapkan kerja yang diarahkan Tengku Haikal. Kali ini, jika Tengku Haikal tidak berpuas hati memang dia perlu berdepan dengan kerenah singa beku itu buat kali kedua.
Kakinya mengorak langkah ke bilik Tengku Haikal. Baru sekerat langkah Zulaikha menghentikan langkahnya bila bilik Tengku Haikal sudah gelap. Air liur ditelan, bulu roma sudah meremang bila perasan kelibat hitam berjalan. Kalut dia mengaturkan langkah menyelamatkan diri.
“Kerja dah siap?” Suara Tengku Haikal menyapa.
“Kenapa? Awak ingat saya ni hantu?” getus Tengku Haikal bila lihat wajah terkejut Zulaikha.
Mati-mati Zulaikha sangka hantu. Dia menghelakan nafasnya.
“Dah siap?” Sekali lagi Tengku Haikal menyoal.
Zulaikha menganggukkan kepalanya. Fail di tangan dihulurkan. Tetapi, fail itu dipandang kosong oleh Tengku Haikal, tidak bersambut.
“Esok aje awak serahkan, saya dah nak balik,” jawab Tengku Haikal dan terus berlalu begitu sahaja.
Laju sahaja nafas Zulaikha naik turun. Fail yang dipegangnya dihempas kuat ke permukaan meja. Berketap gigi atas dan bawah. Kalau boleh tumbuk Tengku Haikal, memang genggaman itu sampai juga ke muka dia. Memang sengaja! Kalau bukan kerana seseorang jangan harap dia akan terus bertahan di sini. Sabar Zulaikha. Sabar itu separuh daripada iman!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan