Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 15 Februari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 6

MAK ANI mencuit lengan Pak Awi. Mulutnya dimuncungkan ke arah Fadil yang sedang leka menonton televisyen. Pak Awi terus memandang Fadil.
“Lekat pulak dekat rumah malam ni. Selalunya lepas maghrib nak nampak bayang pun susah.”
“Abang, saya ada perkara nak beritahu abang ni. Pagi tadi masa saya kemas bilik Fadil, saya terjumpa borang penyertaan dia nak masuk pertandingan menyanyi,” beritahu Mak Ani.
Mata Pak Awi berkalih ke wajah Mak Ani pula. “Pertandingan menyanyi?”
“Alah, yang popular dekat dalam TV tu. Apa ke namanya? Ha... Oi! Meletup Kau!”
“Hisy! Merepeklah awak ni, Ani,” sangkal Pak Awi tidak percaya.
Dia tahu rancangan realiti TV yang isterinya maksudkan. Rancangan itu memang selalu mendapat sambutan hangat penonton. Setiap kali bersiaran, jumlah penonton mencecah sampai berjuta-juta orang. Malah, siap menjadi fenomena lagi.
“La... Merepek apanya, bang? Saya baca sendiri nama dia kat dalam borang tu. Kalau abang tak percaya, abang pergilah risik-risik dengan dia,” kata Mak Ani mempertahankan kata-katanya.
Pak Awi terus pergi duduk di sebelah Fadil. Tanpa mukadimah apa-apa, dia bertanya direct. “Ni, ayah nak tanya kau sikit. Betul ke kau nak masuk pertandingan menyanyi?”
Fadil tersentak lantas menoleh. Terkejut bukan main dia mendengar pertanyaan ayahnya. Dia mana pernah bercerita dekat sesiapa selain Herman? Pelik! Macam mana ayahnya boleh tahu pula?
“Pertandingan apa maksud ayah?” tanya Fadil kembali sengaja buat-buat tidak faham.
“Yang meletup-letup tulah. Hah, macam iklan dalam TV tu,” kata Pak Awi sambil memuncungkan mulut ke skrin.
Kebetulan pada waktu itu keluar iklan promo mengenai uji bakat Oi! Meletup Kau!
Fadil sudah tidak senang duduk. Nak mengaku ke tak?
“Mana ayah tahu pasal hal tu? Fad rasa Fad tak pernah cerita dekat ayah pun.”
“Mak kau terjumpa borang pertandingan tu kat dalam bilik kau pagi tadi.”
Bibir bawah diketap kuat. Aduh, macam mana aku boleh cuai letak borang tu merata-rata? Tak pasal-pasal dah terkantoi. Fadil memandang Pak Awi sambil tersengih selamba.
“Fad saja aje nak cuba nasib. Manalah tahu kut-kut ada rezeki jadi superstar,” ujar Fadil akhirnya mengaku tentang hal tersebut. Berjaya atau gagal itu soal kedua. Yang penting dia ada keberanian hendak mencuba.
“Kau memang nak jadi penyanyi ke? Tak nak cari kerja makan gaji macam orang lain?” soal Pak Awi mendapatkan kepastian.
“Fad tak minatlah, ayah. Semua tu mana kena dengan jiwa Fad. Kalau tak, takkanlah Fad asyik tukar-tukar kerja aje sebelum ni.”
“Kalau kau jadi penyanyi, kau rasa masa depan kau akan terjamin ke? Boleh hidup senang?”
“Susah senang belakang kiralah, ayah. Yang penting Fad buat apa yang Fad suka,” balas Fadil lagi.
Pak Awi bergumam panjang.
“Kalau kau tahu apa minat kau, baguslah. Dah buat sesuatu tu, buatlah bersungguh-sungguh. Jangan sekerat jalan aje,” ujarnya menitip pesanan.
Dalam mendidik anak-anak, dia tidak suka menentukan apa anaknya kena jadi. Asalkan pilihan itu menggembirakan mereka, dia akur sahaja.
Tersenyum lega Fadil mendengar nasihat ayahnya. “Mestilah, ayah. Fad janji akan buat yang terbaik nanti. Err... Ayah, tukar topik sekejap. Fad nak tanya pasal Nuha sikit, boleh? Ayah tahu tak rumah Nuha dekat mana?”
Pak Awi memandang Fadil penuh sangsi. “Dah kenapa pulak kau tiba-tiba aje tanya ayah pasal rumah dia?”
“Ada hal sikit Fad nak selesaikan dengan dia,” nyata Fadil sehabis tenang. Namun, dalam hatinya bukan main laju jantung berdegup.
“Pasal hal semalam ke?”
Fadil tersengih. Dia mengangguk perlahan. “Fad telefon dia, tapi dia marah. Sebab tu Fad nak pergi jumpa dia.”
“Macam mana kau dapat nombor dia?” tanya Pak Awi semakin musykil.
“Err... Fad jumpa kat dalam telefon ayahlah. Fad telefon dia pun guna telefon ayah jugak.” Jujur Fadil berterus terang. Seperti dia duga, mata ayahnya terus terbeliak. Sekejap lagi mesti dia kena marah sebab habiskan kredit telefon ayahnya.
“Ooo... Jadi, kaulah toyol yang sedut kredit telefon ayah sampai tinggal sikit? Bertuah punya anak!” dengus Pak Awi penuh geram. Terjawab sudah punca kredit telefonnya tinggal sedikit secara tiba-tiba. Panggilan Maxis ke Celcom memanglah mahal.
Fadil tersengih-sengih. “Nanti Fad ganti balik kredit ayah tu. Tapi, ayah beritahulah dulu alamat rumah Nuha.”
“Rumah dia tak jauh pun dari wakaf yang dia selalu tunggu teksi. Tapi, duk seberang jalan. Lorong masuk ke rumah dia sebelah kedai gunting Abang Zek. Nampak rumah warna kuning, yalah tu.”
Fadil menghafal petunjuk-petunjuk yang ayahnya beri dalam kepala. Dia rasa dia cam kedai gunting yang dimaksudkan itu. Baguslah. Senang dia cari nanti.
“Nuha tu baik orangnya...” puji Pak Awi tiba-tiba.
Bibirnya tersenyum mengingati gadis itu. Sudah lebih tiga tahun Nuha menjadi pelanggan tetap teksinya. Dia memang tahu orangnya jenis macam mana.
“Dan cantik jugak,” tambah Fadil pula. Namun, apabila melihat Pak Awi memandangnya semacam dia terus membetulkan kata-katanya.
“Budi bahasanya. Tertinggal pulak ayat tu dekat belakang.” Fadil menggaru-garu kepala sambil menyengih. Tidak tahulah tang mana cantiknya budi bahasa Nuha. Yang semalam punya ke laut!

NUHA bangkit daripada perbaringan apabila terdengar bunyi orang memberi salam beberapa kali. Setelah membuka pintu, dia melihat ada seorang lelaki duduk di atas motosikal Honda EX5 berwarna biru. Siap pakai topi keledar tutup muka lagi. Siapa pula mamat ni?
“Assalamualaikum!” Lelaki itu memberi salam lagi. Entah kali ke berapa.
“Waalaikumussalam. Cari siapa?” tanya Nuha.
“Cari kaulah!” Fadil mengangkat visor sebelum menanggalkan topi keledar. Selepas itu dia menggeleng-geleng kepala sambil menyisir rambutnya.
Hampir terjelepok Nuha melihat tetamu yang datang ke rumahnya itu. Fadil Ashraf? Biar benar!
“Buat apa awak datang sini? Macam mana awak tahu alamat rumah saya?” soal Nuha masih susah hendak percaya dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
“Tak payah nak terkejut sangatlah. Buat-buat biasa aje. Aku datang ni nak hantar Tupperware yang kau tinggal dalam teksi kelmarin.” Fadil mengambil beg kain coklat di dalam raga motosikal lalu turun menghampiri Nuha yang berdiri di atas tangga.
Dia hulur kepada Nuha. Namun, apabila Nuha hendak mengambil dia menarik semula.
“Tapi, kuihnya aku dah makan habis,” kata Fadil dengan selamba tayang muka tidak bersalah.
Nuha mengetap bibir. “Awak ni teruk betul tau. Makan kuih orang tak minta kebenaran. Tak malu!”
“Habis, siapa suruh kau tinggal?”
“Dah tahu saya tertinggal kuih tu boleh aje awak pergi hantar dekat pejabat saya, kan?”
“Manalah aku tahu kau kerja dekat pejabat mana. Dalam bangunan tu bukan pejabat kau aje yang ada,” kata Fadil.
“Kalau tak tahu tanyalah dekat sesiapa. Apa susah sangatnya?” tempelak Nuha yang sudah tidak dapat membendung rasa geramnya terhadap Fadil. Memang dia rasa bengang sangat-sangat!
Fadil mengerising. “Kau ni tak padan dengan demam. Dalam tak sihat pun kau bertenaga jugak marah aku, kan? Okeylah, aku pun malas nak bertekak dengan kau. Tujuan aku datang sini selain nak pulangkan Tupperware kau, aku ada nak beri kau sup ayam. Itu tanda aku mintak maaf sebab lupa nak jemput kau balik kerja kelmarin.”
Fadil memberi isyarat kepada Nuha agar mengambil beg dari tangannya.
Teragak-agak Nuha menyambut. Sup ayam? Dia membuka beg itu dan cuba memastikannya. Betullah Fadil bawa sup ayam untuk dia. Kuat bau aroma sup menyapa deria baunya. “Siapa yang masak? Awak ke?”
“Dah tentulah bukan aku. Tapi, aku jamin sup tu memang sedap sebab mak aku yang masak. Hah, tunggu apa lagi? Cepatlah maafkan aku,” pinta Fadil.
Nuha memandang Fadil. Mujurlah Fadil menggantikan kuih seri muka dia dengan sup ayam ini. Terpujuklah sedikit kemarahannya. “Yalah, saya maafkan awak.”
“Okey, aku balik dulu,” ujar Fadil senang hati. Sekarang dia sudah tidak ada apa-apa hutang atau pikul rasa bersalah lagi terhadap Nuha.
“Eh, nanti dulu!” panggil Nuha.
Fadil menoleh semula. “Tak apa, kau tak perlu ucap terima kasih atau berasa terharu sebab aku memang dah niat nak buat semua ni.”
Nuha katup mulutnya yang ternganga. Macam tahu-tahu saja Fadil ni dia nak ucap terima terima kasih. “Habis tu, saya nak ucap apa?”
“Ucap alhamdulillah ajelah. Syukur sebab pagi-pagi macam ni kau dah dapat makan sup ayam. Bukan ke rezeki namanya tu?” Fadil tersenyum.
Dia memakai semula topi keledar dan hidupkan enjin motosikal. Di sebalik visor, dapat dilihat betapa manisnya senyuman yang terukir pada bibir Nuha. Itulah kali pertama dia melihat Nuha tersenyum ikhlas. Visor dibuka semula.
“Lepas ni kalau jumpa aku dekat mana-mana, senyum macam tu ya. Sebab muka kau nampak manis sangat,” puji Fadil. Selepas itu dia terus memecut pergi.
Nuha tergamam. Kemudian tergelak seorang diri. Fadil puji dia manis? Hmm... baik juga hati mamat ni rupanya.
“Siapa yang datang tadi tu?” tegur Mak Siti datang menjenguk di muka pintu. Tadi dia terdengar bunyi orang bersembang. Tetapi, tidak tahu siapa.
Segera Nuha berpaling dan masuk ke dalam rumah.
“Kawan Nuha datang hantar sup ayam,” balasnya tidak berselindung. Ah, sejak bila pula Fadil tu jadi kawan dia?
“Bagusnya. Kawan kau yang mana satu ni? Ke buah hati kau?” Mak Siti sengaja serkap jarang membuatkan Nuha sedikit tersentak.
“Hisy! Merepeklah mak ni. Bukan buah hati Nuhalah. Tu, anak Pak Awi drebar teksi tu. Masa naik teksi dia dua hari lepas, Nuha tertinggal bekal kat dalam kereta. Dia pulangkan balik bekas tu sekali dengan sup ayam ni,” jelas Nuha lalu memanjangkan langkah ke dapur.
Dia mengambil mangkuk dan sudu mahu merasa sup tersebut. Ketika mengeluarkan Tupperware dari beg, tiba-tiba ada sekeping kertas terjatuh di atas meja. Dia ambil dan baca.

Semoga cepat sembuh. Jangan lupa baca bismillah.

Bibir Nuha mengoles senyum. Nak beli hati dia ke apa ni? Tanpa dia sedar, kelakuannya itu menjadi perhatian Mak Siti.
“Amboi, senyum sorang-sorang nampak?” tegur Mak Siti.
Nuha berkalih mata ke wajah Mak Siti. Cepat-cepat dia masukkan semula kertas tadi ke dalam beg semula.
“Mak nak rasa? Nampak macam sedap aje ni,” pelawanya cuba menutup malu. Dia mencedok sup ke dalam mangkuk lalu hulur kepada Mak Siti. Tetapi, emaknya menolak.
“Kau ajelah yang makan. Lagipun sup tu untuk orang yang demam,” kata Mak Siti.
Nuha terus menarik kerusi dan duduk makan. Hmm... sedapnya! Penuh berselera dia menikmati sup ayam kampung itu.
“Siapa nama anak Pak Awi tu?”
“Fadil Ashraf.”
“Bujang lagi ke orangnya? Kalau ya, kawan-kawanlah dengan dia. Mana tahu serasi. Ada jodoh boleh jadi menantu mak dan ayah,” seloroh Mak Siti sambil perhati Nuha makan.
Nuha terbatuk panjang. Ke situ pulak mak aku ni, getusnya.
“Tak payahlah, mak. Dia tu tak sesuai jadi menantu mak dan ayah sebab orangnya kasar. Mulut dia jenis tak ada brek. Nanti mak dan ayah asyik terkesot hati aje dengan dia,” balas Nuha.
“Ia ke? Alah, orang lelaki biasalah tu bersikap kasar macam tu. Macam ayah kau jugak. Tapi, hati dia baik. Hmm... kau jangan buat-buat tak faham pulak maksud mak ni.” Mak Siti mengerling Nuha.
“Dah jumpa calon sesuai nanti Nuha bawalah dia jumpa dengan mak dan ayah. Mak tak payahlah risau sangat pasal jodoh Nuha ni. Lagipun Nuha muda lagilah. Tak puas lagi nak berseronok.”
Haih! Pagi-pagi dah cakap pasal calon suami. Haru betullah. Demam pun payah nak baik kalau macam ni. Nuha mengomel dalam hati.
“Mak cuma nak ingatkan kau aje. Sebelum ayah kau bising dan sibuk nak jodohkan kau dengan calon pilihan dia, lebih baik kau cari cepat-cepat.”
“Yalah, yalah... Nanti lepas makan sup ayam ni Nuha pergi cari calon suami yang mak dan ayah nak tu ya,” kata Nuha malas hendak memanjangkan cerita.
Nak cari di mana pun dia tidak tahu. Yang dia tahu, sup ayam emak Fadil buat ni tersangatlah sedap. Rasa macam tidak cukup sahaja satu Tupperware. Nak suruh Fadil hantar lagi boleh tak?

“SEMALAM datang dengan muka monyok. Hari ni ceria mengalahkan kanak-kanak menang hadiah sukaneka. Masalah kau dah selesai ke?” Herman dapat mengesan perubahan wajah Fadil yang bercahaya lain macam. Asyik tersenyum-senyum sahaja dari tadi.
“Dah. Lega hati aku sekarang,” balas Fadil dengan lapang dada.
“Baguslah tu. Lepas ni bolehlah pergi ke step seterusnya pulak,” kata Herman sambil mengangkat kening.
“Tak ada maknanya. Aku dah habis urusan dengan dia. Lepas ni kami dah tak jumpa lagi.”
“Ada jodoh tak ke mana.”
“Banyaklah kau. Dahlah, pergi layan pelanggan kau tu.” Fadil menjuih mulut ke arah seorang lelaki yang baru masuk ke dalam kedai Herman. Bergegas Herman meninggalkannya.
Gitar di tangan kemudian dipetik perlahan. Selepas itu dia termangu seketika. Di ruang matanya, terbayang-bayang senyuman manis Nuha tadi. Kenapa susah nak lupa ya?
“Takkanlah aku dah terkena bius cinta kut? Aku ni mana percaya dengan cinta dah,” kata Fadil lantas membuang jauh-jauh perasaan pelik itu. Dia sambung bermain gitar semula sambil menyanyi lagu kumpulan Flop Poppy, Aku Dan Kamu.
Herman kembali mendapatkan Fadil setelah selesai berurusan dengan pelanggan. Dia ikut menyanyi lagu yang Fadil nyanyikan. Kedai bundlenya itu boleh diibarat tempat jamming Fadil. Sentiasa tidak sunyi dengan alunan muzik.
“Man, masa hari uji bakat nanti kau temankan aku boleh?” tanya Fadil usai menyanyi.
“Bila tu?”
“Lagi dua minggu.”
“Tak ada masalah. Tapi, kena tutup kedailah jawabnya sehari. Uji bakat tu mesti makan masa lama,” kata Herman. Dia pernah tengok situasi uji bakat diadakan. Memang penuh dengan orang ramai. Berjam-jam menunggu giliran.
“Alah, berkorbanlah sikit demi aku. Kata penyokong nombor satu aku.”
“Mestilah aku support kau, Fad. Kalau tak, tak adanya aku kasi kau busking depan premis kedai aku ni,” balas Herman.
Fadil tersengih. Sememangnya dia berterima kasih kepada Herman sebab sudi sediakan tapak. Kadang-kadang ada juga dia join busking di tempat lain. Namun, di depan kedai Herman lebih kerap lagi.
“Masa uji bakat nanti kau nak nyanyi lagu apa?”
Fadil berguman sambil termangu. Apabila Herman bertanya barulah dia terfikir tentang hal itu. “Lagu apa ya? Hmm... pandai-pandailah aku pilih nanti.”
“Tapi, jangan salah pilih lagu pulak. Ni kau beria-ia sangat nak masuk pertandingan tu, mak dan ayah kau tahu ke tidak?”
“Mula-mula tak tahu. Tapi, kantoi lepas mak aku terjumpa borang tu kat dalam bilik. Bila ayah aku tanya, terpaksalah aku beritahu.”
“Dia ada cakap apa-apa tak?”
“Dia pesan suruh buat bersungguh-sungguh,” kata Fadil.
“Kalau macam tu kau buktikan sampai berjaya. Mesti boleh menang punyalah!” Herman menepuk bahu Fadil berkali-kali memberi semangat.
Fadil mengangguk. Memang itulah yang dia hendak buat. Harap-harap masin mulut Herman. Merasalah dia menjadi artis terkenal.
“Terima kasih, Man,” ucap Fadil. Kata-kata Herman buat semangatnya naik berkobar-kobar.

“APA, mak? Fadil nak masuk pertandingan realiti TV?” Ketawa Fakrie bergema di segenap ruang tamu. Hampir nak patah rahang dia mendengar khabar yang mengejutkan itu. Kelakarnya impian adik aku ni.
Mak Ani mengangguk mengiakan pertanyaan Fakrie.
“Berbakat sangat ke dia sampai nak masuk pertandingan tu? Kalau setakat nak malukan diri sendiri baik tak payah. Malu keluarga kita ni nanti dekat orang kampung. Hai, orang pemalas macam dia tu berangan ajelah kerjanya. Perasan kononnya diri tu hebat sangat. Tapi...” kutuk Fakrie sengaja menggantung kata-katanya.
“Biarlah dia. Sekurang-kurangnya dia ada keberanian nak cabar diri sendiri. Kita tak tahu kut-kut ada rezeki dia nanti. Kita sokong ajelah dia dari belakang,” sampuk Pak Awi pula yang baru datang menyertai Mak Ani dan Fakrie berbual di depan TV.
Fakrie memandang Pak Awi. “Ayah, bukan Rie sengaja perlekeh dia. Tapi, memang dah terang-terangan dia tu tak ada bakat. Kalau Rie jadi juri, memang taklah Rie pilih dia. Ayah dengan mak tak sepatutnya sokong hasrat dia tu.”
“Adik kau tu tak minat dengan kerja lain. Muzik tu dah macam jiwa dia. Kalau dia nampak masa depan dia dekat situ, biarlah.”
“Tapi, Rie tak boleh terimalah minat dia yang entah apa-apa tu. Kalau kata dia menang nanti, setakat manalah sangat dia boleh pergi? Rie tengok yang masuk bertanding musim lepas pun, entah ke mana-mana hala tujunya. Tak payahlah bagi dia masuk. Suruh aje dia cari kerja lain. Mak dengan ayah pun janganlah beri muka sangat dekat dia. Makin lama makin tinggi pulak tocang dia naik.” Fakrie terus memperlekeh Fadil.
“Kamu ni, Rie... Dengan adik sendiri, berilah sokongan sikit,” tegur Mak Ani pula.
Pandangan Fakrie jatuh ke wajah Mak Ani pula.
“Nak sokong macam mana, mak? Dia tu selalunya hangat-hangat tahi kambing aje. Rie nak rasa bangga pun susah. Tapi, kalau dia bersungguh-sungguh sangat, biarlah. Kita tengok ajelah apa yang akan jadi nanti. Tapi, Rie yakin sangat dia tu takkan berjaya. Mesti punyalah!” kata Fakrie penuh optimis.
Mak Ani dan Pak Awi saling berpandangan. Mereka hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata kutukan Fakrie itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan