Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Februari 2016

Per: Jawatan Isteri - Bab 5

ADELIA sedang runsing. Fikirannya tak boleh fokus pada kerja. Malah, tak fokus pada semua perkara kecuali satu. Fahad. Jadi, dia perlu minta seseorang menasihatinya. Siapa lagi kalau bukan kawan baiknya, Nani.
“Kau nak tanya aku soalan ke? Dari tadi duk err, err... Apa hal?” Di hujung talian suara Nani menyergah, menyebabkan Adelia tarik nafas panjang.
Namun, rasa ini perlu dikongsi. Kalau tidak, dia asyik memikir. Otak pun macam penuh sesak sekarang ini.
“Nani, dah berhari-hari aku tunggu seorang lelaki ni. Depan lif, dekat lobi, depan pintu pejabat aku. Tapi, usah kata orangnya, bayang dia pun aku tak jumpa. Kenapa ya?”
“Mana kau kenal dia? Ke jumpa dalam mimpi aje?”
“Minggu lepas. Dia langgar aku sampai aku jatuh terduduk kat lantai lobi bangunan ni. Dia janji nak cari aku. Tu yang buat aku tertunggu-tunggu ni.”
“Dia dah lupalah tu. Tak pun dia buat-buat lupa. Atau mudah cakap dia tak ingat janji dia nak cari kau. Come on, girl! Kau tak harap dia cari kau, kan?”
Hilang sudah rasa teruja. Pergi sudah rasa bahagia. Yang ada hanya kekecewaan.
“Weh, sedarlah diri tu sikit! Kan aku dah selalu pesan kepada kau macam tu?”
“Ya, aku tahu. Aku pun sedar siapa diri aku ni. Dah lama sedar. Tak payah kau nak ingatkan aku lagi.”
“Dia tak akan cari kau punya. Lainlah kalau kau tu cantik macam Neelofa atau badan kau tu langsing macam Tyra Banks. Tak pun kau tu dah serupa Deepika Padukone. Selagi nama kau Adelia dan badan kau macam gitu, kau lupakan ajelah. Tak payah berangan jauh-jauh sangat. Kau juga yang akan sedih nanti.”
Adelia merengus, namun kata-kata Nani ada benarnya. Dia gemuk. Dia debab. Dia berisi. Dalam kata lain bentuk badan dia tak cukup cantik untuk menarik minat kaum lelaki. Tak cukup hebat untuk membuatkan lelaki seperti Fahad mahu berkawan dengannya.
“Betul agaknya cakap kau tu, Nani. Aku rasa tentu si Fahad tu sedang mengelak aku. Entah-entah dia menyesal janji nak cari aku hari tu.”
“Dan dia mungkin tengah menyorok, tak mahu terserempak dengan kau lagi.”
“Kan? Aku pun fikir macam tu juga.”
“Kau lupakan aje dia, Adel. Apa ke hal dia nak cari kau bila kat sekeliling dia ada banyak aje perempuan? Nak yang ramping, yang kurus, yang seksi? Dia petik jari dia aje, berlari perempuan-perempuan tu kerumun dia. Dah, dah! Tak payah fikir. Tak payah duk ingat pada Fahad tu lagi.”
“Kadang-kadang kan Nani, aku ada terfikir jugak. Kau ni kawan aku ke? Bila bercakap langsung kau tak tapis. Ikut suka mulut kau aje nak mengata aku.” Adelia mula berang dengan sikap Nani yang sangat berterus terang itu.
“Adel, aku boleh aje cakap yang sweet-sweet dengan kau. Tapi, apa gunanya? Kalau kemudian hari kau ditipu dek jantan tu, aku pun jadi sedih sama. Memanglah telinga kau sakit bila dengar aku kutuk, tapi aku cakap yang benar apa. Aku tak pandai nak cakap berlapik atau menipu semata-mata nak jaga hati kau tu. Lagipun, itu bukan kawan namanya, Adel. Kawan mesti berterus terang dengan kawan dia. Walaupun pahit, kau kena telanlah. Faham tak apa aku cakap ni?”
Apa yang Nani kata, betul semuanya. Biarpun Nani mengutuknya depan-depan, dia lebih rela begitu. Daripada mempunyai kawan yang manis mulutnya depan dia, tetapi di belakang bukan main mengata, lebih baiklah dia pilih Nani.
Mengenang Fahad, Adelia angkat bendera putih. Dia sudah putus asa dengan lelaki itu. Dia mengaku kalah dalam hati. Tahu bahawa sudah tiba masa untuk dia melupakan. Walau semanis mana pun kenangan pada pertemuan pertama itu, biarlah semuanya disimpan sahaja. Dia mesti ikut nasihat Nani. Mesti!
“Adel, dah pukul 10.00 ni. Jom sarap!”
Bayangan Fahad ditepis menjauh. Sempat pula dia mengelamun sebaik sahaja sudah memutuskan panggilan dengan Nani tadi. Cepat-cepat dia mendongak memandang wajah rakan sepejabat yang baru mempelawa. Kepala segera digeleng.
“Tak naklah, Ani. Saya dah makan di rumah tadi.” Dia memberitahu.
Mendengar jawapan itu, Ani mengajak kawan-kawannya pergi dari situ. Sebaik sahaja mereka hilang daripada pandangan, Adelia kembali menghadap komputer. Jadualnya agak sibuk hari ini kerana pagi tadi encik bos beri dia banyak dokumen yang disuruh taip. Sedang asyik dia dengan kerjanya, tiba-tiba ada seseorang mengetuk permukaan meja. Ada suara menyapa.
“Hai, Adel. Sihat hari ini?”
Adelia segera mendongak. Tak lama selepas itu sepasang mata bundar membulat. Mulut hampir ternganga melihat gerangan di hadapannya. Dan dada mulalah nak berdebar bagai.
“Assalamualaikum. Saya sihat. Awak buat apa di sini?” tanya dia dengan gaya yang sengaja dibuat selamba.
Waktu dicari, bayang pun tak jumpa. Waktu ingin dilupa, orangnya tegak depan mata. Macam mana tu?
Fahad tersengih. “I cari kawan I. Merata-rata I cari dia. Rupa-rupanya, dia kerja kat sini.”
“Dah seminggu baru nak cari?”
“Baru seminggu. Belum sebulan lagi. Kan?”
“Ingat pulak tu nak cari saya.”
“Mestilah ingat. Nama you pun I tak pernah lupa, Adel.” Fahad asyik benar menilik wajah di hadapannya.
Dari dekat begini, diteliti betul-betul raut itu. Raut yang asyik mengganggu lenanya kebelakangan ini, yang pandai benar mencelah ingatannya biarpun berkali-kali hati diberitahu bahawa gadis ini bukan sesiapa. Bahawa dia ada dendam yang perlu dilunasi!
“Macam mana tahu saya kerja sini?” Adelia tak betah. Apabila dirinya menjadi perhatian, kelam-kabut hatinya nak kawal degup jantung yang mula tak sekata pergerakannya.
“Kalau I berusaha, tak ada apa yang boleh halang I menemui apa yang I cari.”
“Amboi, ayat! Berlagak bukan main.” Sinis Adelia membalas.
“You ni macam tak harap I cari you aje?” Encik hero dah kerut dahi.
Tak faham kenapa dia terima layanan sejuk beku daripada Adelia. Bukankah sepatutnya dia yang dingin pada gadis di hadapannya ini? Tak apa, Han. Pelan-pelan! Sabar! Hati dinasihati.
“Seminggu awak diamkan diri. Kalau awak jadi saya, tentu awak pun fikir saya dah lupakan awak. Tak gitu, Fahad?”
Lupa? Ya, dia ingin benar melupakan gadis ini. Malangnya ada sesuatu yang belum selesai antara mereka. Adelia tidak tahu dan dia tidak berniat untuk memberitahu. Selagi perkara itu belum beres, selagi itulah dia akan berusaha mendekati gadis ini.
“Saya tak lupalah. Cuma sibuk sikit sepanjang minggu lepas. Hari ni baru lapang dan baru dapat cari awak.” Fahad berdalih.
“Sebenarnya saya tak harap sangat awak tepati janji nak cari saya. Saya dah biasa kena tolak. Dengan saiz badan yang macam ni, apalah yang nak dihairankan kalau awak lupakan saya. You are not the first to reject me, Fahad.”
Konon! Tadi siapa yang mengadu dengan Nani, Adel oi?
Ikutkan hati, mahu saja Fahad cakap dia memang tak sudi berkawan dengan Adelia. Tapi, rosaklah rancangannya nanti. Dia ada misi dan misi itu baru bermula. Misi itu perlukan dia berkata yang manis-manis apabila bersama Adelia. Sehingga dia berjaya membuat Adelia jatuh cinta kepadanya, barulah kebenaran akan dia bongkar nanti. Untuk itu, lakonan ini harus diteruskan.
“I menyesal.” Fahad sengaja pamer muka sedih.
“Menyesal?” Debaran semakin kuat menghentak dada Adelia.
Fahad tundukkan sedikit muka supaya sepasang matanya selari dengan sepasang mata gadis itu. Supaya dia dapat menujah pandangan ke dalam anak mata yang indah itu.
“Menyesal sebab I tak minta nombor telefon you hari tu,” bisiknya lembut.
Sepasang mata comel Adelia kembali bercahaya. “Ya ke?”
“Ya. Kalau tidak, I dah boleh call you. Kita dah boleh jadi kawan lebih awal daripada sekarang. Betul tak?”
Dua tangan Adelia dah pegang dua pipi yang sedang hangat. “Betul ke apa yang saya dengar ni? Awak tak main-main, kan?”
Fahad geleng. Senyum Adelia melebar.
“Awak betul sudi kawan dengan saya?” Adelia inginkan kepastian.
“Tentulah.”
“Dengan saya yang debab ni?”
“Adel, Adel, Adel... Percayalah, I tak kisah pasal saiz badan, okey!”
“Kalau macam tu, saya sudi jadi kawan awak. Salam kenal, Fahad.”
Fahad tersenyum. “Selamat berkenalan, Adele. Wah, tak sangka I dapat berkenalan dengan penyanyi Someone Like You.”
Untuk seketika, bulat mata Adelia pandang muka Fahad, tetapi tak lama selepas itu dia tersengih lebar. “Awak nak tahu tak? Termasuk awak dah dekat beratus orang cakap macam tu.”
“Ya?” Fahad ketawa. Anak matanya kini sengaja digerakkan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki Adelia. Sengaja dia nak buat Adelia berasa tidak selesa.
“Mata tu tengok apa?” Suara Adelia dah tegang semacam. Geramkan lelaki itu yang matanya bukan main galak tengok dia atas bawah. Cucuk karang baru tahu!
“Mencari persamaan antara you dengan Adele.”
“Jumpa?”
“Dari segi saiz, I tak nafikan you dengan Adele lebih kurang saja. Cuma you tak cukup seksi macam dia. Oh ya, baju you saiz apa? XL? XXL? Atau...”
Adelia terus cekak pinggang. “Awak tak tahu ke yang orang perempuan ni cukup sensitif bila bercakap pasal saiz badan dia?”
“Alamak! You marahkan I ke ni?”
“Mestilah. Sedih tahu bila kena sindir. XLlah, XXLlah, triple Xlah. Jahit mulut awak tu nanti, baru tahu!”
Fahad mengekek. Geli pula hati bila dengar Adelia nak jahit mulut dia.
“Tak habis lagi gelak tu?”
Suara garang Adelia mengejutkan Fahad. Serta-merta tawanya terhenti. Diri laju dimarahi. Ah, hati! Jangan macam-macam! Ingat misi! Jangan cepat lupa diri. Jangan lupa janji dulu. Jangan! Kerana amaran yang bergema itu, Fahad tarik nafas panjang. Kini, dia segera menarik perhatian Adelia kepadanya.
“Adelia?” Dia menyeru nama itu selembut mungkin.
Eh, eh, Fahad ni. Tiba-tiba muka dia jadi serius pula. Kenapa? Apa yang dia fikirkan? Giliran Adelia pula untuk bermonolog.
Suara Fahad memukau gadis itu lagi. “Lupakan Adele. Pedulikanlah persamaan-persamaan yang orang cakap antara you dengan dia. You hanya perlu jadi diri you saja.”
Adelia urut dada. Terharu.
Fahad semakin dekatkan dirinya. Sengaja mahu menggetar rasa.
“Kita jumpa dan I suka you. Tak payah nak bimbang pasal saiz badan you ke apa. Apa ada pada saiz badan? Gempal atau gemuk atau debab bukan masalah bagi I. Yang penting, hati you tu mesti ikhlas nak kawan dengan I.”
“Mestilah saya ikhlas nak kawan dengan awak.” Laju Adelia balas.
Fahad senyum. “Bagus! Ingat ni... Friendship is honesty. You jujur dengan I, I jujur dengan you.”
“Okey, saya setuju.”
Friendship is the beauty of sharing. Kita berkongsi rasa. Bila marah sama-sama naik hantu. Bila suka sama-sama gelak. Bila sedih sama-sama menangis.”
“Baik.”
Friendship is us. You and I.”
Hati Adelia berbunga-bunga. Bahagia. Dan kini, senyum berbalasan antara mereka. Lirik mata menujah jauh ke dalam hati masing-masing. Menggetar dan membawa isyarat yang masih belum dimengerti.
“Tapi Fahad, tak ramai yang macam awak.” Adelia tiba-tiba mengeluh.
Fahad jongket kening, meminta penjelasan.
“Ramai yang tak ikhlas nak berkawan dengan perempuan macam saya. Mula-mula macam serius, tapi nanti mereka akan jaja yang bukan-bukan. Contoh, mereka akan beritahu kepada semua orang yang kami ni perasan lebih sangat. Kami akan dituduh si gendut yang tak sedar diri. Badan macam tong dram, tapi ada hati nak bercinta.”
“Kalau otak you asyik fikirkan benda negatif, benda negatiflah yang akan terjadi.”
Adelia mencebik. “Bukan saya, tapi awak dan geng awak yang kurus-kurus tu yang selalu fikir negatif kepada kami yang bersaiz besar ni. Prejudis.”
“Mana ada?”
“Ada!”
“Okey, kalau ada pun, itu orang lain. Bukan I.”
Adelia sengaja letak tangan di dada. Kalau tidak, macam mana nak kawal hati yang sedang asyik berdebar? Macam mana nak kawal jantung yang laju berdegup? Hisy, tak fahamlah dia dengan diri sendiri. Fahad nak berkawan saja, bukan ajak dia kahwin, tapi dia punyalah suka sampai rasa macam nak melompat ke bintang. Hai, Adelia. Dah kenapa dengan kamu ni?
“Jadi, untuk rasmikan perkenalan dan persahabatan kita, I nak ajak you makan tengah hari sama-sama. Sudi?”
Rasa macam tak percaya bila dengar Fahad ajak dia lunch. Lama Adelia diam. Terharu benar hatinya saat ini.
“Adel?”
Adelia mendongak, menghulurkan senyuman manis bagaikan gula kapas yang berwarna pink.
Fahad tak perlu mendengar suara itu melafazkan persetujuan. Senyum yang mekar itu sudah memberikan jawapannya. Mengundang juga senyum pada bibir nipisnya.
“Okey, kalau macam tu pukul 12.45 tepat I tunggu you kat tempat I jatuhkan you minggu lepas.”
Ayat itu menyebabkan Adelia tersengih lebar. Tempat bersejarah tu!
“Jangan lewat!”
“Baik, tuan!” Adelia buat tabik hormat menyebabkan Fahad spontan melambakkan tawanya.
“I nak balik ofis I. Jumpa you nanti, ya?”
Tak sempat fikir apa-apa, Adelia pantas mengangguk.
“Macam itulah kawan I.”
Meremang bulu roma Adelia mendengar bisikan itu. Makin gelabah apabila Fahad layangkan flying kiss untuk dia sebelum meninggalkannya. Rasa nak luruh jantung. Tadi dia rasa macam nak lompat sampai ke bintang. Sekarang dia bagaikan sedang melompat sampai ke bulan pula. Ingin melayangkan diri di angkasa kerana dia benar-benar gembira.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan