Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 16 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 1

GERAKAN kaki beransur perlahan. Ayunan kaki yang diatur lebih laju daripada berjalan tadi lantas terhenti. Dia menoleh ke belakang. Nafasnya sedikit tercungap. Peluh yang keluar dibiarkan mengalir menuruni leher.
“Itu lari ke berjalan?” soal Alfatah dengan nada sindiran diiringi senyuman mengejek.
Qadheer Alauddin yang mendengar gurauan itu segera mematikan larian. Dia sedikit ketinggalan dengan rakan baik yang dikenalinya hampir tiga tahun, Shukri Alfatah. Qadheer Alauddin menundukkan kepala sambil tangan mencekak pinggang. Deru angin pagi menyapa ke kulit. Sedikit sebanyak, hembusan semula jadi tersebut meredakan lelahnya.
“Kau yang lari laju sangat,” jawab lelaki itu sebaik sahaja mengangkat pandangan. Dadanya turun naik, cuba meredakan nafas yang termengah-mengah.
“Aku ke?”
Qadheer Alauddin tidak membalas. Dia hanya mengukir senyuman.
Setapak demi setapak Alfatah berpatah balik. “Sejak balik dari Venice dua tiga bulan lepas, aku ajak pergi gim bukan main payah. Stamina orang dah kahwin dengan orang bujang ada beza rupanya.”
“Kau juga yang cakap, orang yang dah kahwin, lebih-lebih lagi pengantin baru macam aku ni tak patut ada kat gim pada waktu malam. Lupa?”
“Aku tak lupa. Tapi, baru aje 10 minit kita joging kat kawasan hutan bandar ni. Takkanlah kau dah pancit kut.”
Qadheer Alauddin tertawa kecil.
“Aku dah lama tak workout. Almaklumlah, ada isteri menunggu di rumah,” ujar lelaki bekerjaya sebagai arkitek itu dengan perasaan bahagia.
Alfatah mencebik. Kemudian, mereka hanya berjalan mengelilingi tempat riadah tersebut. Beberapa orang yang turut melakukan senaman melepasi laluan mereka berdua.
“Sekali lagi aku nak cakap terima kasih kat kau,” ujar Qadheer Alauddin, memulakan bicara setelah masa yang ada diselangi dengan kebisuan.
“Sebab?”
“Pasal outdoor photoshoot aku dengan Keris.”
Sebelum memulakan larian tadi, Alfatah menyerahkan album perkahwinan yang gambarnya diambil kira-kira sebulan yang lepas kepada rakan baiknya itu. Kerjaya sampingan sebagai jurugambar perkahwinan menjadi pilihan Alfatah.
“Tak ada hal kalau pasal tu.”
“Yalah, susah payah belanja aku. Kalau bukan kawan, entah berapa aku kena bayar.”
Outdoor aje. Kau anggap tu hadiah daripada aku untuk kawan baik aku ni sebelum aku pindah JB nanti.”
“Betul ke kau jadi pindah JB?”
Alfatah mengangguk. Wajahnya serius. “Aku dah serasi dengan tempat kerja aku tu. Kebetulan HQ kat JB perlukan ketua pereka grafik dan pihak atasan pula tawarkan aku jawatan tu. Takkan aku nak tolak.”
Ekspresi muka rakannya itu mempamerkan yang dia mengerti dan memahami keputusan yang telah diambil oleh Alfatah.
“Bila aku dah kat JB, jangan sibuk call aku ajak pergi gim. Jangan rindu aku,” pesan Alfatah awal-awal lagi.
“Tiba-tiba aku rasa macam kehilangan pula.”
“Apa susah, kampung Keris kat JB, kan? Kau balik sana, contact aku. Kita lepak gim kat JB. Amacam?”
Qadheer Alauddin tertawa sesaat dua. Memang itu sahaja aktiviti Alfatah kalau ada masa lapang. Jarang sekali dia mendengar hal lain dari bibir pemuda berusia 29 tahun itu.
Alfatah menggerakkan kedua-dua belah tangannya. Dia melakukan gerakan ringan sambil berjalan. Kepalanya juga sekali-sekala bergerak ke kiri dan kanan. Selang seminit mereka berjalan, hujung mata Alfatah menangkap perbuatan Qadheer Alauddin seolah-olah tidak selesa. Lelaki tersebut mengusap kasar dadanya sendiri.
“Eh, Al? Kau okey ke tak ni?” ajunya kepada insan berketinggian 178 sentimeter itu. Tangan Qadheer Alauddin beralih ke kepala lalu memicit tepi dahinya.
“Aku tiba-tiba rasa macam mabuk.”
“Mabuk?”
“Tekak aku lain macam.”
“Kau biar betul Al? Setahu aku, kau cuma ada mabuk laut aje. Takkanlah sekarang kau dah ada penyakit mabuk darat juga?”
“Aku mabuk ni sebab lain. Sebab ada isi.”
“Ada isi? Mak aih, dah macam orang perempuan mengandung. Takkanlah kau yang mengandung. Patutnya Keris...” Mata lelaki tersebut lantas terbeliak. Otaknya ligat memproses sesuatu.
Dia pernah mendengar cerita dari mulut salah seorang rakan sekerjanya akan hal itu. Jika si isteri mengandung, tidak mustahil mabuk dan mual berpindah kepada si suami. “Kejap, kau... memang mustahil boleh mengandung. Maknanya, Keris ke yang tengah mengandung sekarang ni?”
Lesung pipit kanan terbentuk dalam tatkala mendengar tekaan Alfatah. Berita baik itu diketahui lima hari lepas.
“Keris pregnant, nak masuk tujuh minggu,” ungkap Qadheer Alauddin. Dia tersenyum bahagia.
Pregnant?! Tujuh minggu?!” Terkuat pula suara Alfatah memecah hening pagi.
Qadheer Alauddin sempat menoleh sekeliling. Mujur tidak ada yang memandang.
“Alhamdulillah. Kiranya, kau mabuk sebab perbuatan kau sendirilah ni?”
“Lebih kuranglah. Yang aku pelik, Keris relaks aje. Ganti aku pula tiap-tiap pagi loya.”
“Habis tu, kau nak cakap yang kau dah membuktikan diri kau tu cukup sado lagi macolah ni? Gagah perkasa?”
“Biasa. Tak perlu dipertikaikan lagi fakta tersebut,” jawab Qadheer Alauddin disulami nada serta lagak bangga dengan kemampuan dirinya.
Alfatah melebarkan lengkungan bibir. Susunan gigi semakin kelihatan. Dia menghampiri sahabat rapatnya itu lalu menghadiahkan dakapan.
“Tahniah, bro!” ucap pemuda tersebut sambil menepuk-nepuk belakang Qadheer Alauddin.
“Terima kasih, Fath.”
Pelukan gaya bromance terlerai.
“Tumpang seronok aku tengok kau mampu senyum dan bahagia macam ni lepas apa yang kau dah lalui.”
“Tumpang aje? Kau tak nak ke jadi macam aku?”
“Aku?
“Yalah. Kau tak nak kahwin?”
“Aku dah bahagia dengan kehidupan aku sekarang. Aku nak buat apa lagi?”
Mata Qadheer Alauddin memandang dari atas hingga ke bawah tubuh yang sedang berdiri di sebelahnya itu. Bila diimbas semula perbualan mereka sebelum ni, sekali pun Alfatah tidak berbicara akan soal hati dan perempuan.
“Kau tanya aku nak buat apa lagi? Kahwinlah bro. Badan ketak-ketak dah ada, kereta ada, duit ada, kerjaya pun ada. Cuma awek aje kau tak pernah cerita kat aku.”
“Aku tak ada masa nak fikir semua tu.”
“Tak ada masa? Habis tu, kalau malam lepak gim, mana ada masa nak jumpa awek.”
“Aku malaslah nak fikir. Senang cerita, dalam kamus hidup aku, tak ada istilah kahwin. Aku...”
“Kejap, bro,” pintas Qadher Aluddin, menyekat bicara rakannya itu. Kali ini giliran biji mata Qadheer Alauddin pula seolah-olah mahu terkeluar.
“Kau lelaki tulen, kan?” sambung Qadheer Alauddin sambil lengannya menyilang dada, menutupi sedikit bahagian badan. Dia berpura-pura gelisah, seolah-olah Alfatah akan melakukan sesuatu terhadap tubuhnya.
“Kau gila ke tanya aku macam tu? Muka tu tak payah nak risau sangat.”
“Tak adalah. Selalu orang salah faham dengan golongan badan macam kita ni. Asal pergi gim aje, ingat... Yalah, kau tahu kan? Nafsu yang tidak diredai.”
“Astaghfirullah al-azim. Aku tak sampai tahap tu lagi. Aku berada di jalan yang lurus lagi terurus. Cuma, aku tak rasa ada perempuan yang boleh hidup dengan aku sampai aku tutup mata.”
“Ayat kau ni Fath, lain macam sangat. Kau ni anti perempuan ke?”
Alfatah membisu. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak.
Apabila menerima tindak balas sebegitu, tanda soal yang begitu besar mula muncul dalam benak fikiran Qadheer Alauddin. “Kau selalu ambil gambar orang kahwin, kan? Itu maknanya, kau selalu pergi kenduri kahwin. Takkanlah langsung tak terdetik kat hati kau nak fikir soal ni? Bila kau ambil gambar orang naik pelamin tu, tak teringin ke?”
Gelengan kepala menjadi jawapan.
“Isy... Takkanlah? Selama ni tak pernah bercinta? Zaman hingusan dulu? Ceritalah kat aku. Kau ni perahsia sangat.”
“Al, bukan aku nak berahsia, tapi itu yang aku rasa. Aku pernah cakap dengan kau dulu yang perkahwinan bukan sebab nak gembira aje. Kena kongsi segala-galanya. Kau tak terasa macam mustahil ke akan ada orang sanggup ada kat sisi kau bila kau susah? Perempuan sekarang nak hidup senang aje. Dan, logik ke ada orang kat dunia ni boleh hidup dengan orang yang sama sampai mati? Tak jemu?”
“Tak mustahil sebab aku dah jumpa Keris Nadhrah Sari.”
“Itu kau, bro. Bagi aku, tak akan ada orang yang macam tu.”
“Kau salah seorang yang paling dekat dengan perkahwinan. Berapa banyak job orang kahwin yang kau dah ambil? Banyak, kan? Itu maknanya ramai yang dah jumpa dengan seseorang dalam hidup.”
“Berapa ramai pula pasangan yang dah bercerai?”
Dahi Qadheer Alauddin berkerut. Salah seorang pewaris jenama Karipap Fatimah itu mengelukan lidah mendengar pertanyaan Alfatah. Detik ini, dia cuba berusaha menilik apa yang berada dalam hati itu.
“Secara purata, tiga pasangan bercerai setiap jam. Itu yang aku baca dalam surat khabar.”
Fakta itu diberikan sambil matanya tepat memanah pandangan Qadheer Alauddin. Jejaka berstatus suami itu menghembuskan nafas sebelum bersuara.
“Shukri Alfatah bin Syamsudin Yahaya... Tiba-tiba aku jadi macam arwah nenek aku pula panggil nama penuh. Kalau kau nak tahu, setiap manusia diciptakan berpasangan. Aku tak pasti kat mana, aku tak pasti siapa orangnya dan aku tak tahu bila masanya. Yang penting seseorang tu memang ada dan wujud untuk kau. Seseorang tu akan sanggup hidup dengan kau sampai bila-bila. Melalui aturan Dia, kau akan jumpa dengan orang tu,” lafaz Qadheer Alauddin. Saat menyebut Dia, jari telunjuk kanannya terarah ke langit biru.
“Kau kalau bercakap dengan aku tak pakai bahasa Melayu tahap tinggi memang tak boleh agaknya.”
“Ini namanya jodoh. Kau tak akan faham selagi kau sendiri tak hadapi apa itu jodoh. Bila kau dah jumpa dengan seseorang tu, kau tengok dia senyum aje, jantung kau dah lain macam. Bila dia senyum kat kau, kau akan rasa kaulah orang paling bahagia kat dalam dunia ni. Itu belum lagi dia cakap sayang kat kau,” ungkap Qadheer Alauddin. Ingatan melayang terhadap isterinya.
Cebikan lantas berlaku pada bibir Alfatah.
“Tiba-tiba meremang segala apa yang ada kat badan aku ni.” Wajahnya menafikan dengan tegas kenyataan Qadheer Alauddin.
“Ni mesti ada sesuatu kejadian yang pernah jadi dalam hidup kau sampai kau ada satu prinsip yang macam ni.”
Saat ini jongketan bahu pula sebagai balasan.
“Kau ada masalah lain ke? Kau pernah kecewa? Ke kau ada masalah keluarga?”
Suasana sepi. Alfatah malas mahu bersuara.
“Ya tak ya. Kau tak pernah cerita dengan aku pun pasal famili kau.” Qadheer Alauddin masih mencuba untuk menjadi penyiasat persendirian tidak berbayar, mahu mengupas kisah hidup dan latar belakang Alfatah.
“Eh, tadi kau ada cakap dengan aku yang Keris tak mabuk, kan? Habis tu, kau ke yang mengidam nak makan benda pelik-pelik?” dalih Alfatah.
“Hari ni, untuk sekian lamanya, baru aku perasan yang kau akan mengelak bila aku tanya hal keluarga kau.”
Lelaki itu mengeluh. Kali ini dia benar-benar terperangkap. Selain isu kahwin, hal keluarga juga menjadi sesuatu yang paling berat untuk disuarakan apatah lagi ingin dibincangkan. “Buat apa aku nak cerita? Tak ada yang best pun.”
Sedar tidak sedar, mereka berdua tiba semula ke tempat letak kereta. Alfatah membuka pintu sebelah pemandu lalu mencapai bekas minumannya. Botol air tersebut persis ahli sukan. Alfatah menarik sedikit penutup lalu meneguk sebanyak dua kali cecair jernih itu. Usai menghilangkan dahaga, Alfatah bersandar di hadapan bonet kereta. Dia mengambil tempat bersebelahan Qadheer Alauddin.
“Bukan soal best ke tak, ni dah masuk topik mengambil berat,” ungkap Qadheer Alauddin menyambung perbualan yang terhenti.
“Tak payahlah tahu.”
“Aku kan kawan baik kau. Kalau ada apa-apa hal yang berlaku, tahulah aku nak cari siapa. Kalau orang tanya aku siapa famili kau, aku tak boleh nak jawab. Yang aku tahu selama ni mak dengan ayah kau dah meninggal. Habis tu, takkan kau tak ada darah daging yang lain?”
Hati Alfatah disuntik rasa bersalah. Jiwanya mula berbelah bagi. Sama ada mahu terus memendam atau menyelak sehelai demi sehelai kisah hidupnya. Mata Alfatah mendongak ke langit seketika. Barangkali cuba mencari ketenangan sebelum mengatur kata. “Kalau aku cakap aku ada kembar, kau percaya tak?”
“Kembar?!”
“Kembar, tapi tak beberapa nak iras. Dia kakak aku.”
“Kembar sepasang? Siapa nama dia?
“Kenapa kau nak tahu?”
“Beritahu nama pun payah? Bukannya aku kenal pun.”
Alfatah menampakkan gigi. Hujung bibir kanan sahaja terangkat. Kalaulah Qadheer Alauddin tahu siapa gerangan kakaknya, pasti lelaki itu kaget dan terkejut.
“Okeylah, kalau kau tak nak beritahu nama dia, kau beritahu aku dia kat mana. Kerja apa? Dah kahwin ke belum?” aju Qadheer Alauddin lagi dan dalam masa yang sama memicit-micit bahu sendiri untuk mengurangkan rasa tidak enak badan yang dialami.
“Aku tak pernah ambil tahu pun pasal dia. Tapi, semua orang tahu pasal dia.”
Raut muka Qadheer Alauddin bingung, semakin celaru dan haru-biru fikirannya mendengar kenyataan tersebut.
“Sophea Alfiah.” Tidak semena-mena suara garau Alfatah menyebut nama tersebut.
Pendengaran Qadheer Alauddin menangkap nama tidak asing itu.
“Mana?” Mata Qadheer Alauddin melilau sekeliling kawasan.
“Apa yang mana?”
“Sophea Alfiah. Nama pelakon kat TV tu, kan? Kau tiba-tiba sebut nama dia. Aku ingat dia ada kat sini.”
“Sophea Alfiah binti Syamsudin Yahaya. Itu nama penuh dia.”
Bagaikan ada renjatan elektrik yang menyambar, lelaki itu tiba-tiba mendiamkan diri. Reaksi mukanya kosong. Umpama khayalan mendengar kenyataan yang dilemparkan oleh Alfatah. Lelaki itu mengamati setiap garis yang membentuk wajah Alfatah. Dia berusaha mencari bayangan wajah Sophea Alfiah yang selalu dilihat di kaca TV dan papan iklan di merata tempat dengan muka insan tersebut. Dia tidak percaya. Masakan selama ini dia berkawan rapat dengan adik salah seorang artis yang terkenal di Malaysia?
“Kau biar betul? Kau nak kenakan aku ke apa ni?”
“Sebab tulah aku malas nak cerita.”
“Kau tak tipu aku, kan?”
Belum sempat Alfatah menjawab, deringan telefon mencelah perbualan mereka. Alfatah mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Nama yang baru sahaja disebut-sebut tertera pada skrin. Hairan. Itu yang terdetik di hati kecil Alfatah.
“Siapa?”
“Kakak aku.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan