Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 5

Encik Rahim mencekak pinggang sambil mundar-mandir di hadapan pekerjanya.
“Kau tahu tak sekarang ni pukul berapa, Nil?” aju Encik Rahim dengan nada sindiran.
“Tahu bos,” balas gadis itu dengan perlahan. Nilam Qadheera hanya mampu menundukkan pandangan.
“Ha, tahu pun. Habis tu, yang kau datang lambat tak sudah macam kau ada share saham dengan aku tu kenapa? Pagi tadi kau pergi mandi kat Sungai Nil bersempena dengan nama kau ke?”
Perempuan tersebut hanya menggaru-garu kepala. Bos Kasi Bersih Services tu bila buka mulut memang pedih dan makan dalam.
Aman ketawa kecil melihat telatah Encik Rahim. Dengan gaya rambut Encik Rahim ala-ala Elvis Presley dan seluar kembang bell bottom, memang padan majikannya itu memandu van ala-ala Scooby Doo.
“Nasib baik kau sorang aje yang macam ni. Kalau 10 orang? Boleh botak tau rambut Elvis Presley aku ni. Silap-silap kompeni Kasi Bersih Services aku ni memang kasi bersih terus kat muka bumi ni. Jadi papa kedana aku dibuatnya. Kau tahu tak?” ungkap Encik Rahim sambil mengusap sideburn rambutnya yang panjang itu.
“Tahu bos.”
“Datang kerja kena awal, Nil. Kalau ikutkan hati aku, memang nak aje aku berhentikan kau. Nasib baik tak ramai boleh buat kerja macam yang kau buat sekarang ni. Sebab tulah aku boleh lebih kurang lagi dengan kau. Tapi, kau janganlah selalu buat perangai macam ni.”
“Saya salah. Saya tahu, bos.”
Aman yang berada di belakang Encik Rahim mengenakan chest harness pada badan. Segala kelengkapan lain seperti tali dan bosun chair sudah diperiksa oleh Aman serta dua orang lagi pekerja iaitu Bad dan Amirul. Hanya menanti Nilam Qadheera sahaja untuk turut serta.
Memandangkan pekerjaan Nilam Qadheera dan Aman boleh mengancam nyawa jika tidak dilakukan dengan berhati-hati, Bad dan Amirul ditugaskan untuk memantau keselamatan dari atas sewaktu mereka menuruni bangunan tersebut. Manakala ada dua orang lagi pekerja yang akan menyelia dari aras bawah.
“Satu lagi, kau tahu tak macam mana susahnya aku nak dapatkan kontrak untuk bersihkan bangunan ni? Sapphire Creative nama besar dan popular kat JB. Baru kali ni Kasi Bersih dapat kontrak dua tahun setelah menunggu sekian lama. Hari pertama kita kerja kat sini, kau dah buat hal. Datang lambat. Kerja cuci dinding luar dah tergendala. Bahagian lain semua dah mula kerja. Kalau klien kompelin kita tak siapkan kerja on time, kau nak tanggung ke? Macam mana kalau klien tarik balik kontrak? Bos besar syarikat ni tegas, tak boleh lebih kurang sangat. Lepas tu cerewet orangnya.”
“Saya tahu, bos.”
Encik Rahim berhenti mengulang-alik langkah. Dia berdiri menghadap Nilam Qadheera. “Saya tahu, saya tahu. Dari tadi kau cakap saya tahu. Apa yang kau tahu?”
“Saya tahu bos besar syarikat ni tegas dan cerewet.”
“Macam mana kau tahu?”
Nilam Qadheera terdiam seketika. Dia mengusap telinganya yang terasa panas. “Munasabah sikit bos. Bukannya tadi bos yang beritahu ke? Sebab tu saya tahu.”
“Ada aje jawapan kau. Menjawab tahu, datang cepat tak tahu. Aku ni...”
“Erk, bos?” Suara Aman mencelah leteran majikannya.
“Ha, kau nak apa?”
“Bukan tadi bos cakap saya dengan Nil dah lambat mula kerja ke? Kalau bos terus marah Nil, Nil tak dapat buat kerja dia, bos.”
Terkebil-kebil sekejap orang tua itu mendengar kenyataan Aman. Lupa terus apa yang mahu diomel kepada Nilam Qadheera. Ada logiknya juga kata-kata Aman itu. “Ni sorang lagi. Kalau aku marah budak Nil ni, mesti kau back up.”
“Tapi, betul kan apa yang saya cakap? Satu lagi, bukannya bos nak jumpa dengan Tuan Zulqhairi ke?”
“Ya tak ya juga. Nasib baik kau ingatkan aku. Pasal kau Nil, aku lupa apa yang aku nak buat. Sudah, pergi buat kerja kau sana. Cuci panel kaca tu bersih-bersih.”
“Baik bos,” balas Nilam Qadheera sambil bibirnya menyengih lebar. Dia menghela nafas lega.
Mujur ada Aman. Kalau dia dalam keadaan tersepit, Aman adalah orang pertama yang akan muncul menyelamatkannya. Dengan pantas dia mengeluarkan uniform jumpsuit berwarna biru navy dari beg simpangnya lalu dikenakan ke badan.
Sebelum turun, Encik Rahim mahu memantau terlebih dahulu perbuatan pekerja-pekerjanya.
Aman mengambil chest harness yang berada di dalam beg penyimpanan kelengkapan. Dia membantu Nilam Qadheera mengenakan alatan tersebut agar lebih cepat.
“Aku rasa kau orang berdua ni patut bercinta aje.” Tidak pasal-pasal orang tua itu berbicara sedemikian tatkala melihat tingkah anak muda tersebut.
“Eh, bos? Tetiba aje. Apa kena-mengena pula?” Tidak jadi Aman dibuatnya mahu menolong Nilam Qadheera.
“Yalah. Kalau aku marah Nil, kau tolong back up. Kalau kau pula datang lambat, Nil tolong cover. Lepas tu bagi alasan tak logik. Ingat aku tak tahu ke?”
“Bos, munasabah sikit. Saya dengan Aman kawan aje.”
Nilam Qadheera mengenali Kazim Aman sejak hari pertama dia bekerja separuh masa sebagai pencuci bangunan syarikat tersebut. Dia selesa berkawan dengan lelaki itu. Mereka berdua sama-sama setuju untuk menoktah hubungan mereka sebagai sahabat baik. Lagipun Aman sendiri punya prinsip.
“Betul tu, bos. Saya dengan Nil ni kawan baik. Cubit paha kanan, paha kiri terasa bos.”
“Kawan baiklah sangat. Minum berkongsi, makan sepinggan. Kawan baik konon. Aku berani jaminlah, lelaki dengan perempuan tak boleh kawan baik. Salah seorang mesti ada perasaan.”
“Mana bos tahu?”
“Aku zaman Saturday Night Fever dah makan garam. Kau?”
“Dah banyak kali saya cakap, kita orang kawan baik. Saya dengan Nil dah membuktikan yang kenyataan tu salah sama sekali. Kita orang tak akan bercinta dengan kawan baik. Betul tak, Nil?”
“Ha, betul tu,” ujar Nilam Qadheera sambal mengetatkan tali chest harness mengikut keselesaan tubuhnya. Setelah itu, dia menggantikan topinya dengan topi keselamatan berwarna putih.
“Jawapan tak meyakinkan langsung. Sudah, aku nak turun ni. Aku perhatikan aje kau orang buat kerja kat bawah nanti. Kau pula Nil, esok jangan ingat kau ada share saham dengan aku lagi.”
“Baik bos. Saya tahu.”
“Tahu, tahu. Jangan tahu cakap aje. Tahu taubat sikit datang lambat. Kau lambat, aku potong gaji kau.”
Potong gaji? Dua perkataan itu merupakan perkataan alergi untuk Nilam Qadheera.
“Bos marah sampai nak potong gaji saya ke? Sengkeklah saya bulan depan.”
“Kau kira sengkek kau aje? Bengkek hati aku tunggu kat atas bumbung macam mana pula?”
Nilam Qadheera menelan air liur. Terkedu sekejap mendengar sindiran itu. Encik Rahim sempat memberikan renungan tajam sebelum beredar dari tingkat tersebut.
“Bos kan baik hati orangnya. Kalau bos handsome macam John Travolta, bos tak akan potong gaji saya banyak-banyak!” jerit gadis itu sebelum majikannya hilang daripada pandangan.
Aman menggelengkan kepala mendengar permintaan tersebut. Memang tak beberapa nak makan saman budak perempuan ni.
“Kau kenapa? Semua macam tak kena aje?” soal Aman sambil tangannya menghulur viper kepada Nilam Qadheera.
Gadis itu mempamerkan wajah kebimbangan. Memang semuanya tidak kena pada hari ini.
“Malam tadi aku balik lambat,” balas insan berbadan kecil itu. Dia menyambut viper tersebut lalu meletakkan bahagian pemegang viper ke dalam poket yang berada di pinggang.
“Kau ni kerja kuat sangat.”
“Kalau aku tak tolong mak cik aku, siapa lagi? Inilah akibatnya kalau belajar pun tak beberapa nak pandai.”
Rongga kosong yang ada pada sarung getah dimasukkan ke celahan jari-jemari. Nilam Qadheera bersedia untuk memulakan tugasnya. Dia menyangkutkan sambungan chest harness yang dipakainya ke tali.
“Kau janganlah cakap macam tu. Kau suka sangat cakap kau tu tak pandai. Semua ada keistimewaan lain.”
“Ha’ah, memang ada keistimewaan. Sampai aku senyum pun orang cop aku gedik.”
“Gedik? Orang cakap kau gedik?” Aman terpaksa mengulangi susunan kata itu kerana dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Matanya jelas terbeliak.
“Kau tak percaya, kan? Aku lagilah tak percaya.”
“Kau buat apa aje dengan dia?”
“Aku minta maaf dengan senyum aje, beb. Aku minta maaf sebab terlanggar dia sebelum aku nak keluar pintu lif tadi. Yalah, bila dah buat salah, takkan kau nak tunjuk muka minta penampar pula. Mestilah kau minta maaf dengan senyuman. Biar sejuk orang tu. Ni tak, dia cakap aku gedik sebab senyum kat dia.”
“Yang cakap kau gedik ni lelaki ke perempuan?”
“Lelaki.”
“Lelaki? Ni yang aku pelik. Biasanya lelaki suka tengok perempuan senyum. Ni boleh marah pula. Entah-entah, homo... Eiii, geli pula aku nak menyebutnya.”
“Agaknya kut. Tak pun seumur hidup dia tak pernah orang senyum kat dia. Dia tu kategori lelaki kurang ilmu di dada.”
“Ilmu apa yang dia kurang?”
“Ilmu adab, sivik dengan tatasusila. Biar tak cukup pandai, biar tak cukup makan, asalkan jangan kurang adab.”
Aman tersengih dan menampakkan sebahagian baris gigi hadapan. Dia mendekati rakannya itu. Kedua-dua belah tangan lelaki tersebut berlabuh ke bahu Nilam Qadheera.
“Nil, kau janganlah marah-marah macam ni. Yang penting aku tahu kau macam mana. Kau bukan macam tu. Kau lain,” ucap Aman lalu mencubit sedikit pipi itu.
“Sudahlah kau. Malas aku nak layan.” Perempuan itu menolak kasar tubuh Aman. Saat itu fikirannya terlintas sesuatu. “Aman, kat dalam beg tu ada mask, kan?”
“Ada. Kenapa?”
“Aku nak pakailah.”
“Selama ni cuci bangunan tempat lain aku tak nampak pula kau pakai.”
“Kau tak nampak ke jerebu ni?” dalih Nilam Qadheera.
Dia terus tertunduk dan mengambil objek tersebut. Topeng muka telah memenuhi separuh wajahnya. Kemudian, Nilam Qadheera yang bertubuh kecil itu memanjat dinding bahagian tepi bangunan. Tangannya menarik tali yang hampir dengan anggota dada. Dia cuba memeriksa keadaan ikatan tali sebelum dia turun.
Aman berkerut-kerut memandang sekeliling. Cerah dan terang saja pagi tu. Namun, dia segera melupakan kata-kata Nilam Qadheera. Aman turut menaiki tembok tinggi yang berada di tepi bangunan. “Nil, tadi aku dah tolong kau, kan?”
Nilam Qadheera mengeluh. Dia sudah masak dan tahu apa yang terlintas di minda Aman. Topeng yang menutupi mulut dan hidung dialihkan ke bahagian dagu. “Kau nak aku tolong apa pula ni? Awek mana yang dah mencuri hati kau?”
“Aku belum cakap apa-apa lagi kau dah tahu?”
Gadis tersebut memberikan renungan menjengkelkan. Dia malas mahu menjawab.
“Okey, okey. Macam ni, masa aku datang tadi, aku tengok awek receptionist tu macam kena aje dengan taste aku. Apa kata...”
“Nama, nombor telefon, duduk kat mana, ada boyfriend ke tak. Itu yang kau nak tahu, kan?”
“Nilam Qadheera, memang kaulah satu-satunya kawan baik perempuan yang aku ada.”
“Tak payah nak puji sangat.”
“Kau tolonglah usyar untuk kawan baik kau yang handsome ni. Cakap dengan dia, hidung aku yang mancung ni paling memikat hati.”
Handsome? Aku spray pencuci ni kat muka kau tu pun belum tentu handsome,” lafaz perempuan itu sambil mengacah mahu memicit bahan pencuci ke wajah Aman.
“Tolonglah, Nil. Kau tak nak tanyakan pun tak apa. Kau konon-konon aje pergi situ. Lepas tu pandai-pandailah aku menyelit.”
“Tengoklah.”
Hek eleh... Tengok pula.”
“Habis tu, kau nak suruh aku pergi sekarang? Tak nampak ke aku tengah buat kerja ni?” sindir Nilam Qadheera lalu duduk di atas bosun chair. Topeng muka dikenakan ke tempat asal.
Perlahan-lahan Bad membantu gadis itu. Sedikit demi sedikit dia turun ke bawah.
“Emo lagi minah ni,” ujar Aman sendiri. Kemudian, dia mengikuti tingkah Nilam Qadheera. Dia mengambil tempat selang lima meter daripada perempuan tersebut.

Nilam Qadheera fokus dengan kerjanya. Menghadapi situasi seperti itu mungkin gayat bagi sesetengah manusia. Namun, sesuatu yang tinggi bukanlah halangan buat gadis itu.
Nilam Qadheera melakukan tugasnya dengan teliti dan cermat. Setiap panel kaca mesti dicuci dengan bersih kerana tali yang digunakan untuk menuruni bangunan tidak boleh dinaikkan semula. Jika ada bahagian yang terlepas pandang, maka pekerja yang bertugas harus menaiki semula ke aras bumbung. Oleh itu, setiap ruang yang ada pada permukaan dinding harus diuruskan dengan terperinci.
Panel kaca jenis tinted baris pertama usai dibersihkan. Dengan daya yang ada, Nilam Qadheera mengubah kedudukannya ke bawah. Kali ini dia berada di tingkat tujuh. Dinding kaca di hadapannya jelas menampakkan bilik seseorang memandangkan tirai tingkap jenis gulung diangkat sehingga habis.
“Astaghfirullah al-azim,” respons lelaki itu tatkala melihat kaki Nilam Qadheera berjuntai.
Tingkat tujuh? Tiba-tiba saja ada manusia bergayut? Mahunya tidak terperanjat. Tambahan lagi, Alfatah tidak senang dengan keadaan pejabatnya yang boleh menampakkan pemandangan luar itu. Satu per satu layar bidai diturunkan oleh Alfatah.
Di sini rupanya bilik makhluk aneh ni, ungkap gadis itu dalam hati. Dia tidak mempedulikan susuk tubuh yang semakin menghampiri. Jari telunjuk kirinya menekan sedikit pemacu yang ada pada botol penyembur. Semburan cecair merebak ke atas kaca.
Saat tiba di tempat Nilam Qadheera, perbuatan Alfatah terhenti. Dia memerhati sekejap tingkah gadis kecil itu. Terbit pula rasa kagum dengan keberanian Nilam Qadheera. Dia tidak dapat mengecam orang yang sedang bergayut di tali itu merupakan orang sama yang dicopnya sebagai perempuan gedik beberapa minit yang lalu. Detik itu juga pandangan antara dua insan bertemu sekali lagi.
“Apa tengok-tengok? Aku ada hutang dengan kau ke? Kau yang ada hutang dengan aku. Hutang minta maaf,” omelnya sorang-sorang di luar.
Dia memberikan jelingan tajam. Agaknya, kalaulah mata Nilam Qadheera tu ada laser, memang dah tembus mengena mata Alfatah. Mahu sahaja dia menyembur mulut itu dengan pencuci. Biar elok sikit perkataan yang keluar.
Alfatah yang berada di dalam bangunan pula terpinga-pinga dengan renungan itu. Untuk mengelakkan keadaan menjadi canggung, dia segera melepaskan tali bidai. Serta-merta layar berwarna putih menyekat pemandangan luar. Alfatah menghembus nafas lega. Barulah selesa untuk dia memulakan tugas. Dengan senyum lebar Alfatah duduk di kerusinya.
Yang di dalam memang selesa, di luar pula dah nak jadi raksasa. “Kurang adab mamat ni. Nampak aku kat luar ni terus dia tutup tingkap. Kau ingat aku nak sangat ke tengok muka kau tu? Haisy... Nasib baik tingkap ni tak boleh...”
Nilam Qadheera mengetap gigi, menahan sakit hati dan geram.

“ZAFFI! Muzaf!” laung Alfatah dari arah belakang sebaik sahaja keluar dari kawasan sekolah.
Serta-merta langkah dua beradik itu terhenti. Pintu kereta yang mahu dibuka lantas tertutup semula.
Ledakan marah yang cuba disimpan beberapa minit yang lalu akhirnya terluah. Alfatah terpaksa menebalkan muka bertemu dengan guru kelas Rayhan Muzaffirah dan Rayhan Muzaffar. Jam 1.30 petang tadi dia menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah mengatakan pasangan kembar itu tidak mahu pulang menaiki bas sekolah. Hendak ataupun tidak, Alfatah terpaksa meminta guru kelas mereka untuk menjaga anak saudaranya. Mujur guru tersebut mahu menolong.
Alfatah mencekak sebelah pinggang. Lipatan lengan baju sudah menghampiri siku. Ekspresi wajahnya serius. “Satu hari, kalau tak buat perangai, tak boleh ke?”
Rayhan Muzaffar memandang Rayhan Muzaffirah dari sisi. Tangan itu mencuit secara sembunyi tangan kiri kakak kembarnya. Kepala Rayhan Muzaffirah mendongak, cuba menatap pandangan orang dewasa tersebut.
“Zaffi tak nak balik sekolah naik bas,” beritahu anak kecil berambut panjang itu.
“Muzaf pun.”
“Kenapa tak nak?”
“Zaffi tak suka.”
Alfatah tertawa sinis mendengar alasan tersebut. Senang benar anak kecil itu menjawab pertanyaannya. Kemarahan yang bertimpa-timpa tiba dalam jiwa cuba ditahan.
“Sebab tak suka aje? Kalau tak nak naik bas, kau orang nak naik apa? Kira untung pak su dah upah orang bas tu untuk hantar kau orang balik. Kau orang nak apa lagi? Jalan kaki ke? Suka?!” herdik Alfatah.
Terenjut sedikit bahu mereka tatkala dimarahi lelaki itu. Rayhan Muzaffar mula mencebik, mahu menangis.
“Muzaf, jangan nangislah,” arah Rayhan Muzaffirah.
“Pak su cuma nak minta satu aje daripada kau orang. Boleh tak, satu hari jangan menyusahkan hidup pak su? Satu hari aje.”
“Kalau pak su rasa yang Zaffi dengan Muzaf susahkan pak su, kenapa pak su jaga kami?” aju Rayhan Muzaffirah.
“Pak su tak nak jaga, tapi mama kau orang yang paksa pak su. Masih tak faham-faham?”
“Mama tipu. Mama cakap dengan Muzaf pak su baik. Pak su sayang kita. Mama tipu,” ujar Rayhan Muzaffar dengan nada sedih.
Budak lelaki itu menggosok anggota penglihatan, ingin menghilangkan manik jernih yang terbit di hujung mata. Dia tidak mahu kakaknya tahu yang dia menangis. “Zaffi tak suka duduk dengan pak su. Pak su jahat, selalu marah-marah. Sekolah ni pun tak best. Bukan sekolah orang kaya. Sekolah biasa aje. Kami tak nak sekolah kat sini.”
“Muzaf pun. Muzaf nak kawan-kawan Muzaf yang dulu.”
Alfatah tertunduk seketika. Dia memicit kepalanya yang semakin sakit. “Itu dulu. Sekarang kau orang kena duduk dengan pak su. Bukannya dengan mama kau orang. Jadi, kena ikut apa yang pak su cakap. Susah sangat ke?”
“Dulu-dulu, kami tak pernah jumpa pak su. Kenapa nak kena ikut cakap pak su? Pak su bukannya baik pun,” bentak Rayhan Muzaffirah lagi.
“Pak su tak peduli. Lantak kau oranglah suka ke tidak. Esok, pergi sekolah pak su hantar. Balik pula naik bas sekolah. Tak susah, kan?”
“Kenapa sebelum hari ni pak su boleh ambil? Kenapa hari ni tak boleh? Zaffi tak suka kongsi bas sekolah dengan budak lain. Masa sekolah kat KL, ada Pak Cik Mat ambil Zaffi dengan Muzaf.”
“Dua tiga hari lepas pak su belum mula kerja. Sekarang, pak su kena kerja. Pak su kena cari duit. Duit tu bukannya boleh jatuh dari langit. Pak su bukan anak orang kaya macam kau orang. Pak su tak boleh ambil sebab tu pak su suruh naik bas. Zaffi ingat pak su ni driver ke?”
“Kalau pak su tak boleh ambil, pak su carilah orang yang boleh ambil kami. Apa susah? Zaffi dengan Muzaf memang tak nak naik bas.”
Pandangan Alfatah mendongak ke langit. Dadanya turun naik, menahan marah. Geram dengan permintaan anak kecil yang dibesarkan dalam suasana berada itu. Senangnya bila bercakap. Modal air liur sahaja, semua yang diingini perlu ada di depan mata. “Zaffi ingat pak su nak ikut cakap Zaffi ke?”
“Kalau macam tu, esok sampai bila-bila kami tak akan pergi sekolah. Zaffi nak balik KL. Nak duduk dengan mama dan papa.”
“Muzaf pun nak ikut Zaffi. Muzaf tak nak duduk dengan pak su.”
“Semua sekolah sama ajelah. Tak payah nak ngada-ada. Tak nak pergi sekolah nak jadi apa? Tak nak pandai?”
Kembar itu tidak menjawab pertanyaan Alfatah.
“Pak su tak akan layan kehendak kau orang yang merepek ni. Apa yang pak su tahu, esok jangan buat perangai macam hari ni.”
“Zaffi nak ada orang yang ambil kami. Pak su tak faham ke?!” Kali ini alunan suara Rayhan Muzaffirah kian meninggi.
Anak kecil itu benar-benar mahu kehendaknya dituruti. Mereka berdua sudah biasa hidup senang. Bagi mereka, menaiki bas dan berkongsi apa yang mereka ada dengan orang lain bukanlah sesuatu kebiasaan.
“Kau jangan nak kurang ajar dengan pak su. Jangan nak melawan. Kau ingat kerja aku ni ikut cakap kau ke? Aku bukan orang gaji kau orang. Lebih baik kau berdua masuk kereta sekarang!” tengking Alfatah sambil tangan didepa dan jari telunjuk dihala ke arah kereta. Kali ini dia benar-benar tidak mampu mengawal perasaan itu.
Bahu Rayhan Muzaffirah dan Rayhan Muzaffar sekali lagi terangkat. Tanpa sebarang bicara, arahan tersebut segera dilaksanakan.
“Pak su jahat!” bentak Rayhan Muzaffirah sebelum menutup pintu kereta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan