Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 23 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 2

SEMUANYA sudah selamat. Tengku Amanda sudah pun sah menjadi isteri kepada Ustaz Akim. Orang yang paling gembira pastinya Nenda Fauziah bila sekali lagi impiannya tercapai.
Tengku Haikal melirik Nenda Fauziah. Bukan main gembira dia menyambut tetamu yang hadir. Tengku Malik dan Puan Fasihah juga sibuk melayan tetamu yang hadir. Majlis nikah dan majlis kenduri diadakan serentak lebih memudahkan. Tidak perlu bersesak dan bersusah payah mengadakan majlis resepsi yang seterusnya. Serba ringkas dan berjalan seperti apa yang dirancangkan.
“Termenung aje. Tak join sekali ke?” sapa Tengku Hakimi kepada Tengku Haikal.
Tangan bersilang memeluk tubuh, mata liar melihat tetamu yang bertandang. Tengku Haikal tidak jemu mencari kelibat Zulaikha. “Tengok-tengok pun cukup, malaslah aku.”
“Takkan marah kat nenda tak habis-habis lagi?” soal Tengku Hakimi sambil tertawa sinis.
“Taklah, aku tak ada moodlah hari ni.” Matanya tertumpu pada sesusuk tubuh lampai yang bertandang.
Zulaikha, itulah gerangan yang dicarinya dari tadi. Akhirnya menyerahkan diri di depan mata. Sejuk mata saat memandang wajah lembut itu hingga mampu buatnya tersenyum sendiri.
Tengku Hakimi pula menangkap sesusuk tubuh milik Marsha yang berlenggang jalan memasuki kawasan rumah. Berganjak badan Tengku Haikal ditolaknya kasar. Kalut nama sepupunya itu dipanggil. “Karl!”
Cemberut muka Tengku Haikal. Kacau daun betullah Tengku Hakimi. “Kenapa Kimi?”
Matanya terus menangkap langkah Zulaikha. Gerak-geri lembut Zulaikha sahaja sudah membuatkannya terpikat.
“Tu!” Memuncung mulut Tengku Hakimi menjuih.
“Kenapa? Cakap ajelah,” dengus Tengku Haikal dengan mata tidak lepas memandang Zulaikha.
“Marsha dah datang tu,” bisik Tengku Hakimi sambil tangan mencuit lengan Tengku Haikal.
“Biarlah kat dia. Papa yang jemput agaknya.” Masih jauh khayalan Tengku Haikal. Sudah tahap angau yang syok sendiri. Matanya tak ke mana-mana, hanya pandang Zulaikha. Diturut sahaja langkah itu dengan lirikan mata.
“Hai, Karl.” Suara lunak Marsha mula menyapa. Berdiri di sisi Tengku Haikal dengan gaya menggoda.
Tengku Hakimi pula berlalu meninggalkan mereka berdua di situ.
Marsha menggigit bibirnya. Kedua-dua belah tangannya sudah mencekak ke pinggang. Mata turut melirik pandang Zulaikha di bawah khemah kanopi. Bukan main galak lagi biji mata Tengku Haikal memandang Zulaikha hinggakan kehadirannya tidak disedari. Bahu kiri Tengku Haikal ditepuknya kuat.
“Isy, kau ni Kimi. Sekejaplah, lima minit aje lagi.” Pantas Tengku Haikal menepis tangan yang menyentuh bahunya.
Turun naik sahaja nafas Marsha. Cemburu melihat Tengku Haikal memandang wanita lain.
“Hei, ini I, Marsha! You ni, suara I lembut begini you cakap I Kimi,” bentak Marsha. Ditarik-tarik raut muka Tengku Haikal supaya melihat dia yang ada di depan mata.
“Eh, Marsha. Bila you datang?” Terkejut Tengku Haikal bila Marsha yang berada di depannya. Tengku Hakimi pula entah ke mana hilangnya.
“You ni teruk tau. You pandang perempuan lain sampai tak perasaan I...” rengek Marsha manja. Tangannya terus menyentuh wajah Tengku Haikal tanpa peduli mata yang memandang.
Kalut Tengku Haikal menepis tangan yang menjalar ke wajahnya. Tidak selesa. “Tak ada apa-apalah!”
“You jangan nak tipu. Dari tadi I perasan you asyik tengok-tengok dia orang tu.” Memuncung mulut Marsha ke arah sekumpulan gadis di bawah khemah yang sedang menjamu selera. Bukannya tak kenal dengan mereka bertiga, satu tempat kerja.
“Tak adalah! I tengok tetamu yang hadir. Tak sangka ramai jugak,” jawab Tengku Haikal memberi alasan. Malas nak berbalah dengan Marsha pada waktu begini.
“You ni gatallah. I tak ada you pandang perempuan lain ya?” Halus cubitan singgah ke lengan Tengku Haikal. Badan Tengku Haikal ditarik dekat dengannya pula.
“You jangan nak menggatal. I dah booked you awal-awal lagi tau.” Batang hidung Tengku Haikal dicuit.
Tertelan liur Tengku Haikal dengan perbuatan Marsha. Sepatutnya Marsha menjaga tingkah lakunya. Risau juga jika papa dan mamanya melihat, apatah lagi Nenda Fauziah. Habislah kalau Nenda Fauziah nampak apa yang Marsha lakukan kepadanya tadi.
“Marsha, cukup. You jangan nak over, nanti nenda I nampak apa yang you buat ni. Tak fasal dia cincang I. You tak tahu nenda I macam mana orangnya?” Risau Tengku Haikal. Bebola mata sebenarnya menyorot kepada Zulaikha. Jika Zulaikha lihat tingkah laku Marsha, apa pula tanggapan Zulaikha kepadanya?
Marsha tidak peduli. Makin kejap dia memaut erat lengan Tengku Haikal. Kepalanya melentok ke bahu, tangannya pula menjalar ke dada bidang itu. Biar semua di situ tahu yang Tengku Haikal adalah miliknya.
“Marsha, apa ni?” Tengku Haikal kurang senang dengan tindakan Marsha. Tengku Haikal berganjak menjauhkan diri daripada Marsha. Makin melampau pula, langsung tidak malu.
Marsha tidak endahkan. Mukanya lebih tebal daripada bedak yang bertempek pada mukanya. Peduli apa dengan mulut orang. Suka hatilah!
“Marsha, tolong hormat majlis keluarga I. I tak mahu nanti orang pandang serong kepada keluarga I. You janganlah lebih-lebih pulak.” Pucat muka Tengku Haikal dengan tingkah laku mendadak Marsha.
“Kelakarlah you ni, Karl. Tak sangka you ni penakut. Kalau kat luar, you tak kisah pun I peluk dan cuit you. Kat sini tahu pulak takut.” Galak Marsha ketawakan Tengku Haikal. Tidak sangka Tengku Haikal begitu mengambil berat soal itu semua.
It’s not funny, Marsha! You buat jantung I nak luruh tahu tak? You tak kenal famili I. Famili I, pentingkan maruah dan adab. Mati kalau nenda I tengok apa yang you buat tadi.” Perlahan suara Tengku Haikal, tetapi tegas.
“Alah, takkan nenda you tu kejam sangat?” Marsha menjeling manja. Rambutnya yang baru diwarna dan diluruskan itu sengaja dilepaskan. Rambut yang sedikit menutup matanya disisirkan ke tepi telinga.
“You tak kenal nenda I.” Hati Tengku Haikal terus gelisah.
“Kalau macam tu, apa kata I berkenalan dengan nenda you. Mana nenda you? Cepatlah kenalkan...” Manja Marsha berkata sambil memaut pinggang Tengku Haikal.
“Marsha, tolonglah.” Tengku Haikal menolak Marsha sekali lagi.
Dijuihkan bibirnya. “Okay, fine. Tapi lepas ni, I nak you kenalkan I dengan nenda. Jangan nak elak-elak lagi tau...”
“Ialah, I akan kenalkan. Tapi, bukan hari ni.” Tengku Haikal tidak berfikir panjang. Tanpa disedari, dia sudah berjanji kepada Marsha.

ZULAIKHA sedikit terpempan dengan kehadiran Tengku Haikal. Dari tadi dia perasan Tengku Haikal tidak lepas memandangnya. Langkahnya cuba diaturkan, namun sedikit terhalang.
“Nak ke mana?” Tersengih lebar Tengku Haikal. Dapat juga berdepan dengan si jantung hati.
“Nak ke depan,” jawab Zulaikha tanpa mengangkat wajahnya. Sungguh hatinya berdebar-debar kencang.
“Pandai awak bergurau.” Tengku Haikal menyelar jawapan Zulaikha. Senyuman terus menguntum kembang. Bahagia itu singgah bila berada dekat si pemuja hati.
“Saya tak berguraulah. Saya betul nak ke depan,” jawab Zulaikha. Cuba untuk terus aturkan langkahnya. Mengganggu sahaja.
“Ialah, memang nak ke depan. Tapi, ke mana?” Galak Tengku Haikal bertanya bersama senyuman yang terus menguntum pada wajah. Asyik memerhati sahaja selama ini, kali ini dia akan memulakan misinya, pikat memikat!
“Nak jumpa pengantin,” jawab Zulaikha acuh tidak acuh.
“Emm, jumpa pengantin. Abang pengantin, tak nak jumpa ke?” Galaknya Tengku Haikal mengusik!
Mengada-ada! Gedik semacam, hamun Zulaikha dalam hati.
“Tak ada sebab nak jumpa Tengku Karl,” jawab Zulaikha. Kali ini dia gagah beranikan diri memanggung kepalanya. Wajah di depannya itu dibalas pandang. Tersengih-sengih senget macam kerang busuk.
“Boleh, tapi awak kena jawab teka-teki saya dulu. Dah lulus baru boleh pergi jumpa pengantin. Kena lepaskan tol dulu,” balas Tengku Haikal tersenyum.
Sakit pula hati. Nak berteki-teki pula. Juling biji matanya menjeling Tengku Haikal. “Kalau macam tu, tak jadilah jumpa pengantin.”
Zulaikha akhirnya berundur kembali kepada teman-temannya. Niatnya untuk berjumpa Tengku Amanda dilupakan. Membiarkan Tengku Haikal yang tersenyum sendiri. Suka hatilah tu!
Dasar lelaki! Kekasih di depan mata pun nak mengganggu orang, bentak Zulaikha geram. Sudahlah pergerakan dia dari tadi dikawal dengan pandangan Tengku Haikal. Naik cuak. Bukan dia tidak dengar gosip yang mula tersebar di pejabat. Sudah kecoh yang Tengku Haikal sedang hangat bercinta dengan Marsha. Naik bingit telinganya dengan cerita yang tidak habis-habis itu.   
Dihampiri teman-temannya dengan mulut tidak habis mengomel. “Bencinya aku!” Berketap giginya rapat.
“Eh, tak pergi jumpa pengantin ke? Tadi bukan main lagi tak sabar. Kenapa sekejap sangat?” soal Emelda hairan.
“Aku tak jadilah nak pergi. Mamat sengal tu tiba-tiba halang langkah aku,” cerita Zulaikha sedikit tidak puas hati.
“Mamat sengal mana ni?” soal Helan pula dengan wajah berkerut.
“Tengku Haikal, siapa lagi kalau bukan dia? Bencinya aku kat dia.” Tergenggam erat jemari Zulaikha.
Emelda dan Helan sudah tersenyum-senyum.
“Dia mengurat kaulah tu.” Emelda menjawab.
“Betul cakap Emelda tu. Tengku Karl nak mengurat kau. Aku peliklah, kenapa kau benci sangat dengan Tengku Karl tu? Orang perempuan lain terhegeh-hegeh nakkan Tengku Karl tu, tapi kau tak mahu.” Tertanya-tanya Helan dengan sikap Zulaikha.
“Kau orang berdua ni takkan tak tahu? Aku tak sukalah lelaki hidung belang macam tu. Ada ke patut, tadi dia halang aku. Berdiri depan aku, macam keeper nak sambut bola. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Gelilah aku!”
Emelda dan Helan hanya ketawa bila mendengar cerita Zulaikha.
“Hei, kau orang ingat aku main-main ke? Aku tak suka lelaki macam tu. Nasib baik dia tu, anak bos kita. Kalau tak, dah lama aku sound!” Membuntang biji mata Zulaikha menjawab.
“Kau ni macam tak betul aje. Entah-entah kau pun ada hati kat Tengku Karl. Aku tengok pelik sangat anti kau tu kat Tengku Karl.” Helan kerutkan dahinya. Kenapa Zulaikha begitu marahkan Tengku Haikal?
Tak berkutik Zulaikha. Tidak tahu jawapan apa yang perlu dijawabnya. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan cuba bertenang.
“Ika, kenapa kau tak suka sangat dengan Tengku Haikal?” Helan bertanya lagi soalan yang sama.

Zulaikha menjongketkan bahu dan bibirnya dijuihkan. Tidak tahu bagaimana perlu diterangkan perkara yang menyebabkannya begitu benci kepada lelaki yang bernama Tengku Haikal Razif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan