Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 3

ANGGOTA di bahagian bahu terasa perit. Dia memicit kawasan tubuh tersebut. Tidak sampai beberapa detik, mulutnya mengeluarkan angin yang berada di dalam badan. Bersahaja tingkahnya. Lega sekejap apabila rasa lenguh luak sedikit.
“Nil, Nescafe kaw tarik ikat tepi siap!” jerit lelaki berusia awal 30-an itu.
Nilam Qadheera yang bersandar pada basikalnya lantas menoleh. Senyuman pantas dioles.
Pemilik restoran tersebut berjalan menghampiri gadis yang mengenakan baju-T biru dan berseluar hitam itu. Rambut panjang melebihi sejengkal bahu diikat. Juraian rambut tersebut disembunyikan di dalam topi yang dipakai secara terbalik.
“Baru aje orang ingat nak masuk dalam. Tup-tup Abang Mail keluar hantarkan pula,” ucap Nilam Qadheera.
Mail tersenyum mendengar kenyataan itu.
“Tak ada hallah,” balas lelaki yang mengenakan apron itu.
Tali rafia yang mengikat bahagian tepi plastik berisi minuman panas tersebut berganti tangan. Sebagai balasan Nilam Qadheera menyerahkan dua keping wang kertas berwarna biru.
“Terima kasih, Abang Mail.”
“Sama-sama. Nil baru balik kerja ke ni?”
“Ha’ah. Hari ni balik lambat. Ramai pula yang nak panjat dinding tadi,” balas Nilam Qadheera sambil menyangkutkan tali plastik minuman ke pemegang basikal jenis hybrid bike itu.
“Abang pun sebenarnya macam teringin juga nak buat wall climbing tu. Macam best aje dengar Nil cerita.”
“Kalau Abang Mail nak, datang aje kat tempat kerja orang tu. Manalah tahu, lepas panjat dinding, otot lengan keluar. Boleh tarik kole tu tinggi sikit bila buat teh tarik. Kasi terbang ke,” gurau Nilam Qadheera pula.
“Merepek sangat tu,” balas Mail lalu terdengar deraian ketawa.
“Okeylah, bang. Orang balik dulu.”
“Yalah. Baik-baik naik basikal tu,” pesan lelaki itu lalu melangkah ke dalam restoran.
Nilam Qadheera memang lasak orangya. Basikal biru itu menjadi kenderaan untuk dia bergerak ke mana-mana. Jari-jemari kecil dan sedikit kasar milik Nilam Qadheera menggenggam erat handle basikal. Sebelum bergerak, sempat dia memandang sekilas jam digital yang tersemat di tangan kiri. Waktu sudah menjengah pukul 10.45 malam. Bagi warga metropolitan, masa begini masih awal lagi untuk melelapkan mata.
Kurang lima minit mengayuh, perumahan pangsapuri setinggi tujuh tingkat terpampang jelas. Dia berada di seberang jalan dari kawasan itu. Sebelum dia melintasi jalan untuk pulang ke rumah, Nilam Qadheera punya tempat untuk dituju. 50 meter terakhir, sengaja dia memecut laju. Sebaik sahaja hampir tiba di pondok pengawal, Nilam Qadheera menekan brek. Serta-merta geseran pada tayar berlaku lalu menghasilkan bunyi.
Embahmu nang Jawo (Datuk kau ada kat Jawa). Ngolek sopo (Cari siapa)?” Spontan sahaja perkataan bahasa Jawa terbit dari bibir orang tua tersebut. Wak Jopri terperanjat sehingga tersasul berbicara bahasa orang kampungnya yang berada di Batu Pahat.
Bila telinga Nilam Qadheera mendengar bahasa asing lagi aneh itu, apa lagi, ketawa mengekek tak sudah dibuatnya.
“Hei... bocah iki (budak ni). Kerjanya tak sudah kacau orang. Terkejut Uncle Jo. Heart attack.”
Nilam Qadheera turun dari basikalnya. Stand basikal dipacak ke bumi. Suara gelakan masih lagi kedengaran menembusi gegendang telinga Wak Jopri. “Tadi latah cakap Jawa. Tetiba aje speaking London, panggil diri sendiri Uncle Jo. Orang tengok wak berdiri termenung aje kat pondok pak gad ni. Tak tahulah ingat siapa. Tu yang saja sakat wak.”
“Kalau ya pun nak kacau wak, jangan bawa basikal tu laju-laju.”
“Mana ada laju. Orang saja aje nak test power brek basikal. Kan semalam Wak Jo dah tolong betulkan brek basikal ni.”
Wak Jopri menggelengkan kepala memerhatikan kerenah anak gadis yang hampir sebaya dengan anak bongsunya itu. Memang begitulah sifat Nilam Qadheera. Ada sahaja jawapannya. “Hal kecil aje Nil. Wak tolong apa yang wak tahu.”
“Hal kecil untuk Wak Jo, tapi besar kepada orang. Kalau hantar kedai, kena keluarkan duit. Kalau wak yang betulkan...” Sengaja Nilam Qadheera menghentikan kata. Dia mengambil plastik minuman yang dipesannya di restoran tadi. “Taraaa!”
Apo iki (Apa ni)?” soal Wak Jopri dengan terpinga-pinga.
“Ini ialah Nescafe kaw lagi pekat dan likat paling terbaik di dunia. Orang beli khas untuk Wak Jo. Apa yang penting, hati Wak Jo akan terasa tenang lalu mata terasa segar-bugar untuk berkhidmat demi negara lepas minum air ni,” ujar Nilam Qadheera.
“Waduh, waduh... Seram pula wak nak minum air ni.”
“Seram? Orang tak akan letak manderem kat air ni. Munasabah sikit, Wak Jo.”
“Wak tak minta pun. Susah-susah aje.”
“Memanglah wak tak minta, tapi orang nak kasi. Ni tanda terima kasih sebab wak betulkan brek basikal orang semalam. Ambil ajelah,” pinta Nilam Qadheera.
Dengan mengoles senyuman lebar, Wak Jopri mengambil bungkusan minuman tersebut. Usai bibirnya melafazkan bismillah, lelaki berjambul hitam di depan itu menghirup perlahan minuman tersebut.
“Terima kasihlah ya. Macam tahu-tahu aje wak tengah mengantuk ni. Wak tolong semalam pun sebab wak tahu. Lain kali tak payah susah-susah belanja wak.”
“Tak susah wak. Wak Jo dah tolong orang berjimat. Bak kata Mak Cik Kejora, hidup ialah jimat, cermat dan berhemat,” ujar Nilam Qadheera. Ayat terakhir yang disebutnya itu merupakan moto kehidupan ibu saudaranya.
“Dah alang-alang kau sebut nama buah hati wak tu...” Tidak sempat Wak Jopri menyudahkan bicara, ada sinaran lampu kereta masuk ke susur kawasan tersebut.
Kereta Honda CR-Z Hybrid berwarna biru terhenti di situ kerana ada palang yang menyekat perjalanannya. Terkocoh-kocoh Wak Jopri masuk ke dalam pondok pengawal lalu menekan suis yang mengawal pergerakan palang tersebut. Besi yang menjadi penghalang laluan itu mula bergerak secara automatik. Kereta itu melintasi lalu hilang daripada pandangan. Wak Jopri menekan semula suis yang sama dan palang itu kembali ke kedudukan asal.
“Tak pernah nampak pun kereta tu sebelum ni?” soal Nilam Qadheera. Hatinya diterjah dengan tanda tanya.
“Baru pindah enam hari lepas. Duduk kat depan jalan ni aje,” balas Wak Jopri. Jari telunjuk dihalakan ke arah rumah si gerangan yang sedang dibualkan.
“Lelaki ke perempuan?” aju gadis itu lagi memandangkan tingkap cermin kereta tadi tampak gelap.
“Lelaki. Wak Jo perasan ada dua orang budak kecil duduk dengan dia. Kembar sepasang rasanya.”
“Kembar? Sepasang? Comelnya. Dah kahwinlah kiranya tu.”
“Entahlah. Mungkin ya mungkin tak.”
“Aik? Kenapa pula?”
“Sebab wak tak pernah nampak pula isterinya. Wak nak tanya banyak pun macam tak ramah aje. Macam tak banyak cakap. Pendiam agaknya. Wak tanya sepatah, dia jawab sepatah.”
Nilam Qadheera mengangguk mendengar penjelasan lelaki tua itu. Fikirannya ligat menyimpulkan apa yang berlaku. “Entah-entah, duda tak?”
“Aisy... \Bocah iki, pande-pande.”
“Wak Jo ni, cakap orang pande-pande pula. Orang bukan Pak Pandir.”
“Hei, bocah iki orak ngerti aku ngomong Jawo (budak ni tak faham aku cakap Jawa). Pande-pande tu pandai-pandai.”
Insan berketinggian 160 sentimeter itu mula menggaru-garu kepala. Dahi berkerut-kerut. “Wak Jo cakap bahasa international, mana orang nak faham. Tak munasabah langsung. Orang nak baliklah. Lama-lama kat sini, esok memang kena pergi kedai buku cari kamus Jawa.”
Nilam Qadheera menuju ke arah basikalnya. Kaki kanannya menolak ke atas stand. Kemudian, dia bersedia untuk menolak objek beroda dua tersebut. Sebelum itu, dia sempat memandang kiri dan kanan sebelum melintas menuju ke rumahnya yang terletak di tingkat tujuh pangsapuri tersebut.
“Jangan lupa kirim salam dengan buah hati wak ya.”
“Itu ajelah selalu. Cik Jora cakap, lain kali kirim lain. Asyik kirim salam aje.”
“Lain kali wak kirim hatilah pula. Cakap dengan dia, masak nasi lemak dengan epok-epok tu harus penuh kasih sayang.”
“Seram pula orang dengar ayat wak tu.”
Kali ini giliran Wak Jopri pula ketawa sambil menggelengkan kepala. Dia memerhatikan sahaja langkah Nilam Qadheera hingga ke seberang jalan. Dia sudah menganggap perempuan itu seperti anaknya sendiri. Atau mungkin lebih tepat lagi, bakal anak saudara. Siapa tahu?
Oh, Kejoraku. Wak Jopri menyengih.

“ASSALAMUALAIKUM.” Nilam Qadheera melangkah masuk ke dalam rumah. Basikalnya disandarkan pada permukaan dinding hampir dengan pintu masuk.
Salam yang diungkap oleh Nilam Qadheera dibalas oleh remaja berumur belasan tahun itu. Perlahan sahaja suara kasar tersebut menjawab. Namun, gegendang telinga Nilam Qadheera dapat mendengar.
Zulhafiz sedang menonton televisyen. Matanya lebih fokus pada permukaan skrin berbanding buku tulis yang berada di atas meja. Tangan gadis itu menggantungkan gugusan kunci rumah ke paku dinding.
“Cik Jora, orang dah balik ni,” lafaznya sambal melihat susuk belakang Mak Cik Kejora yang berada di tingkap ruang tamu.
Wanita itu seperti berada dalam dunianya sendiri.
“Tengok apa aje Cik Jora ni sampai tak dengar ada orang masuk rumah?” Wajah Nilam Qadheera penuh dengan tanda tanya. Hatinya terdetik rasa ingin tahu.
“Apis, mak kau tu tengah buat apa?” soal Nilam Qadheera.
Zulhafiz tidak bersuara. Dia leka dengan jalan cerita yang sedang ditayangkan. Jari telunjuk Zulhafiz menghala ke arah ibunya yang berdiri di ruangan tingkap.
“Kak Nil tanya mak kau tengah buat apa? Bukan kat mana.”
Tanpa memandang kakak saudaranya itu, lelaki tersebut menjongket bahu. “Tak tahu.”
Nilam Qadheera menggelengkan kepala.
“Sorang tengok TV tak nak pandang tempat lain. Sorang lagi tengok tingkap dah tak dengar orang balik. Agaknya Jepun attack Malaya lagi pun dia orang ni tak sedar,” bebelnya sendiri.
Hidung Nilam Qadheera bertindak balas dengan mengembang kuncup tatkala bau tumisan cili kering, ikan bilis berserta bawang merah dan putih menyengat deria baunya. Dia menuju ke dapur lalu membasuh tangan. Dia mengambil sudip dan mengacau bahan masakan yang berwarna merah pekat itu di dalam kuali.
Langkau setengah minit mengacau, Nilam Qadheera mengecilkan api. Dia menuju ke ruang tamu semula. Perlahan-lahan dia melangkah. Terjinjit-jinjit hujung kakinya bertemu ke permukaan lantai.
“Cik Jora skodeng apa?!” sergah Nilam Qadheera.
“Ya Allah, astaghfirullah al-azim. Terkejut aku dibuatnya. Masuk rumah bukan nak bagi salam.” Mak Cik Kejora mengurut dada. Tidak semena-mena jantung berdegup pantas kerana terperanjat.
“Cik Jora cakap orang tak bagi salam?”
“Yalah. Aku tak dengar pun.”
“Munasabah sikit, Cik Jora. Orang masuk rumah, dah bagi salam. Siap pergi dapur lagi, tengokkan sambal tumis. Nasib baik tak hangus.”
“Eh? Ya ke?”
Nilam Qadheera mengangguk dengan penuh keyakinan. “Cik Jora tengok apa aje? Tahulah tingkat tujuh ni macam menara. Boleh pantau apa yang berlaku.”
“Aku khusyuk tengok orang yang baru pindah kat kawasan rumah depan tu.” Bibir Mak Cik Kejora menjadi muncung lalu menghala ke arah luar. Tingkap jenis nako itu menjadi ruang wanita tersebut melihat apa yang berlaku.
“Orang baru pindah? Yang mana satu?”
“Ha... itulah kau. Tak nak tahu perkembangan semasa. Sekurang-kurangnya kena ikut peredaran zaman. Bila jiran-jiran bergosip, tak adalah Cik Jora kau ni ketinggalan. Orang yang duduk kat depan rumah ni dah enam hari pindah. Tapi...”
Mak Cik Kejora memberhentikan kata-katanya. Dia memandang semula ke arah rumah dua tingkat itu. Cermin mata rabun jauh dirapatkan sedikit ke anggota mata. Lelaki yang baru sahaja masuk ke rumah kira-kira seminit dua yang lalu tiba-tiba keluar semula. Walaupun tidak jelas kerana jarak mereka, melalui pandangan wanita tua itu, lelaki tersebut seperti tidak selesa dan ada yang tidak kena.
“Tapi apa, Cik Jora?”
“Tak ada satu hari pun dia singgah beli nasi lemak aku.”
Terkebil-kebil kejap mata Nilam Qadheera. Dia mengeluh perlahan. La... Perkara itu yang dirisaukan lagi digusarkan?
“Dia tak tahu ke nasi lemak siapa yang best in the world kat kawasan ni?”
Nilam Qadheera menanggalkan topi. Berjurai juntaian rambut yang disimpul. Gadis tersebut menggaru-garu kepala. “Ya, Cik Jora. Nanti mesti dia dengar tentang kehebatan air tangan Cik Jora. Nasi lemak yang paling best ialah nasi lemak Mak Cik Kejora tingkat tujuh. Best dan sedap sangat sampai Wak Jo Jambul di depan jatuh cinta dengan Cik Jora. Dia kirim salam tadi.”
Mak Cik Kejora mencebik. “Kirim salam tak sudah. Lain kali kirimlah duit ke, jongkong emas bongkah-bongkah ke. Barulah hati aku ni tergerak nak jatuh cinta lagi.”
Dia ketawa tatkala mendengar kenyataan tersebut. Nilam Qadheera sudah menjangka ayat itu yang terluah.
Mak Cik Kejora menyara kehidupan keluarganya dengan berniaga sarapan pagi. Suaminya, Zulkifli, telah meninggal dunia akibat kemalangan kira-kira enam tahun yang lalu. Saat itu, umur Zulhafiz baru 10 tahun. Mak Cik Kejora sangat penjimat orangnya sehingga Nilam Qadheera tergelak dengan perbuatan dan peraturan wanita tersebut.
“Cik Jora rasa kan, laki ni duda, anak dua orang.” Tidak semena-mena perempuan tua itu berbicara sedemikian.
“Sampai hari ni Cik Jora tak nampak lagi bini dia,” ujar Mak Cik Kejora lagi, melaporkan berita itu kepada anak saudaranya.
“Cik Jora, orang tua-tua cakap, biar tak pandai, asalkan jangan memandai-mandai. Pande-pande cakap orang tu duda,” balas Nilam Qadheera, mengulangi perkataan yang dituturkan oleh Wak Jopri.
“Tak adalah. Ni teori aku aje. Sudah, kau pergi mandi sana. Mesti kau penat, kan? Lepas mandi, jangan lupa solat isyak,” perintah Mak Cik Kejora. Kemudian dia menuju ke dapur, mahu menyudahkan kerjanya yang tergendala tadi.
“Baik,” balas Nilam Qadhera.
Dia melangkah menuju ke salah satu dari tiga bilik yang ada. Dia melintasi ruang tamu. Matanya menangkap tingkah Zulhafiz yang masih leka.
“Ni buat kerja sekolah ke tengok TV?” Mulut anak tunggal Mak Cik Kejora itu sedikit ternganga. Asyik benar dengan cerita Transformers di televisyen.
“Apis buat dua-dua. Tak nampak ke?”
“Jangan nak temberang. Munasabah sikit. Ayat tu akak dah pakai zaman sekolah dulu masa tengok TV. Sebab tulah akak kerja apa yang akak kerja sekarang ni. Apis nak ke siang malam kerja panjat dinding?”
Ayat terakhir Nilam Qadheera menarik perhatian Zulhafiz untuk menatap mata perempuan itu. “Kiranya Kak Nil kerja panjat dinding sebab akak tengok Transformers sambil buat kerja rumah ke?”
Nilam Qadheera menggeleng kepala disulami dengan cebikan bibir. Jari telunjuk digerakkan ke kiri dan kanan sebagai isyarat menafikan soalan tersebut. “Oh... tidak sama sekali. Akak kerja macam ni sebab akak tak beberapa nak pandai belajar macam orang lain.”
Kembang kempis hidung Zulhafiz mendengar jawapan itu. “Habis tu, apa kena-mengena kerja akak sekarang ni dengan tengok TV?”
“Kena-mengenanya ialah siapkan kerja sekolah kalau nak pandai. Satu lagi, sejak bila Cik Jora kasi tengok TV ni? Bukan membazir karan ke?”
“Mak kasi tengok, tapi ada syarat.”
“Syarat?”
Mak Cik Kejora yang dari tadi mendengar perbualan itu menjengah sekejap ke ruang tamu. “Syaratnya, bila iklan kena tutup TV. Agak-agak dah habis iklan, baru boleh buka balik.”
Nilam Qadheera membeliakkan mata. Tidak sampai satu saat, hatinya tercuit dengan perasaan geli hati. Sehabis daya Nilam Qadheera memaksa bibirnya katup dengan rapat. Kaki laju melangkah ke bilik. Sebaik sahaja pintu ditutup, gadis itu segera menghamburkan ketawa yang ditahan. Dalam dunia ni, ada ke orang tengok TV gaya macam tu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan