Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 2 Februari 2016

Tak Sangka Jatuh CInta - Bab 9

HAJI Darus dan Hajah Hayati saling berpandangan seketika. Kemudian, mereka merenung dulang-dulang hantaran yang berderet di hadapan mereka. Haji Darus dalam perjalanan menghantar pesanan ikan keli kepada pelanggan tetapnya ketika menerima panggilan daripada isterinya dan menyuruhnya segera pulang ke rumah. Terus dia berpatah balik. Rupanya, ada rombongan meminang Hannah daripada pihak Muaz.
Haji Darus menghela nafas panjang dan dihembuskan perlahan. Dia merenung wajah Mak Odah dan tetamu-tetamu yang datang satu per satu. Semuanya sedang menantikan jawapan daripadanya.
“Kak Odah, saya sangat berbesar hati untuk pinangan ni. Sebelum saya bagi keputusan biarlah saya berterus terang dulu.” Haji Darus diam sebentar sebelum bersuara semula.
“Sebenarnya, saya memang ternanti-nantikan pinangan Muaz ni sebab saya tahu dia lelaki yang baik dan jujur. Saya sangat berkenan dengan Muaz. Saya rasa Kak Odah pun tahu yang orang dalam kampung ni dah mula bercakap tentang Hannah dan Muaz. Saya pula tak ada hak nak tutup mulut orang kampung ni kak. Tiap-tiap hari saya berharap akan menerima rombongan meminang Hannah untuk Muaz.”
“Kak tahu, sebab tu kak datang hari ni. Memang kak berhajat nak meminag Hannah untuk Muaz,” ujar Mak Odah dengan wajah berseri-seri.
“Tapi, saya minta maaf banyak-banyak kak. Sebenarnya kak dah terlambat.” Haji Darus pandang wajah Mak Odah.
Wanita itu kelihatan terkejut.
“Kenapa Aji cakap macam tu?” soal Mak Odah. Tetamu-tetamu yang lain dah mula berbisik sesama sendiri.
“Macam ni kak. Sebenarnya saya dah terima pinangan daripada orang lain untuk Hannah.”
“Orang lain? Siapa?” Mak Odah tidak percaya.
Menurut Muaz, Hannah dah setuju untuk menerima lamarannya. Macam mana pula mereka boleh terima pinangan orang lain?
“Karz...” Haji Darus memanggil anak saudaranya.
Karzrin yang duduk di antara mama dan papanya bingkas bangun. Dia merapati Haji Darus dan duduk di sisi pak sunya. Karzrin cuma tunduk memandang lantai.
“Ini Karzrin. Anak saudara saya dan bakal menantu saya.”
“Macam mana boleh jadi macam ni pula? Muaz cakap Hannah dah setuju nak terima lamaran ni.” Mak Odah pandang wajah Hannah.
Kenapa tega pula Hannah berdusta? Kenapa Hannah tergamak mainkan hati Muaz? Pandangannya terisi dengan syak wasangka.
Hannah terpempan. Terkejut dengan kenyataan Mak Odah. Bila pula dia cakap dia setuju dengan lamaran ni? Seingatnya, dia tidak pernah bercakap soal hati dan perasaan dengan Abang Muaz. Tak pernah walau sekali pun!
Haji Darus dan Hajah Hayati juga tergamam mendengar kata-kata Mak Odah. Serentak itu juga mereka berpaling mencari wajah Hannah. Mereka inginkan kepastian. Betul ataupun tidak apa yang dikatakan oleh Mak Odah tadi.
“Umi, Hannah tak pernah cakap pun yang Hannah setuju. Lagipun, Abang Muaz tak pernah beritahu pun pasal pinangan ni. Hannah tak tipu, umi.” Hannah cuba mempertahankan diri.
Kenapa Abang Muaz cakap macam tu? Ya Allah! Hannah mula hilang punca bila wajah walid sudah merah merenungnya. Hannah tahu kalau dah merah macam itu, walid benar-benar sedang marah. Walid, Hannah tak tahu apa-apa pun, rintihnya dalam hati.
“Kak Odah, saya rasa mungkin ada salah faham. Saya tak berniat nak kecewakan Muaz, tapi saya dah terima pinangan orang lain.” Haji Darus masih lagi bertenang.
“Eh, silap faham apa pula? Memang Muaz yang cakap macam tu. Aji pun kenal perangai Muaz tu macam mana. Dia tak pernah menipu! Dia yang beria-ia suruh saya pinangkan Hannah untuk dia.” Mak Odah mengetap bibir.
Sesekali terasa lengannya dipegang oleh Mahadi, anak sulungnya. Mungkin mahu menenangkannya. Mak Odah rasa pipinya sudah tebal lima inci. Malu bila lamaran mereka ditolak mentah-mentah. Mana dia letak muka kalau orang kampung tahu yang Haji Darus dah tolak pinangan daripada pihak mereka?
Mak Odah bingkas bangun. Pinggangnya yang lebar dicekak kemas. Turun naik dadanya menahan marah.
“Kak Odah, sabar dulu. Biar saya bincang dengan Hannah dulu. Saya pun tak tahu-menahu pasal hal ni.” Hajah Hayati pula cuba menenteramkan amarah Mak Odah.
Satu kampung tahu, mulut Mak Odah boleh tahan lancangnya. Bila Mak Odah bangun, semua orang ikut bangun. Termasuk Karzrin.
“Kau tanyalah Hannah tu. Hah, kan dia pakai cincin yang Muaz beri tu!” tokok Mak Odah mensasarkan cincin yang tersarung di jari Hannah.
Muaz dah ceritakan segala-galanya tentang cincin itu. Kata Muaz kalau Hannah pakai cincin yang diberikannya bermakna Hannah sudi menjadi isterinya.
“Hannah?” Hajah Hayati segera mendekati Hannah.
Dia membelek jari kiri Hannah. Memang betul! Ada sebentuk cincin di situ. Dan dia yakin, dia tidak pernah belikan cincin itu untuk Hannah.
“Hannah, cakap dengan umi sekarang. Siapa yang berikan cincin ni kepada Hannah?”
“Umi...” Hannah sudah mula gementar. Terketar-ketar tangannya ketika itu.
“Cakap cepat!” Suara Hajah Hayati sudah meninggi. Dia tidak mahu kerana cincin itu, maruah keluarga mereka jadi taruhan.
Datin Mazwin menghampiri mereka dua beranak. Dia memegang bahu Hannah.
“Yati, sabar. Masalah takkan selesai kalau kamu marah-marah macam ni. Kita dengar dulu apa yang Hannah nak cakap,” pujuk Datin Mazwin lembut. Dia yang sejak tadi menjadi pendengar dan penonton terpaksa masuk campur bila Hajah Hayati naik angin.
“Hannah, cakap aje terus terang. Betul ke cincin ni Muaz yang berikan kepada Hannah?”
Hannah mengangguk perlahan. Dia sudah tidak berani lagi untuk bersuara. Takut untuk menghadapi kemarahan umi dan walid. Hanya air mata sahaja yang merembes keluar.
Hajah Hayati tergamam lagi. Bukan itu jawapan yang dia mahu dengar dari mulut Hannah.
“Kan aku dah cakap tadi! Muaz yang berikan cincin tu! Kalau dia pakai bermakna dia setuju untuk terima lamaran Muaz! Aku tak sangka pula anak kau yang konon belajar tinggi-tinggi pasal agama boleh jadi penipu pulak. Entah macam mana kamu ajar anak. Penipu! Lepas ni berapa banyak lagi jantan yang dia nak mainkan. Sudahlah! Aku balik dulu. Jom semua. Buang duit aku aje beli hantaran cantik-cantik macam ni!” omel Mak Odah seraya terkocoh-kocoh keluar dari rumah itu.
Dia betul-betul marah! Malu! Kalau dia tahu yang pinangannya akan ditolak, dia tak akan datang. Kedatangannya ke situ ibarat sedang menghulurkan muka untuk diludah.
Tetamu-tetamu yang lain mengambil hantaran-hantaran itu dan tergesa-gesa mengikut Mak Odah keluar.

“CAKAP dengan walid betul-betul kenapa Hannah pakai cincin tu?” Wajah bengis Haji Darus mencerlung ke arah anaknya.
Hajah Hayati sudah tersedu-sedu menangis. Sedih benar hatinya bila dituduh tidak pandai mendidik anak.
Datin Mazwin dan Datuk Hamka cuma mendengar. Tidak mahu campur tangan. Biarlah mereka selesaikan tanpa campur tangan sesiapa. Karzrin duduk di atas sofa sambil memerhatikan pak su dan Hannah.
“Maafkan Hannah walid. Memang Abang Muaz yang berikan cincin ni. Tapi, dia cakap hadiah hari jadi aje. Sebab tu Hannah pakai. Untuk hargai pemberian dia. Itu aje. Hannah tak tahu pun dia berikan cincin tu untuk dapatkan persetujuan Hannah.” Suara Hannah tenggelam timbul dek esakan yang kian meninggi.
“Macam mana dia boleh cakap yang Hannah setuju nak terima lamaran dia pula?”
“Hannah tak tahu!”
“Jangan tipu!”
“Hannah tak tipu...”
“Hannah cakap betul-betul dengan walid sebelum walid naik tangan. Walid malu tahu tak bila dituduh tak tahu didik anak!” jerit Haji Darus seraya mengangkat tangan kanannya tinggi-tinggi mahu melempang pipi Hannah.
Tapi, tangannya ditangkap seseorang sebelum sempat tamparan itu singgap di pipi Hannah. Haji Darus berpaling.
“Pak su, jangan macam ni! Sabar...” Karzrin cuba menjernihkan keadaan. Keadaan semakin tegang, jadi lebih baik dia campur tangan.
“Pak su tak sangka akan jadi macam ni. Maafkan pak su, Karz. Pak su tak terasa hati kalau kamu nak batalkan perkahwinan kamu dengan Hannah,” ujar Haji Darus.
Nada suaranya mula mengendur. Dia betul-betul malu bila dihina dan diherdik oleh Mak Odah. Dia juga malu untuk berdepan dengan keluarga abang iparnya. Haji Darus menahan sebak. Dia terus berlalu meninggalkan Hannah yang sedang teresak-esak menangis.
Karzrin mengeluh panjang. Dia juga sedang berfikir. Dia merenung Hannah yang masih tersedu-sedu di hadapannya. Tersentuh hatinya mendengar tangisan Hannah.
“Han, cuba kau beritahu betul-betul kenapa Muaz boleh cakap macam tu?” Pertama kali Karzrin bercakap dengan Hannah dengan suara yang lembut.
“Hannah tak tahu,” jawab Hannah sambil menggelengkan kepalanya.
“Mesti ada sebab kenapa Muaz fikir macam tu. Mana kotak cincin tu?”
“Ada dalam bilik Hannah. Kenapa abang tanya?” Hannah mengangkat wajah dan memandang Karzrin. Hairan kenapa lelaki itu bertanya tentang kotak cincin pula.
“Jangan banyak tanya boleh tak? Pergi ambil cepat!”
Hannah angguk. Sekejap sahaja dia menghilang ke dalam biliknya. Seketika kemudian, dia muncul dengan memegang kotak cincin. Disuakan kotak itu kepada Karzrin. Lelaki itu membelek-belek kotak itu. Cuba mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebab kenapa Muaz menghantar rombongan meminang Hannah.
Lima minit mencari, Karzrin ternampak sekeping kertas yang terselit di bawah kotak itu.
“Ini ada kertas. Mata kau letak kat kepala lutut ke kertas ni pun tak boleh nampak?” Karzrin membebel. Helaian kertas yang dilipat kecil itu dibuka dengan kasar. 
SELAMAT HARI JADI, HANNAH!
Abang ada hadiah yang istimewa untuk Hannah. Hari ni abang beranikan diri untuk luahkan perasaan yang selama ini terpendam di lubuk hati abang.
Cincin ini sebagai tanda cinta abang pada Hannah. Kalau Hannah sudi terima abang, Hannah pakailah cincin ni. Dan abang akan cepat-cepat hantar rombongan untuk meminang Hannah. Tapi, kalau Hannah tak pakai cincin tu, abang akan faham sendiri. Jangan risau.  
 Karzrin dan Hannah berpandangan seketika. Jadi, inilah sebab kenapa Muaz menghantar rombongan untuk meminang Hannah. Muaz tak salah. Yang salah ialah Hannah. Cuai!
“Kalau kau baca kertas ni, mesti masalah ni takkan timbul dan orang tua tu takkan hina pak long dengan mak long, tahu tak?”
Hannah cuba diam. Mengakui kesalahan diri. Kesian umi dan walid. Hannah merintih sendiri.
“Sudahlah tu. Benda dah jadi, kan? Dah tak boleh nak ubah apa-apa. Tapi, kita masih boleh betulkan salah faham ni. Sekarang ni, aku nak kau cakap betul-betul kalau mama tak pelan nak jodohkan kita kau akan terima tak pinangan Muaz?” Soal Karzrin tiba-tiba. Redup pula matanya merenung wajah Hannah.
Hannah terkebil-kebil dengan renungan itu. Perlahan-lahan, gadis itu menggeleng.
“Betul?”
“Betul!” jawab Hannah pantas. Yakin dan tepat!
Karzrin yakin dengan pengakuan itu. Wajah Hannah nampak sangat polos dan ikhlas.
“Kalau macam tu, kau tanggalkan cincin tu. Lepas tu, kau pergi jumpa Muaz dan kau cakap yang kau tak baca kertas yang dia tulis tu. Aku rasa dia akan faham.”
“Boleh tak kalau abang temankan Hannah?” pinta Hannah teragak-agak.
Karzrin mengetap bibir sambil berfikir sejenak. Kemudian, dia mengangguk. Hannah tersenyum manis. Duppp! Hati Karzrin bagai direntap melihat senyuman itu. Huh! Haru betul!
“Boleh! Dengan satu syarat.”
“Apa dia?” Hannah masih lagi tersenyum seperti tadi.
“Kau jangan senyum macam tu lagi!”
Hannah terkedu. Spontan dia menutup mulutnya dengan tapak tangan.
Karzrin mengusap dadanya yang kian bergetar. Apa nak jadi dengannya? Baru si pembuli tu senyum sikit, Hatinya dah kacau-bilau. Parah betul!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan