Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 15 Februari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 8

NUHA duduk bersandar pada dinding sambil mengurut-urut pergelangan kaki yang terasa berdenyut-denyut. Manakala Fadil pula terdongak di sebelahnya, memejam mata rapat. Mereka berjaya melepaskan diri daripada dua orang samseng tadi dengan bersembunyi di dalam bangunan kosong yang penuh dengan timbunan kotak yang tidak diguna pakai.
Terasa detik cemas tadi macam drama lakonan dalam TV sahaja. Ada hero dan orang jahat. Heroin pula dia sendirilah. Kalau pergi uji bakat berlakon, dia rasa sudah lulus hendak jadi seorang pelakon.
Fadil mencelik mata perlahan-lahan dan menoleh Nuha yang tersengih-sengih sendirian.
“Kau apasal? Teringat dekat Usin Koboi tadi tu ke?” tegurnya sambil menyiku lengan Nuha.
Nuha tersentak. Dah celik mata rupanya mamat ni.
“Shhh... Jangan sebut nama samseng tu kuat-kuat. Nanti kalau dia muncul tak pasal-pasal kita kena kejar lagi,” ujar Nuha separuh berbisik.
“Ni aku nak tanya. Macam mana kau kenal dia? Kau ni bekas awek dia ke?”
“Eii, tolonglah! Tak ingin saya nak berkasih dengan orang jahat macam tu. Mengarutlah awak ni.” Nuha menyangkal tanggapan Fadil yang merepek lagi tidak logik itu. Bekerja sebagai ceti haram, memang taklah dia nak jatuh hati tergolek-golek.
“Dah tu, macam mana kau tahu dia tu Usin Koboi?” Fadil masih tidak berpuas hati kerana gagal mendapat jawapan yang dimahukan.
Nuha menarik nafas panjang. Disebabkan tidak mahu Fadil terus beranggapan Usin Koboi bekas kekasihnya, nak tak nak dia terpaksa membuka mulut mengenainya.
Enam bulan lepas Nuha telah berhutang dengan Usin Koboi, seorang along, sebanyak satu ribu ringgit. Duit itu mahu digunakan untuk membayar yuran kelas kek persendirian anjuran tukang masak kek terkenal iaitu Cef Juki. Jumlahnya 800 ringgit sahaja. Baki selebihnya mahu dibuat belanja sementara tunggu gaji masuk.
Dia tahu banyak risiko berhutang dengan along. Namun, itu sahajalah cara paling cepat untuk dapatkan duit sebab dia hanya ada beberapa jam sahaja sebelum tempoh bayarannya ditutup. Nak harapkan duit gaji tidak sempat. Nak pinjam dengan emak atau ayahnya lagilah tidak tergamak. Dia lebih rela susahkan diri sendiri daripada menyusahkan orang lain.
Selepas memperoleh duit itu, dia pergi berjumpa dengan seorang lelaki bernama Malik. Malik merupakan wakil Cef Juki yang menguruskan soal bayaran yuran. Kata Malik, semua yuran harus dijelaskan by hand. Dia akur sahaja. Lagipun cara itu lebih senang. Tidak perlu dia bersusah payah pergi bank untuk masukkan duit.
Seminggu kemudian, tiba hari yang dinantikan. Bersemangat dia mahu menghadiri kelas kek Cef Juki. Setengah jam sebelumnya dia sudah sampai di tempat yang dinyatakan. Namun, sejam lebih menunggu, bayang Cef Juki pun dia tidak nampak. Apabila telefon Malik mahu bertanya hal itu, dia terkejut besar mendengar operator memberitahu nombor itu telah tamat perkhidmatan.
Tak guna! Hidup-hidup dia kena tipu.
Keesokan harinya dia terbaca berita penipuan yang membabitkan Cef Juki dalam surat khabar. Cef Juki tampil menjelaskan keadaan bahawa ada orang lain telah memperguna namanya untuk menipu orang ramai bagi mengaut keuntungan. Modus operandi penipu itu adalah menghantar tawaran melalui SMS secara rambang kepada semua orang. Menurutnya lagi, ramai yang telah menjadi mangsa penipuan tersebut sedangkan dia tidak pernah membuka kelas membuat kek secara berkumpulan atau persendirian.

“TRAGISNYA aku dengar kisah kau tu,” komen Fadil sejurus Nuha menamatkan ceritanya.
Nuha hanya tersenyum tawar. Mana tidak tragis. Sudahlah kena tipu. Lepas itu kena kejar dengan ceti haram pula. Hidupnya selama berhutang dengan Usin Koboi memang tidak pernah tenang. Penuh dengan ketakutan. Berbulan-bulan dia berjaya menyembunyikan diri. Hari ini terkantoi gara-gara sibuk masuk campur dalam urusan konco Usin Koboi. Hendak menyesal pun sudah tidak berguna.
“Dah nasib saya. Nak buat macam mana? Tapi, tolong janji dengan saya yang awak takkan cerita pasal hal ni dekat orang lain sebab saya dengan awak aje yang tahu. Kalau bocor, saya tahulah awak yang pecah rahsia ni,” pesan Nuha.
“Aku ni muka aje nampak macam orang jahat. Mulut pun jahat jugak sikit-sikit. Tapi, bab menjaga rahsia, kau tak payah risau. Aku ni seorang yang boleh dipercayai,” balas Fadil.
Nuha menarik nafas lega. Terasa lapang dadanya mendengar jaminan Fadil itu. “Awak pulak ada masalah apa dengan Usin Koboi tu? Berhutang dengan dia jugak ke?”
“Taklah. Aku kacau tempat dia.”
Mata Nuha terjegil. “Awak ni samseng macam dia jugak ke?”
“Bukanlah! Aku busking dekat kawasan dia tanpa minta izin. Apa lagi, mengamuklah mamat koboi tu.”
Oh, pemuzik jalanan rupanya anak Pak Awi ni. Patutlah di dalam teksi hari tu dia dengar Fadil berminat nak masuk pertandingan menyanyi. “Salah awak jugak sebab tak beri salam masuk dalam kawasan orang. Tak ada pasal, siapa suruh cari pasal?”
“Manalah aku tahu tempat tu ada tuan. Selama ni aku busking dekat mana-mana, tak pernah pulak tersilap masuk dalam kawasan samseng. Hari ni aje nasib aku malang sikit.”
“Ha... Pasal nasib malang tu saya memang sokong awak. Sebab kalau melibatkan Usin Koboi, memang nasib selalu tak baik. Cuma saya rasa nasib saya ni malang lebih banyak daripada awak sebab kaki terseliuh.”
Fadil tengok kaki Nuha. “Kaki kau macam mana sekarang? Sakit lagi?”
“Boleh tahanlah.” Nuha bangun perlahan-lahan dan terjingkit-jingkit keluar dari tempat persembunyian. Tidak tahanlah dia nak duduk dekat situ lama-lama. Dengan bau hapak dan hancing lagi. Naik kembang tekak dia dibuatnya.
“Jom aku bawa kau pergi klinik,” pelawa Fadil.
Nuha terkebil-kebil memandang Fadil. Terharu juga dengan keprihatinan lelaki itu. Tetapi, dia tidak mahu terhutang budi banyak-banyak dengan Fadil. Susah jadinya nanti.
“Tak apalah. Terima kasih aje. Balik nanti saya boleh suruh mak saya urutkan dengan minyak panas. Insya-Allah, tak ada apa-apa ni,” tolaknya secara baik.
“Kenapa kau tolong aku tadi?” Fadil menyoal.
Dia tidak sangka dipertemukan semula dengan Nuha dalam keadaan seperti ini. Pertolongan Nuha tadi buat dia berasa terhutang budi. Jika tidak kerana Nuha, memang sudah patah riuk tulangnya dikerjakan oleh orang suruhan Usin Koboi.
“Entah. Mungkin sebab saya ni suka tolong orang kut,” balas Nuha selamba sambil tersenyum.
“Kalau macam tu biar aku pulak yang tolong kau. Sebagai ucapan terima kasih sebab selamatkan aku daripada samseng tadi.”
Kali ini Fadil tidak mengendong tubuh Nuha macam tadi. Tetapi, didukung pula sehingga Nuha terkedu dan tidak mampu bersuara. Hanya mata Nuha sahaja terkelip-kelip merenung mukanya.

NUHA masuk ke dalam bilik doktor tanpa ditemani Fadil. Selesai mendapat rawatan, dia mendapati Fadil tiada di dalam klinik. Hatinya tertanya-tanya ke mana Fadil pergi? Tidak lama kemudian dia nampak Fadil masuk ke dalam klinik bersama gitarnya yang patah dua.
“Awak pergi ke lorong tadi semula ke?” tanya Nuha. Gitar dan wajah Fadil dipandang silih berganti.
Fadil mengangguk lalu duduk di sebelah Nuha yang sedang menanti namanya dipanggil oleh petugas kaunter ubat.
“Semata-mata sebab gitar tu?” Mata Nuha masih tidak berkelip memandang Fadil.
Dia tahu Fadil ke situ kerana semasa Fadil melanggarnya tadi dia nampak Fadil memegang sebuah gitar kapok. Akibat dikejar samseng, gitar itu tidak sempat dibawa lari bersama.
Fadil tersenyum hambar. “Ini gitar aku cari makan. Mestilah aku nak cari balik. Banyak jasa gitar ni dekat aku. Tapi, sekarang...”
“Nuha Aisya...”
“Tak apa. Biar aku tolong ambilkan untuk kau,” kata Fadil lantas bangun pergi ke kaunter. Dia kembali mendapatkan Nuha selepas itu bersama seplastik ubat.
Nuha teragak-agak hendak mengambil. “Berapa ringgit semua ubat ni?”
“Tak payah bayarlah. Anggap aje aku belanja kau sebagai ucapan terima kasih.” Fadil menolak apabila Nuha menghulur duit kepadanya.
“Awak dah hantar saya pergi klinik cukuplah tu berterima kasih dengan saya. Buat apa nak ucap terima kasih banyak kali sangat? Tak rasa penat ke asyik cakap benda sama aje dari tadi?”
“Itu lebih baik daripada aku cakap benda yang tak elok. Nanti tak pasal-pasal sakit kaki kau tu melarat ke dalam hati.”
Apa-apa ajelah, Fadil, getus Nuha dalam hati. Dia malas hendak berbalah dengan Fadil lagi. “Saya nak balik. Tapi, saya nak minta tolong satu perkara lagi dengan awak. Tolong dapatkan teksi untuk saya, boleh? Saya tak boleh nak jalan pergi tunggu dekat luar.”
“Tak payah susah-susah. Aku ada kawan yang kerja dekat kawasan ni. Biar aku pinjam kereta dia aje hantar kau balik rumah. Kau jangan pergi ke mana-mana. Tunggu sampai aku datang semula,” pesan Fadil lantas meninggalkan Nuha.
Nuha mengalah. Hari ini begitu banyak dia terhutang budi dengan Fadil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan