Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 6

TIGA pinggan nasi goreng yang masih panas berada di atas meja makan. Hanya makanan itu sahaja yang mampu Alfatah sediakan kerana masakan itu sahaja yang diketahuinya.
Lelaki tersebut memandang hidangan yang ada. Fikiran melayang ke peristiwa petang tadi. Terbit rasa bersalah kerana menengking anak saudaranya. Jam dinding ruang tamu dipandang sekilas. Waktu menjengah pukul 8.30 malam. Dia melangkah menaiki tangga ke tingkat dua. Pintu yang tertutup separa rapat diketuk sekali.
“Muzaf...” panggil Alfatah sebaik sahaja tiba di bilik si adik.
Rayhan Muzaffar sedang bermain dengan patung robot di atas meja. Tatkala mendengar sahaja suara ayah saudaranya, cepat-cepat Rayhan Muzaffar menuju ke katil dan menyelubungkan diri dengan selimut.
“Tak lapar ke?”
Budak lelaki tersebut tidak menjawab.
“Pergi turun bawah, makan sana.”
“Muzaf tak nak.”
“Kenapa tak nak?”
“Zaffi cakap, kalau pak su ajak makan, jangan ikut. Memang Muzaf lapar, tapi Muzaf tak nak makan.”
Alfatah menggelengkan kepala. Dia memandang pintu yang tertutup rapat bertentangan dengan bilik Rayhan Muzaffar. Si kakak memang pandai memberontak. Kecil-kecil lagi sudah tahu lancarkan mogok lapar.
“Kalau tak makan, sakit perut. Bila sakit perut, pak su tak nak hantar pergi klinik. Biar Muzaf sakit sendiri kat sini. Nak ke?” ugut Alfatah.
Perlahan-lahan Rayhan Muzaffar mengalihkan selimut. Dengan wajah yang mencuka, dia melangkah sambil menghentak kaki sebagai tanda protes. Dia berjalan melintasi Alfatah lalu menuruni tangga. Kali ini sampai masa pula untuk memanggil Rayhan Muzaffirah.
“Zaffi?” Lelaki itu memanggil diiringi ketukan. “Zaffi, turun bawah. Makan sekali dengan Muzaf.”
Alfatah mendekatkan telinga ke pintu. Tiada sebarang bunyi menusuk ke gegendang telinga. Tombol pintu cuba dipulas. Ia berkunci.
“Zaffi, buka pintu ni cepat!” arah Alfatah dengan nada yang tinggi.
Pemuda itu terus menanti balasan daripada budak perempuan tersebut. Dia cuba memberi Rayhan Muzaffirah peluang untuk membuka pintu. Ternyata, Alfatah seperti tunggul di situ. “Jangan nak buat perangai lagi, Zaffi. Cepat buka pintu ni!”
Tangan Alfatah menggoncang kuat tombol berbentuk bulat itu. Langkau lima saat, pintu terbuka. Alangkah terkejutnya tatkala daun pintu dikuak ke dalam. Permainan anak patung dan teddy bear bersepah merata di atas lantai. “Astaghfirullah al-azim. Kenapa bilik bersepah sangat ni?”
Rayhan Muzaffirah tidak mempedulikan pertanyaan tersebut. Sebaliknya dia terus leka dengan iPad yang berada di atas katil.
Alfatah mengutip baju sekolah Rayhan Muzaffirah yang dipakai petang tadi. Uniform tersebut tersorok di belakang pintu. “Rayhan Muzaffirah, dengar ke tak apa yang pak su cakap? Pak su bukan cakap dengan dinding. Baju sekolah ni kalau dah kotor, masuk dalam mesin basuh terus. Susah sangat ke?”
“Kan Zaffi cakap, Zaffi tak nak pergi sekolah kalau pak su suruh Zaffi naik bas. Sebab tu Zaffi letak kat situ.”
Alfatah memejamkan mata. Dadanya turun naik. Memang makan dalam bila berbicara dengan budak ni. Sikap Rayhan Muzaffirah berbeza dengan kembarnya. Anak kecil itu lebih tahu untuk memberontak dan membentak. Sakit kepala bila memikirkan kerenah masing-masing.
“Sekarang ni pak su tengah cakap baik-baik. Pak su nak Zaffi turun bawah. Pergi makan dengan Muzaf.”
“Zaffi tak lapar,” ujarnya sambil jari telunjuk ligat bermain permainan pada gadget tersebut.
Tanpa sebarang bicara, Alfatah menghampiri katil lalu merampas objek berbentuk segi empat itu. “Jangan nak jadi keras kepala. Nak makan pun susah sangat ke?”
“Zaffi tak nak!”
“Kalau tak nak, pak su tak akan kasi iPad ni balik.”
Suasana menjadi sepi. Dia mahu keinginannya dipenuhi. Anak kecil itu tidak menjawab. Dia masih membatu di situ.
“Ke nak pak su paksa Zafi minum susu sampai habis?”
Rayhan Muzaffirah tersepit. Alfatah lebih bijak memaksa dengan mengugut perkara yang paling dibenci oleh kembar itu. Dengan jelingan, Rayhan Muzaffirah beredar. Akhirnya, dia mengalah dengan orang dewasa tersebut. Lelaki itu terduduk di sisi katil. iPad yang berada di tangan diletakkan semula ke atas permukaan tilam.
Baru sahaja seminggu menjaga mereka, rasa sesak menghimpit dada. Sabar dalam jiwa tidak mampu dipertahankan. Inikan pula mahu bertahan selama dua bulan? Alfatah memicit batang hidungnya. Dia melepaskan keluhan sebelum keluar. Pemuda itu menuruni tangga. Telinganya langsung tidak menangkap sebarang bunyi sudu atau garpu bertemu pinggan.
“Kenapa tak makan lagi?” soal Alfatah sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi. Dia mengambil tempat di kepala meja.
“Muzaf nak makan nuget dengan sosej.”
“Nasi goreng tu ada telur dengan ikan bilis, tak cukup lagi?”
Budak lelaki itu mencebik. Dia hanya menguis-uis sahaja butiran nasi yang ada.
“Zaffi nak makan spageti.” Sudu yang dipegang lantas dilepaskan.
Ketika ini Alfatah benar-benar berada di hujung tahap kesabaran. “Pak su tahu Zaffi dengan Muzaf akan bantah apa yang pak su suruh. Apa aje yang pak su buat, semua tak kena, kan?”
Mereka berdua mendiamkan diri.
“Pak su suruh buat tu, kau orang tak nak. Pak su suruh buat ni, kau orang bangkang. Pak su suruh makan pun payah sangat ke? Tak tahu nak bersyukur?”
“Kat rumah mama, Cik Yah akan masak apa yang Muzaf dengan Zaffi nak.”
“Balik-balik rumah mama, balik-balik mama. Sekarang ni kau orang duduk dalam rumah pak su. Bukan kat rumah papa dengan mama. Rumah ni tak ada orang gaji, tak ada driver dan tak ada orang yang boleh buat ikut sesuka hati. Ini rumah pak su. My house, my rules,” terang Alfatah dengan tegas.
“Kenapa kami kena duduk dengan pak su? Tak boleh ke Muzaf nak duduk rumah Muzaf dulu?”
“Mama dengan papa ada kerja. Jadinya, kau orang berdua kena duduk sini.”
“Pak su tipu. Bila mama dengan papa tak ada kat rumah, Cik Yah yang jaga,” sambung budak lelaki itu lagi.
“Terpulang nak percaya ke tak.” Gelas berisi air kosong diambil. Alfatah berharap air yang ditelan mampu meredakan kemarahannya.
“Ke sebab mama dengan papa nak cerai?” teka Rayhan Muzaffar.
Alfatah tersentak. Perit pula cecair itu melungsuri rongga tekak. Adakah anak-anak zaman sekarang memang terlebih bijak menilai perbuatan orang dewasa?
“Siapa cakap macam tu?”
“Zaffi.”
Alfatah memandang budak perempuan itu. Rayhan Muzaffirah mempamerkan air muka bersahaja.
“Jangan dengar apa yang Zaffi cakap. Mama dengan papa ada kerja. Itu aje.”
“Pak su jangan nak tipu kami. Zaffi nampak yang mama dengan papa hari-hari bergaduh. Papa pula selalu tak balik rumah,” luah Rayhan Muzaffirah yang tadi hanya membisu.
“Papa tak balik rumah sebab pergi kerja. Jangan nak fikir bukan-bukan.”
Rayhan Muzaffar memandang Rayhan Muzaffirah. Anak kecil itu seperti berada dalam keadaan buntu. Tidak tahu mahu percaya kembarnya atau Alfatah.
“Muzaf, orang besar memang suka tipu budak-budak.”
Sekali lagi Alfatah terpukul dengan kata-kata anak kecil tersebut. Hilang seleranya untuk menjamah hidangan makan malam. Pinggan yang berada di hadapan ditolak ke tepi. “Mulai sekarang, pak su tak nak kau orang fikir yang mama dengan papa nak bercerai. Orang dewasa memang ada masalah. Zaffi dengan Muzaf tak akan faham.”
Keadaan di meja makan menjadi senyap. Terbit perasaan simpati dan kasihan melihat raut muka seorang demi seorang anak saudaranya. Dia juga mengerti dengan perasaan mereka berdua. Dia pernah mengalami situasi tersebut. Jauh di sudut hati Alfatah berharap yang sejarah itu tidak berulang terhadap Rayhan Muzaffirah dan Rayhan Muzaffar.
“Pasal hal sekolah...” Alfatah sengaja menghentikan susunan bicara. Sepanjang memasak tadi, mindanya puas memikirkan hal tersebut.
“Pak su setuju untuk cari orang ambil Zaffi dan Muzaf balik dari sekolah. Orang tu pun akan jaga kau orang bila pak su pergi kerja.”
Serentak empat mata itu memandang wajah Alfatah.
“Tapi, kau orang pun kena setuju juga dengan peraturan yang ada kat rumah ni. It’s a deal. Setuju?”
“Kenapa kena ada peraturan kat rumah?” tanya anak kecil yang rambut hadapannya menutup dahi itu. Rambut belakangnya pula lurus melepasi bahu.
“Macam pak su cakap tadi. My house, my rules. Pak su tak suka rumah pak su bersepah-sepah. Kalau tak ikut peraturan, tak akan ada orang ambil Zaffi dengan Muzaf dari sekolah. Kau orang kena naik bas.”
“Pak su tak tipu, kan?” aju budak lelaki yang mempunyai lesung pipit di pipi kiri.
“Pak su boleh bertolak ansur kalau Muzaf dengan Zaffi tak buat perangai.”
Si kembar saling berpandangan.
“Pak su janji?” tanya Rayhan Muzaffar lagi. Kali ini pertanyaan itu diiringi dengan huluran jari kelengkeng. Pinky promise.
Alfatah hanya memandang tingkah itu. Dia tidak mahu membalas jari kecil tersebut. “Apa yang pak su cakap, pak su akan buat.”
Rayhan Muzaffar menarik muka sedih. Jari yang dihulur lantas ditarik balik.
“Sebagai langkah pertama, pak su nak kau orang makan nasi goreng tu. Pak su tahu kau orang lapar,” arah Alfatah. Dia mengangkat punggung dan mahu menuju ke belakang.
“Pak su tak nak makan ke?” soal Rayhan Muzaffar.
“Pak su nak pergi dapur kejap.” Alfatah segera ke ruangan belakang. Dia menuju ke peti sejuk dan membuka pintu di bahagian pembeku. Makanan sejuk beku itu dikeluarkan.
Tanpa dia sedari, setiap langkahnya diperhatikan oleh Rayhan Muzaffar. “Zaffi, pak su nak goreng nuget dengan sosejlah.”
Rayhan Muzaffar tersenyum. Tidak sangka lelaki itu mahu menuruti permintaannya. Rayhan Muzaffirah hanya membisu. Nasi goreng berada di hadapan disuap sesudu ke dalam mulut.

BAYU pagi menghembus lembut. Terasa segar apabila menghirup udara waktu begini. Namun, lebih segar mata Wak Jopri memandang orang yang telah mencuri hatinya itu. Mak Cik Kejora sedang berniaga sarapan pagi di seberang jalan.
“Hari-hari aku pandang kau, tak pernah rasa jemu. Makin aku pandang, makin ayu kau di mataku,” ungkap Wak Jopri sendiri di pondok pengawal.
Cermin sisi kiri berbentuk bulat Vespa 125 Primavera ET3 miliknya itu dipandang. Wak Jopri membetulkan jambul hadapannya. Sebentar lagi waktu kerja Wak Jopri akan tamat. Syif kerjanya bermula dari 7.00 malam dan berakhir 7.00 pagi.
“Wak Jo betulkan jambul tu sebab nak jumpa Cik Jora ke?” usik Amri, rakan sekerja Wak Jopri.
“Mestilah,” balas Wak Jopri dengan senyum lebar.
“Lain kali Wak Jo ajaklah Cik Jora pergi dating. Naik Vespa tu,” cadang Amri dan dalam masa yang sama tangannya menulis sesuatu pada buku catatan pengawal.
“Memang aku nak ajak. Tapi, Cik Jora kau tu jual mahal sangat.”
“Jambul Wak Jo tak cukup tinggi agaknya. Sebab tu Cik Jora tak layan.”
“Amri, kau jangan pandang rendah dengan jambul wak ni. Sebab jambul dengan Vespa wak nilah arwah isteri wak jatuh cinta dengan wak. Vespa ni lagi lama ada kat dunia daripada kau,” beritahu Wak Jopri dengan menepuk-nepuk tempat duduk kenderaan keluaran tahun 1976 berwarna biru seperti jean itu.
Amri ketawa kecil. Memang begitulah aktiviti rutin bekas pemandu teksi itu setiap pagi sebelum pulang ke rumah. Meskipun hari cuti, sanggup Wak Jopri datang ke kawasan perumahan tersebut semata-mata mahu membeli nasi lemak Mak Cik Kejora.
“Madu di tangan kananmu... Racun di tangan kirimu... Aku tak tahu mana yang akan kau berikan padaku.” Lagu nyanyian asal penyanyi Ari Wibowo itu meniti di bibir Wak Jopri.
Sedang asyik lelaki tua itu menyanyi, bahunya dicuit seseorang dari arah belakang disulami dengan suara memanggil. “Pak cik?”
Embahmu nang Jawo. Ngolek sopo?” Serta-merta Wak Jopri melatah. Dia terkejut. Langsung tidak meramal akan ada sesuatu menyentuh bahunya.
Wak Jopri menoleh. Susuk tubuh segak mengenakan kemeja biru berserta seluar hitam dan tali suspender terpampang di hadapan mata.
“Saya minta maaf kalau saya terperanjatkan pak cik.”
“La... Kamu rupanya. Orang yang baru pindah minggu lepas tu, kan?” Wak Jopri mengurut dada.
Alfatah angguk kepala sebagai jawapan.
“Kamu nak pergi kerja ke”
“Ha’ah, tapi sebelum pergi kerja, saya kena hantar budak-budak pergi sekolah. Sementara nak tunggu dia orang siap, tu saya datang sini kejap. Saya nak jumpa pak cik.”
“Jumpa pak cik?”
“Sebenarnya... Sebelum tu, nama saya Shukri Alfatah. Pak cik boleh panggil saya Fath,” ujar Alfatah, memperkenalkan diri. Dia menghulurkan salam
“Nama wak, Jopri. Tapi, semua budak-budak kat sini panggil Wak Jo,” balas insan tua itu dengan membalas salam tersebut.
“Saya nak tanya, Wak Jo dah lama ke jadi pengawal keselamatan kat kawasan ni?”
“Hujung tahun ni nak masuk empat tahun rasanya.”
“Maknanya, Wak Jo kenal jugalah penduduk yang ada kat sini?”
“Bukan setakat sini aje, depan, kiri, kanan kebanyakannya wak kenal. Kenapa Fath tanya?” Wak Jopri memang peramah dan banyak cakap orangnya. Oleh sebab itulah dia kenal dengan penduduk dan warga tetangga di kawasan sekitar.
“Sebenarnya saya tengah cari orang yang boleh jaga budak.”
“Jaga budak? Nak jaga budak berdua tu ke?”
Kepala Alfatah bergerak ke atas dan ke bawah.
“Isteri Fath tak ada?” aju Wak Jopri, mencungkil rahsia.
“Isteri?”
“Ya, isteri. Wak selalu nampak Fath dengan budak berdua tu aje. Tak pernah nampak orang rumah Fath.”
“Macam mana saya nak ada isteri kalau saya belum kahwin lagi, wak. Kembar tu anak saudara saya. Dia orang anak kakak saya. Kakak dengan abang ipar saya ada kerja kat luar, jadinya saya yang kena jaga dia orang,” beritahu Alfatah, cuba memberi alasan konkrit.
“La... Mati-mati wak ingat dia orang tu anak Fath. Padanlah muka ada iras-iras Fath.”
“Saya pun baru kat sini. Tak tegur sapa lagi dengan jiran sebab saya pun sibuk. Selama saya ada kat sini saya pernah cakap dengan wak aje. Sebab tu saya tanya wak. Saya pun tak kenal mana satu orang yang saya boleh percaya. Memandangkan wak pun agak lama kerja kat sini, manalah tahu wak kenal sesiapa yang boleh tengok-tengokkan budak berdua tu masa saya bekerja.”
“Jaga budak ya?” Wak Jopri mengurut-urut dagu. Dahinya sedikit berkerut. Otaknya ligat memikirkan calon yang sesuai.
“Orang yang jaga anak saudara saya tu kalau boleh cukup pakej yang saya nak.”
“Pakej? Fath nak jadikan isteri terus ke?” Terkesima sekejap Wak Jopri bila Alfatah menyebut perkataan pakej.
“Eh, bukan tu maksud saya. Tugas dia bukan setakat jaga, tapi kena ambil Zaffi dengan Muzaf dari sekolah, pantau kerja sekolah, keperluan, makan dengan minum kena sediakan. Lagi bagus kalau dia tahu seni pertahankan diri sikit. Senang cerita lasak orangnya. Yang penting, dia sanggup buat semua tu. Saya tak kisah berapa yang saya kena bayar.”
Malam tadi, usai makan malam, puas Alfatah memikirkan hal tersebut. Logik akalnya berpendapat, elok juga dia mengupah seseorang yang boleh menguruskan Rayhan Muzaffirah dan Rayhan Muzaffar. Kadangkala dia juga perlu bekerja pada hujung minggu kerana kerja sambilannya sebagai jurugambar perkahwinan. Takkanlah dia mahu usung ke hulur dan ke hilir dua beradik itu?
Dengan adanya seseorang yang mampu menguruskan si kembar, kehidupannya lebih teratur dan tidak kelam-kabut seperti sekarang.
“Seni pertahankan diri? Bodyguard untuk budak-budak tu ke?”
“Lebih kuranglah.”
“Macam serius aje keselamatan budak-budak tu sampai nak kena ada bodyguard.”
Alfatah risau jika ada sesiapa yang mengetahui latar belakang anak saudaranya. Bimbang juga ada pihak yang mengambil kesempatan. “Zaman sekarang ni macam-macam. Culik budak lain, bunuh sana, tikam sini. Saya tak nak semua tu jadi. Wak ada terfikirkan sesiapa yang wak kenal dan sesuai dengan apa yang saya nak ni?”
Wak Jopri memandang sekeliling. Tidak semena-mena pandangannya terhenti melihat Mak Cik Kejora. Wak Jopri memetik jari. “Wak rasa ada. Orangnya memang lasak. Dia perempuan, tapi boleh buat kerja orang lelaki.”
“Tomboi?”
“Eh, tak, bukan tomboi. Orangnya memang berani. Rajin budak tu. Tak memilih kerja dan yang penting dia boleh dipercayai. Wak yakin.”
Alfatah tersenyum sedikit. Tidak salah niatnya mahu berjumpa dengan Wak Jopri pagi itu. “Macam mana saya nak jumpa dengan dia?”
“Dekat aje rumahnya. Dia duduk kat tingkat tujuh rumah flat ni. Wak kenal dengan keluarga dia. Fath nampak tak yang jual nasi lemak tu?” aju Wak Jopri sambil jari telunjuk menghala ke seberang jalan.
“Nampak.”
“Itulah Mak Cik Kejora. Mak saudara kepada Nil.”
“Nil?”
“Ya. Orang yang wak maksudkan yang memenuhi pakej yang Fath nak tu namanya Nil.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan